INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Friday, July 16, 2010

STRIKER DAN BUAH KAROM (CARRROMMEN)

Striker berjenama TOURNAMENT mengikut spesifikasi ICF

Striker berjenama RAPIDEX mengikut spesifikasi ICF

Buah karom (CARROMMEN) berjenama ASHWIN dan WHITE SLAM adalah yang terbaik dan selalu digunakan di peringkat kejohanan antarabangsa.

Sesiapa yang ingin membeli produk seperti di atas boleh menghubungi saya selagi stok masih ada. Striker dan buah karom diimport khas daripada negara India. Striker boleh digunakan terus untuk pertandingan tanpa was-was.

Monday, July 12, 2010

STRIKER, MASA PERMAINAN, TEPUNG DAN BERUS

Apa jua bentuk sukan di dunia hari ini tidak dapat lari dari peraturan kejohanan dan masa yang telah diperuntukkan untuk setiap perlawanan. Peraturan dan masa akan dapat mengawal permainan dengan lebih teratur dan dapat membuat keputusan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Peraturan kejohanan perlu diketahui dan dipatuhi oleh setiap pemain supaya tertib dan berdisplin semasa kejohanan berlansung. Pihak penganjur dapat menguruskan masa permainan lebih cekap dan bersistematik.

STRIKER

Striker merupakan senjata yang penting bagi setiap pemain karom. Pemain perlu mempunyai striker yang terbaik baginya untuk bermain dengan baik. Pemain mempunyai striker yang baik dan skil yang bagus dapat memenangi perlawanan dengan mudah.

Pemain juga memerlukan satu lagi striker (simpanan) jika berlaku kerosakkan semasa perlawanan berlansung. Kemalangan tidak boleh dijangka, tetapi setiap pemain perlu bersedia lebih awal dan itulah yang terbaik. Pemain terbaik dunia membawa sekurang-kurangnya membawa 2 atau 3 striker semasa pertandingan.

Pemilihan striker juga penting dari segi bahan dan rupa bentuk (permukaan tepi striker). Permukaan tepi ada yang rata (flat) dan ada yang sedikit bulat (curve). Striker yang mempunyai permukaan licin adalah yang terbaik bila dijentik dengan kuat ianya dapat bergerak 3 1/2 pantulan atau lebih. Pantulan dikira bermula dari garisan dasar pemain ke bingkai pihak lawan bergerak ke atas dan ke bawah.

Oleh kerana harga striker agak mahal pemain hendaklah menjaga dengan baik semasa pertandingan dan selepas pertandingan. Amalan paling yang bagus ialah selepas tamat pertandingan pemain hendaklah mengasah permukaan bawah striker supaya bersih dan licin dengan mengunakan kertas yang bersesuian. Selepas itu simpan di tempat yang sesuai kerana bila ada mana-mana kejohanan striker anda sudah bersiap sedia untuk digunakan.

Pemain juga diingatkan jauhi daripada sifat meminjam striker dan kepada tuan punya striker jangan sekali-kali memberi pinjam. Kebanyakkan daripada kita bila mengunakan barang kepunyaan orang lain kita tidak dapat menjaga dengan baik atau mungkin semasa bermain secara tidak sengaja striker rosak kerana terjatuh. Sebagai kawan kita juga tidak sampai hati untuk meminta ganti rugi, tetapi kita akan bercakap di belakang sahaja. Akhirnya kita menjadi tidak selesa dan perhubungan menjadi renggang hanya disebabkan striker.

Melalui pengalaman saya ketika berada dibeberapa kejohanan di dalam dan luar negara bersama pemain-pemain India. Mereka tidak benarkan lansung untuk kita melihat lebih teliti striker tersebut. Saya tidak pasti apakah rahsia striker mereka sehinggakan untuk melihat pun tidak boleh apatah lagi untuk memegangnya. Satu lagi pengalaman saya ketika bermain dengan pemain perancis dimana striker beliau termasuk ke dalam saku dan saya mengambilnya dan terkena permukaan bawah striker. Pemain Perancis tersebut agak marah kerana berbuat demikian. Ini kerana jari dan tangan kita agak lembab dan ini membuatkan striker akan tersangkut-sangkut pergerakkannya atau melekat. Bila sampai ke tahap tersebut barulah kita mengetahui bahawa striker adalah yang paling penting dan perlu diberi perhatian.

Striker juga perlu keserasian kepada pemain supaya dapat mengetahui karektoristik striker tersebut. Striker diperbuat daripada pelbagai bahan dan nilai setiap striker juga berbeza dan mempunyai kelebihan tersendiri seperti kelajuan, pergerakkan dan pantulan ketika menjentik biasa atau menjentik dengan memberi tekanan kepada striker tersebut. Seperti kata pepatah melayu hanya jauhari mengenal manikam.

Beberapa jenama striker yang terdapat di pasaran

Sebelum pertandingan bermula striker setiap pemain perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh undang-undang permainan iaitu ukuran diameter tidak melebihi 4.13 sm dan berat tidak melebihi 15.00 gms. Striker akan di sahkan selepas lulus dari pemeriksaan oleh pengadil dengan meletakkan pelekat di atas striker. Striker yang melebihi berat dan ukuran diameter yang tidak mengikut spesifikasi tidak dibenarkan.

AMARAN: Masa perlawanan berlansung jika pengadil mendapati pemain mengunakan striker yang tidak mengikut spesifikasi undang-undang permainan, maka pemain akan kalah keseluruhan permainan tersebut. Juga perlu diberi perhatian semasa permainan berlansung pemain tidak dibenarkan membuat ujian striker di atas permukaan papan karom. Oleh demikian setiap pemain perlu mematuhi peraturan kejohanan dan elak melakukan penipuan.

Alat pengukur diameter Striker tidak melebihi 4.13sm

Alat pengukur berat striker tidak melebihi 15.00gms

Striker akan ditampal peletak menandakan ianya lulus dan mengikut spesifikasi undang-undang permainan.


MASA PERMAINAN

Selepas sahaja Ketua Pengadil memanggil pemain-pemain untuk memulakan permainan, masa yang diberikan adalah selama 15 minit. Jika salah seorang pemain atau regu tidak berada ditempat perlawanan, maka kemenangan percuma (walkover) akan diberikan kepada pemain atau regu yang berada di situ. Pengadil yang menjaga permainan tersebut akan memastikan bahawa nama pemain-pemain seperti yang terdapat pada kad kiraan mata (Score Card).

Pengadil akan membuat undian pecah mula (Break) dengan mengunakan buah karom (putih dan hitam) atau duit syiling. Pemain yang meneka dengan tepat akan membuat pecah mula.

Walaupun masa tidak dinyatakan dengan tepat ketika menyusun buah karom (di dalam bulatan luar) sebelum pecah mula, tetapi pemain perlulah melakukannya dengan masa MINIMA. Semasa menyusun buah karom di dalam bulatan luar (Outer Circle) striker pemain hendaklah diletakkan di bawah garisan dasar (below base line).

Pengadil akan melihat susunan buah karom sebelum pecah mula dan kesemua buah karom tersebut hendaklah rapat dan tiada ruang kosong atau renggang. Susunan buah karom juga tidak menyentuh garisan bulatan luar.

Pemain yang mempunyai giliran pecah mula TIDAK DIBENARKAN memulakan permainan selagi pengadil belum mengatakan "Mula atau Play". Jika berlaku, maka kesalahan akan diistiharkan oleh penagadil mengikut undang-undang permainan. Selepas pengadil mengatakan ‘Mula atau Play’ maka pemain perlu menjentik striker untuk memulakan permainan dalam masa 15 saat.

Jika pemain gagal memecah susunan buah karom tersebut, maka 2 lagi percubaan akan diberikan kepadanya. Jika gagal juga, maka giliran akan berpindah kepada pihak lawan tanpa mengubah kedudukan buah karom yang telah disusun. Selepas pecah mula berlaku maka perlawanan tersebut berjalan secara rasminya.

Pemain yang membuat pecah mula dan ingin memastikan buahnya masuk dengan menyentuh net adalah menjadi kesalahan. Jika berlaku, maka kesalahan akan dikenakan oleh pengadil mengikut undang-undang permainan.

Masa yang diberikan untuk giliran seterusnya selama 15 saat. Masa tersebut adalah dikira selepas pemain tersebut mengambil strikernya. Meletakkan penalti atau due oleh pemain juga diberikan selama 15 saat.

Bila pemain mengambil giliran masa melebihi 15 saat pengadil akan mengatakan 'TIME OUT' dan pihak lawan akan mendapat giliran untuk memulakan permainan. 'Time out' tidak dikenakan penalti cuma hilang giliran bermain sahaja.

Pertukaran tempat duduk semasa permainan pertama ‘game 1’ dan permainan kedua ‘game 2’ adalah selama 2 minit. Rehat semasa perlawanan permainan ketiga iaitu permainan penentuan (game 3) adalah selama 10 minit. Di peringkat antarabangsa permainan mengunakan format 3 permainan yang terbaik (best of 3 games). Kejohanan di Malaysia selalunya hanya bermain satu permainan sahaja (1 game).

Bantahan lisan boleh dilakukan segera & dikuti bantahan bertulis selepas permainan berakhirnya selama 15 minit bersama wang pertaruhan yang penganjur tetapkan. Wang pertaruhan akan hilang sekiranya pegadu tersebut didapati gagal menunjukkan bukti bantahan tersebut. Keputusan bantahan selama 60 minit selepas bantahan bertulis diserahkan.

TEPUNG DAN BERUS

Tepung dan berus

Di dalam permainan karom antarabangsa tepung adalah penting dan bertindak sebagai bahan pelicin untuk mengerakkan striker dan buah-buah karom. Untuk pengetahuan di Malaysia, negara-negara Eropah dan USA mengunakan tepung kentang (potato starch), manakala di India, Sri Lanka, Maldive dan Pakistan mengunakan tepung borik asid (boric acid).

Tepung dan berus hanya boleh digunakan sebelum pecah mula atau selepas permainan tamat sahaja. Semasa permainan berlansung pemain tidak dibenarkan mengunakannya sama sekali malah menjadi kesalahan dan di denda oleh pengadil.

Kebiasaan yang diamalkan oleh pemain-pemain terbaik dunia ialah ketika gilirannya untuk membuat pecah mula. Beliau akan menyusun kedudukan buah karom dengan kelebihan kepada beliau selepas pecah mula. Selepas itu pemain tersebut akan meminta berus daripada pengadil atau beliau melakukannya sendiri dengan menyapu tepung di sekeliling bingkai utama dimana tepung selalunya terkumpul selepas tamat permainan. Selepas itu pula tepung ditabur di atas permukaan papan karom mengikut kegemaran dan kelebihan kepada pemain tersebut.

Perlu diingat tepung di atas permukaan papan karom tidak dibenarkan menyapu dengan jari atau tapak tangan, malah pemain tersebut akan didenda oleh pengadil kerana ianya merupakan kesalahan dari sudut peraturan permainan. Kebiasaannya pemain melakukannya ketika mengambil striker dengan tidak sengaja atau teknik untuk menyapu sekali tepung yang berada di situ. Oleh itu setiap pemain perlu berhati-hati supaya dapat mengelak tindakan daripada pengadil yang bertugas.

Mungkin sesetengah pemain mengambil mudah mengenai pengunaan tepung dan berus di dalam permainan karom antarabangsa. Percayalah, tepung dan berus adalah amat penting dan setiap pemain perlu mengetahui ketika mana dan bila ianya diperlukan. Kelebihan seseorang pemain yang arif mengenai pengunaan tepung dan berus juga menjadi kelebihan semasa permainannya.

KESIMPULAN

STRIKER
1. Berat striker tidak melebihi 15.00 gms dan diameter tidak melebihi 4.13sm.
2. Semasa permainan berlansung ujian striker tidak dibenarkan.
3. Ketika meletak penalti/due, striker hendaklah diletakkan di bawah garisan dasar.
4. Memegang striker ketika meletak penalti/due adalah menjadi kesalahan.
5. Meletak striker di atas bingkai papan karom ketika meletak penalti/due juga melakukan kesalahan.

MASA PERMAINAN
1. Selepas 15 minit nama pemain diumumkan, jika tiada kemenangan kepada pihak lawan.
2. Undian pecah mula diberikan kepada pemain meneka dengan tepat.
3. Pemain menyusun buah karom dalam masa minima di dalam bulatan luar.
4. Pemain boleh pecah mula selepas pengadil berkata 'PLAY'.
5. Pecah mula masa yang diberikan adalah 15 saat.
6. Giliran bermain masa yang diberikan adalah 15 saat.
7. 'TIME OUT' jika pemain mengambil lebih dari 15 saat.
8. Meletak penalti dan/atau due masa yang diberikan adalah 15 saat.
9. Pertukaran tempat duduk antara 'GAME 1' dan 'GAME 2' masa yang diberikan adalah 2 minit.
10. Jika seri 'GAME 3' menjadi penentuan dan masa rehat diberikan adalah 10 minit.
NOTA: KEJOHANAN MAKSWIP DAN MAKSAK HANYA BERMAIN SATU PERMAINAN (1 GAME) SAHAJA.
11. Bantahan bertulis diberikan 15 minit bersama wang pertaruhan.
12. Keputusan dalam masa 60 minit selepas bantahan bertulis diserahkan.

TEPUNG
1. Tepung dan berus dibenarkan sebelum pecah mula dan selepas permainan tamat sahaja.
2. Semasa permainan berlansung tepung dan berus tidak dibenarkan.
3. Tepung tidak dibenarkan disapu dengan jari atau tapak tangan semasa permainan.
4. Ketika pemain mengambil striker sambil menyampu tepung juga melakukan kesalahan.
5. Tepung hanya boleh disapu dengan striker di atas garisan dasar pemain sahaja.

KEJOHANAN KAROM MAKSAK 2010


Tarikh: 06 hingga 08 Ogos 2010
Tempat: Puteri Park Hotel, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Kejohanan kali ini diadakan di ibu negara dan merupakan kali pertama Kuala Lumpur diberi peluang menjadi tuan rumah. Kepada pemain-pemain karom MAKSAK yang terpilih mewakili negeri masing-masing pada tahun ini diucapkan tahniah. Pemain-pemain hendaklah bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi kejohanan karom yang diadakan hanya setahun sekali dengan latihan yang mantap dan dapat memberi saingan yang hebat kepada pasukan yang mengambil bahagian.

Saya sarankan kepada pemain yang terpilih hendaklah menjalani latihan yang intensif serta bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang diingini disamping dapat membentuk salah satu pasukan yang digeruni. Untuk membentuk satu pasukan yang mantap dan kuat bukan satu perkara yang mudah tetapi perlu berterusan dengan melakarkan perancangan yang jelas dan jitu.

Saya melihat tahun demi tahun hanya pasukan yang sama sahaja berjaya memasuki peringkat tertinggi dan seterusnya memenangi perlawanan. Saya kira pasukan yang lain juga mempunyai kekuatan tetapi kebanyakkannya mungkin tidak menjalani latihan yang sempurna dan tidak sistematik. Latihan tidak hanya berkisarkan teknik dan skil permainan sahaja tetapi juga perlu mengetahui undang-undang permainan dengan lebih mendalam.

Pengalaman saya disepanjang karier sebagai pengadil kebanyakkan pemain-pemain masih bertanya soalan yang sama setiap kali kejohanan diadakan. Ini menunjukkan mereka tidak menjalani latihan yang berterusan dan hanya membuat latihan ketika hampir tarikh kejohanan sahaja. Jika semua pemain bersikap sedemikian, maka malanglah sungguh sebagai seorang pemain dan mungkin malap perkembangan karom antarabangsa di masa hadapan. Sikap sedemikan perlu dikikis dan setiap pemain perlu melihat karom antarabangsa lebih positif bukan hanya berkisar kepada diri sendiri tetapi perlu war-warkan anak-anak, rakan-rakan dan seterusnya masyarakat di sekeliling.

Manakala pengurus pasukan mempunyai tugas yang berat dan penting untuk menjulang pasukannya ke atas. Peranannya sebagai pemimpin hendaklah tegas dan membuat perancangan jangka panjang untuk membawa pasukannya ke tahap yang lebih baik dari tahun ke tahun.

Pencapaian setiap pemain perlu dipantau dan membuat laporan perkembangan semasa pemilihan dan juga semasa menjalani latihan. Di samping itu juga pengurus perlu mencari jurulatih yang bertauliah untuk membantu pemain-pemain dari peningkatan skil permainan dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pengetahuan undang-undang permainan.

Pengurus perlu merangka dan menyediakan modul-modul yang tertentu untuk menyediakan satu pasukan yang mampu memberi saingan dan kebanggaan kepada organisasi mereka. Jika ini dapat dilakukan oleh seorang pengurus saya pasti karom antarabangsa akan terus meningkat popularitinya di kalangan kakitangan kerajaan dan masyarakat amnya.

Secebis ulasan saya ini dapat menjadikan kita lebih positif dan demi pembangunan sukan karom antarabangsa di Malaysia. Tanpa kerjasama daripada peminat-peminat karom semua, perkara ini tidak akan berlaku.

Sebenarnya perjalanan kita di dalam permainan karom antarabangsa masih jauh tetapi kita sebagai peminat karom perlu menyokong dan melihat ke hadapan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar demi membangunkan sukan karom antarabangsa.

Akhir sekali saya mengharap juga pemain-pemain karom semasa kejohanan karom Makswip tahun ini dapat melihat sendiri suasana kejohanan di samping mempelajari sedikit sebanyak skil permainan dan berjumpa kenalan baru. Tidak ketinggalan juga peminat-peminat karom di sekitar Lembah Klang dapat melapangkan masa dan memeriahkan kejohanan kali ini.

Selamat bejaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan bermainlah dengan semangat kesukanan.

Saya berjumpa anda di sana...

KEJOHANAN KAROM MAKSWIP 2010


Tarikh: 10 & 11 Jul 2010
Tempat: Tingkat M (Kantin RISDA), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Tempat kejohanan pada kali ini agak berbeza sedikit kerana di adakan di kantin RISDA tingkat M, dimana sebelum ini selalu di adakan di kawasan ruang legar tingkat bawah Bangunan RISDA.

Permulaan pertandingan agak terlambat sedikit kerana pintu kantin berkunci dan pengadil-pengadil terpaksa menyusun papan karom selepas sahaja pintu dibuka. Pengadil mengambil masa sedikit untuk menyusun kesemua 20 papan karom dalam kawasan yang agak terhad. Walau bagaimana pun susunan dapat dilakukan dengan sempurna dan peringkat permulaan pertandingan dapat berjalan dengan baik dan memuaskan.

KUMPULAN A (PASUKAN LELAKI)

KUMPULAN B (PASUKAN LELAKI)

KUMPULAN C (PASUKAN LELAKI)

KUMPULAN D (PASUKAN LELAKI)

KUMPULAN X (PASUKAN WANITA)

KUMPULAN Y (PASUKAN WANITA)



Suasana kejohanan sedang berlansung

Masa rehat tidak disia-siakan oleh pemain-pemain lelaki dengan melepaskan gian... lihatlah salah satu tempat habuk rokok ini.

KEPUTUSAN PASUKAN WANITA

Pertandingan bagi pasukan wanita dilakukan dalam masa satu hari sahaja iaitu bermula dari peringkat pusingan awal hingga ke peringkat akhir dan menentukan kejuaraan. Pasukan wanita Pasukan pasukan wanita DBKL masih mengungguli kejohanan kali ini walaupun menerima tentangan hebat daripada pasukan Universiti Malaya. Pasukan yang lain perlu membuat sesuatu untuk di masa hadapan untuk menyaingi kelebihan pasukan DBKL yang masih dianggap kebal.

KEPUTUSAN PASUKAN LELAKI

PERLAWANAN AKHIR PERSEORANGAN 1: Pasukan UM A vs DBKL

PERLAWANAN AKHIR PERSEORANGAN 2: Pasukan UM A vs DBKL

PERLAWANAN AKHIR REGU: Pasukan UM A vs DBKL


Pasukan JUPEM KL mendapat tempat ketiga berkongsi bersama dengan pasukan MIDA

KEDUA: Pasukan DBKL

JOHAN: Pasukan Universiti Malaya A

Pasukan lelaki Universti Malaya seperti di kejohanan yang lepas masih dapat mempertahankan kejuaraan daripada pasukan DBKL. Pertembungan kali ini dianggap tradisi kerana kedua-dua pasukan sering bertemu di peringkat akhir.

Walau bagaimana pun kejohanan kali ini masih meriah dengan kehadiran pasukan baru seperti BSN dan KSN. Tetapi saya sedikit terkilan kerana pasukan yang berkebolehan dan mempunyai pemain-pemain yang bagus seperti LGM dan FRIM tidak menyertai pada kali ini. Mungkin pasukan tersebut mempunyai komitment yang lain dan besar harapan saya agar pasukan ini dapat menyertainya di masa hadapan.

Kepada pengadil yang bertugas diucapkan setinggi-tinggi terima kasih dengan kerjasama ditunjukkan. Kali ini Ketua pengadil digalas oleh En. A. Kamaruddin Jasiman dan dibantu oleh pengadil-pengadil yang lain iaitu Mohd Suhaizan, Frankie, Waharuddin, Azhar Suratman, Gopi dan Puspa.

Akhir kata kepada pasukan yang berjaya teruskan pertahankan kejuaraan anda dan kepada pasukan gagal cuba dan cuba lagi untuk meningkatkan keupayaan hingga mencapai ke puncak. Mungkin mudah untuk diungkapkan melalui kata-kata, tetapi tanpa pengurusan dan usaha yang betul ianya tidak akan menjadi satu realiti. Renung-renungkanlah bersama...