Satu Perhentian Info Karom Antarabangsa: Kejohanan, Undang-Undang Permainan, Tips Permainan, Soalan Lazim, Latihan Intensif, Aktiviti, Peralatan Permainan, Pengurusan Acara, Pertanyaan dan Lain-Lain Info yang berkaitan.
Tuesday, November 29, 2011
KEPUTUSAN 6th ICF CUP 2011
Tarikh: 09 - 12 November 2011
Tempat: Tingkat 2, Dewan Serbaguna WISMA OCM, Kuala Lumpur
Pada hari ini 09 November 2011 merupakan satu sejarah kepada Malaysia selaku tuan rumah buat pertama kali menganjurkan Kejohanan Piala ICF 2011 kali ke enam. Penganjuran Piala ICF diadakan setiap 3 tahun sekali dan tuan rumah akan dipilih berdasarkan setiap negara yang menawarkan diri secara sukarela. Pada tahun ini Malaysia menawarkan diri sebagai tuan rumah dan terimakasih kepada ICF selaku badan utama karom antarabangsa memberi kepercayaan dan kerjasama sepenuhnya disepanjang kejohanan berlansung.
Presiden ICF Arif Naqvi memberi ucapan utama kejohanan
Pasukan yang menyertai kejohanan serta pegawai-pegawai semasa perasmian kejohanan.
Acara pembukaan yang dilakukan bersama Presiden ICF Arif Naqvi dan Malaysia Carrom Association En. Balbeer Singh.
'ICF Cup' adalah salah satu piala yang dianggap berprestij kerana ianya merupakan salah satu kejohanan terbesar di bawah penganjuran Persatuan Karom Antarabangsa (International Carrom Federation). Dua kejohanan yang lain di bawah Persatuan Karom Antarabangsa ialah 'World Cup' dan 'World Championship'.
Malaysia selaku tuan rumah kali ini tidak mendapat sambutan memberansangkan daripada negara-negara Eropah, USA dan negara-negara Asia yang lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan aura kejohanan pada kali ini tidak seharum seperti kejohanan sebelumnya. Ini kerana pasukan yang bertanding hanya dari kelompok beberapa negara daripada Asia sahaja iaitu Maldives, Sri Lanka, India, Pakistan dan Malaysia selaku tuan rumah. Hanya lima negara sahaja yang mengambil bahagian. Bangladesh yang dianggap satu pasukan yang sedang meningkat naik yang sentiasa memberi tentangan kepada pasukan ternama tidak turut serta pada kejohanan kali ini.
Ketua pengadil dan Pengarah Teknikal memberi taklimat kepada pengadil-pengadil yang bertugas di kejohanan ini.
Saya melontar beberapa soalan kepada Presiden ICF Mr. Arif Naqvi, kenapakah pasukan negara-negara Eropah yang tidak menyertai kejohanan pada kali ini memandangkan beliau daripada Jerman. Beliau menyatakan pasukan Jerman kursusnya tidak mengambil bahagian pada kali ini kerana kesuntukkan masa yang diberikan dan kos perbelanjaan yang agak mahal. Kos yang tinggi merupakan faktor utama mengapa mereka tidak turut serta pada kejohanan kali ini. Secara tidak rasmi boleh dirumusan bahawa jawapan tersebut juga mewakili pasukan-pasukan-pasukan daripada Eropah yang lain termasuk USA dan negara-negara Asia yang lain.
Selaku tuan rumah kita tidak boleh menyalahkan pasukan tersebut kerana sukan karom masih dikira tidak berapa popular (walaupun sudah lama diperkenalkan) dan pergerakkannya masih agak perlahan jika dibandingkan dengan sukan-sukan yang lain. Oleh kerana itu untuk mendapatkan penajaan adalah sukar dan sesetengah pihak tidak nampak kepentingan permainan ini. Perkara ini juga berlaku kepada negara-negara lain termasuk pasukan daripada Malaysia sendiri. Tetapi bagi negara-negara seperti India, Sri Lanka dan Maldive sentiasa bersedia untuk menyertai mana-mana kejohanan yang diadakan. Komitment yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga negara tersebut cukup tinggi dan perlu di lihat oleh negara-negara lain sebagai satu wadah ke arah perkembangan sukan ini secara lebih sihat.
International Carrom Federation dan persatuan-persatuan daripada setiap negara yang bernaung di bawahnya perlu merancang dan melakukan sesuatu yang lebih drastik dan bersidang mencari formula-formula baru untuk menjana idea-idea yang bernas supaya setiap kali kejohanan di adakan ianya menjadikan satu kejohanan yang sungguh meriah seperti sukan-sukan yang sudah terkenal. Di samping itu juga teruskan mempromosi ke negara-negara melalui lawatan-lawatan atau jika itu menjadi halangan kerana kos, mungkin cara terbaik melalui media cetak dan elektronik yang tidak melibatkan kos terlalu tinggi. Perancangan perkembangan sukan karom perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa dan teruskan usaha walaupun mungkin menempuh jalan yang sukar.
Bersama dengan Presiden ICF Arif Naqvi
Sungguhpun suasana suram pada kejohanan kali ini tetapi dengan kehadiran pemain-pemain terbaik dunia ianya memberi sedikit kelegaan dan kepuasaan kepada peminat-peminat karom dan juga pemain-pemain dari negara yang mengambil bahagian untuk melihat, belajar dan mempertingkatkan kualiti permainan mereka.
Berikut adalah keputusan kejohanan pada kali ini:
PASUKAN LELAKI
Pertama: INDIA (Yogesh Pardesi, M. Nataraj, Prakash Gaikwad & B. Radhakrishnan)
Kedua: SRI LANKA (Chamil Cooray, Nishanta Fernando, Sheriffdeen & Lahiru Eshan)
Ketiga: MALDIVE (Hussain Neesham, Ahmed Hamid, Hassan Nazim & Shafee Moahamed)
PASUKAN WANITA
Pertama: INDIA (Ilavalazghi, Rashmi Kumari, Kavitha Somanchi & Parimala)
Kedua: SRI LANKA (Chalani Lakmali, Madushika, Roshita Joseph & K. Wickramasinghe)
Ketiga: MALDIVES (Aishath Fainaz, Aminath Vishama & Aminath Nifasha)
REGU LELAKI
Pertama: Yogesh Pardeshi & Prakash Gaikwad (INDIA)
Kedua: M. Nataraj & B. Radhakrishnan (INDIA)
Ketiga: Chamil Cooray & Nishanta Fernando (SRI LANKA)
REGU WANITA
Pertama: Ilavazakhi & Rashmi Kumari (INDIA)
Kedua: Parimala Devi & Kavitha (INDIA)
Ketiga: K. Madhusika & Roshita (SRI LANKA)
PERSEORANGAN LELAKI
Pertama: Yogesh Pardeshi (INDIA)
Kedua: Prakash Gaikwad (INDIA)
Ketiga: Nishanta Fernando (SRI LANKA)
PERSEORANGAN WANITA
Pertama: Rashmi Kumari (INDIA)
Kedua: Parimala (INDIA)
Ketiga: Kavitha Somamchi (INDIA)
LIGA SWISS SISTEM
Pertama: B. Radhakrishnan (INDIA)
Kedua: Chamil Cooray (SRI LANKA)
SLAM YANG TERTINGGI
Pertama: Yogesh Pardeshi (INDIA)
Kedua: Nishanta Fernando (SRI LANKA)
Keputusan rasmi sudah diketahui dan pasukan India terus mendominasi kejohanan Piala ICF kali ini di semua kategori yang dipertandingkan. Hanya pasukan daripada Sri Lanka sahaja yang memberi tentangan hebat terutama pasukan lelaki. Manakala pasukan daripada Maldive juga sedikit memberi tekanan kepada kedua-dua pasukan tersebut. Pasukan India terus berbangga dan tersenyum lebar kerana masih unggul di atas tahkta yang dikira sukar digugat oleh mana-mana pasukan ketika ini. Sekalung tahniah kepada pasukan yang berjaya dan bagi pasukan yang gagal jadikan satu tekad untuk lebih berjaya di masa hadapan.
Kepada pasukan Malaysia masih di tahap yang sama dan tiada peningkatan memberansangkan. Bermula dari sekarang pemain dan orang yang diamanahkan memikul tanggungjawab perlu melakukan sesuatu ke arah lebih positif. Perancangan jangka pendek dan jangka panjang perlu dilakukan segera supaya pasukan Malaysia bila bertanding bukan hanya mencukupi kuota pertandingan dan menjadi pasukan belasahan sahaja.
Kenangan bersama pasukan Sri Lanka.
Sebagai kesimpulan pada kali ini Malaysia selaku tuan rumah tidak seperti kejohanan-kejohanan yang lalu dimana pembukaan rasmi hanya biasa sahaja dan tidak dihadiri oleh wakil-wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan atau daripada OCM sendiri. Amat malang sekali kerana pandangan masyarakat luar terhadap tuan rumah dilihat sebagai satu acara yang tidak berapa penting "seperti batuk di tangga sahaja".
Begitu juga dengan penutupan rasmi kejohanan hanya biasa sahaja dan tiada program selingan di adakan. Mungkin sesetengah berpendapat bahawa ianya tidak penting atau pembaziran tetapi perlu diingat bahawa hari penyampaian hadiah adalah hari kemuncak kejohanan dan untuk menunjukkannya ia perlu diadakan sesuatu sebagai simbol kegemilangan dan kemeriahan. Dalam masa yang sama acara tersebut juga memberi sedikit pengetahuan kepada negara-negara yang menmgambil mengenai negara Malaysia. Sebagai tetamu daripada luar kita perlu menunjukkan sesuatu kelainan sebagai buah tangan atau ole-ole untuk dibawa pulang sebagai kenangan abadi.
Satu perkara yang agak ganjil pada kejohanan ini tiada liputan media di sepanjang kejohanan dan ini sungguh menyedihkan. Sedangkan ini adalah acara sukan peringkat antarabangsa yang perlu diwar-warkan kepada peminat karom tempatan. Saya tidak tahu dimana silapnya tetapi perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Mungkin kerana tiada liputan media cetak dan media elektronik maka peminat-peminat karom tanah air di sekitar Kuala Lumpur terutamanya tidak tahu dan tidak turun untuk melihat sendiri kehebatan pemain-pemain bertaraf dunia di kejohanan kali ini.
Tirai kejohanan sudah berlabuh dan akan menutup terus pentas dengan seribu kenangan sebagai satu lipatan sejarah putih dan hitam seperti dikejohanan kali ini terdapat 11 slam' (white slam dan black slam). Yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik jadikan sempadan. Apa-apa cerita yang kusut semasa kejohanan berlansung jadikan satu pengajaran yang berguna dan ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku semoga penganjuran di masa hadapan tidak lagi berlaku seperti kata pepatah "Rumah dah siap pahat masih berbunyi"
Komen di atas adalah ikhlas sebagai peminat karom yang terlibat secara lansung dengan permainan karom. Berlapang dada menerima kritikan kerana kritikan itu menyedarkan kita supaya berada di landasan yang betul seperti bermain karom dengan penuh kesempurnaan.
No comments:
Post a Comment