INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Wednesday, March 19, 2014

PENCERAHAN MINDA KEPADA PEMIMPIN SUKAN

Dipetik daripada Sinar Harian Online (8 Febuari 2014)

Persatuan sukan perlu tingkat prestasi atlet

Ketua Eksekutif Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz

KUALA LUMPUR - Pentadbiran dan pengurusan sesebuah Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) tidak semestinya perlu diubah, sebaliknya pemimpin mereka perlu mempunyai pemikiran yang terarah kepada usaha meningkatkan prestasi atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz berkata, kepimpinan Persatuan Sukan Kebangsaan perlu mempunyai pemikiran ke arah menghasilkan atlet berpretasi tinggi dan berada di kemuncak prestasi masing-masing.

"Pemimpin perlulah mengelakkan politik dalam persatuan dan patut menerima teguran luar untuk memajukan bidang sukan masing-masing. Akibat daripada politik dalam persatuan dan prestasi merudum atlet sentiasa menjadi perhatian media dan orang ramai," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ramlan berkata, kegawatan kepimpinan Persatuan Sukan Kebangsaan perlu ditangani oleh pemimpin dalam persatuan sendiri.

Sehubungan itu, ISN dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan membuka ruang kepada jurulatih, pengurus dan pihak pengurusan tertinggi persatuan sukan untuk 'membuka minda' dengan menggunakan elemen sains, perubatan dan teknologi sukan melalui seminar sehari yang akan diadakan Selasa ini.

"Seminar yang bertajuk Sports Science Governed Sports Leadership Empowerment ini, akan mengupas corak kepimpinan berteraskan sains sukan yang menjadi tumpuan pengiat sukan tanah air.

"Usaha ini yang dilaksanakan ISN dan UPM ini adalah 'langkah pertama' mewujudkan suatu sistem bagi melatih pemimpin-pemimpin sukan yang mampu menerajui persatuan dalam menampilkan atlet berkaliber negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Antara objektif seminar itu adalah untuk memberi pendedahan terhadap ciri-ciri kepimpinan yang terbaik dan corak kepimpinan sukan dari perspektif berbeza yang berteraskan sains sukan dalam kalangan penggiat sukan negara.

Sempena seminar berkenaan, forum bertajuk 'Facilitating Peak Performance' akan diadakan melibatkan anggota panel seperti Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia Datuk Dr P.S. Nathan, jurulatih pasukan Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee, pengurus pasukan hoki Projek 2013 dan 2016 Mirnawan Nawawi serta pemain skuasy negara Ong Beng Hee.

Sementara itu forum bertajuk 'Sports Leadership Transformation' dijangka akan mencuri tumpuan dengan anggota panel seperti penasihat Persatuan Bola sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Badminton Malaysia Tan Sri Tengku  Mahaleel Tengku Ariff, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan bekas pemain skuasy negara Mohd Azlan Iskandar. - Bernama


KOMEN PENULIS:

Saya ingin memberi sedikit ulasan mengenai perkembangan sukan negara dan lebih tepat saya tujukan kepada pemimpin-pemimpin persatuan sukan. Pencerahan minda di dalam hal ini dapat kiranya mereka yang bertanggungjawab dapat menilai diri masing-masing demi pembangunan sukan negara yang semakin hari nampak banyak berlakunya ketempangan. 

Hari ini kita selalu mendengar dan membaca di media cetak mahupun di alam siber menceritakan kepincangan persatuan sukan yang dibincang secara terbuka. Saya tidak ingin menyentuh secara spesifik sukan-sukan yang diperkatakan kerana kita sudah maklum, Cuma apa yang saya hendak memberi ulasan ialah secara menyeluruh. Jika terkena batang hidung persatuan tersebut, maka berubahlah sebelum terlambat atau dengan kata lain berundur secara hormat sebelum di campak keluar. 

Seingat saya bermula dari kecil hingga dah berjanggut sekarang ini, saya tidak pernah mendengar kekecohan seperti yang berlaku seperti hari ini. Hanya satu patah perkataan yang bermain di kepala iaitu sungguh "meloyakan". 

Sukan adalah sesuatu aktiviti yang cukup indah kepada mereka yang minat dan ingin melebar sayap ke satu tahap yang membanggakan diri, keluarga dan negara. Dorongan seperti ini bukan semuanya ada kepada diri kita hanya mereka yang betul-betul minat dan mempunya komitmen tinggi sahaja yang berjaya melalui pelbagai ranjau yang perlu ditempuh.

Atlet sukan yang terpaksa berkerja keras untuk mencapai piawaian yang ditentu oleh pihak atasan dan sememangnya perlu berbuat demikian. Tetapi satu perkara yang lebih penting ialah pemimpin yang berada disinggahsana yang tidak melihat secara menyeluruh dari segi pencapaian dan perkembangan sukan di bawah jagaannya. Pemimpin-peminpin ini hanya pandai berkata-kata tanpa memberi jawapan yang konkrit dan menasabah. Maka jadilah seperti burung kakak tua yang hanya pandai membuat bising sahaja. 

Sebagai pengiat sukan kita mempunyai pengalaman yang berbeza-beza dan jika dapat digarab menjadikan satu adunan, maka ianya akan menjadikan sesuatu yang cukup bermakna di atas nama sukan yang diceburi. Di dalam persatuan perlu mempunyai pemimpin yang berwibawa, memberi komitmen, kreatif dan berinovatif demi pembangunan sukan yang mereka wakili dan dalam masa yang sama memberi menafaat kepada peminat sukan dan akhirnya kepada negara. 

Berilah peluang kepada mereka yang mempunyai misi dan visi demi sukan yang mereka wakili dan jangan bangga dengan jawatan yang anda pegang hari ini kerana anda tidak akan berada di atas sana selama-lamanya. Anda mungkin berada di atas kerana sokongan padu daripada kroni-kroni yang berkepentingan peribadi dan bukan kerana sukan. 

Akhir kata kepada mereka yang sudah tidak dapat memberi apa-apa pembaharuan dan perkembangan demi sukan saya kira mereka perlu sedar dan carilah pintu untuk keluar dengan segera. Jangan hanya berada di kerusi yang empuk kerana nama...