CERTIFIED INTERNATIONAL CARROM BOARD BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION WHILE STOCK LAST. PLEASE CALL +6019-6656101

Tuesday, June 25, 2013

JALAN-JALAN KE BEIJING

Pada awal bulan Jun 2013 yang lalu saya berkesempatan berada di Negara China. Ini merupakan kali pertama menjejak kaki ke negara yang mempunyai pelbagai sejarah terkenal di dunia. Mengimbas kembali di zaman persekolahan saya pernah mengikuti sejarah (di zaman saya di panggil Tawarikh). Bermula dengan sejarah beberapa Dinasti yang unggul seperti Dinasti Zhou, Dinasti Shang, Dinasti Xia, Dinasti Han (sekadar menyebut beberapa contoh). Selain itu Negara China juga terkenal dengan Dataran Tiananmen, Kota Larangan, Terra Cotta, Tembok Besar China hingga kisah pelayaran terkenal Laksamana Zheng He.

Jadual pelepasan ke Beijing.

 Selepas mendarat di lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Hari ini saya melihat pembangunan di Negara China sungguh pesat dan mempunyai ciri-ciri bangunan yang sungguh moden dan canggih tetapi masih menerap nilai-nilai tradisi tempatan. Kepesatan pembangunan dan ekonomi hari ini menjadikan negara China di segani oleh negara-negara jiran malah negara barat juga turut mengeruni mencapaiannya. Walaupun sesetengah pihak yang selalu menunding jari kepada China yang pengeluar barangan tiruan tetapi itulah kebolehan mereka untuk belajar dan akhirnya mereka mahir untuk mencipta produk sendiri.

Negara China merupakan pengeluar dua jenama produk telekomunikasi yang terkenal iaitu Huawei dan ZTE Corp. Manakala di dalam industri perkapalan turut meningkat sehinggakan permintaan cukup tinggi dan pelangan-pelangan terpaksa menunggu giliran untuk membuat tempahan. Di dalam industri automotif pula Negara China juga mempunyai jenama sendiri. Malaysia tidak terkecuali turut juga mengimport kenderaan daripada Negara China seperti kereta, van dan bas hatta lori sampah pun turut berada di dalam negara kita hari ini.

Hasil pengeluaran produk bermula daripada sebesar-besar barangan sehingga sekecil-kecilnya. Saya hendak menceritakan sedikit pengalaman saya semasa berada di Denver, USA. Sebelum berangkat pulang ke Malaysia saya mencari cenderahati untuk dihadiahkan kepada saudara terdekat dan sahabat handai. Memandangkan nilai wang US yang agak tinggi, maka saya hanya mampu membeli barangan kecil sahaja seperti "key chain". Apa yang saya nak tekan di sini ialah walaupun gambar di hadapannya mempaparkan negara USA tetapi bila saya pusing di belakang "key chain" tersebut ianya tertera "Made in China". Seperti juga permainan kecil di Mc Donald dan Kentucky Fried Chicken yang digemari oleh anak-anak kita pun datangnya dari negara China. Jadi anda bayangkan betapa besarnya penguasan Negara China di dalam pengeluaran produk-produk di peringkat global hari ini. Begitulah kisah ringkas yang boleh saya catatkan di semasa berada dan melihat sendiri kebolehan dan pencapaian yang sungguh luar biasa dan menjadi satu impak ekonomi dunia hari ini.

Panjang lebar mengenai perkembangan ekonomi negara China hari ini, maka selebihnya saya mencerita sedikit perjalanan saya semasa berada di Beijing selama seminggu. Sepanjang saya berada di sana cuaca secara keseluruhannya dingin dan kering. Kesibukan dan trafik seperti juga di Kuala Lumpur yang mengambarkan ekonomi pesat berkembang. Apa yang saya nak ceritakan di sini bahawa kereta negara-negara Eropah menjadi pilihan utama di samping kereta Korea, Jepun dan selebihnya kereta buatan tempatan. Yang menarik dalam perhatian saya terdapat beberapa bentuk kenderaan yang agak lain dari yang lain tetapi agak efektif dan efisien bila melihat peranannya. Pendapat peribadi saya mungkin ianya boleh digunakan di negara kita jika diperkenalkan untuk beberapa industri-industri kecil.

Secara umumnya makanan halal untuk pelancung-pelancung yang beragama Islam di Beijing tidak timbul banyak masalah kerana terdapat beberapa restoran halal dan menunya juga agak enak walaupun boleh dikatakan 85% berbentuk sayur-sayuran. Seperti kita semua ketahui bahawa tauhu tidak dapat dipisahkan daripada masakkan China dan setiap kali waktu makan bermula sarapan pagi, makan tengahari hingga ke malam menu tauhu menjadi kemestian cuma cara masakan sahaja yang berbeza-beza.

Tempat-tempat menarik yang sempat saya lawati seperti Dataran Tiananmen, Kota Larangan, Istana Musim Panas, Proses pengeluar Mutiara, Batu Jade, Pusat Sutera, Tembok Besar China, melihat secara lansung pertunjukkan akrobatik terkenal China, Kilang Herba China, Kilang Teh dan sudah tentu akhir sekali membeli belah. Apa lagi barangan IT seperti Tab yang menjadi kegilaan anak-anak muda hari ini menjadi sasaran untuk dibawa pulang sebagai cenderahati.

Salah satu restoran halal di ibu kota Beijing dan juga berkesempatan menikmati makan malam di restoran Imperial yang merupakan sebuah restoran eksklusif.

Si gadis manis sedang menunjukkan Mutiara selepas cengkeram Tiram di buka. Pusat pembiakkan tiram terletak di Zhuji di Wilayah Zhejiang. Industri ini menampung 60% pasaran tempatan dan 30% untuk pasaran antarabangsa. Terlupa pula nak minta nombor HP... he he he.

Lihatlah betapa banyaknya biji-biji Mutiara yang berada di dalam cengkeram Tiram, tetapi ini hanya peringkat awal pembesarannya.

Menara masih dalam pembinaan yang cukup unik rekaciptanya seperti cendawan. Terdapat 5 menara di atasnya. Menara ini akan menjadi tumpuan pelancung dan warga tempatan untuk meninjau ibu kota Beijing dan persekitrannya.

Berdiri di hadapan pintu masuk utama Beijing National Stadium. Stadium ini direkacipta mengikut sarang burung walit yang begitu popular di kalangan orang-orang China. Tetapi anda jangan terperanjat walaupun orang-orang China merupakan pengemar sarang burung walit, tetapi negara pengeluar yang terbesar bukan daripada tempatan tetapi ianya diimport daripada luar Negara China iaitu Indonesia dan sebahagiannya daripada Malaysia.

 Beijing National Stadium ini dibina pada 24 Disember 2003 dan siap sepenuhnya pada 26 Jun 2008. Stadium ini digunakan untuk sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik pada tahun 2008. Lihatlah betapa uniknya stadium yang tersegam indah dan menjadi salah satu tempat tumpuan pelancung.

Bersama kenalan baru yang boleh jadi satu geng... tapi bukan geng karom le...  

 Saya berkesempatan bersembahyang di dua Masjid tertua di Beijing iaitu Masjid Niujie dan Masjid Nan Dou Ya. Pembinaannya agak unik dan jika dilihat dari luar kita tidak menjangka bahawa bangunan itu adalah sebenarnya merupakan sebuah masjid.

Berdiri bersama salah pengendali masjid di hadapan salah satu masjid tertua di Beijing iaitu Masjid Niujie yang dibina pada tahun 1496.


 Selepas bersolat saya berkesempatan berkomunikasi dengan warga emas muslim tempatan. Kami berkomunikasi seperti ayam dan itik... sungguh pun begitu mereka ini sangat ramah dan sentiasa tersenyum. Sungguh pun warga emas tetapi mereka ini kelihatan sihat dan kuat. Mungkin mereka mengamalkan pemakanan ramuan herba-herba yang banyak terdapat di sini.

Berada di seberang Dataran Tiananmen sahaja kerana tidak dapat masuk ke kawasan tersebut kerana kebetulan ada rombongan pembesar luar negara melawat ke situ.

Berada di dalam Istana Kota Larangan dan saya diberitahu bahawa Maharaja yang memerintah pada ketika itu mempunyai 3000 gundik. Eeeemmm... ramainya...

 Berada di dalam taman Kota Larangan dan beberapa pokoknya asal masih lagi berdiri tegap.

 Salah seorang pekerja mahir sedang menyiapkan pasu hiasan yang diperbuat daripada tembaga. Hasil kerja tangan yang teliti dan halus. Bila melihatnya saya rasa hanya orang sabar sahaja yang sanggup melakukan kerja-kerja seni ini dan sudah tentu kaum hawa menjadi pilihan.


Seorang pekerja mahir sedang menyiapkan hasil seninya yang diperbuat daripada Batu Jed.

 Melawat salah satu pengeluar Batu Jed yang begitu sinonim dengan adab budaya orang-orang China. Sebagai kenangan saya telah beli satu set Tasbih yang diperbuat daripada Batu Jed.

Berkesempatan berada di dalam kawasan Istana Musim Panas dimana satu ketika dahulu hanya Maharaja sahaja yang dapat menikmati keindahannya. Tetapi kini ianya telah dibuka dan merupakan salah satu tempat pelancung dan tempatan untuk beriadah. 

 Di hadapan kounter tiket untuk memasuki kawasan Tembok Besar China.

 Berada di kemuncak selepas berpenat lelah untuk berada di puncak yang tertinggi.

Jangan salah sangka pula, ini bukan medal memenangi kejohanan Karom  Antarabangsa, tetapi medal selepas berjaya sampai kemuncak Tembok Besar China. Lihat di belakang saya dan itulah ketinggian puncak yang berjaya saya takluki.

Begitulah coretan saya kali ini untuk tatapan pengunjung blog komunitikarom. Saya masukkan cerita lawatan saya sebagai selingan sahaja kerana aktiviti-aktiviti karom agak perlahan dan insyaAllah akan kembali ceria pada bulan-bulan yang akan datang. Harap bersabar dan sehingga berjumpa lagi di lain coretan...

No comments:

Post a Comment