Tuesday, September 29, 2015

PART I: US OPEN CARROM CHAMPIONSHIP 2015

Tarikh: 18th, 19th dan 20th September 2015
Tempat: Holiday Inn, Dallas, Texas, USA.


OPEN US 2015 kembali lagi. Kejohanan kali ini selain daripada peserta tempatan terdapat juga beberapa peserta daripada luar USA iaitu daripada Switzerland, India, Kanada, UK dan Perancis. Ketika berita ini ditulis seramai 71 peserta kesemuanya. Format kejohanan adalah acara perseorangan dan berpasangan atau regu.

Apa yang saya hendak fokus adalah mengenai perubahan yang agak ketara kepada fizikal dan warna peralatan karom itu sendiri. Ukuran dan saiz masih mengikut mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Persatuan Karom Antarabangsa. Cuma yang membezakannya adalah warna permukaan papan karom dan buah karom. Permukaan papan karom biasanya tidak berwarna atau lebih tepat warna kayu asal. Tetapi kali ini pembaharuan warna permukaan berwarna hijau muda membawa satu motif kehijauan atau lebih tepat dipanggil mesra alam. Kalau sebelum ini penjuru setiap empat penjuru papan karom agak tajam tetapi kali ini pula penjurunya dibulatkan. Dari segi keselamatan penjuru bulat adalah lebih selamat dan juga menarik dipandang.

USCARROM membawa satu pembaharuan yang cukup berani kepada perubahan papan karom. Saya secara peribadi menyokong sepenuhnya apa jua ke arah pembaharuan dan pembaikan permainan karom. Untuk terus maju kita perlu memikirkan diluar kotak (think out of the box) dan jangan terkongkong dengan idea lama (stick old ideas). Ini adalah salah satu contoh yang positif dalam berfikir dan seterusnya bergerak ke hadapan (think and move forward) demi perkembangan sukan.

Buat masa ini papan karom baru yang ditempah oleh USCARROM adalah untuk kegunaan US OPEN 2015 sahaja. Di peringkat antarabangsa belum digunakan lagi dan memerlukan kelulusan dan konsesus daripada persatuan diseluruh dunia dan akhirnya diiktiraf oleh Persatuan Karom Antarabangsa.

Jenama SYNCO merupakan di antara papan karom antarabangsa yang terbaik seiring dengan jenama PRECISE yang merupakan orang lama di dalam pembikinan papan karom. Hanya dua jenama ini sahaja yang menjadi pilihan dan popular sebagai papan rasmi kejohanan di peringkat antarabangsa. 

Video menunjukkan Jayadev Suryadevara daripada USCARROM melihat sendiri pembuatan papan karom dan bersama beliau Dr Neeraj Kumar Sampathy merupakan peminat setia karom yang terkenal di India. Saya juga mengambil kesempatan berterima kasih kepada Dr Neeraj kerana mempaparkan link komuniti karom saya di dalam website beliau klik di sini

Berikut adalah suntingan beberapa video mengunakan papan baru yang dikeluarkan oleh SYNCO.







Satu permainan pertunjukkan di antara Kanada dan US


Kesimpulan saya kira ini merupakan percubaan yang cukup berani yang dilakukan USCARROM dalam permainan karom. Perubahan ini adalah di luar kotak fikiran kita yang perlu dikaji bersama. Jika ianya ke arah positif, maka kita perlu menyokongnya untuk ke arah yang lebih sempurna terhadap sukan itu sendiri. Buah fikiran dan hasil yang begini akan memberi impak kepada sukan lebih positif dan akan terus berkembang. Syabas sekali lagi kepada USCARROM yang membawa angin perubahan dan memberi nafas baru kepada sukan karom antarabangsa.

No comments:

Post a Comment