INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Monday, December 17, 2012

KUNJUNGAN KETUA TEKNIKAL ICF


TEMPAT: SERI PRISTANA, SUNGAI BULOH, SELANGOR.
TARIKH: 18 NOVEMBER 2012

Saya sungguh bertuah kerana Ketua Teknikal Kejohanan daripada Persatuan Karom Antarabangsa (International Carrom Federation) berkunjung ke rumah saya sempena lawatan beliau ke Kuala Lumpur. Beliau berada beberapa hari kerana urusan peribadi di samping membeli belah.

Semasa Kejohanan World Carrom Championship yang berlansung di Sri Lanka pada 30 Oktober hingga 4 November 2012, beliau menyatakan kepada saya bahawa pada 14hb hingga 20hb November 2012 akan berkunjung ke Kuala Lumpur bersama abang beliau. Saya juga mengingatkan kepada beliau bahawa jika sampai di Kuala Lumpur nanti terus menhubungi saya. Saya juga berjanji akan menyediakan makan malam menu tempatan ketika bertandang ke rumah saya nanti.

Saya mengenali beliau sudah beberapa tahun ketika kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia dan juga ketika saya mengambil bahagian di kejohanan luar negara. Beliau menjadi rapat dengan saya ketika saya mengikuti kursus pengadilan peringkat antarabangsa ketika berlansungnya Kejohanan ICF Cup 2011 di Kuala Lumpur selaku tuan rumah. Saya lulus dengan cemerlang dan markah yang diperolehi adalah antara yang tertinggi sekali.

En. Udaya menghubungi saya pada hari Sabtu 16 November 2012 ketika saya dalam perjalanan menuju ke Perak untuk menghadiri satu majlis perkahwinan anak sepupu sebelah keluarga isteri saya pada keesukkan harinya. Oleh demikian saya berjanji akan mengambil beliau di tempat penginapan pada hari Ahad.




  Hidangan makan malam adalah sate ayam dan kuah durian bersama pulut dan roti.

Saya menghubungi beliau pada petang ahad dan mengambil beliau di Kuala Lumpur berhadapan SOGO sekitar jam 7:50 malam. Dalam perjalanan sempat juga melihat keindahan dan suasana Bandaraya Kuala Lumpur. Oleh kerana malam tersebut trafik agak sibuk jadi perjalanan kami tersangkut-sangkut sebelum menemui jalan keluar dan terus masuk highway Utara-Selatan menuju ke Sungai Buloh, Selangor.

Setiba di rumah saya terus mempersilakan beliau dan abangnya menikmati makanan yang telah siap terhidang. Menu makan malam tersebut adalah sate bersama nasi himpit, kuah kacang dan rendang ayam. Manakala pemanis mulut pula adalah kuah durian bersama pulut dan roti. Nampaknya mereka berselera sekali dan mencuba makanan yang mungkin pertama kali menjamahnya. Selepas itu kami berborak seketika dan sudah pastinya topiknya berkisar tentang sukan karom. Saya juga menceritakan kepada beliau bahawa saya membawa masuk papan karom berjenama Synco untuk dijual dan disewa. Seterusnya saya juga membuat pengurusan acara sukan yang berkaitan di sekitar Lembah Klang.

Sebelum pulang beliau memberi ‘striker’ sebagai cenderamata dan sempat juga beliau melihat bilik latihan saya di tingkat atas. Saya menyatakan kepada beliau bahawa jika ada kelapangan sahaja saya melakukan latihan secara bersendirian.



 

Bersama keluarga saya sebelum mereka pulang. 

Sebelum pulang kami bergambar bersama-sama sebagai kenangan dan sekitar jam 10:20 malam saya menghantar beliau ke hotel penginapan di Kuala Lumpur. Saya mengucapkan setinggi terimakasih kerana berkunjung ke rumah saya walaupun kesuntukkan masa. Saya mengucapkan selamat tinggal dan jika masih ada kesempatan kita dapat berjumpa kembali. Hanya masa dan tempat yang akan menentukannya...

No comments:

Post a Comment