Tuesday, May 6, 2014

PERSIAPAN LATIHAN UNTUK KEJAYAAN

Selepas sunyi sepi kerana tiada aktiviti dan kejohanan karom antarabangsa sejak awal tahun hingga ke hari ini, maka insha Allah mungkin bulan-bulan akan datang terdapat beberapa kejohanan di peringkat kebangsaan yang akan berlansung dan juga beberapa badan koperat yang mengadakan kejohanan organisasi tahunan mereka. Saya selaku pengendali blog ini dan terlibat secara lansung karom antarabangsa saya ingin memberi sedikit panduan yang mungkin dapat membantu pemain-pemain untuk menghadapi kejohanan ke arah kecermerlangan.

Kepada pemain-pemain yang layak akan mewakili pasukan masing-masing diucapkan tahniah kerana terpilih dan di harap anda semua dapat membuat persiapan yang rapi dan secukupnya untuk mencapai kejayaan. Samada kejayaan itu berjaya mempertahankan kejuaraan atau mungkin juga muncul juara baru pada tahun ini. Sesuatu kemenangan bukan dicipta tetapi datangnya daripada hasil titik peluh menerusi usaha yang dilakukan. Kemenangan tidak akan terhasil menerusi kata-kata dan angan-angan kosong, tetapi datangnya menerusi perancangan yang mantap dan bersistematik.

Menyentuh topik yang diperkatakan di atas, ada baiknya saya memberi satu contoh yang agak relevan untuk mencapai kejayaan sebagai individu mahupun kepada pasukan anda wakili. Contoh yang hendak saya bawakan adalah sukan nombor satu dunia iaitu bola sepak dan seorang pemain yang cukup popular suatu ketika dahulu. Pemain tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Zico bekas pemain Brazil era '70an hingga lewat '80an adalah contoh yang terbaik untuk saya memberi ulasan. Saya berkesempatan melihat beliau bermain di zaman kegemilangannya dan juga salah seorang pemain Brazil yang saya kagumi. Beliau juga digelar sebagai "White Pele". Kenapa saya mengambil contoh mengenai Zico?

Zico dikenali sebagai antara pemain terbaik dunia di zamannya dan dikenali sebagai “the greatest free kick takers of all time”. Bagaimana beliau mendapat gelaran dan sanjungan yang sungguh luar biasa. Apakah jawapan sebenar? Jawapannya adalah beliau membina atau menaik taraf keupayaan luar biasa menerusi empat elemen iaitu displin, latihan, komitmen dan sikap. Jadual latihan beliau cukup rapi dan padat bersama jurulatih dan rakan seperjuangan. Di samping latihan bersama pasukan beliau juga mempunyai latihan tambahan. Beliau menambah beberapa jam lagi dengan latihan sepakan percuma secara bersendirian untuk meningkatkan kemahiran sasaran dan ketepatan. Peningkatan skil individu amat penting untuk menjadikan seorang pemain yang terbaik dan menarik kelab-kelab dunia dengan harga yang cukup lumayan.


Zico bersama Pele (The King of Footbal) mewakili Brazil


 Zico di zaman kegemilangannya juga digelar "The White Pele".

 
Zico selepas bersara beliau meneruskan karier sebagai jurulatih.

Bayangkan beliau adalah orang yang pertama sampai di padang bola untuk membuat latihan dan beliau jugalah orang yang terakhir meninggalkan tempat tersebut. Begitulah ciri-ciri seorang atlet yang hendak berjaya di dalam karier yang mereka ceburi dan akhirnya membuahkan hasil yang sungguh bernilai untuk diri sendiri. Malah dapat memberi sumbangan kepada majikan yang diwakilnya dan yang lebih penting tempias itu berjaya membawa negaranya ke mercu kejayaan dan menjadikan sebahagian sejarah kehidupan. Pautan klik di sini.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Memandangkan blog ini hanyalah menceritakan aktiviti karom atau yang berkaitan dengannya, maka ada baiknya kita berbicara topik yang saya ingin katakan "Persiapan latihan untuk kejayaan". Mungkin sebahagian apa yang saya hendak perkatakan dapat membantu anda dan pasukan dalam mempersiapkan menghadapi kejohanan akan datang.


Latihan tidak mencukupi jika latihan yang diadakan itu seperti melepas batuk di tangga sahaja. Latihan juga tidak membawa apa-apa makna jika latihan tersebut tidak mengikut sistem atau piawaian yang betul dan akhirnya latihan tersebut tidak memberi impak yang baik. Jika itulah tahap latihan anda lakukan, maka jangan terkejut jika pasukan anda jauh terpelosok ke belakang dan dalam masa yang sama pihak lawan jauh meninggalkan pasukan anda.

Memandangkan terdapat beberapa kejohanan akan datang, maka sedikit pengalaman yang ada saya ingin berkongsi ilmu dan memberi sedikit tip yang mungkin boleh membantu anda di dalam mempersiapkan diri dan pasukan ke arah kecermerlangan.


Berikut adalah 3 langkah perancangan dan persediaan sebagai seorang Pengurus dan pemain ke arah kesempurnaan dalam kejayaan:
1) Tip-tip yang perlu kepada seorang pengurus pasukan:
- Menetapkan misi dan visi pasukan dengan jelas.
- Pengurus mesti bersikap profesional di dalam semua hal penyelesaian.
- Pengurus semestinya mengambil peduli keperluan latihan dan peralatan pemain.
- Memilih peralatan yang terbaik dengan membuat rujukkan kepada pakar.
- Menyediakan peralatan terbaik untuk pasukan menjalani latihan yang sempurna.
- Mengambil tahu asas undang-undang permainan dan belajar adalah terbaik.
- Menyediakan kemudahan dan kebajikan kepada pemain-pemain.
- Mencari seorang jurulatih yang mampu meningkat prestasi pemain-pemain.
- Mengenal pasti jurulatih yang berpengalaman dalam semua aspek permainan.
- Mengadakan jadual latihan untuk jangka pendek dan jangka panjang.
- Mengerahkan tenaga pemain supaya bersedia dari awal dan bukan saat akhir.
- Mengadakan siri ujian sebelum kejohanan untuk menguji tahap pemain.
- Menyediakan rekod dan data pemain ketika latihan dan perlawanan sebenar.
- "Key Performance Indicators" di dalam penentuan pemilihan pemain-pemain.
- Mengawasi setiap pemain semasa perlawanan dan membuat catatan.
- Mengambil catatan keputusan setiap pemain-pemain di dalam perlawanan.
- Menjaga kebajikan dan keperluan pemain-pemain semasa latihan dan kejohanan.

NOTA: Kebiasaan pengurus dilantik oleh pihak pengurusan atasan berdasarkan pangkat mereka yang juga di dalam kategori pengurusan. Walaupun bukan semua tetapi kebanyakkan di antara mereka ini tidak mengetahui permainan secara mendalam. Oleh demikian sebagai pengurus mereka perlu mencari jalan mempelajari dan mengkaji apa yang terbaik untuk pasukan mereka. Jangan kerana pangkat anda tidak menerima buah fikiran daripada pemain-pemain yang lebih mengetahui kerana kerjasama di dalam satu pasukan adalah penting untuk melakarkan kejayaan. 

2) Tip-tip yang perlu diamalkan sebagai seorang pemain semasa sesi latihan:
- Mempunyai papan bermutu tinggi yang selalu digunapakai diperingkat tertinggi.
- Mengunakan striker mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh undang-undang.
- Mempunyai lebih daripada satu striker yang berkualiti tinggi.
- Berdisplin dalam latihan dan akur arahan jurulatih dan pengurus pasukan
- Banyak bertanya kepada Jurulatih adalah terbaik untuk pencerahan.
- Anda menjadi orang pertama atau datang awal ke tempat latihan.
- Pelajari latihan ketahanan mental dan mengawal emosi dalam apa jua keadaan.
- Sesi latihan lakukan dengan serius dan tiada unsur gurauan.
- Sentiasa fokus semasa latihan untuk keyakinan diri.
- Jadikan latihan bersama rakan sepasukan seperti perlawanan sebenar.
- Sesi latihan bukan paksaan tetapi hadir dengan penuh minat dan komitmen.
- Konsentrasi setiap waktu semasa latihan atau perlawanan bersama rakan.
- Sentiasa menjaga kesihatan supaya sihat (amalkan senaman ringan).
- Mengambil pemakanan yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan.
- Sentiasa positif dalam latihan dan bermain ke tahap yang terbaik.
- Berkomunikasi bersama jurulatih, pengurus dan rakan sepasukan adalah terbaik.
- Ketika latihan cuba pelbagai teknik sehingga mencapai tujuan.
- Mengawal masa giliran dengan sempurna.
- Mengetahui pengunaan tepung yang sesuai dengan striker dan permukaan papan.
- Mengawal pergerakan tangan dan kaki dalam kawasan dibenarkan.
- Tidak melakukan kesalahan-kesalahan asas yang merugikan.
- Tahap penguasaan undang-undang permainan yang agak baik.
- Sesi latihan bukan untuk mencari juara tetapi mencuba pelbagai teknik dan skil.
- Cuba membawa cara permainan ke satu tahap yang berbeza.
- "Warm up" bersendirian sebelum latihan bersama rakan-rakan sepasukan.
- Mengamalkan latihan secara bersendirian dan berterusan jika ada kelapangan.
- Elakkan latihan hampir hari kejohanan. Latihan mestilah konsisten.
- Berguru adalah kunci untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan kejayaan.
- Mencari jurulatih yang mahir undang-undang dan skil permainan.
- Jurulatih memberi panduan dan selebihnya pemain melakukan perubahan.
- Melihat cara permainan orang atau menerusi video dapat mempelajari sesuatu.
- Mengambil peduli undang-undang secara menyeluruh.
- Jika kurang faham sila hubungi jurulatih untuk menyelesaikan masalah tersebut.
- Menyediakan data latihan olih jurulatih untuk mengetahui tahap pencapaian.

NOTA: Seseorang pemain yang cemerlang sentiasa meningkatkan skil permainan pada setiap masa atau jika masa mengizinkan. Pemain yang mempunyai iltizam akan sentiasa bersiap sedia bila-bila masa.

3) Tip-tip yang perlu diamalkan seorang pemain semasa perlawanan:
- Membawa misi dan visi pasukan dengan jelas.
- Mendengar nasihat dan arahan Jurulatih dan Pengurus di sepanjang kejohanan.
- Menjaga kesihatan supaya sihat dan sempurna di sepanjang kejohanan.
- Mengambil makanan berkhasiat dan elakkan dari makanan yang mencurigakan. 
- Datang awal ke tempat perlawanan dan sentiasa bersedia.
- Mengambil peluang bertanya kepada pengadil tentang peraturan atau teknik.
- Mencuba beberapa papan bersama tepung untuk menguji kesesuaian striker.
- Jika terdapat papan bergoyang semasa mencuba papan sila lapor kepada pengadil.
- Pengesahan spesifikasi striker sebelum kejohanan bermula.
- Konsentrasi dan sentiasa positif dalam perlawanan pada tahap yang terbaik.
- Perlu berkomunikasi dengan Jurulatih dan Pengurus untuk mencari penyelesaian.
- Fokus di dalam setiap tindakan dalam perlawanan dan memberi yang terbaik.
- Dalam perlawanan bermain dengan cara yang mudah dan tanpa tekanan.
- Mengawal masa giliran bermain dengan sempurna.
- Mengawal pergerakan tangan dan kaki dalam kawasan dibenarkan.
- Tidak melakukan kesalahan-kesalahan asas yang merugikan.
- Dalam situasi tertentu bermain secara bertahan dan menyerang.
- Cuba memasukkan buah karom sebanyak mungkin pada setiap giliran.
- Cuba membawa cara permainan ke satu tahap yang berbeza.
- Melihat rakan sepasukan bermain untuk membuat pembetulan .

- Melihat permainan pihak lawan supaya dapat mempelajari sesuatu yang baru.
- Sentiasa berada di tempat perlawanan selagi jadual perlawanan belum selesai.
- Menjaga adab sebagai pemain yang berdisplin dan berhemah setiap masa.
- Pihak lawan sebagai musuh hanya di gelangang dan selepas itu jadikan kawan.
- Jangan bersikap biadab jika keputusan pengadil tidak memihak kepada anda.
- Boleh membantah keputusan pengadil melalui saluran yang betul.
- Sentiasa menunjukkan sikap yang profesional dalam apa jua keadaan.
- Bertindak bijak dan tidak memperbodohkan diri sendiri di khalayak ramai.
- Tahap penguasaan asas permainan yang agak baik untuk mengelak kesalahan.

RUMUSAN

Untuk memperolehi kejayaan yang sebenar bukan hanya bergantung kepada undian atau nasib, tetapi menerusi latihan yang keras, pengorbanan, sikap dan yang akhirnya komited apa yang anda lakukan. Renungi kata-kata ini "Jika anda tidak berusaha, maka anda tidak akan memperolehi apa yang diidamkan dan jika anda tidak belajar, sebenarnya anda masih berada di tahap yang sama". Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung yang hanya mengenali dunia di sekelilingnya sahaja. Hari ini untuk melangkah lebih jauh dan berjaya anda perlu positif dan semestinya berada beberapa langkah di hadapan pihak lawan.

Saya bukan pakar tetapi melalui pengalaman sedikit yang ada ingin berkongsi ilmu dengan pembaca yang mungkin panduan di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda ke arah yang lebih sempurna atau jadikan panduan di atas yang akan membawa peningkatan kepada diri dan pasukan anda. Jika terdapat kekurangan harap maaf kerana sebagai manusia  kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Kepada anda yang berkebolehan dan ingin membuat penambahan yang membina boleh e-mel kepada saya dan pengunjung komunitikarom akan mendapat manfaat daripadanya. 


Kata-kata akhir daripada saya: "We gain the knowledge. We share the knowledge. We spread the knowledge".

No comments:

Post a Comment