INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Wednesday, August 19, 2009

KEJOHANAN KAROM MAKSAK 2008

Penganjur : Maksak Pulau Pinang
Tempat : Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.
Tarikh : 01, 02 & 03 Ogos 2008

Sukan Karom Maksak pada tahun ini seperti juga tahun-tahun yang lepas cuma tempat sahaja yang berubah dan tahun ini adalah giliran Pulau Pinang sebagai tuan rumah. Bagi kami dari Persatuan Karom Malaysia merupakan tahun terakhir berkerjasama dengan Penolong Setiausaha Agong Maksak Tuan Haji Sanusi Ismail yang telah bersara wajib pada 15 Jul 2008. Kami akan terasa kehilangan beliau di masa akan datang. Walau bagaimanapun kami mengharapkan agar Karom Antarabangsa akan terus dipertandingkan di bawah penganti beliau nanti.

Selaku tuan rumah Pulau Pinang telah berjaya menyediakan tempat yang sesuai dan selesa untuk penginapan dan juga tempat pertandingan. Terdapat 15 pasukan yang mengambil bahagian di dalam permainan karom kali ini iaitu terdiri daripada pasukan Selangor, Perlis, Perak, Johor, Wilayah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan, Trengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, PDRM, ATM dan Penjara.

Empat kumpulan dibentuk dan format yang dipertandingkan adalah acara Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Regu Lelaki, Regu Wanita dan Regu Campuran.

Kumpulan A: Selangor, Penjara dan Negeri Sembilan

Kumpulan B: Johor, Pahang, Pulau Pinang dan ATM

Kumpulan C: WP Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah dan Perak

Kumpulan D: Trengganu, Perlis, Melaka dan PDRM

Sebelum pertandingan dimulakan Ketua Pengadil En. Roslan Omar telah memberi taklimat mengenai undang-undang perlawanan mengikut undang-undang Persatuan Karom Antarabangsa sepenuhnya. Tetapi pada peringkat pusingan awal corak pengadilan diberikan sedikit kelonggaran kerana terdapat pemain baru dan lama. Ini akan timbul sedikit masalah dan mungkin tidak adil bagi sesetengah pasukan yang terdapat pemain baru. Oleh yang demikian undang-undang dilonggarkan sedikit dan hanya mengunakan isyarat tangan di luar kawasan permainan. Undang-undang sepenuhnya akan digunakan pada peringkat separuh akhir hingga ke peringkat akhir sahaja.

Kami dari Persatuan Karom Malaysia ingin sarankan kepada pengurus pasukan dan jurulatih (jika ada) supaya memberi tunjuk ajar dan mendalami undang-undang permainan karom antarabangsa secara keseluruhan. Dengan demikian kita akan melihat corak pengadilan dan permainan yang berkualiti dan pertandingan berjalan lancar. Ini perlu dilakukan kerana MAKSAK sudah agak lama bermain format antarabangsa dan tiada alasan perkara ini tidak boleh dilaksanakan. Kami mengharapkan agar di masa hadapan undang-undang sepenuhnya akan dilaksanakan bermula di peringkat pusingan awal hingga ke peringkat akhir. Tiada jalan mudah untuk melakukannya tetapi dengan pemain-pemain yang memberi tumpuan dan meningkatkan ilmu mereka tidak mustahil undang-undang sepenuhnya dapat dijalankan.

Sebelum perlawanan berlansung semua striker pemain-pemain di timbang dan diukur oleh En. Mohd Suhaizan untuk menentukan striker pemain-pemain mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh undang-undang permainan. Ada beberapa pemain yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan agak malang bagi pasukan ATM kerana boleh dikatakan striker pemain-pemainnya tidak mengikut undang-undang permainan. Mereka terpaksa mengerah keringat mengasah striker untuk menurunkan berat yang dibenarkan.

Pertandingan berjalan dengan lancar dan tidak ada apa-apa yang berlaku diluar kawalan penganjur. Cuma pada hari kedua di sebelah petang tempat pertandingan diubah sedikit kerana ada ganguan cahaya matahari (silau) yang memasuki ruangan pertandingan. Dengan kerjasama pihak penganjur perubahan tersebut dapat diatasi dengan cepat dan teratur.

Gambar perlawanan peringkat pusingan awal


Keputusan Kumpulan A: Selangor dan Penjara layak ke peringkat suku akhir


Keputusan Kumpulan B: WP Kuala Lumpur dan Perak layak ke peringkat suku akhir


Keputusan Kumpulan C: Johor dan Pahang layak ke peringkat suku akhir


Keputusan Kumpulan D: Terengganu dan Perlis layak ke peringkat suku akhir


Gambar perlawanan peringkat separuh Akhir di antara Selangor dan Johor


Gambar perlawanan peringkat akhir di antara Selangor dan Johor


Keputusan bermula dari suku akhir hingga ke peringkat akhir


Pasukan Dari WP Kuala Lumpur mengungguli permainan Karom setelah menewaskan pasukan dari Selangor dengan mata 3 – 2. Diikuti tempat ketiga dan keempat pasukan dari Trengganu dan Johor.

Pengadil dari Persatuan Karom Malaysia
Berdiri dari kiri ke kanan Christopher, Sabirin, Mohd Suhaizan, Roslan, Kamaruddin, Soong dan Samohon.

Duduk dari kiri ke kanan Waharuddin dan Frankie.

Secara keseluruhannya pemain-pemain karom pada kejohanan kali ini sudah memahami asas undang-undang dan kesalahan yang dilakukan agak minima. Corak permainan dan skil juga sudah meningkat terutama pasukan dari Pahang, Pulau Pinang dan Perlis. Pasukan dari Johor, Selangor, Terengganu dan WP Kuala Lumpur pula terus mendominasi kumpulan masing-masing dan dianggap pasukan pilihan.

Kepada pasukan yang gagal jangan kecewa dan teruskan latihan yang lebih efektif dan bersistematik. Kepada pasukan yang berjaya anda jangan mudah leka kerana kali ini terdapat beberapa pasukan telah meningkat corak permainan mereka dan mungkin satu ancaman kepada pasukan anda di masa hadapan. Untuk mencapai kejayaan adalah lebih mudah tetapi untuk mengekalkan kejayaan tersebut adalah lebih perit. Oleh yang demikian pasukan tersebut perlu memikirkan langkah manakah yang perlu disusun atur untuk terus berada di puncak.

Di masa akan datang diharap pasukan-pasukan lain terus meningkatkan corak permainan dan dalam masa yang sama memahami undang-undang permainan. Kami dari Persatuan Karom Malaysia sedia membantu anda semua untuk ke arah permainan yang berkualiti dari skil hingga kepada undang-undang permainan. Hubungi kami jika perlu dan sekali lagi kami ingin melihat permainan karom antarabangsa pergi lebih jauh di kalangan kaki tangan kerajaan.

Kejohanan Maksak tahun 2009 giliran Kelantan sebagai tuan rumah dan dipanjang umur kita akan berjumpa di sana.

No comments:

Post a Comment