INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Friday, December 3, 2010

PERSEPSI KEMENANGAN DAN KEKALAHAN

Apakah persepsi kemenangan dan kekalahan? Bagaimanakah reaksi atau penerimaan atlet, jurulatih atau pengurus jika mendapat kemenangan atau kekalahan? Apakah pandangan mereka di dalam hal ini? Pelbagai tanggapan dan luahan rasa oleh setiap individu yang bergelar atlet, jurulatih atau pengurus. Sudah pasti masing-masing mempunyai pandangan yang tersendiri.

Maksud kemenangan adalah suatu keadaan di antara dua pihak yang beradu kekuatan, kecekapan atau kepandaian dalam suatu pertarungan dan berjaya mendapat apa yang diingini. Sebaliknya kekalahan adalah suatu keadaan di antara dua pihak yang beradu kekuatan, kecekapan atau kepandaian dalam suatu pertarungan dan gagal mendapatkan apa yang semestinya mereka perolehi.

Kemenangan dan kekalahan hanyalah satu perkataan. Sungguhpun begitu adakah atlet, jurulatih atau pengurus sedar bahawa ianya menjadikan satu impak yang besar bila ianya terjadi. Apakah juga mereka sedar reaksi bila mendapat keputusan kemenangan atau sebaliknya menerima keputusan kekalahan? Yang pasti dua perkataan tersebut merupakan sinifikan kepada wajah dan gerak laku mereka bila mendengar keputusannya.

Wajah ceria mendapat kemenangan

Wajah marah kerana kekalahan

Kelaziman yang berlaku apabila kemenangan diperolehi, maka pujian mengunung akan diberikan, tetapi jika kekalahan yang diterima, maka sudah pasti kutukan dan percikkan kata nista terhambur keluar. Begitulah kuasa yang ada pada kemenangan dan kekalahan membawa kepada pelbagai reaksi dan tafsiran.

Kemenangan dan kekalahan adalah sebahagian lumrah kehidupan yang pasti ditempuhi oleh setiap kehidupan ciptaan Tuhan. Ianya tidak hanya berlaku dalam dunia sukan tetapi juga hiburan, politik, perniagaan, pelajaran malah ianya juga berlaku di dalam kitaran kehidupan seharian.

Ketentuan Tuhan merupakan sesuatu yang tidak dapat diganggu gugat dan memang begitulah lazimnya. Atlet hanya perlu berusaha semaksima yang mungkin dan selebihnya adalah terserah dan bertawakkal kepada Allah. Keputusan yang bakal diterima hanya satu sahaja iaitu menang atau kalah. Keputusan seri mungkin berlaku jika mempunyai kekuatan yang seimbang tetapi itu hanya di pusingan awal sahaja. Di peringkat akhir hanya satu keputusan juga yang di cari dan sudah tentu kekalahan tidak ada di dalam kotak fikiran atlet.

Manusia hanya merancang dan Tuhan yang menentukannya. Tidak semua usaha manusia mengalami kegagalan dan tidak kurang juga mencapai kejayaan. Gagalan dan kejayaan bergantung sepenuhnya kepada atlet yang membuat persiapan sebelum datangnya hari penentuan yang sebenar.

Selagi nama kehidupan tidak kira manusia mahupun haiwan ianya akan berlaku pertembungan dan perlumbaan untuk mengatasi di antara satu sama lain secara fizikal mahupun secara mental. Tujuan hanya satu iaitu mencari kemenangan dan melontar jauh kekalahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semua atlet mahukan kemenangan. Kemenangan bererti atlet itu telah berjaya menakluki atau mengatasi sesuatu rintangan dan merasa puas serta gembira setelah melakukannya. Manakala kekalahan pula menjadikan atlet lebih kecewa dan duka nestapa.

Wajah kemenangan dengan bergaya

Wajah meratapi kekalahan

Kemenangan dan kekalahan semestinya ditangani dengan tenang dan berlapang dada. Ini kerana menang dan kalah adalah perkara biasa di dalam pertandingan. Namun, tidak semua orang dapat menerima berita kekalahan dengan hati yang terbuka. Ada yang tidak dapat menahan kegembiraan apabila memperoleh kejayaan yang tidak disangka dan ada yang sanggup melakukan perbuatan khianat kerana tidak dapat menerima kekalahan yang diperolehinya.

Putaran kehidupan yang ditempuhi atlet melalui pengalaman lalu tidak terlepas merasai saat dan detik tersebut. Ada kalanya atlet mengecapi kemenangan dan berada di kemuncak kejayaan dan ada pula di antara atlet diuji dengan kekalahan serta kepahitan yang sukar untuk diterima. Ada yang lebih tragis bila kekalahan yang diterima menjadi satu igauan bagi mereka.

Kemenangan sebenarnya tidak datang bergolek dengan sendiri, sebaliknya ia banyak dipengaruhi pelbagai faktor dan penyebab ke arah tersebut. Peluang meraih sesuatu kejayaan yang diimpikan memerlukan kekuatan, kemantapan, berdidikasi dan tidak terkecuali mempunyai pengurusan yang bijak dan cekap.

Atlet perlu sedar bahawa setiap kejayaan dan kekalahan masih bergantung penuh kepada perancangan dan persediaan di peringkat awal. Atlet boleh mengatakan bahawa kemenangan dan kekalahan adalah bersifat dinamik dan tidak bersifat statik. Oleh demikian sistem latihan yang lebih bersistematik, pengurusan yang cekap dan peralatan yang sempurna perlu menjurus kepada kejayaan.

Kemenangan dan kekalahan adalah salah satu perjalanan hidup yang pasti dilalui oleh setiap atlet. Malah unggapan perkataan ‘kalah’ atau ‘tewas’ sepatutnya tidak wujud di dalam kamus seorang pejuang. Samada keputusan yang diterima itu adalah kemenangan mahu pun kekalahan, yang lebih penting atlet perlu bersedia untuk terus berjuang menempuh segala ranjau yang berada di hadapan. Jangan atlet alpa diulit kemenangan dan jangan berduka bila berhadapan dengan kekalahan. Atlet semestinya menanam semangat waja dan terus berusaha sedaya upaya untuk mempamerkan prestasi yang mantap di masa hadapan.

Wajah kegirangan mendapat kemenangan yang tidak dijangka

Wajah muram menerima kekalahan kerana terlampau yakin

Harga satu kejayaan adalah tersangat mahal untuk dinilaikan kerana menang dan kalah adalah satu proses ukuran garisan penamat sahaja. Tetapi yang lebih penting adalah persembahan dan usaha maksima daripada atlet ke arah mencapai kejayaan. Setelah atlet berjaya melepasi fasa ini, maka mereka tidak perlu lagi kesali. Jika atlet memperolehi kemenangan maka anggaplah itu sebagai bonus dari jerih getir yang telah mereka lakukan selama ini, tetapi jika kekalahan yang diterima juga, maka anggaplah persembahan yang diberikan adalah yang terbaik daripada mereka.

Kekalahan yang sebenarnya memberikan atlet lebih banyak pengajaran untuk mencapai tahap yang lebih baik di masa hadapan. Untuk itu atlet tidak perlu merasa kecewa melainkan apa yang harus dilakukan adalah mempelajari dari kekalahan tersebut. Ciri-ciri inilah menjadikan atlet yang berjiwa cekal dan kesatriaan melawan arus yang mendatang.

Kemenangan yang diperolehi hendaklah disambut dengan bersopan santun begitu juga jika menerima kekalahan. Atlet tidak perlu menyingung perasaan yang kalah yang dalam keadaan tertekan dan muram. Atlet perlu sedar bahawa kejayaan yang capai mungkin tidak berkekalan dan suatu hari mereka pula yang berada di dalam posisi lawan. Ketika itu bagaimana perasaan atlet berkenaan? Justeru atlet memerlukan sikap penghargaan dan menghormati sebagai kunci seorang olahragawan yang luhur dan dihormati.

Atlet perlu menghormati pihak lawan pada setiap masa walaupun mungkin kita boleh mengalahkannya dengan mudah. Jangan ada sifat-sifat bongkak, takbur dan lebih-lebih lagi memperlekeh-lekehkan pihak lawan yang lemah. Sifat buruk begini tidak perlu ada kepada diri seorang atlet. Sebagai seorang atlet, mereka perlu mempunyai ciri-ciri atlet yang terunggul dan anggaplah pihak lawan itu sebagai kenalan baru.

Kemenangan dan kekalahan yang terjadi adalah satu proses seperti sebuah Roda. Setiap atlet mungkin tidak sentiasa berada di atas selamanya kerana ada pihak lain yang juga cuba berada di tempat yang sama. Ketika atlet sedang berusaha tanpa kenal penat dan lelah untuk mengekalkan posisi yang dicapai tetapi dalam masa yang sama ada pihak lain cuba memutar roda untuk berada di atas pula. Oleh demikian atlet perlu konsisten dan mencari idea-idea baru di luar kotak pemikiran supaya berada di atas landasan yang tepat di dalam semua aspek mengekalkan kejayaan.

Atlet yang pandai selalu menghargai kekalahan dan belajar dari kekalahan yang diperolehi untuk menghadapi di masa hadapan. Seperti yang penulis tekankan kemenangan merupakan bonus dan sekaligus peringatan baginya bahawa suatu hari nanti ia akan hilang jika atlet berhenti melihat kekurangan di dalam diri sendiri.

Rakan sepasukan juga berperanan membantu di antara satu sama lain ke arah memupuk peningkatan mutu permainan dan jangan cuba memandang rendah rakan sendiri. Bukankah atlet sepatutnya menyokong dan bukannya menambah tekanan kepada rakan-rakan sepasukan dengan kata-kata yang melemahkan semangat mereka. Tidakkah atlet sedar bahawa mereka juga mendukung harapan dan impian pasukan terpaksa menghadapi tekanan yang amat luar biasa daripada pihak lawan. Atlet perlu menghargai rakan sepasukan yang mencurahkan keringkat untuk mencapai kemenangan. Penghargaan itu perlu dilakukan untuk meniup semangat atlet meneruskan perjuangan seterusnya.

Pihak pengurusan, jurulatih mahupun atlet jangan salahkan seseorang atlet yang mengakibatkan pasukan menjadi kalah. Betul, bidalan melayu mengatakan “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”, tetapi atlet perlu sedar bahawa kekalahan itu mungkin menjadikan mereka lebih baik di masa hadapan. Sebagai manusia, atlet juga terpaksa akur akan kemenangan dan kekalahan, tetapi apa yang lebih penting ialah semangat kesukanan dan bermain bersungguh-sungguh dan memberi mempersembahkan yang terbaik.

Atlet perlu berbangga dengan kekuatan yang ada dan terus melakukan muhasabah diri ke arah yang lebih baik dan bermakna. Kejayaan yang hendak dibina bukan hanya satu atau dua hari tetapi mungkin mengambil masa berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Kesabaran adalah kunci yang terpenting dan menjadi tunjang mencapai kerjayaan cemerlang.

Di peringkat awal lagi atlet perlu diberi tunjuk ajar bagaimana cara menghargai diri sendiri, menghargai rakan sepasukan, jurulatih, pengurus hingga ke peringkat yang tertinggi. Perkara-perkara asas perlu ditekan supaya semua perancangan yang dibentang dan sistem yang diolah oleh pihak pengurusan dihormati oleh semua pihak dan berjalan lancar.

Atlet harus memberi tumpuan kepada perspektif yang betul mengenai sukan yang diceburi. Perspektif sebagai seorang atlet merupakan bahagian tidak dipisahkan mendorong ke arah mengenal diri sebagai seorang atlet perlu dicapai olehnya. Atlet harus diberi pelajaran secukupnya sebagai seorang yang berwibawa baik melalui tutur kata, perilaku dan tindakannya ketika menjalani latihan, menjulang kemenangan dan ketika menerima kekalahan. Pelajaran dan latihan yang diterima oleh atlet harus diteladani dan dipatuhi mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Sebagai contoh jika sepasukan yang mendapat kemenangan diperolehi secara bersama dan mereka juga mesti menerima hakikat bahawa mereka juga menerima kekalahan melalui satu pasukan yang sama. Walaupun mungkin kekalahan berpunca daripada satu atau dua rakan sepasukan, namun fokus pada atlet berkenaan segera dilupakan dan hendaklah fokus kepada perlawanan seterusnya. Atlet yang lain perlu menyemarakkan semangat kepada atlet yang kalah dan mendekati mereka memberi semangat baru. Tidak ada satu faedah pun jika hanya menyalahi atlet tanpa memberi panduan yang jelas dan berguna.

Di samping itu juga atlet perlu menghormati pihak lawan setiap masa ketika di dalam perlawanan atau di luar perlawanan. Hormat menghormati di antara satu sama lain juga supaya perjalanan pertandingan berjalan lancar tanpa berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini. Sukan yang dipertandingkan adalah menerusi kecekapan, kepandaian dan kekuatan tanpa berlakunya pergaduhan dengan kata-kata atau fizikal. Jika dapat dielakkan, maka ini merupakan satu pencapaian yang terbaik di dalam sukan tersebut. Perkenalan di antara atlet juga memberi banyak faedah dan menjadikan satu ukwah persaudaraan yang mungkin dapat membantu di masa hadapan.

Kekalahan adalah satu musibah tetapi perlu diingat kekalahan juga mengajar atlet lebih tabah dan sabar agar ianya memberi pengajaran yang berfaedah. Kekalahan juga sebagai pembuka mata dan minda ke arah yang lebih baik untuk memperbaiki diri di masa hadapan. Penerapan prinsip positif dan lebih fokus akan membantu atlet ke arah kemenangan dan kejayaan. Semangat untuk terus berjuang perlu ditanam di dalam diri setiap atlet.

Suka atau tidak di dalam sesuatu pertandingan keputusan akan tetap diperolehi. Salah satu pihak mesti menjadi pemenang dan satu lagi pihak pasti yang kalah. Tidak mungkin kedua-duanya muncul sebagai pemenang dan sebaliknya kedua-duanya menjadi kalah. Yang muncul sebagai pemenang sudah tentu memberi mempersembahkan yang terbaik manakala yang kalah sudah pasti banyak melakukan kesilapan dan kealpaan.

Selalu juga unggapan ini terkeluar dari mulut atlet bila menemui kegagalan atau kekalahan iaitu ayat yang lumrah didengar “sudah nasib” atau “sudah takdir”. Kekesalan dan kecewaan tidak akan ke mana jika langkah-langkah mengatasinya tidak diambil. Jika ini sikap yang ditunjukkan oleh atlet, maka malang sungguh pasukan tersebut mempunyai atlet sedemikian rupa. Atlet sebenarnya perlu berusaha atau berikhtiar untuk mendapat imbuhan bukan hanya menyerah kepada takdir semata-mata.

Wajah kemenangan yang sudah dijangka

Wajah kekalahan yang tidak tahu punca kegagalan

Kalah bukan bermakna akan gagal selamanya dan menang bukan akan berjaya sepanjang masa. Bagi yang gagal apa yang penting belajar dari kekalahan dan mencari punca berlakunya keputusan yang tidak diingini. Kemenangan yang dikecapi juga tidak akan berkekalan jika langkah-langkah untuk mempertahankan kejuaraan tidak dipedulikan.

Mungkin dari sudut lain atlet perlu melihat kenapa sesetengah atlet yang berjaya dan atlet yang lain pula sebaliknya. Hakikat ini atlet juga patut terima iaitu saya namakan “bakat anugerah” dari yang maha Esa. Atlet yang mempunyai bakat anugerah selalunya mempunyai kelebihan yang tiada pada atlet lain. Bakat anugerah selalu berjaya meninggalkan jauh rakan dan lawan dengan mudah. Sungguhpun begitu atlet anugerah juga perlu dibimbing dan diasuh untuk lebih berjaya dan terurus. Manakala ada sebahagian atlet bersungguh-sungguh menjalani latihan tetapi pencapaiannya tidak mampu pergi lebih jauh dan kerap menempuh kegagalan. Bukan bermakna yang tiada bakat anugerah tidak berjaya tetapi atlet seperti ini perlu bekerja lebih keras dan usaha yang berterusan. Seperti kata pepatah "Belakang parang kalau diasah akhirnya tajam juga".

Seorang atlet perlu sedar bahawa kemenangan yang selalu diperolehi tidak akan menjelma sentiasa, adakalanya jaguh juga akan tersungkur dan tumbang. Oleh demikian bagi atlet yang sentiasa menerima kekalahan mereka tidak perlu bimbang kerana ada harinya akan mendapat kemenangan tanpa diduga.

Tidak ada satu kuasa yang menghalang seseorang atlet untuk mengejar kemenangan. Kuasa penghalang kejayaan sebenarnya terletak kepada atlet itu sendiri. Atlet tersebut perlu bertanya kepada dirinya sendiri apakah persiapan yang sudah dilakukan untuk mencapai kemenangan? Adakah latihan diberikan mencukupi? Adakah latihan yang diberikan itu sempurna? Adakah persiapan itu sudah lengkap disediakan oleh pihak pengurusan? Semua persoalan asas tersebut perlu ditangani dengan bijak dan dapat mencari penyelesaian dengan baik.


Wajah takut atau tidak yakin kerana pada diri sendiri

Wajah terkejut bertemu dengan pihak lawan yang lebih kuat

Faktor yang lain juga perlu diberi perhatian seperti pemimpin atau pengurusan yang sudah lama memegang jawatan yang gagal membawa sebarang kejayaan. Kejayaan yang lalu bukan sebagai ukuran untuk mereka untuk terus kekal berada di atas tanpa memberi peluang kepada kepimpinan baru mengalas tugas sebagai penganti. Pemimpin yang lama perlu menilai diri dan sedar jika graf pencapaian pasukan mereka berterusan turun menjunam. Oleh demikian mereka perlu akur dan turun secara hormat. Diharapkan penganti yang lebih dinamik membentuk satu gagasan baru yang mencetus idea yang bernas ke arah perubahan dan pembaharuan. Pendekatan yang dibawa oleh kepimpinan baru bukan bererti menidakkan sumbangan kepimpinan lama. Kepimpinan mereka tetap dihargai dan dikenang di dalam lipatan sejarah di dalam pasukan tersebut.

Ada juga sesetengah pemimpin yang mahu terus berkuasa kerana kepentingan peribadi walaupun gagal membawa pasukan ke tahap yang terbaik. Mereka ini berdegil kerana tersangat selesa berada di kerusi empuk dan selalunya mempunyai kepentingan peribadi. Jika mereka terus berada di dalam pengurusan penulis yakin bahawa pasukan tersebut tidak akan berjaya malah menghadapi pelbagai masalah.

Pihak pengurusan perlu menyedari bahawa jangan hanya mengharapkan kepada atlet-atlet untuk mencapai kejayaan tetapi tidak menyumbang apa yang diperlukan oleh mereka. Adalah tidak adil dan tidak bijak jika pihak pengurusan hanya mahukan kemenangan tanpa melakukan sesuatu kepada atlet-atlet mereka. Kemenangan adalah kemuncak pencapaian dan strategi dari pihak pengurusan, jurulatih dan atlet perlu seiring membawa ke arah kejayaan sebenar. Oleh demikian fasiliti mesti di lengkapi untuk keperluan atlet dan tiada sebab atlet berkenaan mencari alasan untuk tidak memberi hasil yang lebih bagus atau sekurang-kurangnya sepadan dengan apa yang mereka perolehi.

Ukuran kejayaan sebenarnya terletak kepada perancangan yang dilakukan secara bersistematik merangkumi semua aspek pemilihan atlet, jurulatih dan pengurus. Pengurus adalah pengerak utama sesebuah pasukan. Sedar atau tidak seorang pengurus mestilah mempunyai latar belakang sukan yang dipimpin merupakan bonus kepada pasukan tersebut. Tetapi ini tidak bermakna pengurus yang tiada sejarah sukan tersebut akan gagal sebagai pemimpin. Ada juga pengurus yang tiada pengalaman sukan berjaya membawa pasukannya menjulang ke atas dengan komitmen dan keperihatinan terhadap sukan yang dipimpin. Sebagai atlet, jurulatih dan pengurus yang terpilih perlu berusaha dan akhirnya berdoa agar semuanya perancangan berjalan lancar.

Kejayaan yang diukir menjadikan kemenangan lebih bermakna, tetapi atlet harus ingat bahawa kemenangan juga mudah membuatkan mereka tergelincir ke dalam lurah kesombongan dan lupa diri. Atlet yang berjaya tidak perlu ada sifat buruk sedemikian dan jadikan seorang atlet yang bersifat baik setiap masa dalam apa jua keadaan. Sifat atlet sedemikian akan sentiasa dihormati, disanjungi dan diingati sebagai atlet yang sejati.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan ke arah perubahan yang positif mungkin dapat membantu atlet dan pasukan di masa hadapan.

TUGASAN SEORANG ATLET

1. Pelajarilah daripada kekalahan hari ini dan berusaha untuk kemenangan di hari esuk.

2. Persiapan awal fizikal dan mental untuk sesuatu kejohanan adalah penting dan perlu ditekankan.

3. Mempunyai keberanian untuk mengktitik diri sendiri dan mencari punca kelemahan-kelemahan yang ada.

4. Anggap sahaja kekakahan menjadikan satu batu lonjatan untuk meningkat di masa hadapan dan mengajar kita lebih matang.

5. Atlet hendaklah sentiasa meningkatkan teknik dan skil secara bersendirian dengan konsisten dan bukan hanya untuk persediaan kejohanan sahaja.

6. Atlet perlu banyak bertanya dan berbincang dengan rakan-rakan, jurulatih dan pihak pengurusan supaya hubungan dua hala menjadi mesra.

7. Pandai mengambil peluang untuk bertanya kepada mereka yang pandai semasa berlansungnya kejohanan dan cuba dapatkan tip berguna.

8. Jadual latihan yang diberikan oleh jurulatih hendaklah diikuti dengan tekun dan sentiasa berdisplin ketika menjalani latihan.

9. Tidak perlu menyalahkan nasib kerana kekalahan tetapi cuba melihat secara positif dan mencari formula-formula baru.

10. Mempunyai peralatan sendiri merupakan satu bonus untuk mengekalkan skil dan mencari idea-idea latihan tersendiri.

TUGASAN SEORANG JURULATIH

1. Mahir dengan tugasnya seperti undang-undang dan teknik permainan.

2. Menyediakan latihan yang bersistematik diperingkat awal sehingga menjelangnya kejohanan.

3. Menyediakan modul latihan yang kreatif dan formula-formula latihan yang terkini ke arah yang lebih sempurna.

4. Sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan jangan hanya melakukan rutin yang sama.

5. Menyediakan jadual latihan yang lengkap dan komprehensif.

6. Dapat menilai kekuatan dan kelemahan atlet melalui data pencapaian sebagai rujukkan.

7. Sentiasa memantau prestasi setiap pemain supaya mantap.

8. Seorang suka mendengar dan berhemah tetapi tegas ketika menyelesaikan masalah atlet.

9. Perlu memikirkan latihan di luar kotak pemikiran yang kelainan demi pembangunan yang berterusan.

10. Perlu mencatat pencapaian dan kelemahan atlet semasa kejohanan bertujuan bedah siasat bila selesai kejohanan nanti.

11. Memantau pasukan lawan untuk membentuk strategi pasukan bila bertemu dengan pasukan tersebut.

12. Mengenal pasti atlet baru yang berkebolehan sebagai pelapis.

TUGASAN SEORANG PENGURUS

1. Pengurusan yang prihatin dan komitmen untuk membangun atlet dan pasukan.

2. Mencari seorang jurulatih berkebolehan dari segi undang-undang dan teknik-teknik permainan untuk membangunkan atlet dan pasukan.

3. Berkerjasama dengan jurulatih untuk menyediakan satu pasukan yang sempurna.

4. Menyediakan peralatan yang lengkap mengikut spesifikasi untuk atlet menjalani latihan. Dengan peralatan yang betul dapat membantu persediaan atlet menghadapai cabaran semasa kejohanan nanti.

5. Menyediakan kebajikan atlet semasa menjalani latihan, semasa kejohanan dan selepas kejohanan.

6. Perlu peka dan mencari elemen-elemen terkini memperbaiki sistem pengurusan yang terbaik untuk atlet di bawah pengawasannya.

7. Sentiasa memantau prestasi setiap pemain dan juga jurulatih supaya mempunyai pasukan yang mantap.

8. Menetapkan sasaran disetiap kejohanan yang disertai dan pantau kemajuan pasukan secara keseluruhan.

9. Pengurus dan jurulatih mengadakan bedah siasat pencapaian setiap pemain dan pasukan.

10. Menyediakan program atlet pelapis untuk jangka panjang.

Konklusif di dalam komentar penulis kali ini marilah kita bersama menilai arah manakah hendak dituju dan apakah yang perlu dilakukan sebagai seorang atlet, seorang jurulatih mahupun seorang pengurus pasukan.

Apabila atlet, jurulatih dan pengurus sudah dipilih oleh pihak pengurusan, maka mereka adalah di antara yang terbaik. Setiap tugas yang diberikan adalah satu amanah serta perlu jujur melaksanakannya. Sebenarnya imbuhan akan datang dengan sendiri jika atlet berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan. Jangan hanya berjanji sekadar di bibir sahaja tetapi perlu diadun dengan pelbagai ramuan untuk menjadi kenyataan.

Hidangan menyelerakan memerlukan resepi yang bagus dan mengandungi bahan-bahan yang terbaik dan akhirnya bila dimakan ianya sungguh menyelerakan. Begitu juga untuk membina atlet dan pasukan terbaik sudah tentu mempunyai ramuannya yang tersendiri.

Kata kunci daripada penulis adalah kesabaran. Kejayaan yang diperolehi bukannya datang sendiri di depan mata. Atlet perlu bersusah payah demi membina kejayaan dengan menempuh segala ranjau yang berada di hadapan. Semua kegagalan dan pengalaman pahit di masa lalu anggaplah sebagai menimba ilmu ke arah yang lebih sempurna. Seperti kata pepatah “kalau tidak pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”

Akhir kata jika ada yang terkurang atau tersilap harap maaf kerana penulis juga manusia biasa. Diharap coretan ini memberi sedikit sebanyak menafaat dan panduan yang berguna khasnya kepada pengunjung setia komuniti karom.

KAROM UNTUK SEMUA DAN MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA

PESTA SUKAN UMW 2010 KALI KE 13

Acara: Karom Antarabangsa
Tarikh: 26 hingga 28 November 2010
Tempat: Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pesta Sukan UMW kembali lagi dan kali ini adalah siri yang ke 13. Masih segar di dalam ingatan Pesta Sukan UMW 2002 ketika itu saya masih lagi bertugas di salah sebuah anak syarikat UMW di Shah Alam. Saya selaku koordinator sukan karom pada tahun tersebut dan juga salah seorang AJK yang bertanggungjawab merekacipta logo kejohanan dan medal (pewter). Alhamdullilah akhirnya pada tahun ini dapat bertemu kembali sahabat-sahabat lama yang sekian lama tidak berjumpa.

Pada Pesta Sukan UMW 2002 pengadil adalah daripada Persatuan Karom Malaysia yang diberi amanah untuk mengawasi perjalanan pertandingan. Selepas kejohanan tersebut pengadil daripada Persatuan Karom Malaysia tidak lagi terlibat sehingga Pesta Sukan UMW pada tahun ini. Saya mengucapkan terimakasih kepada En. Abdul Halim Don yang memanggil saya untuk mengadili pertandingan karom pada kali ini.

Saya bersama dua rakan iaitu En. Sabirin dan En. Sulaiman telah bertolak dari Shah Alam pada hari Khamis 25 November 2010 jam 7:45 malam dan sampai di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai hampir jam 9:00 malam dalam keadaan hujan renyai-renyai. Saya terus berjumpa En. Abdul Halim untuk sessi takimat dan alhamdullilah saya tiba tepat pada waktunya.

Setiap acara sukan yang dipertandingkan disediakan satu bilik untuk taklimat dan tidak terkecuali karom antarabangsa. Saya melihat taklimat ini tidak sampai kepada sasaran sebenar kerana yang hadir hanyalah pengurus dan ketua pasukan sahaja. Sepatutnya yang perlu mendengar taklimat ini di samping pengurus dan ketua pasukan, pemain-pemain juga wajar berada bersama kerana merekalah yang akan bermain di kejohanan ini. Oleh yang demikian taklimat sebenar akan dijalankan pada hari pertama sebelum pertandingan dijalankan.

HARI PERTAMA (26 November 2010)

Pertandingan hanya di jalankan pada waktu pagi sahaja memandangkan semua peserta-peserta perlu menghadiri acara pembukaan dan makan malam. Kumpulan A terdiri daripada kontinjen TIGERS, LYNXS, PUMAS dan CHEETAHS manakala kumpulan B terdiri daripada kontinjen LIONS, WOLVES, PANTHERS dan JAGUARS. Undian kontinjen Kumpulan A dan Kumpulan B telah dijalankan lebih awal dan ini memudahkan tugas pengadil dan dapat menjimatkan masa. Format kejohanan telah ditetapkan oleh pihak penganjur iaitu PERSEORANGAN LELAKI, PERSEORANGAN WANITA, REGU CAMPURAN, REGU PERTAMA LELAKI dan REGU KEDUA LELAKI.

Sebelum pertandingan En. Mohd Suhaizan selaku ketua pengadil telah memberi taklimat kepada semua peserta-peserta secara teori dan praktikal. Beliau juga menyatakan permainan karom antarabangsa tidak dibenarkan mengunakan bahasa isyarat dan menjadi satu kesalahan. Tetapi memandangkan terdapat pemain-pemain baru dan masih di peringkat pusingan awal, maka sedikit kelonggaran undang-undang permainan diberikan. Kepada pemain-regu regu suara tidak dibenarkan hanya perlu mengunakan isyarat jari tanpa masuk ke kawasan permainan.

Perlawanan mengunakan format satu permainan (one game) bermaksud lapan papan (8 boards) atau 25 mata (25 points). Kemenangan juga akan diistiharkan melalui mata tertinggi yang terkumpul di papan kelapan. Jika di papan ke lapan masing-masing memperolehi mata yang sama, maka papan kesembilan akan dijalankan. Disamping itu penerangan ringkas cara permainan dan kesalahan permainan karom antarabangsa juga diberikan supaya pertandingan berjalan lancar. Berikut adalah taklimat yang diberikan:

1. Cara meletak Striker di atas garisan dasar (base lines)
2. Cara meletak Striker di atas bulatan dasar (base circle or full moon)
3. Kesalahan Teknikal (technical foul) dan Kesalahan (foul)
4. Cara meletak penalti dan due (placing penalty and due)
5. Menerangkan kelebihan buah karom merah (Queen)
6. Cara menutup buah karom merah (Queen covered)
7. Cara mengira mata kemenangan (scores)
8. Menerangkan buah karom terakhir (last carrommen)
9. Giliran bermain (turn of play)

Kesemua lapan kontinjen telah turun bermain pada hari ini dan pertandingan berjalan lancar walaupun jadual terpaksa dipanjangkan sedikit kerana acara perseorangan wanita telah memakan masa yang agak lama. Oleh kerana hari pertama hanya setengah hari sahaja dan tiada pertandingan pada sebelah petang, maka masa tidak perlu dititik beratkan.

Satu peristiwa yang mungkin tidak dapat dilupakan dimana En. Zaini Kamaruddin (sahabat lama) adalah peserta perseorangan daripada kontinjen PUMAS sedang bertanding dengan kontinjen CHEETAHS di papan ketiga (board no. 3) tiba-tiba beliau menjadi lemah dan hampir pengsan. Perlawanan tersebut terpaksa diberhentikan hampir setengah jam. Suasana pertandingan terkawal tetapi agak malang kerana pasukan pertolongan cemas lambat tiba dan sebahagian dari kami agak risau melihat keadaan beliau yang tidak berdaya dan berada dalam keadaan separuh sedar. Akhirnya penantian berakhir bila ambulan sampai dan beliau terus dihantar ke Hospital Seremban. Melalui En. Ibrahim (jurulatih kontinjen PUMAS) saya diberitahu bahawa beliau berada di dalam ICU tetapi stabil. Saya selaku Ketua pengadil karom mengucapkan syabas dan tahniah di atas tindakan pantas sahabat-sahabat yang terlibat menjaga beliau semasa berlakunya kecemasan tersebut.

Mungkin di masa hadapan pasukan paramedik perlu berjaga-jaga dan mengawasi setiap sukan yang dipertandingankan walau pun sukan tersebut pada mata kasar mungkin tidak mendatangkan mudarat dan kecederaan. Kecemasan atau kemalangan boleh berlaku di mana-mana hatta hanya duduk bermain karom. Oleh itu saya sarankan pihak berwajib perlu mengambil iktibar dan pengajaran apa yang telah berlaku supaya di masa akan datang tidak berulang.

















SUASANA PERINGKAT SEPARUH AKHIR









HARI KEDUA (27 November 2010)

Pada hari kedua kejohanan saya telah melakukan perubahan sedikit di mana permainan perseorangan wanita perlu dipendekkan permainan daripada lapan papan (8 boards) kepada empat papan (4 boards) memandangkan pengalaman pada hari pertama memakan masa dan melebihi jadual perlawanan yang telah ditetapkan. Tambahan pula hari kedua perlawanan pusingan awal sehingga separuh akhir terpaksa dijalankan serentak sehingga selesai.

Pertandingan berjalan lancar dan keputusan diperolehi untuk menentukan kontinjen manakah yang patut meneruskan perjuangan di dalam permainan karom pada tahun ini. Pertandingan selesai hampir jam sebelas malam dan saya kira keputusan yang saya ambil untuk memendekkan permainan perseorangan wanita adalah tindakan tepat dan bijak. Jika tidak besar kemungkinan perlawanan terpaksa diheret sehingga lewat malam atau mungkin juga sampai ke awal pagi.

Pusingan awal berjalan terus dan kesemua lapan kontinjen bermain sehingga selesai di dalam kumpulan masing-masing untuk menentukan kontinjen manakah yang layak ke pusingan separuh akhir. Selepas mengira kesemua jumlah mata, maka empat kontinjen telah dikenal pasti dan layak ke pusingan seterusnya. Keputusan adalah seperti berikut:

KUMPULAN A
Juara: TIGERS dan naib juara PUMAS

KUMPULAN B
Juara: WOLVES dan naib juara LIONS

Sekalung tahniah kepada empat kontinjen yang berjaya ke peringkat separuh akhir dan perlawanan adalah seperti berikut: TIGERS akan bertemu LIONS manakala Wolves akan bertemu PUMAS.



Tepat jam 8:30 malam dua perlawanan separuh akhir telah dijalankan serentak dan format perseorangan wanita diubah kepada kepada satu permainan iaitu lapan papan (8 boards) atau 25 mata (25 points). Keputusan diperolehi hampir jam 10:30 malam di mana TIGERS berjaya ke peringkat akhir bertemu PUMAS untuk menentukan juara dan tempat kedua. Manakala WOLVES akan bertemu dengan LIONS untuk menentukan tempat ketiga dan keempat.

PENENTUAN TEMPAT KETIGA DAN KEEMPAT DI ANTARA LIONS vs WOLVES







PERLAWANAN AKHIR TIGERS vs PUMAS






HARI KETIGA (28 November 2010)

Memandangkan hari ini adalah hari terakhir kejohanan format perlawanan separuh akhir dikekalkan iaitu satu permainan (one game) iaitu lapan papan (8 boards) atau 25 mata (25 points). Hari terakhir juga ada sedikit perubahan dimana ketua pengadil ingin melihat mutu permainan meningkat dan perlawanan dijalankan mengikut sepenuhnya undang-undang karom antarabangsa. Ini bertujuan supaya pemain-pemain marasakan perlawanan yang sebenar dan sekurang-kurangnya di masa akan datang jika mereka mengambil bahagian di dalam kejohanan karom antarabangsa, maka mereka sudah mengetahui cara yang betul.

Perlawanan bermula tepat jam 9:30 pagi dan perlawanan yang terakhir di antara perseorangan wanita daripada kontinjen LIONS melawan kontinjen WOLVES selesai jam 11:45 pagi. Saya telah menghubungi En. Abdul Halim Don dan menyatakan perlawanan telah berakhir dan keputusan telah diperolehi. Kepada kontinjen yang berjaya diucapkan setinggi tahniah dan kepada kontinjen yang gagal perlu mencari resepi dan ramuan kejayaan pada kejohanan yang akan datang. Berikut adalah kedudukan kontinjen secara rasmi:

Kontinjen LIONS mendapat tempat keempat (Harap maaf gambar tiada dalam simpanan)

Kontinjen WOLVES mendapat tempat ketiga


Kontinjen PUMAS muncul naib juara

Kontinjen TIGERS sekali lagi utuh sebagai juara Pesta Sukan UMW ke 13 selepas muncul juara Pesta Sukan UMW ke 12.

KESIMPULAN

Di sepanjang tiga hari kejohanan terdapat beberapa kesalahan di dalam permainan yang dilakukan oleh sesetengah pemain yang agak cuai ketika giliran bermain. Saya kira pemain-pemain yang bertanding kali ini sedikit sebanyak sudah memahami asas undang-undang permainan. Berikut adalah senarai kesalahan kerap berlaku:
1. Striker tidak menutup sepenuhnya bulatan dasar (full moon)
2. Striker tidak menyentuh kedua-dua garisan dasar (base line)
3. Mengambil giliran melebihi masa yang telah ditetapkan di dalam peraturan permainan
4. Tangan atau siku melebihi garisan 45 darjah atau garisan bayangan

Yang paling saya tidak dapat lupakan pada kejohanan kali ini adalah terdapat seorang pemain yang suka memberi komen bila kesalahan dijatuhkan kepada beliau dan memberi perbandinagn kejohanan dulu dan sekarang. Saya tidak mengetahui apa yang telah berlaku pada kejohanan-kejohanan yang lepas, tetapi pengadil-pengadil pada kejohanan kali ini adalah daripada Persatuan Karom Malaysia yang diiktiraf dan mereka adalah di antara yang terbaik. Mungkin beliau keliru kerana kejohanan lepas bukan di adili oleh pengadil daripada Persatuan Karom Malaysia. Saya sarankan kepada individu berkenaan dan pemain-pemain yang lain sepatutnya mengambil peluang untuk bertanya kepada pengadil dan melihat skil permainan yang bermutu. Kami mungkin bukan yang terbaik tetapi apa yang kami ketahui akan kami tunjukkan cara dan teknik permainan yang betul. Tugas kami bukan sekadar mengadili perlawanan tetapi juga ingin melihat mutu permainan meningkat dari tahun ke tahun. Ilmu perlu di cari dan bukan berdabik dada apa yang kita ada. Jika sikap ini dapat diubah, insyaAllah kita akan maju dan berjaya akhirnya. Yang lebih penting jurulatih yang dicari mestilah yang mengetahui selok belok permainan dan bukan sekadar batuk di tangga sahaja. Jika tidak apa yang dipelajari nanti akan tersimpang jauh kerana mendapat ilmu yang salah.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan daripada Sabah dan Sarawak yang banyak bertanya cara permainan dan cuba memahami undang-undang permainan. Saya kira ini adalah perkembangan yang bagus dan mungkin Pesta Sukan UMW yang akan datang mereka akan bermain dengan lebih baik dan pengetahuan peraturan permainan juga turut meningkat.

Kepada En. Abdul Halim Don saya mengucapkan setinggi tahniah kerana berjaya meneruskan acara sukan Karom Antarabangsa dengan jayanya. Saya harap legasi saya tinggalkan ini sejak diperkenalkan pada tahun 1999 akan terus bersinar di masa hadapan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa UMW adalah satu-satu badan korporat di Malaysia yang bergiat cergas kerana mempunyai hampir 20 papan karom antarabangsa yang diimport. Saya ingin sarankan kepada Kelab Sukan UMW supaya terus mengadakan kejohanan pada setiap tahun dan tidak hanya menunggu Pesta Sukan UMW sahaja. Dengan cara ini mutu dan undang-undang permainan akan meningkat dan peluang pemain-pemain yang meminatinya terbentang luas di hadapan mereka.

Sebagai info sampingan kepada pemain-pemain baru karom di UMW aktiviti-aktiviti karom di UMW telah dimuatkan di dalam majalah CARROM COURIER yang diterbitkan oleh Tamilnadu Carrom Association India pada Januari tahun 2002. Pada masa itu saya mengadakan Kursus asas permainan Karom Antarabangsa disaksikan oleh B Bagaru Babu ketika itu beliau adalah Setiausaha Agong Persatuan Karom Karom Antarabangsa (International Carrom Federation). Ini menunjukkan sesiapa yang berminat dan baik mutu permainannya akan berpeluang mewakili Malaysia dan ini terbukti apabila seorang pemain UMW telah berjaya mewakili Malaysia di Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia tahun 2000 di Kuala Lumpur. Pemain tersebut adalah En. Mazlan Ahmad Sali. Beliau kini sudah mengurangkan aktiviti bermain karom selepas pembedahan kedua-dua mata, tetapi saya kira skil beliau masih lagi berbisa. Saya kembalikan berita nostalgia ini untuk memberitahu kepada pemain-pemain baru supaya terus komitmen di dalam permainan karom antarabangsa kerana anda berpeluang bertanding di pentas dunia.

Kepada pengurus dan ketua pasukan perlu mengkaji pencapaian pasukan masing-masing dan adakah tahap KPI yang telah ditetapkan dapat dicapai pada tahun ini. Jika matlamat tercapai maka pasukan tersebut sudah mencapai sasaran yang sebenar, tetapi jika sebaliknya, maka apakah langkah perlu dilakukan? Untuk membina kejayaan bukan dalam masa yang singkat tetapi memerlukan masa dan pengorbanan yang tinggi. Perancangan hendaklah dilakukan di peringkat awal seperti pengurusan yang cekap, peralatan yang sempurna, sistem latihan yang betul dan akhirnya komitmen pemain-pemain yang menentukan kejayaan.

Kepada wakil UMW acara sukan karom Cik Irma dan dibantu oleh En. Adeq (daripada pengurusan acara) saya mengucapkan setinggi terimakasih kerana memberi kerjasama yang memuaskan disepanjang 3 hari kejohanan tersebut. Tidak ketinggalan juga diucapkan tahniah kepada pengadil-pengadil yang bertugas penuh dedikasi di sepanjang kejohanan berlansung iaitu En.Kamaruddin, En. Azmi, En. Sabirin dan En. Sulaiman.

Akhir sekali tidak dilupakan kepada En. Azhar Suratman yang dikira salah seorang di belakang tabir yang menyumbang kejayaan kejohanan kali ini yang menghubungi saya sejak awal lagi untuk menjayakan kejohanan ini. Saya bersama beliau telah merancang dan membuat persediaan awal. Sekalung tahniah kepada beliau yang merupakan seorang pemain yang berjiwa karom.

Berjumpa lagi di masa yang akan datang...

JALAN JALAN CARI MAKAN

Kali ini jalan-jalan sempena kejohanan karom UMW 2010 di Nilai, Negeri Sembilan. Kami telah merasai kelazatan sebahagian besar restoran di bandar Nilai. Berikut adalah malam terakhir kami di Nilai dan lihatlah sendiri kami menjamu selera hingga meja kami sarat dengan hidangan yang menyelerakan.

Hotel penginapan pengadil-pengadil.

Menjamu selera dengan sate sebagai makanan tambahan.

Telor mata kerbau juga tetap menjadi pilihan.

Nasi lemak yang enak sehingga menjilat sudu...

Yang ini jangan salah sangka kerana kami minta sop ekor tetapi ekornya ciput sahaja dan yang lebih adalah taugeh... he he he

Sabirin!!! Telor tu bukan kau seorang tau...

Saya baru nak mula menjamah makanan yang terhidang. Maklumlah orang terakhir membuat pesanan...

Nampaknya sahabat kita Kamarudin sungguh berselera sekali.

Ini pula adalah nasi paprik... eeemmm siap punya agaknya...

Nampaknya Sabirin masih berdayung dengan laju sekali tetapi Sulaiman dan keletihan... Kiranya dah kenyang le tuu...

Azmi masih lagi meneruskan hidangan dengan perlahan-lahan. Apa yang difikirkannya...