INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Monday, August 24, 2009

PROGRAM RAKAN MUDA KECERGASAN

LAPORAN PERTAMA

Projek: Liga Karom Antarabangsa Rakan Muda Kecergasan

Anjuran: Persatuan Karom Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Bahagian Pembangunan Rakan Muda.

Tarikh : 13 Ogos 2009

Masa: 10:30 pagi

Tempat: Aras 2, Menara Kementerian Belia dan Sukan, Persint 4, Putrajaya.

Hadir: Puan Wasitah Haji Mohd Yusof (Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda), Azmi Baki (Setiausaha Agong), Samohon MD Kassim (Ketua Pengadil) dan Mohd Suhaizan Haji Mat Karri (Ketua Pembangunan).




Pintu masuk utama Menara Kementerian Belia dan Sukan, Lot 4 G4, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62570 Putrajaya, Wilayah Persekutuan.


En. Azmi Baki dan En. Samohon MD Kassim berada diruang lobi.


En. Azmi Baki dan En. Mohd Suhaizan berada diruang lobi.

Hari ini adalah hari yang bersejarah dan titik permulaan kepada Persatuan Karom Malaysia yang ingin membawa Karom Antarabangsa ke tahap yang boleh dibanggakan untuk remaja dan generasi akan datang. Hanya melalui program keseluruh negara akan mempercepatkan lagi momentum perkembangan Karom Antarabangsa. Oleh yang demikian Persatuan Karom Malaysia melalui program Rakan Muda Kecergasan di harap mencapai matlamat dan menjadi kenyataan.

Rombongan kami sampai tepat jam 10:00 pagi di Menara Kementerian Belia dan Sukan untuk perjumpaan rasmi dengan Puan Wasitah Haji Mohd Yusof Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda. Agenda utama kami adalah membentang kertas kerja program Liga Karom Antarabangsa di bawah Rakan Muda Kecergasan.

Kami dibenarkan masuk ke pejabat dan menemui Puan Wasitah sekitar jam 10:30 pagi. Puan Wasitah menyambut baik rombongan kami dan beliau seorang yang peramah. Sesuasana pertemuan tersebut boleh dikatakan tidak terlalu formal.

En. Azmi selaku ketua delegasi memperkenalkan kami daripada Persatuan Karom Malaysia kepada Puan Wasitah. En. Azmi juga memberitahu tujuan perjumpaan ini di adakan. Puan Wasitah telah mengenali En. Samohon kerana sebelum ini beliau bersama En. Balbeer Singh (Presiden) dan En. Soong (Penolong Setiausaha Agong) telah menyerah surat cadangan program ini beberapa bulan yang lepas.

En. Balbeer tidak dapat hadir pada perjumpaan kali ini kerana ibu beliau kurang sihat. Manakala En. Soong pula terpaksa datang agak lambat sedikit kerana terpaksa menghantar isteri beliau ke hospital di Petaling Jaya.

Walaupun ketiadaan mereka berdua perbincangan tetap diteruskan juga kerana temu janji ini telah dibuat pada 5 Ogos 2009. Ketiadaan mereka tidak menjejaskan tujuan perjumpaan ini kerana En. Mohd Suhaizan yang akan membentangkan kertas kerja kepada Puan Wasitah. Lagi pun program ini adalah hasil penulisan dan perancangan beliau yang sudah sekian lama terpendam.

Perbincangan berjalan lancar dimana En. Mohd Suhaizan menyentuh beberapa perkara yang agak penting kenapa program ini perlu dilaksanakan. Beliau juga menyatakan bahawa permainan karom juga adalah salah satu cabang sukan yang perlu diketengahkan dan diberi perhatian.

Program ini akan dapat mengubah tanggapan masyarakat tentang permainan karom yang sebelum ini hanya untuk memenuhi masa lapang atau sebagai permainan sampingan sahaja tanpa diberi perhatian khusus.

Oleh kerana karom tidak diberi perhatian, maka setiap kali pemain mewakili negara di kejohanan peringkat antarabangsa mereka terpaksa mencari sendiri penaja untuk menyertai kejohanan tersebut. Lebih menyedihkan lagi ada di antara pemain terpaksa mengunakan wang saku sendiri untuk ke sana. Perkara ini berulang-ulang sejak sekian lama dan sepatutnya tidak berlaku ke atas pemain yang mewakili negara ke pentas antarabangsa.

Di harap program ini akan membuka mata pihak-pihak berwajib untuk tampil ke hadapan untuk membantu dan memajukan permainan Karom Antarabangsa seperti sukan-sukan yang lain. Jika ini dapat dilakukan oleh pihak berwajib saya kira karom akan menjana nama negara di peringkat global di masa hadapan.

Beliau juga memberitahu mutu permainan telah meningkat di beberapa negara Eropah dan Amerika kerana mempromosikan permainan karom telah berjaya dijalankan. Manakala negara seperti India, Sri Lanka dan Maldive sudah jauh ke hadapan dan kini diikuti pula oleh Pakistan dan Bangladesh yang sudah jauh meninggalkan Malaysia.

Rasional dan objektif program ini telah digariskan untuk jangka pendek dan jangka panjang seperti mencari pelapis sebagai di bidang pengurusan, pengadilan dan juga sebagai pemain. Jika tiada program di jalankan, maka besar kemungkinan karom Antarabangsa akan terkubur dan generasi akan datang tidak berpeluang mengetahui permainan ini. Rata-rata ahli-ahli persatuan sudah berumur dan begitu juga pemain yang tidak bersilih ganti, hanya muka-muka lama yang ditampilkan. Saya merasakan satu program perlu dijalankan dan landasan terbaik adalah menerusi generasi muda seperti Rakan Muda Kecergasan.

Seterusnya beliau juga menyatakan program ini akan berjalan selama hampir tujuh bulan. Rasionalnya program ini dirancang begitu rupa supaya perlawanan akhir nanti akan memberi impak dan permainan yang berkuali tinggi dari segi undang-undang, teknik, skil dan displin. Program ini juga akan membentuk setiap pemain mempunyai jati diri dan displin yang tinggi menerusi undang-undang permainan yang agak ketat.

Beliau menerangkan lagi bahawa setiap negeri akan diwakili dua pasukan iaitu pasukan lelaki dan pasukan wanita. Sebagai langkah pertama dan titik permulaan program ini jika didapati kurang sambutan dari pemain wanita, maka satu pasukan campuran akan dibentuk untuk kejohanan ini. Walau bagaimanapun persatuan akan menentu format kejohanan bila sampai waktunya nanti.

Pemilihan setiap pemain akan ditentukan oleh jurulatih yang dikenal pasti kemudian yang mewakili MAKSAK negeri. Pemilihan jurulatih negeri akan dilakukan oleh Persatuan Karom Malaysia. Projek ini akan dipantau oleh pegawai KBS negeri dan kami daripada persatuan akan membantu dari segi kursus dan latihan dari masa ke semasa sebelum pertandingan akhir dijalankan. Persatuan Karom Malaysia juga akan memantau dari segi pencapaian pemain-pemain yang berpotensi untuk mewakili negara di masa akan datang.

Beliau ingin melihat karom lebih menonjol dan dan seiring dengan sukan-sukan yang lain yang telah diterima oleh masyarakat. Beliau juga menyatakan tahun pertama sebagai permulaan untuk menimbulkan kesedaran kepada remaja dan masyarakat tentang karom antarabangsa. Beliau menetapkan dalam masa lima tahun karom antarabangsa akan mempunyai peminat yang tersendiri dan diterima oleh semua lapisan masyarakat jika program ini berjalan secara konsisten.

Beliau juga menyentuh kos perbelanjaan menampung program ini agak tinggi kerana mengunakan papan karom yang berkualiti tinggi dan diiktiraf oleh Persatuan Karom Dunia daripada India. Perbelanjaan untuk kejohanan tahun-tahun berikutnya akan menurun secara drastik kerana peralatan sudah tersedia. Jika dijaga dengan baik dan rapi, mutu peralatan permainan karom ini akan dapat bertahan puluhan tahun.

Memandangkan kos yang agak tinggi, kejayaan dan kegagalan program ini bergantung sepenuhnya kepada syarikat atau badan koprat yang sudi tampil ke hadapan sebagai penaja di samping bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan. Penaja utama akan diberi keutamaan dimana nama syarikat akan ditampal pelekat kekal di atas bingkai papan karom, juga nama syarikat pada kain rentang dan sepanduk di sepanjang program ini.

Satu salinan kertas kerja juga diberikan kepada Puan Wasitah supaya meneliti dan mengkaji sebaik mungkin program ini. Pada dasarnya beliau bersetuju dan akan meneliliti kertas kerja terperinci. Beliau juga berjanji akan mengeluarkan surat sokongan seminggu dari tarikh perjumpaan ini di adakan.

Kami akan menunggu surat sokongan daripada Puan Wasitah untuk tindakan selanjutnya. Surat sokongan ini penting untuk bergerak dan mendapatkan penaja utama yang sudi menaja program ini. Perbincangan selesai sekitar jam 11:00 pagi.

Selepas itu kami bertiga beredar untuk minum sebelum pulang tempat kerja masing-masing. Dalam masa yang sama kami terserempak dengan En. Soong yang baru sahaja sampai dan kami berempat terus ke cafeteria Kementerian Belia dan Sukan di tingkat bawah. Saya memberitahu kepada beliau bahawa misi dan matlamat pertemuan kami pada dasarnya dianggap berjaya.

Semasa kami makan dan minum beberapa perancangan persatuan telah dibangkitkan secara tidak rasmi dan akan dibawa ke mesyuarat exco yang akan datang. Selepas itu kami berpisah dan menuju ke destinasi masing-masing.

Rumusan perjumpaan rasmi dengan Puan Wasitah diharap memberi harapan baru kepada Sukan Karom Antarabangsa ke arah perkembangan sesuai dengan matlamat kementerian ke arah masyarakat yang cergas dan cerdas fikiran supaya hidup lebih positif daripada anasir-anasir yang tidak sihat. Semua jenis sukan adalah penting untuk negara dan jangan sekali kali dipinggirkan tanpa kajian mendalam.

Saya selaku Ketua Unit Pembangunan Persatuan Karom Malaysia telah menjalankan tugas dan di harap pihak berwajib akan menentukan hala tuju bukan hanya permainan karom sahaja malah semua jenis sukan ke arah lebih positif.

Oleh kerana minat Karom Antarabangsa saya mengambil insiatif mengujudkan satu-satunya blog mengenai permainan Karom Antarabangsa sejak tahun 2007 sebagai satu perhentian berita dan maklumat untuk tatapan masyarakat dan peminat karom untuk mengetahui permainan ini. Sila layari http://komunitikarom.blogspot.com .

Akhir kata kepada golongan remaja lingkungan umur di antara 15 tahun hingga 25 tahun diharap bersiap sedia dari sekarang untuk mewakili pasukan negeri masing-masing. Marilah kita berdoa supaya program ini dapat dilaksanakan dengan sempurna dan jayanya hasil kerjasama pelbagai pihak yang komited untuk menjadikannya satu kenyataan.

Laporan perkembangan program seterusnya akan menyusul...

No comments:

Post a Comment