Wednesday, January 28, 2015

TIADA TEMPAT JURULATIH BOLA SEPAK "OLD SCHOOL"

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Januari 2015

Khairy Jamaluddin

SERI KEMBANGAN - Tiada tempat untuk jurulatih yang tidak mahu berubah serta mengikuti garis panduan sistem kejurulatihan seperti yang diperkenalkan dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata jurulatih era baru memerlukan sistem lebih teratur dan maklumat lebih saintifik untuk mengenal pasti kelebihan atau kelemahan pasukan yang dibimbing mereka.
  
"Jurulatih pada masa kini mesti berubah. Tugas mereka bukan sekadar atas padang. Memang jurulatih sekarang banyak tanggungjawab, perlu sediakan kertas kerja dan laporan, tetapi kalau untuk jurulatih 'old school', ini sesuatu yang mereka tidak suka.
   
"Sukan bola sepak sudah masuk era ke-21, ia lebih santifik daripada dahulu. Jurulatih kini bukan hanya turun padang, jerit dekat budak-budak (pemain) sahaja. Mereka perlu berubah, jika tidak memang tiada tempat untuk mereka dalam PPBN," katanya pada ucaptama Seminar Penyelarasan PPBN 2015 di sini, hari ini.
   
Menurut Khairy, jurulatih perlu keluar dari zon selesa dengan bersedia untuk menjalinkan kerjasama antara satu sama lain, berkongsi pengalaman, terbuka menerima pembaharuan serta lebih berinteraksi dengan pelajar dan ibu bapa.

Pada sidang media kemudian, Khairy mengakui cabaran utama dalam pelaksanaan PPBN adalah mencari jurulatih yang memahami falsafah baharu dalam sukan bola sepak.
   
Katanya memang terdapat jurulatih yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu yang cuba diketengahkan.
   
Justeru, beliau meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah bilangan kursus serta mempercepat pentauliahan jurulatih khusus di peringkat A dan B ke arah melahirkan lebih ramai jurulatih muda yang faham pembaharuan yang hendak dibawa.
   
Beliau turut mengulas laporan media berkaitan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang yang dikatakan tidak diurus dengan baik.
   
Laporan yang disifatkan beliau sebagai tidak tepat itu turut menyentuh beberapa jurulatih yang menarik diri serta pelaksanaan PPBN yang didakwa gagal dilakukan.
   
Sambil menjelaskan akademi itu sebenarnya masih belum beroperasi, menteri itu menegaskan bahawa program PPBN berjalan lancar.
   
Berhubung masalah padang, Khairy berkata ia susulan masalah dengan kontraktor dan usaha dibuat untuk mengatasinya.
   
Menurutnya, masalah yang dikaitkan dengan jurulatih tidak bermakna inisiatif PPBN bermasalah. - Bernama


KOMEN PENULIS

Isu yang dibangkitkan oleh Menteri Belia dan Sukan mengenai jurulatih bukan perkara baru dan ianya juga bukan terhad kepada sukan bolasepak sahaja. Saya ingin membuka skop yang lebih luas yang ditujukan juga kepada persatuan-persatuan sukan yang lain di bawah satu bumbung dengan Kementerian Belia dan Sukan. Kegagalan jurulatih perlu juga dipikul oleh pihak pengurusan persatuan-persatuan sukan yang bermasalah dan pemikiran masih di takuk lama.

Jika pihak Kementerian Belia dan Sukan ingin melihat prestasi sukan di Malaysia lebih ke depan dan berjaya, maka usaha membentuk satu panel pemerhati "watch dog" perlu di adakan untuk memantau aktiviti-aktivi dan perjalanan persatuan lebih terurus dan profesional di dalam semua hal.

Jika ini dapat diujudkan, maka sudah pasti sukan tersebut lebih terjamin dan banyak perkara-perkara positif dapat dirancang dengan berhemah dan tersusun. Apabila badan ini diujudkankan maka sesetengah persatuan-persatuan tidak lagi seperti batu dan membuat sesuatu dengan sewenang-wenangnya tanpa sasaran tertentu.

Tetapi jika gagal melakukannya, maka saya pasti sukan-sukan di Malaysia masih ditahap lama dan ianya tidak akan berubah sampai bila-bila. Hari ini cara pengurusan dan teknik jurulatih sudah jauh berbeza kerana mereka perlu lebih kreatif dan berfikir di luar kotak di dalam membuat sesuatu perancangan.

Sebagai seorang peminat sukan saya ingin melihat aktiviti-aktiviti sukan bukan hanya memberi tumpuan kepada sukan yang mempunyai nama sahaja. Tetapi perlu juga memberi fokus kepada sukan-sukan yang lain secara menyeluruh yang di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Biarlah agihan-agihan yang diberikan dapat memberi menafaat kepada semua persatuan-persatuan di tanah air dan saya ingin melihat sukan dapat membawa dan memberi impak kepada negara dalam mengejar misi kejayaan.

MAJU SUKAN UNTUK NEGARA

No comments:

Post a Comment