INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Friday, December 23, 2011

MINAT DAN KEMAHUAN UNTUK BELAJAR

Saya merasakan ramai yang bersetuju bahawa minat dan kemahuan akan mendorong mencapai apa yang diinginkan. Persoalan yang perlu dijawap adalah bagaimanakah cara perlaksanaan untuk belajar dan memperolehi ilmu yang boleh meningkat taraf dan status diri anda.

Mengikut terjemahan kamus dwibahasa MINAT bermaksud gemar atau cenderung, manakala KEMAHUAN pula bermaksud kehendak atau keinginan.

Bila anda mempunyai minat, maka graf kemahuan anda akan turut melambung tinggi untuk mencapai apa yang diidamkan. Minat juga akan membawa satu perubahan pemikiran ke arah lebih terbuka. Bukan setakat itu sahaja perspektif anda terhadap sesuatu perkara juga memberi impak yang positif. Seperti kata pepatah ‘tidak kenal maka tidak cinta’.

Belajar juga mendidik anda berpandukan acuan yang ingin dibentuk ke arah kemantapan dari pelbagai aspek. Prinsip belajar bukan sekadar untuk melatih minda semata-mata malah keseluruhan potensi yang ada pada diri anda. Secara prinsipnya, belajar adalah satu instrumen penting dalam mempersiapkan diri untuk memahami tentang tugas dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan.

Belajar adalah satu proses berterusan dan tiada noktahnya. Di dalam agama Islam sendiri Nabi Muhammad SAW pernah bersabda ‘Belajarlah sampai ke negeri China’. Mencari ilmu tidak kira di mana asalkan memberi faedah dan kebaikan kepada diri anda. Ini juga membawa maksud bahawa ilmu itu penting di dalam kehidupan seharian untuk mengajar kita menjadi lebih matang di dalam sesuatu perkara yang dipelajari.

Ilmu tidak datang sendiri tanpa minat dan kemahuan kerana ianya terpaksa dicari untuk memperolehinya. Ilmu yang dipelajari dan diamalkan akan membezakan taraf dengan kawan dan lawan anda.

Jangan biarkan diri anda jadi seperti ini...

Jadikan diri anda seperti ini...

Anda tidak perlu meniru atau mengikut minat dan kemahuan orang lain, mengapakah begitu? Sebab utama adalah minat dan kemahuan bergantung kepada keupayaan seseorang yang berbeza-beza. Mengetahui kelemahan diri terlebih dahulu adalah cara yang terbaik sebelum melangkah jauh. Bila anda sudah mengenal pasti kekurangan tersebut, maka seterusnya mempertingkatkan kelemahan di dalam diri dan terus menuju ke hadapan dengan menetapkan rancangan ke arah pembaharuan.

Anda jangan mengikut sahaja tanpa arah tujuan...

Minat dan kemahuan hendaklah datang dalam diri anda sendiri. Jika sifat anda hanya mengikut sahaja tanpa matlamat dan tujuan, maka ianya akan berakhir dengan kegagalan dan kerugian. Kegagalan kerana anda hanya mengikut sahaja tanpa arah tujuan yang konkrit. Sifat mengikut orang juga tidak akan bertahan lama dan jauh sekali mencapai kejayaan kerana ianya bersifat sementara. Seperti kata pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’. Manakala kerugian pula anda terpaksa membayar harga yang mahal dengan mengorbankan wang dan masa malah pelaburan yang dicurahkan menjadi sia-sia sahaja.

Anda perlu marah pada diri sendiri kerana kegagalan...

Anda juga boleh meraung sekuat-kuat hati kerana tidak mencapai matlamat...

Anda hendaklah programkan di dalam fikiran apa yang anda kehendaki. Program yang dirangka hendaklah yang bersesuaian dengan suasana anda untuk mencapai tujuan tersebut. Sekilas pandang betapa indahnya susun atur dibentang di dalam program, namun jika gerak kerja tidak bersepadu, maka ianya juga akan mendatangkan kemudaratan kepada program tersebut.

Anda tidak perlu bercakaran sesama sendiri dan irihati kerana sifat ini tidak akan menolong malah merugikan.

Anda boleh bertanya kepada mereka yang berpengalaman bagaimana mereka mencapai kemahiran yang tinggi dan menzahirkan kejayaan di dalam bidang masing-masing. Adakah begitu senang mereka memperolehinya atau menempuh pelbagai rintangan untuk sampai ke puncak. Yang pasti ilmu yang dipelajari dan kemahiran yang dibina tidak datang bergolek. Minat untuk belajar dan akhirnya mengamalkannya akan membawa kejayaan dan pastinya anda boleh melakukannya. Seperti kata pepatah ‘ada kemahuan di situ ada jalan’.

Anda jangan melepak sahaja untuk mendapatkan kejayaan.

Minat dan kemahuan juga tidak cukup jika anda belajar bersendirian. Oleh itu kata kunci adalah mencari ilmu dengan berguru. Sebagai contoh di dalam bidang sukan anda memerlukan seorang jurulatih untuk memberi tunjuk ajar secara bersistematik iaitu membimbing dengan tepat, memberi kefahaman dan panduan ke arah kesempurnaan.

Adalah mustahil jika anda hanya duduk bersila sahaja dan memperolehi ilmu kerana ilmu dan kemahiran tidak akan jatuh di atas riba anda. Oleh demikian anda memerlukan beberapa langkah untuk menrealisasikannya:

LANGKAH PERTAMA: WANG

Wang adakalanya memberi sedikit tekanan dan kekangan kepada individu untuk melakar kejayaan, tetapi wang juga akan memberi pulangan yang besar jika dimanafaat dengan betul. Sediakan dana secukupnya untuk menyediakan peralatan yang lengkap untuk belajar ke arah kecermerlangan.

Mungkin ada juga yang berpendapat bahawa wang bukan segala-galanya, tetapi di dalam permainan sukan adalah menjadi kemestian mempunyai peralatan lengkap dan dengan wang sahaja anda memperolehinya. Percayalah tiada jalan singkat di dalam hal ini untuk membina pemain-pemain mempunyai skil yang tinggi. Bermula dengan wang untuk mendapat peralatan yang lengkap dan memperolehi ilmu. Jika dihitung wang yang dilaburkan tidak ternilai jika anda mencapai kejayaan yang sebenarnya.

Wang dilaburkan untuk membina kejayaan dan jangan salah gunakannya...

LANGKAH KEDUA: JURULATIH

Jurulatih hendaklah dikenal pasti yang mempunyai kebolehan dan berwibawa dari segi undang-undang permainan dan mahir teknik-teknik permainan. Berguru juga tidak cukup jika diri sendiri tidak membuat latihan yang diberikan oleh guru. Dan latihan juga tidak mencukupi jika tidak konsisten di dalam latihan yang diberikan. Pihak pengurusan tidak terkecuali perlu mengambil inisiatif dan bertanggunjawab menyediakan jurulatih. Rakan sepasukan boleh menjadi pendorong kepada anda untuk menrealisasikan kejayaan anda. Pokoknya, membina kemahiran tetap terletak kepada diri anda sendiri dan bukan paksaan daripada pihak yang lain.

Berguru akan memberi banyak kelebihan dan menafaat kepada diri anda.

LANGKAH KETIGA: MASA

Anda hendaklah memperuntukkan masa yang mencukupi untuk membuat latihan selepas berguru, iaitu selepas mengikuti kelas latihan yang diberikan. Anda perlu set sasaran dan seterusnya susun jadual latihan anda bagaimana untuk mencapainya. Latihan bersendirian dan latihan berkumpulan masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri. Ini mesti anda lakukan untuk mendapat kecekapan dan kemahiran yang tinggi. Jangan menjadikan masa sebagai satu alasan dan halangan besar kepada kejayaan yang hendak dibina. Pelbagai alasan yang bermain di kotak pemikiran anda akan menyekat usaha-usaha ke arah kejayaan. Anda perlu bermula dari sekarang dan mendahului pihak lawan seperti kata pepatah ‘masa itu adalah emas’.

Masa adalah satu elemen penting untuk mencari ilmu dan kejayaan.


LANGKAH KEEMPAT: PERANCANGAN

Anda perlu mencari seorang ketua yang berwibawa untuk membentuk satu pasukan dan merangka dasar mencapai matlamat. Seseorang yang dipertanggungjawabkan hendaklah mengambil inisiatif sebagai ketua untuk memajukan anak-anak buah yang berada di bawahnya. Usaha dan tumpuan perlu digharab dengan pengurusan yang berkualiti dan bersistematik.

Perancangan jangka pendek dan jangka panjang perlu di rangka untuk kemajuan individu dan pasukan. Semua perancangan yang sudah dirancang hendaklah dipantau sepanjang masa untuk menentukan adakah ianya efektif atau sebaliknya. Jika plan tersebut gagal, maka plan yang lain perlu dirangka dan digubal semula kerana sebarang usaha untuk kejayaan mesti diteruskan. Seperti kata pepatah 'pegang bara api biar sampai jadi abu' dan 'alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan'.

Berusaha terus hingga peluh yang terakhir...

LANGKAH KELIMA: BELAJAR

Belajar secara sistematik daripada mereka yang pakar adalah jalan keluar yang terbaik. Latihan yang dipelajari hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh dan anggaplah latihan anda sebagai perlawanan yang sebenar. Sifat malas belajar dan pelbagai alasan di dalam diri anda hendaklah dipinggirkan. Anda mesti berfikiran positif dan mendahului beberapa langkah ke hadapan dari pesaing anda. Dengan kelebihan ilmu yang dipelajari adalah penting untuk berjaya dan menjarakkan diri anda daripada kawan dan pihak lawan. Ilmu yang diperolehi adalah untuk dikembangkan kepada yang memerlukannya dan sudah tentu anda mempunyai saham akhirnya.

Aspek yang lain boleh meningkatkan mutu permainan anda dengan belajar melalui bertanya kepada individu-individu yang mengetahui dan pakar. Anda tidak perlu malu bertanya dan hendaklah mengambil peluang yang ada. Banyak bertanya juga menjadikan anda lebih arif dan apa jua merungkai di kotak pemikiran anda dapat di atasi.

Belajar sebenarnya tidak mengira masa dan tempat. Saya berikan satu contoh yang agak praktikal seperti di tempat kejohanan berlansung. Peluang bertemu dengan mereka yang boleh mengajar anda terbuka luas. Rebut peluang tersebut dan gunakan ruang yang ada untuk bertanya secara teori atau praktikal. Seperti kata pepatah ‘kalau tidak bertanya sesat jalan’.

Belajar adalah perlu untuk menjadikan anda lebih berkualiti.

Anda perlu mencari ilmu dari pelbagai punca yang boleh menolong mencapai kejayaan.

LANGKAH KEENAM: PERSAHABATAN

Apakah pertalian persahabatan di dalam topik yang dibicarakan. Maksudnya ialah berkawan bukan setakat rakan di dalam sepasukan sahaja, tetapi juga perlu bergaul dengan orang lain diluar dari pasukan anda iaitu pihak lawan atau musuh anda (dalam sukan sahaja). Bila berkawan jangan bersifat ego atau bangga diri kerana jika itu anda lakukan, maka anda tidak dapat belajar dan hidup anda hanya berada di dalam dunia anda sahaja. Pergaulan dengan pihak lawan sebenarnya banyak memberi kebaikan daripada keburukan. Ada kalanya anda dapat mempelajari sesuatu yang baik dari mereka yang mungkin sebelum ini anda tidak mengetahuinya. Yang pasti minat dan kemahuan untuk belajar perlu hidup di dalam diri anda demi kemajuan diri dan dapat menrealisasikan di masa hadapan.

Berkawan dengan pihak lawan sedikit sebanyak berguna bila pertembungan berlaku dan senjata apakah yang anda perlu gunakan untuk mengalahkannya.

Misi blog ini adalah jelas iaitu ingin berkongsi ilmu dengan anda demi pembangunan karom antarabangsa di Malaysia yang masih tidak berkembang secara sihat seperti sukan-sukan yang lain. Saya bukan seorang yang pakar tetapi masih bertatih dan terus belajar semoga ilmu yang diperolehi dapat dimenafaatkan untuk diri sendiri dan juga kepada mereka yang berminat di dalam dunia karom antarabangsa. Semoga usaha secebis ini dapat memberi satu kesedaran terutama generasi baru sebagai pelapis di masa hadapan. Semoga perancangan dan hasrat yang dirangka akan mendapat sokongan khususnya daripada peminat karom dan masyarakat amnya. Dalam masa yang sama kita dapat mengujudkan satu komuniti karom yang aktif dan berkongsi ilmu ke arah kebaikan bersama.

Penat lelah selama ini akan menyebelahi anda akhirnya dan lihat pula bagaimana lawan anda...

Apa yang perlu anda lakukan ialah dengan mulakan langkah pertama dengan menanam minat dan kemahuan untuk belajar. Selepas itu langkah kedua akan menyusul dan teruskan langkah anda dengan konsisten. Belajar adalah seperti membina sebuah bangunan iaitu bermula dengan sekeping tanah dan menkaji strukturnya, seterusnya mengunakan asas yang kukuh seperti pengunaan jerucuk dan tiang yang kuat. Akhirnya bangunan tersergam indah dengan hiasan lanskap yang menhijau. Jika itu yang anda dapat lakukan, maka anda telah berjaya mencapai matlamat yang anda impikan.

Jangan ada sifat malas dan berputus asa di dalam latihan.

Latihan dan komitmen yang anda lakukan akhir memberi satu kepuasan dan pulangan yang berharga.

Saya ingin memberi satu contoh mudah seperti sukan permotoran. Pasukan yang ingin cemerlang dan berjaya hendaklah mempunyai kelebihan dari pasukan yang lain bermula dengan pengurusan yang baik, jentera yang tidak bermasalah dan akhirnya seorang penunggang yang handal. Katakanlah pengurusan yang bagus dan mempunyai jentera yang terbaik tetapi jika penunggang kelas ketiga digunakan, mana mungkin mendapat kejayaan yang cermerlang. Begitu juga jika mempunyai penunggang yang mahir dan pengurus yang cekap tetapi jentera yang digunakan tidak mencapai piawaian sebenar juga akan menimbulkan masalah dan menempuh kegagalan. Sebenarnya setiap pasukan memerlukan ketiga-tiga elemen kerana ianya berkait rapat dan peluang kejayaan adalah lebih cerah.

Begitu juga dengan permainan karom antarabangsa anda memerlukan pengurusan, peralatan lengkap dan pemain yang mahir. Mencari papan karom yang selalu digunakan ketika kejohanan atau hampir sama kualitinya ini juga memberi banyak kelebihan kepada pasukan anda.

Kesimpulannya tidak mustahil untuk anda mencapai apa yang diidamkan, cuba dahulu dan selebihnya anda pasti menemui jawapan sebenar. Anda tidak terlambat untuk berubah, tetapi anda akan ketinggalan jika tidak mengambil kesempatan apa yang berada di depan mata.

Akhir kata 'tepuk dada tanya hati kecil anda' dan jadikan pilihan anda itu adalah tepat dan menjadikannya sumber aspirasi kerana ilmu dan kemahuan akan menjadi sumber intipati ke arah melakarkan kejayaan.

Renungkanlah dimana diri anda berada sekarang...

Wednesday, December 14, 2011

MINDA TERPENJARA

Apakah yang dimaksudkan dengan minda terpenjara? dan apakah implikasi jika minda terpenjara? Sebelum ulasan ini melangkah jauh ada baik kiranya kita memahami maksud sebenar perkataan tersebut.

Minda perlu merdeka untuk terus bersaing dan maju ke hadapan.

Mengikut terjemahan kamus dwibahasa PENJARA bermaksud kurungan atau lokap. Saya tidak ingin mengulas penjara seperti yang diketahui ramai bahawa penjara adalah tempat kurungan penjenayah, samseng atau sewaktu dengannya. Maksud penjara yang saya ingin ketengahkan ialah di dalam lingkungan seperti tajuk di atas iaitu MINDA TERPENJARA.

Biar badan sahaja terpenjara dan jangan sekali-kali minda anda turut terpenjara.

Sekilas pandang mungkin kita beranggapan bahawa bila penjara bermaksud hanya fizikal terperangkap atau terbelengu semata-mata, tetapi sedarkah anda bahawa minda juga boleh terpenjara jika anda taksub di dalam sesuatu perkara atau fahaman. Jika minda anda terpenjara maka tertutup segala-galanya dan anda tidak akan terima perkara-perkara yang lain. Dengan lain perkataan ianya fikiran anda sudah tersekat.

Menyekat perkembangan minda adalah sangat merugikan diri sendiri demi mengejar kamajuan dan apa-apa bentuk perubahan yang berada di sekeliling kita. Sifat buruk ini tidak ada nilai untuk anda pertahankan kerana bukan setakat rugi malah lebih parah lagi anda hanya berada di dalam kepompong sendiri. Seperti kata pepatah "Katak di bawah tempurung" yang bermaksud hanya mengetahui ruang lingkup dunia sendiri sahaja. Lebih derita lagi jika anda seorang ketua yang tidak mahu kepada perubahan atau menerima perkara-perkara baru yang lebih positif. Ini akan merosakkan orang-orang yang berada di bawah anda yang turut terlibat secara lansung dengan tindakan anda.

Minda yang terpenjara selalunya lemah dan gagal berfungsi dengan baik, malah sifatnya adalah pasif, tetapi minda yang sihat lebih ceria dan berinovatif merencana pelbagai pembaharuan yang lebih positif. Di dalam dunia tiada insan yang terkecuali untuk merdekakan diri dan minda. Manusia dijadikan tuhan untuk bebas berfikir ke arah kebaikan dan bukan kebatilan. Anda perlu mencari untuk perkembangan diri di dalam kehidupan yang sebenar. Sebagai manusia yang berakal tidak wajar kekal dalam keadaan kegelapan dan anda perlu keluar dari alam kegelapan tersebut. Sesudah mengetahui, anda tidak lagi boleh berkecuali untuk tidak memperdulikan sesuatu kebaikan di depan mata.

Minda yang pro-aktif berpeluang mencapai kejayaan dengan bergaya.

Bila ada perkara-perkara baru yang muncul di hadapan ini tidak bermakna anda meninggalkan yang lama di belakang. Benda yang lama tetap berharga jika ianya mendatangkan menafaat kepada anda, tetapi jika sebaliknya maka anda terpaksa melupakannya demi masa depan. Adakalanya juga benda baru yang hadir dan mendatangkan kemudaratan juga perlu anda pinggirkan. Jika perkara baru dan lama boleh seiring dan boleh diperkasakan itu adalah lebih baik. Soalnya pemilihan mestilah dibuat dengan tepat dan seimbang dengan naluri dan yang lebih penting mestilah rasional untuk perubahan kepada kebaikan.

Bebaskan minda anda yang selama ini dipengaruhi unsur-unsur negatif.

Anda pernah mendengar tetapi mungkin tidak tahu atau tidak faham. Anda pernah melihat tetapi mungkin tidak prihatin atau tidak peduli. Soalannya kenapa orang lain boleh dan anda tidak boleh? Adakah orang lain ada keistimewaan dan anda tidak atau adakah orang lain sudah sedar dan anda masih dalam selimut terus berdengkur?

Anda akan menjadi bijak dan mampu melihat kebenaran di depan mata dan akhirnya anda tidak akan membiarkan minda terpenjara. Malangnya terdapat orang yang belum jadi pendengar yang baik, belum jadi pembaca yang rajin dan belum jadi pengamal yang bagus. Tetapi kita perlu tegas untuk membawa perubahan. Orang yang tidak tahu dan tidak mengerti, maka mereka tidak pernah merasai nikmat pembaharuan. Sekiranya anda mula sedar dan celik maka, anda akan lebih bagus daripada sekarang dan lebih maju di masa depan.

Perubahan dan kemajuan hari ini perlu seimbang dengan jiwa naluri anda. Anda akan menaruh harapan agar perubahan yang diterima akan menjadikan anda lebih berpengetahuan dan bermaklumat. Amat hipokrit dan tidak bertanggungjawab apabila anda menolak perkara baru yang boleh membawa kepada satu tahap yang lebih baik dari sekarang. Anda perlu ikhlas di dalam hal ini supaya apa jua perkembangan yang bermanafaat akan menyinar untuk generasi yang akan datang.

Anda perlu satu transformasi untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Skop merdekakan minda terlalu luas dan sukar untuk diperincikan seperti sukan, politik, teknoloji, perisian, komputer, alat komunikasi dan lain-lain. Sebagai satu contoh hari ini transformasi yang telah berlaku kepada kebanyakkan jenis sukan. Perubahan dilakukan supaya ianya lebih kompetitif dan dapat mengawal masa kejohanan supaya lebih efisien. Oleh demikian sebagai ahli sukan dan peminat sukan perlu akur kepada perubahan tersebut kerana ianya kehendak semasa demi kebaikan atlet dan populariti sukan itu sendiri. Mungkin peringkat awal penerimaannya agak janggal, tetapi lama kelaman ianya akan menjadi biasa. Seperti kata pepatah “alah bisa tegar biasa”.

Di dalam dunia moden hari ini terdapat banyak perkara-perkara baru yang direka cipta dan anda perlu ada sikap mengambil tahu supaya tidak ketinggalan zaman. Pembaharuan dan perubahan saban hari mengajar anda lebih bijak dan matang di dalam perjalanan kehidupan seharian. Anda tidak perlu berbohong bahawa pembaharuan dan kemudahan hari ini tidak menolong atau mengubah cara kehidupan.

Anda masih ada peluang, anda masih ada waktu dan anda masih ada tenaga. Selagi itu yang ada bersama anda, maka anda mampu melakukannya. Bila perkara baru dan lama menjadi penting kepada perubahan maka, ianya perlu seiring dan akhirnya menjadikan lebih cantik dan indah.