CERTIFIED INTERNATIONAL CARROM BOARD BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION WHILE STOCK LAST. PLEASE CALL +6019-6656101

Sunday, August 23, 2009

JALE-JALE CARI MAKE DI KOTO BHARU (JALAN-JALAN CARI MAKAN DI KOTA BHARU)

Perbincangan awal hanya 10 pengadil telah terpilih tetapi ada 2 lagi pengadil yang ingin turut serta ke Kota Bharu. Mungkin Negeri Kelantan mempunyai aroma tersendiri yang menarik perhatian mereka. Malangnya di saat akhir dua sahabat yang tidak dapat bersama kerana ada urusan yang lebih mustahak untuk diselesaikan. En. Hairol terpaksa membatalkan hasratnya kerana urusan kerja yang perlu di selesaikan. Manakala En. Kamaruddin masalah lain pula iaitu isteri dan anak perempuannya kurang sihat dan memerlukan perhatian... suami mithali katakan.

Kumpulan pertama terdiri daripada Roslan, Suhaizan, Rahim, Sabirin dan Waharuddin berkumpul selepas waktu pejabat di Telekom Batu, Kuala Lumpur dan memilih untuk bergerak pada waktu malam. Manakala kumpulan kedua terdiri daripada Samohon, Soong, Sahipul, Frankie dan Christopher berkumpul di OCM dan bertolak pada awal pagi.

Saya selepas waktu kerja terus ke tempat yang dijanjikan dan merupakan individu yang pertama sampai di Telekom Batu. Abang Lan tiba 30 minit kemudian dengan membawa satu plastik buah rambutan yang dipetik dari kampong, dapet jugo den meraso rambutan Nogori Sembilan.

Lebih kurang 15 minit kemudian Rahim pula tiba selepas menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur. Sambil menunggu yang lain saya dan Abang Lan sempat juga bermain karom tempatan...teringat nostalgia lama. Waha sampai lewat sedikit jika mengikut masa yang ditetapkan. Sahabat terakhir tiba adalah Sabirin yang telah tersesat jalan. Puas Rahim memberi arah jalan dan akhirnya sampai juga walaupun agak terlewat.

Kami menaiki Kia Ria yang dipandu oleh Abang Lan. Sebelum menuju ke destinasi kami singgah terlebih dahulu di Gombak untuk mengisi perut yang sudah kosong. Kami mula bergerak pada jam 9:00 malam ke Kota Bharu, Kelantan melalui Karak Highway, Raub, Kuala Lipis dan terus ke Gua Musang.

Perjalan kami agak mudah kerana kenderaan kedua-dua hala agak berkurangan dan hanya sekali sekala sahaja. Kami singgah sebentar di Gua Musang untuk minum dan menjamu sedikit makanan.

Selepas itu kami terus ke Kota Bharu dan sampai jam 5:00 pagi. Penginapan kami di Rest House Irama Timor (Belakang Hotel Perdana dan Kelantan Trade Centre). Saya telah mengirim alamat tempat kami tinggal melalui sms kepada kumpulan kedua yang akan bergerak dari Kuala Lumpur pada jam 6:00 pagi. Selepas itu kami tidor sekejap untuk menghilangkan mengantuk yang teramat sangat.

Jam 11:00 pagi kami bergerak ke Rantau Panjang untuk membeli belah. Sampai di sana ada yang membeli Beras Pulut 'SUSU'dan makanan ringan. Tidak ketinggalan membeli bantal kekabu kerana harga agak murah sedikit jika di bandingkan di Kuala Lumpur. Ada seorang sahabat membeli kain tudung dua helai untuk isteri tersayang dan yang lain mungkin tak teringat agaknya... yang terasa jangan marah.



Gambaran sebahagian suasana di Rantau Panjang. Jangan ketinggalan berkunjung ke sini jika anda ke Kelantan. Harga barangan yang berpatutan dan mungkin sebahagian barangan tersebut tidak terdapat di tempat lain.





Selepas itu kami mula bergerak pula ke Pengkalan Kubor dengan berpandukan tanda jalan yang agak terhad dan satu ketika kami terpaksa bertanya kepada penduduk tempatan. Akhirnya kami sampai juga walaupun pada awal terkial-kial mencari jalan menuju ke sana.

Di Pengkalan Kubur kami 'window shopping' kerana di sini hanya terdapat keperluan barangan dapur atau lebih tepat untuk kaum hawa. Jika bawa kaum hawa bersama, kami rasa kereta dipenuhi perkakas dapur dan kami terpaksalah balik naik bas pulak...

Kami berkunjung ke Wakaf Che Yeh sebanyak dua kali. Pada malam kedua kami melihat seekor binatang pelik dan comel. Penjual tersebut mangatakan binatang ini adalah spesis Landak tetapi kecil saiznya dan sebagai binatang peliharaan.


Kenangan di pasar malam Wakaf Che Yeh. Suasana membeli belah di sini sungguh meriah sekali. Kepada mereka yang akan berkunjung ke Kota Bharu jangan lepas peluang berkunjung ke sini.


Kami sedang menjamu selera Kari "Gearbox" bersama roti canai salah sebuah restoran di Bunok Payong. Kami berkunjung sebanyak dua kali ke restoran yang sama. Lain dari yang lain dan memang 'BEST'. Ada seorang sahabat kami sebelum ini katanya hanya mampu sekeping roti canai sahaja, tetapi di sini bukan satu tapi tiga keping sekali jalan dan selepas itu minta pula mee rebus...eeemmm siapa agaknya yaa...

Wow! Rahim sungguh seronok menyedup gearbox... Hati-hati kolestrol tinggi tuu...

Kata orang paku serpih... Tetapi saya tidak lebih hanya sekadar mencuba je... Sabirin di belakang tersenyum riang mungkin kekenyangan atau nak tumpang sekaki...

Mee rebus... eeemmm sedapnya...

Hanya yang tinggal pingan dan mangkok kosong sahaja... boleh tahan juga mereka ni...

Malam terakhir kami ke destinasi pertama di Kampong Sireh yang popular dengan Air Halia. Rahim beria-ia benar mengajak kami ke sana kerana Air Halia lain dari yang lain. Air Halia tersebut dicampur telur dan merupakan menu yang tersendiri dan asli.

Sambil minum kami juga merasa makanan tempatan seperti Tepung Pelita dan Onde-Onde atau Buah Melaka. Makanan yang agak unik sedikit di panggil Nasi Tumpang. Nasi di dalam bungkusan seperti nasi himpit dan di tengahnya terdapat udang bercampur sedikit kuah (lauk). Ada dua sahabat yang mencuba dan rasanya juga enak walaupun bunyinya agak pelik dan yang lain menumpang sahaja. Mungkin kerana itulah ianya dipanggil Nasi Tumpang... bijok-bijok.

Selepas itu kami sekali lagi menikmati kari gearbox di Bunok Payong. Nampaknya ada di antara kami yang berpesta buat kali terakhir. Semasa kami di sini berat badan bertambah dan ini adalah gara-gara Abang Lan yang pandai mencari makanan enak yang kami tidak dapat menolak. Kami merasa seronok sekali dan mungkin akan datang kembali ke sini membawa keluarga sebagai destinasi percutian di masa hadapan. Abang Lan sudah merancang untuk datang ke sini dalam masa terdekat bersama keluarga.

Kumpulan kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 10:00 pagi selepas sarapan di gerai yang agak popular juga di hadapan tempat penginapan. Kata orang ini agak popular kerana menghidangkan pelbagai menu pagi seperti nasi Dagang, Nasi Berlauk dan kuih tradisi, manakala nama minuman yang pelik bunyinya ialah milo tonggeng (milo dicurah terus dari tin).

Kumpulan kedua telah pergi ke Rantau Panjang untuk berjalan-jalan dan membeli belah. Saya membuat panggilan pada jam 12:30 petang mereka masih di sana lagi. Mereka mengambil peluang dan kesempatan yang ada untuk membeli-belah dan mungkin ada barang yang hendak di cari.

Kami berhenti di kawasan rehat Manik Urai tetapi masakan kurang menepati cita rasa dan membuat keputusan untuk makan tengahari di Bandar Raub. Sepanjang perjalanan kami sempat singgah di penghunjung kawasan Manik Urai untuk menikmati durian. Nampaknya Manik Urai kembali tenang selepas mengundi tempohari. Kepada yang menang diucapkan syabas menjalankan tugas yang telah di amanahkan.

Durian di sini elok-elok isinya dan kami berkesempatan mencuba durian 'KUNYIT' di mana isinya kuning dan sungguh enak. Ada di antara kami yang membelinya untuk di bawa pulang untuk berkongsi bersama keluarga tersayang. Buah Macang juga murah iaitu 7 biji bernilai RM1... eemmm bayangkan murahnya. Ada juga di antara kami yang membeli sedikit buah Dokong dan buah Rambutan.

Kami sampai di Batu Caves pada jam 4:20 petang dan minum teh tarik di kedai mamak dan ada dua sahabat yang makan capati. Selepas itu kami bergerak ke Telekom Batu tempat kami berkumpul sebelum ini. Kami bersurai jam 5:00 petang dan bergerak pulang ke rumah masing-masing.

Banyak kenangan yang indah tidak dapat kami lupakan di sepanjang Kejohanan Karom Maksak 2009 di Kota Bharu, Kelantan. Soalan yang bermain di kepala ialah negeri manakah menjadi tuan rumah Kejohanan Karom Maksak 2010? Dan soalan cepumas ditujukan khas kepada Abang Lan di mana pula beliau ingin mengajak kami makan selepas ini...

No comments:

Post a Comment