Wednesday, January 28, 2015

TIADA TEMPAT JURULATIH BOLA SEPAK "OLD SCHOOL"

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Januari 2015

Khairy Jamaluddin

SERI KEMBANGAN - Tiada tempat untuk jurulatih yang tidak mahu berubah serta mengikuti garis panduan sistem kejurulatihan seperti yang diperkenalkan dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata jurulatih era baru memerlukan sistem lebih teratur dan maklumat lebih saintifik untuk mengenal pasti kelebihan atau kelemahan pasukan yang dibimbing mereka.
  
"Jurulatih pada masa kini mesti berubah. Tugas mereka bukan sekadar atas padang. Memang jurulatih sekarang banyak tanggungjawab, perlu sediakan kertas kerja dan laporan, tetapi kalau untuk jurulatih 'old school', ini sesuatu yang mereka tidak suka.
   
"Sukan bola sepak sudah masuk era ke-21, ia lebih santifik daripada dahulu. Jurulatih kini bukan hanya turun padang, jerit dekat budak-budak (pemain) sahaja. Mereka perlu berubah, jika tidak memang tiada tempat untuk mereka dalam PPBN," katanya pada ucaptama Seminar Penyelarasan PPBN 2015 di sini, hari ini.
   
Menurut Khairy, jurulatih perlu keluar dari zon selesa dengan bersedia untuk menjalinkan kerjasama antara satu sama lain, berkongsi pengalaman, terbuka menerima pembaharuan serta lebih berinteraksi dengan pelajar dan ibu bapa.

Pada sidang media kemudian, Khairy mengakui cabaran utama dalam pelaksanaan PPBN adalah mencari jurulatih yang memahami falsafah baharu dalam sukan bola sepak.
   
Katanya memang terdapat jurulatih yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu yang cuba diketengahkan.
   
Justeru, beliau meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah bilangan kursus serta mempercepat pentauliahan jurulatih khusus di peringkat A dan B ke arah melahirkan lebih ramai jurulatih muda yang faham pembaharuan yang hendak dibawa.
   
Beliau turut mengulas laporan media berkaitan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang yang dikatakan tidak diurus dengan baik.
   
Laporan yang disifatkan beliau sebagai tidak tepat itu turut menyentuh beberapa jurulatih yang menarik diri serta pelaksanaan PPBN yang didakwa gagal dilakukan.
   
Sambil menjelaskan akademi itu sebenarnya masih belum beroperasi, menteri itu menegaskan bahawa program PPBN berjalan lancar.
   
Berhubung masalah padang, Khairy berkata ia susulan masalah dengan kontraktor dan usaha dibuat untuk mengatasinya.
   
Menurutnya, masalah yang dikaitkan dengan jurulatih tidak bermakna inisiatif PPBN bermasalah. - Bernama


KOMEN PENULIS

Isu yang dibangkitkan oleh Menteri Belia dan Sukan mengenai jurulatih bukan perkara baru dan ianya juga bukan terhad kepada sukan bolasepak sahaja. Saya ingin membuka skop yang lebih luas yang ditujukan juga kepada persatuan-persatuan sukan yang lain di bawah satu bumbung dengan Kementerian Belia dan Sukan. Kegagalan jurulatih perlu juga dipikul oleh pihak pengurusan persatuan-persatuan sukan yang bermasalah dan pemikiran masih di takuk lama.

Jika pihak Kementerian Belia dan Sukan ingin melihat prestasi sukan di Malaysia lebih ke depan dan berjaya, maka usaha membentuk satu panel pemerhati "watch dog" perlu di adakan untuk memantau aktiviti-aktivi dan perjalanan persatuan lebih terurus dan profesional di dalam semua hal.

Jika ini dapat diujudkan, maka sudah pasti sukan tersebut lebih terjamin dan banyak perkara-perkara positif dapat dirancang dengan berhemah dan tersusun. Apabila badan ini diujudkankan maka sesetengah persatuan-persatuan tidak lagi seperti batu dan membuat sesuatu dengan sewenang-wenangnya tanpa sasaran tertentu.

Tetapi jika gagal melakukannya, maka saya pasti sukan-sukan di Malaysia masih ditahap lama dan ianya tidak akan berubah sampai bila-bila. Hari ini cara pengurusan dan teknik jurulatih sudah jauh berbeza kerana mereka perlu lebih kreatif dan berfikir di luar kotak di dalam membuat sesuatu perancangan.

Sebagai seorang peminat sukan saya ingin melihat aktiviti-aktiviti sukan bukan hanya memberi tumpuan kepada sukan yang mempunyai nama sahaja. Tetapi perlu juga memberi fokus kepada sukan-sukan yang lain secara menyeluruh yang di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Biarlah agihan-agihan yang diberikan dapat memberi menafaat kepada semua persatuan-persatuan di tanah air dan saya ingin melihat sukan dapat membawa dan memberi impak kepada negara dalam mengejar misi kejayaan.

MAJU SUKAN UNTUK NEGARA

Monday, January 5, 2015

IMBASAN PERISTIWA 2014

Selamat tinggal tahun 2014 dan selamat datang tahun 2015.

Apakah perancangan anda tahun ini dan apakah peristiwa atau kenangan yang anda tidak dapat lupakan disepanjang tahun 2014 dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini.

Tahun 2014 baru berlalu dengan meninggalkan seribu kenangan kepada kita di dalam kehidupan seharian. Mungkin sebahagiannya menjadi kenangan indah dan mungkin juga menjadi kenangan pahit. Seperti peribahasa melayu mengatakan, Kalau baik buat tauladan dan kalau tidak baik buat sempadan.

Bagi negara Malaysia kenangan cukup pahit yang tidak dapat dilupakan dengan berlaku beberapa kemalangan dan musibah yang melanda. Ianya memberi impak dan kesan yang cukup besar kepada reputasi negara dan kesedihan kepada individu yang kehilangan sebahagian daripada keluarga yang tersayang. Berikut adalah leretan peristiwa-peristiwa besar yang menyayatkan hati seperti di bawah:

1. Bermula dengan Jerebu tebal yang melanda negara beberapa kali.


2. Air dicatu beberapa bulan kerana kemarau berpanjangan dan paras air di empangan simpanan air di tahap kritikal. Bukan hanya kepada tanaman yang kontang, malah manusia juga terpaksa menyimpan air untuk kegunaan seharian. Tidak dapat digambarkan bagaimana terseksa seketika apabila musibah kemarau ini berlaku.  


3. Misteri kehilangan Pesawat MAS MH370 yang sehingga kini tidak dapat dirungkai walaupun terdapat beberapa pakar memberi pelbagai teori masing-masing di dalam pelbagai bentuk media. Pihak yang terlibat secara lansung dan tidak lansung sudah berbelanja berjuta-juta ringgit tetapi sehingga laporan ini ditulis pencarian tidak menunjukkan sebarang petunjuk.


4. Pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine yang sedang bergolak. Peristiwa ini paling menyayat hati kerana mayat-mayat hancur berkecai dan mengambil beberapa bulan untuk dikenal pasti dengan mengunakan teknoloji DNA.


5. Banjir yang melanda beberapa negeri seperti di Johor, Pahang, Perak, Perlis, Perak dan Kelantan merupakan negeri yang mengalami impak yang paling teruk sehinggakan lumpuh satu negeri buat seketika. Nilai kerugian harta awan dianggarkan menjangkau 1 bilion dan tidak mustahil jumlah terus meningkat apabila keadaan sebenar dinilai semula.


6. Akhirnya sebagai penutup tahun 2014 ialah Pesawat AirAsia QZ8501 jatuh terhempas di sekitar Selat Karimata, Indonesia yang berkemungkinan cuaca buruk. Ketika laporan ini ditulis beberapa mayat-mayat sudah dikenal pasti dan pihak berwajip masih lagi mencari kotak hitam untuk mengetahui keadaan yang sebenar punca berlakunya kemalangan tersebut.


Memandangkan blog ini adalah berkisarkan sukan karom dan saya selaku pengiat karom yang aktif, maka saya ingin menyatakan peristiwa yang cukup penting kepada perkembangan karom di tanah air terutama karom antarabangsa. Peristiwa itu adalah kegagalan Malaysia menghantar pasukan karom ke Kejohanan Dunia (World Cup 2014) di Sun Island Resort, Male, Republic of Maldives. Ini adalah peristiwa yang cukup sadis kepada peminat-peminat karom antarabangsa di tanah air.


Tahun demi tahun kejohanan sudah tiada lagi di bawah anjuran persatuan dan hanya bergantung kepada penganjuran yang dibuat oleh pihak ketiga sahaja. Cukup malang apa yang berlaku hari ini kepada karom antarabangsa. Saya pernah memberi beberapa komen sebelum ini sila klik http://komunitikarom.blogspot.com/2014/10/impak-pengurusan-sukan-kepada-sukan.html, http://komunitikarom.blogspot.com/2014/11/kuasa-menteri-dalam-perkembangunan.html dan http://komunitikarom.blogspot.com/2014/12/kesedaran-diri-dalam-kepimpinan.html

Mungkin ada yang marah atau mungkin juga tidak bersetuju dengan tulisan ini, tetapi sebelum anda marah atau memberi ulasan ada baiknya kepada mereka yang terlibat secara lansung menilai diri sendiri apakah yang anda lakukan demi perkembangan karom antarabangsa di tanah air. Jangan bertindak dan memberi jawapan dengan emosi kerana jika anda memberi jawapan secara emosi, maka jawapaan tersebut tidak memenuhi kriteria yang sebenar.

Tulisan-tulisan di blog ini sebagai ingatan kepada kita semua bahawa sebenarnya gerakgeri kita diperhatikan oleh ramai orang. Kita sudah dewasa dan matang di dalam banyak hal dan apabila orang memberi komen-komen sebegini adalah untuk menyedarkan kita dari tidor dan anda perlu bangkit untuk berada dilandasan yang sebenar. Kita jangan dihinggap satu penyakit di Malaysia yang cukup popular dari dahulu hingga kini iaitu sindrom memuji. Kita hanya inginkan pujian semata-mata tetapi apabila komen dan pandangan yang berbeza ianya dianggap satu bentuk tentangan. Sifat ini perlu dibuang jauh-jauh jika ingin berjaya di dalam di dalam banyak hal.

Walau bagaimana pun pada tahun 2015 saya juga sudah membuat beberapa perancangan dan kertas kerja kejohanan ke arah kecermerlangan karom antarabangsa di Malaysia. Ada yang sudah di peringkat perbincangan untuk dilaksanakan dan diharapkan ianya positif dan menjadi kenyataan.Saya mengharapkan badan-badan koprat dan beberapa jabatan kerajaan tidak menjadi halangan untuk menjadikan kejohanan karom antarabangsa dimuatkan di dalam aktiviti kalendar tahunan mereka di masa hadapan.

Semoga apa yang sudah berlaku pada tahun 2014 tidak dapat diundurkan lagi dan diharapkan ianya memberi satu kesedaran dan kita perlu muhasabah diri merupakan jalan yang terbaik. Saya juga mengharapkan tahun 2015 akan memberi cahaya baru dalam dunia karom antarabangsa di Malaysia.