Wednesday, August 19, 2009

PERMAINAN KAROM ANTARABANGSA

Karom bukan sahaja permainan menarik yang memerlukan strateji, ketepatan, kreativiti dan skil di samping memerlukan kesabaran yang tinggi. Sedar atau tidak permainan karom juga dapat mengujudkan pelbagai bentuk geometri yang perlu difikirkan oleh setiap pemain untuk mencapai matlamat akhir mereka.

Sebelum bermain permainan Karom Antarabangsa kita perlu mengetahui terlebih dahulu peralatan dan undang-undang permainan. Terdapat 151 tajuk utama undang-undang permainan Karom Antarabangsa dan tidak termasuk tajuk-tajuk kecil yang berkaitan. Tetapi sebagai permulaan pemain hanya perlu tahu asas undang-undang sahaja supaya dapat bermain dengan selesa dan yakin.

Peralatan karom antarabangsa terdiri daripada papan karom, kaki papan karom, kerusi, buah karom dan gundu. Semua peralatan Karom Antarabangsa adalah mengikut spesifikasi dan dikawalselia oleh Persatuan Karom Antarabangsa. Manakala tepung kentang digunakan sebagai bahan pelicin untuk mengerakkan buah karom dan gundu supaya bergerak lancar. Berus digunakan untuk menyapu kawasan permainan supaya tepung yang ditabur sama rata di atas permukaan papan karom. Berus juga bertindak untuk membersihkan kawasan dimana tepung terkumpul terutama di bahagian bawah bingkai utama papan karom.

PAPAN KAROM
Permukaan permainan papan karom diperbuat daripada papan lapis atau apa jua papan yang sama licin dan ketebalan tidak kurang dari 8 mm dan ukuran minima 73.50sm dan maksima 74.00sm empat segi sama dengan permukaan yang licin. Papan karom mestilah dapat menghasilkan pantulan gundu yang beratnya 15gm tidak kurang dari tiga setengah kali apabila dijentik dengan kuat dari garisan dasar ke arah bingkai yang bertentangan.

Bingkai
Di sekeliling permukaan permainan papan karom hendaklah disambungkan dengan bingkai kayu dengan lenkongan ke dalam di setiap sudut diperbuat dari Rosewood atau dari kayu keras yang mempunyai pantulan yang baik dengan ketinggian minima dari 1.90sm dan maksima 2.54sm dari permukaan permainan. Lebar bingkai kayu mestilah tidak kurang dari 6.35sm atau tidak melebihi 7.60sm. Penyokong yang sesuai hendaklah dipasang dengan kejap di bawah permukaan papan karom dan diikat dengan kukuh bersama bingkai.

Saku
Semua saku di empat penjuru papan karom mestilah bulat ke dalam dan bukan bulat keluar bergaris pusat 4.45sm dengan kelonggaran tidak melebihi 0.15sm. Hujung penjuru papan setiap saku hendaklah dipotong.

Garisan Dasar
a)Dua garisan lurus hitam 47.00sm panjangnya dengan garisan tebal antara 0.30sm sama di bahagikan kesemua bahagian, warna hitam di lukiskan pada empat bahagian di permukaan permainan dan selari dengan bingkai papan disetiap segi. Di bawah dua garisan, dimana antara 0.50sm dan 0.65sm ketebalan, hendaklah 10.15sm jarak dari bingkai dan satu lagi garisan 3.18sm jarak dari bahagian bawah garisan dasar.

b)Garisan dasar hendaklah ditutup dengan bulatan bergarispusat 3.18sm dikedua-dua hujung. Di tengah bulatan ini dilukis satu lagi bulatan bergarispusat 2.54sm dan diwarnakan merah. Bulatan ini dipanggil bulatan dasar. Bulatan dasar ini dilukiskan supaya kedua-dua garisan dasar bersentuhan dengan garisan atas dan garisan bawah. Jarak antara bulatan dasar ke bulatan dasar yang lain disetiap penjuru adalah lebih kurang 1.27sm.

Arah Panah
Empat garisan arah panah adalah hitam, tidak kurang dari 0.15sm ketebalan hendaklah dilukis disetiap penjuru papan karom dengan sudut 45° diantara dua bulatan dasar kelonggaran 5.0sm menuju ke arah tengah saku disetiap penjuru dengan meninggalkan ruang jarak 5.0sm dari tepi saku. Panjang garisan arah panah tidak melebihi 26.70sm. Hiasan garisan melengkung bergarispusat 6.35sm dengan arah panah dikedua-dua hujung garisan melengkung tersebut boleh dibuat.

Bulatan Tengah
Di tengah-tengah papan karom hendaklah dilukis dengan sebuah bulatan berwarna hitam bergarispusat 3.18sm dengan perbezaan tidak melebihi atau kurang dari 0.16sm. Bulatan ini di panggil Bulatan Tengah dan hendaklah diwarnakan merah.

Bulatan Luar
Satu bulatan bergarispusat 17.00sm dengan bulatan tengah hendaklah dilukis warna hitam dengan perbezaan tidak melebihi dari 0.30sm. Bulatan ini dipanggil Bulatan Luar. Hiasan di dalam bulatan ini dibenarkan.


GUNDU (STRIKER)
Gundu mestilah licin dan bulat dengan bergarispusat tidak melebihi 4.13sm dan beratnya tidak melebihi 15.00grams. Gundu hendaklah diperbuat daripada apa juga jenis selain dari bahan logam dan gading gajah. Lorekkan hiasan yang tidak menjolok mata di atas permukaan gundu adalah dibenarkan.




BUAH KAROM
Buah karom yang digunakan dalam permainan mestilah diperbuat daripada kayu berkualiti dan berbentuk bulat leper. Garis pusat buah karom tidak melebihi 3.18sm dan tidak kurang dari 3.02sm. Ketebalan buah karom tidak kurang dari 0.70sm dan tidak melebihi 0.90sm. Tepinya mestilah bulat dan rata. Berat B/k tidak kurang dari 5.00 grams dan tidak melebihi 5.50 grams. Terdapat 9 biji putih, 9 biji hitam dan 1 biji merah (Queen) dan mestilah seragam.


MEJA ATAU KAKI MEJA
Meja atau kaki meja bila di letakkan papan karom untuk bermain ketinggiannya tidak kurang dari 63.00sm dan tidak melebihi 70.00sm. Papan karom yang diletakkan kukuh dan tidak bergoyang. Bagaimanapun lapik di bawah papan karom dan atau meja atau kaki meja untuk mengukuh dan meratakan permukaan permainan papan karom dengan sebaik mungkin adalah dibenarkan.



BANGKU ATAU KERUSI
Ketinggian bangku atau kerusi untuk pemain duduk tidak kurang 40.00sm atau tidak melebihi 50.00sm. Kerusi yang digunakan hendaklah tidak mempunyai tempat galas tangan.


TEPUNG
Tepung yang digunakan mestilah bermutu tinggi supaya permukaan permainan kering dan licin. Tepong yang hendak digunakan tidaklah lembap. Tepong disimpan dalam karung kecil supaya senang ditaburkan sama rata diatas permukaan permainan.Berus digunakan untuk membersihkan permukaan papan terutama di kawasan garisan dasar yang kebiasaannya tepung akan terkumpul dan menjadi tebal. Berus yang digunakan tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Saiz yang agak sesuai adalah 0.12sm lebar. Berus hendaklah lemut supaya permukaan P/K tidak bercalar dan terguris.


Cara lampu dipasang bagi acara perseorangan
Cara lampu dipasang bagi acara regu (Berpasangan)

LAMPU
Lampu boleh digantung atau diletakkan secara tetap di atas P/K dengan ketinggian yang munasabah dan menyenangkan. Cahaya lampu mestilah terang dan berwarna putih salji agar dapat menerangi P/K keseluruhannya atau sehingga bingkai P/K tersebut. Lampu yang disyorkan ialah lampu kalimatang diantara 60 watt hingga 100 watt. Bagaimana pun ketinggian boleh diubah jika diminta oleh pemain jika cahaya lampu menggangu atau menyilaukan mata pemain-pemain.

Karom Antarabangsa boleh dimainkan secara berdua (perseorangan lelaki atau perempuan) atau berempat (regu lelaki, regu perempuan atau regu campuran). Format kejohanan perlawanan kebiasaannya bergantung kepada pihak penganjur seperti acara perseorangan, acara regu atau acara berpasukan.

Acara regu (Berpasangan)

Acara perseorangan

Karom dimainkan di atas papan empat segisama dan di setiap penjuru terdapat empat saku untuk menampung buah karom yang masuk. Terdapat tiga warna buah karom yang dimainkan iaitu 1 buah karom berwarna merah, 9 buah karom berwarna putih (warna asal kayu) dan 9 buah karom berwarna hitam.

Buah karom akan dimasukkan ke dalam saku yang terdapat di empat penjuru papan karom tersebut dengan mengunakan gundu (Striker). Gundu pemain dijentik dengan jari dan akan mengenai buah karom pemain untuk dimasukkan ke dalam saku. Buah karom boleh diambil walau di mana ianya berada selagi tidak melanggar undang-undang permainan. Gundu juga boleh dijentik ke depan dan juga ke belakang mengikut kreativiti dan skil pemain.

Sebelum pertandingan berlansung gundu setiap pemain perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh undang-undang permainan itu ukuran garispusat 4.13sm manakala berat tidak melebihi 15gms. Gundu akan di sahkan selepas lulus dari pemeriksaan oleh pehak penganjur dengan meletakkan pelekat atau stamp di atas gundu. Perlu di ingat jika pemain yang mengunakan gundu tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan maka pemain tersebut akan kalah keseluruhan permainan tersebut.

Alat pengukur berat Gundu (Striker) tidak melebihi 15gms


Alat pengukur garispusat Gundu (Striker) tidak melebihi 4.13sm

Gundu (Striker) akan ditampal peletak menandakan ianya lulus dan mengikut spesifikasi undang-undang permainan.

Sebelum permainan bermula undian akan dijalankan oleh pengadil untuk menentukan pemain yang manakah yang akan membuat pecah mula. Undian dijalankan dengan mengunakan buah karom hitam dan buah karom putih atau wang siling. Pecah mula akan berpehak kepada pemain yang membuat tekaan dengan tepat.

Cara menyusun buah karom sebelum pecah mula

Pemain yang mendapat giliran pecah mula akan mengambil buah karom berwarna putih dan buah karom hitam adalah kepunyaan pehak lawan. Manakala buah karom merah pula adalah umum dan boleh diambil oleh kedua-dua pemain setelah buah karom masing-masing sudah masuk ke dalam saku. Permainan akan dikira selesai setelah pemain atau pehak lawan menghabiskan buah karom mereka sendiri bersama atau tanpa buah karom merah. Buah karom merah ditutup secara rasmi oleh pemain dengan serentak ke dalam saku (buah karom merah bersama buah karom pemain sendiri) atau berturutan (jentikkan pertama masukkan buah karom merah ke dalam saku dan jentikkan kedua masukkan pula buah karom sendiri ke dalam saku).



Terdapat pelbagai cara jentikan yang dilakukan, tetapi ini adalah dua contoh jentikkan yang agak popular

Contoh jentikan ke belakang yang agak popular

Setiap satu permainan terdapat 8 papan yang dimainkan atau 25 mata yang mana terdahulu. Jika di papan ke 8 mata permainan terikat sama, maka papan ke 9 akan dimainkan untuk menentukan pemenang. Undian pecah mula sekali lagi akan dilakukan oleh pengadil. Kemenangan muktamad akan ditentukan melalui 3 permainan yang terbaik. Sebelum permainan ketiga atau penentuan dijalankan undian sekali lagi dijalankan untuk menentukan pecah mula. Dalam permainan penentuan selepas tamat papan keempat atau melepasi 12 mata, pertukaran tempat duduk hendaklah dilakukan dan permainan diteruskan sehingga tamat.

Mata kemenangan hanya dikira setelah salah seorang pemain berjaya menghabiskan buah karomnya sendiri yang berada di atas papan. Pengadil akan memberi mata kemenangan dengan mengira buah karom pehak lawan yang tertinggal di atas papan dan dicampur dengan buah merah (jika pemain tersebut berjaya memasukkannya). Mata pemain-pemain akan terus bertambah di dalam permainan seterusnya dan jika salah seorang pemain terlebih dahulu mencapai 25 mata, maka pemain tersebut akan diistiharkan sebagai pemenang. Kemenangan juga akan dikira jika salah seorang pemain mempunyai mata yang tertinggi di papan yang ke 8. Jika didapati di papan ke 8 mata yang sama diperolehi oleh kedua-dua pemain, maka papan ke 9 akan dimainkan. Undian semula akan dibuat oleh pengadil untuk menentukan pemain yang akan membuat pecah mula. Pemain yang Berjaya menutup buah karom merah tetapi kalah di dalam permainan tersebut tidak mendapat tiga mata buah karom merah.

Berikut adalah cara kiraan mata iaitu buah karom merah 3 mata, buah karom putih dan buah karom hitam masing-masing 1 mata sahaja. Pemain masih mendapat mata buah merah sehingga 21 mata. Jika pemain tersebut mempunyai 22 mata atau lebih, maka mata kemenangan hanya dikira buah karom pehak lawan yang tertinggal di atas papan karom sahaja. Mata buah merah hanya dikira dan diberikan kepada pemain yang memenangi perlawanan tersebut. Bagi pemain yang kalah tetapi berjaya memasukkan buah karom merah matanya adalah tidak dikira. Mata penuh dalam satu papan ialah 12 iaitu 9 mata buah karom pehak lawan di tambah dengan 3 mata buah karom merah.

Sebagai panduan berikut adalah dua contoh bagaimana kiraan mata dilakukan untuk pemain-pemain yang memenanggi perlawanan.

CONTOH: Kiraan mata jika buah karom merah dimasukkan oleh pemain sendiri

Kiraan mata adalah jika buah karom hitam pihak lawan yang tertinggal 4 di atas papan karom dicampur buah karom merah 3 mata yang dimasukkan oleh pemain. Jumlah kesemuanya adalah 7 mata (4 + 3). Perlu diingatkan mata buah merah hanya di kira pada 21 mata sahaja dan jika mata lebih, maka mata buah merah tidak akan dikira. Hanya buah karom hitam sahaja dikira iaitu 4 mata sahaja.

CONTOH: Kiraan mata jika buah karom merah dimasukkan oleh pehak lawan

Kiraan mata adalah jika buah karom hitam pehak lawan yang tertinggal 4 di atas papan karom tetapi buah karom merah telah dimasukkan oleh pehak lawan. Jumlah kesemuanya adalah 4 mata sahaja.

Kad kiraan mata Karom Antarabangsa

Masa giliran bermain perlu diketahui oleh pemain dan ianya seperti berikut iaitu ketika menyusun buah karom di dalam bulatan luar, pecah mula, semasa giliran bermain, ketika meletakkan dui atau denda masa yang diberikan adalah selama 15 saat. Pertukaran tempat duduk di antara permainan pertama dan permainan kedua adalah selama 2 minit. Manakala rehat untuk permainan penentuan (permainan ketiga) adalah selama 10 minit.

Dui dan denda pemain diletakkan semula di atas papan oleh pihak lawan dan kedudukan buah karom mestilah menyukarkan kepada pemain tersebut. Manakala buah karom yang terpelanting keluar dari papan karom dan buah karom merah adalah tugas pengadil untuk diletakkan semula di bulatan tengah atau ditempat yang bersesuaian mengikut keadaan.

Pemain juga perlu mengetahui di dalam permainan Karom Antarabangsa terdapat dua slam iaitu slam putih (white slam) dan slam hitam (black slam). Slam putih bermaksud pemain yang mendapat giliran pecah mula dan berjaya memasukkan kesemua buah karom putih termasuk menutup buah karom merah di dalam giliran pertamanya tanpa memberi peluang giliran kepada pihak lawan.

Manakala slam hitam bermaksud selepas giliran pertama pemain yang membuat pecah mula dan gagal meneruskan gilirannya, maka giliran bermain diserahkan pula kepada pihak lawan. Di dalam giliran pertama pihak lawan telah berjaya memasukkan kesemua buah karom hitam termasuk menutup buah karom merah atau tanpa menutup buah karom merah (sekiranya buah karom merah berjaya ditutup oleh pemain yang membuat pecah mula semasa gilirannya).

Secara keseluruhannya permainan karom antarabangsa adalah menyeronokkan walaupun terdapat banyak undang-undang perlu dipatuhi oleh setiap pemain. Cara kiraan mata kemenangan juga menjadikan karom antarabangsa lebih menarik dan sangat kompetitif. Teknik permainan dan mempunyai skil yang tinggi adalah penting untuk menjadi pemain yang berkebolehan. Latihan dan bimbingan dari jurulatih yang berterusan hendaklah diamalkan untuk menjadi pemain yang berkebolehan dan bermain dengan baik.

Permainan Karom Antarabangsa adalah satu permainan yang menarik dan unik untuk diceburi sebagai salah satu aktiviti yang sihat dan perlu diberi perhatian. Diharap permainan karom akan diletakkan setaraf dengan sukan-sukan utama yang lain dan bukan hanya setakat permainan sampingan atau sukan tradisional sahaja.

Selamat mengenali karom antarabangsa dan semoga berjaya.

6 comments:

  1. Terima kasih cikgu diatas memberi tunjuk ajar yang sangat baik dan mudah difahami bagi kami yang baru berjinak tentang sukan karom.

    ReplyDelete
  2. 😍😍😍😁😁😁😊😊😊😉😉😉

    ReplyDelete
  3. Nak tanya apakah kecederaan sukan yang berlaku ketika bermain karom

    ReplyDelete