Friday, September 12, 2014

KEJOHANAN KAROM PIALA KETUA POLIS NEGARA 2014


Tarikh: 23, 24 dan 25 Ogos 2014
Tempat: Kota Bharu, Kelantan.

Tahun ini merupakan siri kedua Kejohanan Karom Ketua Polis Negara di adakan dan Kelantan dipilih sebagai tuan rumah pada kali ini. Kami tiba dari Kuala Lumpur tepat jam 2.00 petang dan singgah sebentar masjid dan selepas kami mencari restoran untuk mngisi tangki yang sudah kosong. Selepas kami menjamu selera berhampiran Stadium yang juga bersebelahan IPD Kelantan yang akan mengadakan mesyuarat pengurus pasukan. Sekitar 4:30 petang diadakan pula mesyuarat pengurus pasukan bersama ketua pengadil setiap perlawanan untuk sesi pencerahan dan soal jawap untuk mengetahui lebih lanjut undang-undang permainan dan apa jua perkara yang berbangkit.

Selesai mesyuarat kami melihat tempat penginapan dan meninjau suasana tempat kejohanan. Dewan Sebelas dijadikan gelanggang kejohanan dikongsi bersama Dart dan Dam Aji. Kami bertemu Sarjan Mejar Norazman yang ditugaskan penyelaras dewan kejohanan dan tempat penginapan. Selepas makan malam semua pengadil terpaksa menjalankan tugas lebih awal supaya kejohanan berjalan lancar. Oleh demikian kami terpaksa menyusun kembali kedudukan papan karom dan memastikan semua papan dalam keadaan stabil dan permukaannya sama rata.

Papan rasmi kejohanan terdiri dari dua jenama yang terkenal dan selalu digunakan di kejohanan antarabangsa seperti World Cup, World Championship, ICF Cup dan Asia Cup. Papan ini juga menjadi papan rasmi kejohanan di negara-negara seperti Maldives, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka dan India. Dua jenama papan tersebut adalah Synco Premium Champion dan Precise Elegant Champion. Manakala buah karom mengunakan jenama Ashwin. Walaupun peserta belum sampai ke tahap antarabangsa tetapi mereka cukup bertuah kerana dapat mengunakan papan terbaik di kejohanan kali ini. Ini mungkin langkah pertama sebelum ada di antara mereka nanti dapat mewakili negara di masa hadapan.

 Senarai pasukan yang mengambil bahagian di dalam kejohanan Karom Ketua Polis Negara 2014

Hari pertama sebelum kejohanan bermula saya selaku Ketua Pengadil telah mengadaka sesi penerangan undang-undang secara ringkas kepada semua pemain-pemain yang mengambil bahagian. Saya juga membuka ruangan soal jawap supaya bila bermulanya kejohanan nanti tiada isu-isu yng berbangkit. Ini merupakan kejohanan kali kedua diadakan dan saya melihat kefahaman semakin bertambah. Mungkin kejohanan yang diadakan dua tahun sekali ini ada yang sudah terlupa atau keliru sedikit. Sesi pencerahan ini memberi peluang kepada peserta-peserta yang mengambil bahagian dapat bermain dengan lebih yakin dan sempurna.

Hari pertama ada sedikit isu kerana terdapat satu regu telah mengambil masa hampir dua jam untuk menamatkan perlawanan. Oleh demikian jadual perlawanan pada hari kedua terpaksa dipanjangkan sehingga hampir tengah malam. Perlawanan terpaksa diteruskan supaya pada hari ketiga perlawanan dapat mengikut kembali jadual asal yang telah ditetapkan.

Suasana Dewan Sebelas masih selesa walaupun berkongsi dengan Dart dan Dam Aji. Biasalah bila sudah berkongsi satu dewan menjadi hingar-bingar kerana sorakan dan laungan penyokong-pnyokong yang mengamatkan suasana.

PUSINGAN AWAL PERINGKAT KUMPULAN (LIGA)



























 



 







 




















 




 



 PASUKAN YANG BERJAYA MELANGKAH KE PERLAWANAN SUKU AKHIR





SUKU AKHIR PERTAMA: PULAU PINANG vs PERAK
 





SUKU AKHIR KEDUA: BUKIT AMAN vs KELANTAN





 PENENTUAN TEMPAT KETIGA: KELANTAN vs PULAU PINANG





PENENTUAN JUARA: BUKIT AMAN vs PERAK





Kesimpulan secara keseluruhan perjalanan kejohanan berjalan lancar cuma ada dua kes berlaku ketidakpuasan di antara pemain-pemain apabila melakukan kesalahan, Seperti biasa bila kejohanan besar atau kecil perkara ketidakpuasan tetap akan berlaku dan ianya tidak mengenal faktor usia. Dengan pengalaman yang ada saya mencari jalan yang terbaik untuk mengatasi permasalahan tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan perlawanan diteruskan kembali.

Kejohanan kali ini juga dilihat mencipta sejarah tersendiri kerana kesalahan yang sama berlaku berulang kali. Kesalahan yang paling ketara adalah mengambil giliran pihak lawan. Di hari pertama satu kes dan hari kedua tejadi lagi tiga kes dan satu kes pada hari yang terakhir. Dan yang kelakarnya kes hari terakhir dilakukan oleh pasangan yang sama melakukan kesalahan pada hari pertama. Pada pengamatan saya pada kes ini terjadi kerana pemain-pemain mengunakan satu striker secara bergilir-gilir dan mereka tidak fokus atau hilang konsentrasi dalam permainan. Daripada kesalahan ini saya mengharapkan di masa yang akan datang tidak akan berlaku lagi kesalahan yang sama kerana mereka telah membayar dengan yang mahal.   

Kepada yang berjaya diucapkan tahniah dan kepada yang gagal cuba lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Kepada yang gagal diharapkan muhasabah diri dan menkaji di manakah kesilapannya. Kesilapan ini perlu diperbaiki untuk membina kejayaan seterusnya.

KEPUTUSAN AKHIR KEJOHANAN
Juara: Bukit Aman
Naib Juara: Perak
Ketiga: Kelantan
Keempat: Pulau Pinang

URUSETIA KEJOHANAN
Urusetia yang diketuai oleh ASP Abdul Ruslan (nombor dua dari kanan) yang cukup berhemah dan berdidikasi menjalankan tugas bersama pegawai-pegawai beliau yang cukup komited. Sekalung tahniah kepada pasukan beliau yang dapat memahami cara pengendalian kejohanan dengan waktu yang singkat. Saya memberi lima bintang kepada urusetia dan berkebolehan untuk menjalankan tugas di masa hadapan. Terimakasih tidak tertingga juga kepada ASP Zaharah Hassan Setiausaha kejohanan 2014 yang dapat menyediakan satu pasukan yang cukup berdidikasi. Sebelum tarikh kejohanan bermula sehingga berakhirna kejohanan saya kira ASP Zaharah menjalankan tugas dengan baik sekali. Akhirnya terimakasih kepada Sarjan Mejar Norazman yang menjaga kami lebih-lebih lagi belanja makan pagi pada hari kedua kejohanan. Saya tidak berkesempatan mengambil gambar mereka berdua.




Pengadil yang bertugas

Saya ingin memberi beberapa panduan khas kepada pengurus-pengurus pasukan dan pemain-pemain yang mengambil bahagian untuk menambahbaikkan pencapaian pasukan mereka di masa hadapan. Panduan ini sebagai satu pencerahan supaya kelemahan ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin ke arah lebih sempurna. Berikut adalah 12 perkara yang perlu diberi perhatian seperti tersenarai di bawah:

1) PEMAIN
Apabila seseorang pemain sudah terpilih mewakili pasukan masing-masing, maka apa yang perlu mereka lakukan adalah komited menjalani latihan. Mereka juga perlu mempunyai misi sendiri dan pasukan yang diwakili oleh mereka. Pengurus jangan hanya mengharapkan kemenangan sahaja sedangkan tiada usaha untuk meningkatkan pencapaian mereka dari sudut memahami undang-undang dan skil permainan. Adalah lebih baik jika pemain mengambil inisiatif untuk berlatih berterusan dan bukan sekadar mengikut jadual yang telah disusun oleh pengurus mereka sahaja.

2) PENGURUS
Pengurus adalah kunci sebenar untuk mencapai kejayaan. Saya mengatakan demikian kerana tanpa pengurus sesebuah pasukan tidak berfungsi dengan sempurna. Seperti satu peribahasa berbunyi "Seperti anak ayam kehilangan ibunya". Oleh demikian pemilihan seorang pengurus pasukan penting dipilih oleh pihak atasan mempunyai kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dan bukan sekadar tangkap muat sahaja. Seorang pengurus perlu mempunyai wawasan untuk membimbing dan merangka pasukannya ke arah kejayaan.

3) LATIHAN
Kebanyakkan pasukan yang mengambil bahagian tidak menjalani latihan yang formal dan bersistematik yang sepatutnya diberikan kepada pemain-pemain. Gagal latihan yang sempurna, maka gagallah untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan mereka. Jarak masa latihan sebelum tarikh kejohanan juga faktor yang penting dan tidak hanya menjalani latihan apabila hampir tarikh kejohanan atau secara "Ad hoc" sahaja.

4) PERALATAN
Mempunyai peralatan seperti papan dan striker yang bagus adalah kunci dan penting untuk latihan. Jika peralatan yang salah atau tidak sesuai atau lebih parah lagi tidak mempunyai peralatan lansung maka mana mungkin sebuah pasukan akan berjaya dengan cermerlang dan lebih-lebih lagi untuk mendapatkan kejayaan. Perlu pandai memilih dan menilai peralatan yang berkualiti dan popular di pasaran atau digunakan di kejohanan-kejohanan yang besar. Di samping itu juga memerlukan seorang pakar rujuk sebelum bertindak. Akhir sekali sebelum membuat sebarang keputusan anda juga perlu membuat "home work" sendiri.

5) JURULATIH
Jurulatih penting untuk pemain-pemain mempelajari teknik atau skil yang baru dan meningkatkan pengetahuan dari segi undang-undang permainan. Oleh demikian mencari jurulatih yang berpengalaman dan berkaliber perlu dilakukan dengan teliti untuk membangunkan pemain-pemain dan pasukan secara keseluruhannya. Pemilihan seorang jurulatih adalah perlu berlandaskan latar belakang dan pencapaian mereka. Gagal memilih jurulatih yang sesuai bermakna masa dan wang ringgit menjadi sia-sia sahaja "Seperti mencurah air di atas daun keladi.  

6) ILMU
Ilmu ibaratkan cahaya dan cahaya itulah akan mewarnai diri kita. Ilmu cukup penting kerana dengannya kita akan melihat garis pemisah di antara pemain yang berilmu atau sebaliknya. Ilmu tidak datang bergolek dan tidak juga menjelma di depan mata. Ilmu perlu dicari dan jika ilmu sudah di dada, maka ilmu itu perlu digharab sebaik mungkin.  Ilmu bukan sekadar perhiasan tetapi sentiasa digilap supaya tidak berkarat.

7) PELABURAN
Di dalam dunia yang kompetitif hari ini untuk berjaya memerlukan satu pelaburan yang besar. Tanpa pelaburan yang sesuai ianya akan gagal dan tidak akan ke mana-mana. Peralatan dan jurulatih adalah satu pelaburan yang terpenting. Dalam permainan perkara pokok adalah mendapatkan kepandaian dan kecekapan. Soalnya dari manakah untuk mendapatkan kepandaian dan kecekapan tersebut jika tidak melalui satu transformasi latihan yang komprehensif. Dan sudah tentu transformasi tersebut memerlukan seorang jurulatih berpengalaman.

8) KEBAJIKAN
Menjaga kebajikan pemain-pemain adalah satu unsur motivasi ke arah mencapai kecermerlangan. Oleh demikian pengurus perlu menjaga pemain-pemain mereka di samping memberi imbuhan jika berjaya melepasi KPI yang telah ditetapkan. Pemain-pemain juga jangan hanya mengharapkan habuan semata-mata tanpa menunjukkan kemampuan mereka yang sebenar.

9) SIKAP
Untuk berjaya sikap untuk berubah perlu ujud di dalam diri kita. Jika sifat ini tiada di dalam diri, maka kita mati dalam hidup sebenarnya. Selagi kita digelar insan perubahan itu perlu berlaku dan hadir di dalam hidup kita. Jangan ada sikap menolak sahaja dan tidak mahu kepada lonjakan paradigma perubahan atau kebaikkan. Perlu sikap yang positif ke arah memajukan diri dan pasukan secara total. 

10) EMOSI
Emosi merupakan reaksi rangsangan dari luar dan dalam diri. Mengawal emosi ketika menjalani latihan lebih-lebih lagi semasa kejohanan berlansung adalah cukup penting. Semasa perlawanan emosi kita turun dan naik apabila berlakunya sesuatu keadaan positif atau negatif. Jika seseorang dapat mengawal emosi dengan baik, maka beliau boleh menerima tekanan dalam apa jua bentuk dan dapat menyelesaikan dengan baik. Sifat begini perlu ada kepada pemain-pemain. Tetapi jika seseorang itu tidak dapat mengawal emosinya dengan baik, maka sudah pasti keputusannya juga tidak akan memihak kepadanya.

11) MINAT
Apabila minat sudah ada di dalam diri, maka dengan sendirinya kita akan melakukannya secara berterusan dan bukan bermusim. Maksudnya seseorang pemain yang meminati sukan ini bukan hanya menunggu tarikh kejohanan barulah mencari papan, buah karom dan striker, tetapi mereka akan berterusan menjalani latihan ketika bersendirian mahupun berkumpulan. Oleh demikian minat amat penting bukan hanya setakat suka bermain tetapi menjadikan sukan sebahagian dari kehidupan dan akhirnya menjadikan mereka lebih kreatif meningkatkan skil permainan. Bagi pemain bermusim yang hanya menunggu hari kejohanan sahaja, mereka ini akan berada ditakuk yang lama malah tidak keterlaluan dikatakan akan bertanya benda yang sama saban tahun. Ini pengalaman saya sebagai ketua pengadil apabila tiba sesi taklimat sebelum bermulanya kejohanan.
  
12) ILTIZAM
Iltizam perlu difahami dengan cara yang betul dan jujur serta patuh kepada polisi-polisi yang diputuskan oleh pihak pengurusan. Iltizam mestilah bersifat sempurna dan ke arah kecemerlangan. Semakin tinggi iltizam seorang, maka semakin tinggi jugalah sumbangan, pengorbanan dan tanggungjawab terhadap perancangan visi dan misi. Berpegang kepada iltizam dengan konsisten dan mampu membawa agenda yang telah tertulis membolehkan mencapai kejayaan. Untuk itu bermulanya iltizam pada diri sendiri dan berjaya menyerapi kepada satu pasukan adalah yang terbaik. 

Sebelum melabuhkan tirai, anda perlu bertanya kepada diri sendiri dengan sejujur-jujurnya iaitu "Ke manakah arah tuju pasukan di bawah jagaan anda selepas ini".

Pasti anda sudah mempunyai jawapannya.....

No comments:

Post a Comment