Wednesday, December 14, 2011

MINDA TERPENJARA

Apakah yang dimaksudkan dengan minda terpenjara? dan apakah implikasi jika minda terpenjara? Sebelum ulasan ini melangkah jauh ada baik kiranya kita memahami maksud sebenar perkataan tersebut.

Minda perlu merdeka untuk terus bersaing dan maju ke hadapan.

Mengikut terjemahan kamus dwibahasa PENJARA bermaksud kurungan atau lokap. Saya tidak ingin mengulas penjara seperti yang diketahui ramai bahawa penjara adalah tempat kurungan penjenayah, samseng atau sewaktu dengannya. Maksud penjara yang saya ingin ketengahkan ialah di dalam lingkungan seperti tajuk di atas iaitu MINDA TERPENJARA.

Biar badan sahaja terpenjara dan jangan sekali-kali minda anda turut terpenjara.

Sekilas pandang mungkin kita beranggapan bahawa bila penjara bermaksud hanya fizikal terperangkap atau terbelengu semata-mata, tetapi sedarkah anda bahawa minda juga boleh terpenjara jika anda taksub di dalam sesuatu perkara atau fahaman. Jika minda anda terpenjara maka tertutup segala-galanya dan anda tidak akan terima perkara-perkara yang lain. Dengan lain perkataan ianya fikiran anda sudah tersekat.

Menyekat perkembangan minda adalah sangat merugikan diri sendiri demi mengejar kamajuan dan apa-apa bentuk perubahan yang berada di sekeliling kita. Sifat buruk ini tidak ada nilai untuk anda pertahankan kerana bukan setakat rugi malah lebih parah lagi anda hanya berada di dalam kepompong sendiri. Seperti kata pepatah "Katak di bawah tempurung" yang bermaksud hanya mengetahui ruang lingkup dunia sendiri sahaja. Lebih derita lagi jika anda seorang ketua yang tidak mahu kepada perubahan atau menerima perkara-perkara baru yang lebih positif. Ini akan merosakkan orang-orang yang berada di bawah anda yang turut terlibat secara lansung dengan tindakan anda.

Minda yang terpenjara selalunya lemah dan gagal berfungsi dengan baik, malah sifatnya adalah pasif, tetapi minda yang sihat lebih ceria dan berinovatif merencana pelbagai pembaharuan yang lebih positif. Di dalam dunia tiada insan yang terkecuali untuk merdekakan diri dan minda. Manusia dijadikan tuhan untuk bebas berfikir ke arah kebaikan dan bukan kebatilan. Anda perlu mencari untuk perkembangan diri di dalam kehidupan yang sebenar. Sebagai manusia yang berakal tidak wajar kekal dalam keadaan kegelapan dan anda perlu keluar dari alam kegelapan tersebut. Sesudah mengetahui, anda tidak lagi boleh berkecuali untuk tidak memperdulikan sesuatu kebaikan di depan mata.

Minda yang pro-aktif berpeluang mencapai kejayaan dengan bergaya.

Bila ada perkara-perkara baru yang muncul di hadapan ini tidak bermakna anda meninggalkan yang lama di belakang. Benda yang lama tetap berharga jika ianya mendatangkan menafaat kepada anda, tetapi jika sebaliknya maka anda terpaksa melupakannya demi masa depan. Adakalanya juga benda baru yang hadir dan mendatangkan kemudaratan juga perlu anda pinggirkan. Jika perkara baru dan lama boleh seiring dan boleh diperkasakan itu adalah lebih baik. Soalnya pemilihan mestilah dibuat dengan tepat dan seimbang dengan naluri dan yang lebih penting mestilah rasional untuk perubahan kepada kebaikan.

Bebaskan minda anda yang selama ini dipengaruhi unsur-unsur negatif.

Anda pernah mendengar tetapi mungkin tidak tahu atau tidak faham. Anda pernah melihat tetapi mungkin tidak prihatin atau tidak peduli. Soalannya kenapa orang lain boleh dan anda tidak boleh? Adakah orang lain ada keistimewaan dan anda tidak atau adakah orang lain sudah sedar dan anda masih dalam selimut terus berdengkur?

Anda akan menjadi bijak dan mampu melihat kebenaran di depan mata dan akhirnya anda tidak akan membiarkan minda terpenjara. Malangnya terdapat orang yang belum jadi pendengar yang baik, belum jadi pembaca yang rajin dan belum jadi pengamal yang bagus. Tetapi kita perlu tegas untuk membawa perubahan. Orang yang tidak tahu dan tidak mengerti, maka mereka tidak pernah merasai nikmat pembaharuan. Sekiranya anda mula sedar dan celik maka, anda akan lebih bagus daripada sekarang dan lebih maju di masa depan.

Perubahan dan kemajuan hari ini perlu seimbang dengan jiwa naluri anda. Anda akan menaruh harapan agar perubahan yang diterima akan menjadikan anda lebih berpengetahuan dan bermaklumat. Amat hipokrit dan tidak bertanggungjawab apabila anda menolak perkara baru yang boleh membawa kepada satu tahap yang lebih baik dari sekarang. Anda perlu ikhlas di dalam hal ini supaya apa jua perkembangan yang bermanafaat akan menyinar untuk generasi yang akan datang.

Anda perlu satu transformasi untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Skop merdekakan minda terlalu luas dan sukar untuk diperincikan seperti sukan, politik, teknoloji, perisian, komputer, alat komunikasi dan lain-lain. Sebagai satu contoh hari ini transformasi yang telah berlaku kepada kebanyakkan jenis sukan. Perubahan dilakukan supaya ianya lebih kompetitif dan dapat mengawal masa kejohanan supaya lebih efisien. Oleh demikian sebagai ahli sukan dan peminat sukan perlu akur kepada perubahan tersebut kerana ianya kehendak semasa demi kebaikan atlet dan populariti sukan itu sendiri. Mungkin peringkat awal penerimaannya agak janggal, tetapi lama kelaman ianya akan menjadi biasa. Seperti kata pepatah “alah bisa tegar biasa”.

Di dalam dunia moden hari ini terdapat banyak perkara-perkara baru yang direka cipta dan anda perlu ada sikap mengambil tahu supaya tidak ketinggalan zaman. Pembaharuan dan perubahan saban hari mengajar anda lebih bijak dan matang di dalam perjalanan kehidupan seharian. Anda tidak perlu berbohong bahawa pembaharuan dan kemudahan hari ini tidak menolong atau mengubah cara kehidupan.

Anda masih ada peluang, anda masih ada waktu dan anda masih ada tenaga. Selagi itu yang ada bersama anda, maka anda mampu melakukannya. Bila perkara baru dan lama menjadi penting kepada perubahan maka, ianya perlu seiring dan akhirnya menjadikan lebih cantik dan indah.

No comments:

Post a Comment