Tuesday, June 28, 2016

PERGINYA SEORANG INSAN YANG KU KASIHI

Hukum alam adalah putaran hidup yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Suka duka di atas muka bumi ini adalah satu kehidupan yang hakiki dalam meneruskan hidup yang fana. Percaturan dan perancangan Allah ke atas makhluk-makhluknya adalah yang terbaik walaupun adakalanya sukar kita fahami dan menerimanya. 

Sebak… sedih… pilu… Itulah perasaan ketika pergi insan yang kita sayangi bermula menyambut kelahiran dan membesar di depan mata selama hampir 20 tahun tiba-tiba sang penciptanya mengambil kembali dalam sekelip mata sahaja.

Sayunya hati ketika pemergian seorang insan yang amat disayangi oleh keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang pergi mengadap illahi buat selama-lamanya. Kehilangan arwah amat dirasai oleh mereka-mereka yang pernah bersama dengannya.

Kali ini saya ingin paparkan seimbas lalu perjalanan kehidupan anak sulung saya bernama Muhammad Akmal. Coretan ini sebagai kenangan abadi dalam mengharungi kehidupan bersama keluarga, rakan-rakan dan penglibatan arwah di dalam dunia pengadilan permainan karom.

Anak sulung saya telah dimasukkan ke Hospital Sungai buloh pada hari Isnin bersamaan 29 Febuari 2016 sekitar jam 2.30 petang dan dimasukkan ke wad sekitar jam 5.00 petang. Keadaan arwah masih stabil dan boleh bercakap tetapi agak lemah sehingga hari selasa bersamaan 2 Febuari 2016. Pada petang sekitar jam 3.30 petang bersamaan 3 Febuari 2016 arwah dimasukkan ke wad ICU dan ditidorkan untuk diberikan perubatan dengan lebih sempurna. Usaha kami sebagai ibu dan bapa ke tahap maksima dimana mengeluarkan sejumlah wang untuk peralatan perubatan arwah yang dibawa masuk dari Singapura untuk membuang toksin di dalam hati. Kita hanya insan biasa yang hanya dapat berusaha tetapi Allah lebih mengetahui. 

Kawan-kawan lama di dalam dunia fotografi (ASFON) yang sempat menziarahi arwah anak saya semasa berada di dalam ICU. Terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang memberi sedikit semangat dalam menempuh dugaan yang Maha Esa. Dari kiri Hasbullah, Isma, M16 (nama gelaran), Suhaizan, Asmaruddin dan Mohar.

Pada petang hari Sabtu merupakan hari terakhir kami berada di ICU bersamanya. Sebelum arwah menghembus nafas yang terakhir terdetik di dalam hati saya dan mengajak isteri masuk ke dalam bilik ICU dimana keadaan arwah semakin kritikal. Saya dan isteri menghampiri katil dan membisikkan ditelinga beliau dengan kalimah LAILAHAILALLAH MUHAMMADUR RASULLULLAH… berakhir sahaja kalimah tersebut mesin nadi arwah terus jatuh mendatar dan terdengar… toooooooooooooooooooooooot…

Rupa-rupanya arwah seperti menunggu kami berdua untuk melihat ibu dan ayahnya kali terakhir…Arwah disahkan meninggal dunia sekitar jam 4.12 petang bersamaan 5 Febuari 2016 di Hospital Sungai Buloh akibat deman denggi berdarah.


Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un

“Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.”

Sahabat-sahabat yang mengetahui permergian arwah anak saya iaitu Remey, Kamaruddin dan Samohon turut hadir. Terima kasih bersusah payah datang menziarahi arwah anak saya sehingga selesai urusan.

Arwah dikafankan, dibacakan tahlil dan disembahyangkan juga di Hospital Sungai Buloh. Selepas itu jenazah terus dibawa ke Hutan Melintang, Perak dan sampai di sana sekitar jam 10.04 malam. Kawan-kawan arwah dari Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah turut datang menziarahi untuk melihat wajah arwah kali terakhir. Mereka juga beramai-ramai membaca surah yasin untuk disedekahkan kepada arwah.

Keesukkan harinya sekitar jam 9.00 pagi bersamaan 6 Febuari 2016 arwah disembahyangkan sekali lagi dan terus di bawa ke Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh untuk disemadikan. Arwah selamat dikebumikan sekitar jam 11.00 pagi dan selesai talkin sekitar 11.35 pagi.

Sahabat-sahabat yang rapat dengan arwah menolong sehingga selesai urusan pengkebumian. Dari keluarga arwah kami mengucapkan setinggi terima kasih kerana sanggup datang dari jauh semata-mata membantu sehingga selesai.



Saudara-mara dan kawan-kawan yang berkeras semasa pengkebumian arwah.

Arwah pernah berpesan untuk disemadikan berhampiran arwah datuknya yang pernah menjaga arwah sejak lahir sehingga berumur lima tahun. Alhamdulillah rezeki arwah dapat bersemadi berhampiran walaupun arwah datoknya sudah pergi lebih 15 tahun yang lalu. Saya selaku ayah dan seluruh keluarga arwah mengucapkan setinggi-tinggi terimakasih kepada saudara-mara dan rakan-rakan arwah dari jauh dan dekat yang bersama-sama menguruskan upacara perkembumian arwah sehingga selesai. Tidak ketinggalan kepada guru-guru arwah dan juga kenalan ibu arwah yang banyak membantu hingga ke akhir seperti Puan Roslina bersama suami En Hasrin, Puan Faezah, Puan Marim, Puan Norita, Puan Aishah dan En. Nasari.

Bekas guru-guru, sahabat-sahabat, ibu dan adik arwah bergambar di rumah opah arwah selepas upacara pengkembumian.

Kisah Arwah bersama keluarga

Arwah seorang anak yang bertanggungjawab yang selalu memberi yang terbaik kepada keluarga, menghormati orang tua dan suka belanja keluarga. Paling terharu arwah seorang yang mengambil berat tarikh lahir ahli keluarga dan arwahlah orang yang pertama membuat panggilan dan mengucapkan hari jadi. Sebagai abang sulung arwah cukup bertanggunjawap jika amanah diberikan supaya menjaga adik-adik ketika saya dan isteri berada di luar kawasan. Masa hidup arwah berkesempatan bercuti bersama keluarga beberapa tempat menarik di dalam negara dan paling jauh melancung ke Bandung, Indonesia.
 
Kisah Arwah bersama rakan dan guru

Kisah kehidupan dan aktiviti luar rumah arwah tidak banyak diketahui oleh ahli keluarga dan rata-rata rakan-rakan mengatakan arwah seorang yang suka menolong rakan-rakan di dalam kesusahan dan suka belanja makan minum kawan-kawan. 

Kebanyakkan bekas-bekas guru mengatakan arwah cukup hormat pada guru dan sentiasa memberi salam jika bertembung dengan arwah. Semasa di hospital bekas guru menceritakan arwah pernah membayar makanan beliau di sebuah restoran mamak tanpa pengetahuannya dan bila ditanya, budak yang menjaga kaunter menunjukkan ke arah arwah.
 
Kisah Arwah sebagai pengadil karom

Dalam penglibatan arwah dalam pengadilan kejohanan karom cukup penting membantu saya dan pengadil-pengadil lain dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan, peringkat wilayah, jabatan kerajaan dan badan koprat. Arwah seorang yang cukup dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau. Tugas terakhir arwah adalah di kejohanan Karom MAKSWIP 2016 di Kuala Lumpur.

Arwah pernah menjadi pengadil di kejohanan Karom Ketua Polis Negara di Kota Bharu, Kejohanan Karom Sufma di Kuantan, Kejohanan Karom Jabatan Perdana Menteri dan Kejohanan Kementerian Kewangan.

 
Sedang mengadili Kejohanan Karom Ketua Polis Negara 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

 
Di hadapan IPD Kota Bharu sempena Kejohanan Karom Ketua Polis Negara 2014. Dua beradik yang selalu bergandingan dalam mengadili kejohanan-kejohanan karom dimana saya sebagai ayah melatih mereka.

 
 Bersama pengadil-pengadil Kejohanan Karom Ketua Polis Negara 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

 
 Sedang mengadili Kejohanan Karom Jabatan Perdana Menteri 2014 di Inspen Bangi, Selangor.

 Bersama pengadil-pengadil Kejohanan Karom Jabatan Perdana Menteri 2014 di Inspen Bangi, Selangor.

Sedang mengadili Kejohanan Kementerian Kewangan 2015 di Inspen Bangi, Selangor.

Bersama pengadil-pengadil Kejohanan Karom Kementerian Kewangan 2015 di Inspen Bangi, Selangor.

Sedang mengadili Kejohanan Karom SUFMA 2015 di Kuantan, Pahang.

Bersama Urusetia dan pengadil-pengadil Kejohanan Karom SUSMA 2015 di Kuantan, Pahang.

Tugasan arwah yang terakhir di Kejohanan Karom MAKSWIP 2016 di Kuala Lumpur.

Sebagai penutup bingkisan istimewa ini, selepas seminggu hari arwah kembali ke rahmatullah saya dan isteri mengimbas kembali beberapa peristiwa atau tanda-tanda arwah yang akan meninggalkan kami. Dan kami sendiri tidak menjangka bahawa rupa-rupanya itu adalah tanda-tanda menunjukkan arwah akan pergi meninggalkan kami semua.

Tanda pertama 2 minggu seminggu arwah meninggal, beliau telah untuk pulang ke kampung di Perak untuk menemui opahnya sebelum bermulanya semester yang baru. Pada mulanya kami melarangnya pulang tetapi arwah berkeras untuk pulang kerana ingin menunjukkan motor Kawasaki RR kepada opahnya. Pada malamnya arwah belanja sakan sepupu-sepupunya dan keesokkannya sebelum pulang ke Sungai Buloh, Selangor dua tiga kali beliau berpatah balik dan meminta maaf kepada opahnya, emak saudara serta sepupunya. Selepas arwah pergi barulah mak saudara menceritakan kepada kami kelakuan arwah yang agak pelik semasa pulang ke kampung.


Tanda kedua seminggu sebelum arwah meninggal, arwah telah menempah kaki lembu untuk dibuat sup kaki kegemarannya. Saya menyuruh arwah mempelajari bermula dengan proses membakar kaki, bagaimana membersihkan dan memotong kakinya sehingga selesai dijadikan sup. Arwah hanya menolong separuh jalan sahaja kerana kebetulan kawan arwah datang dan mengajak untuk keluar sekejap. Saya berkata kepada arwah belajarlah sampai selesai nanti kemudian hari boleh buat sendiri lalu arwah berkata tak mengapa Abi (panggilan kepada saya) ini kali terakhir makan sup kaki lembu.

Tanda ketiga semasa kami menghantar ke Mantin pada 24/2/2016 dan singgah di satu restoran tomyam yang selalu kami makan dan minum sebelum hantar ke tempat penginapan. Arwah meminta kami membeli sate dan saya berkata kepadanya sate di sini tidak sedap kerana kami pernah makan sekali semasa menghantar beliau dahulu. Tetapi arwah berkata ini kali terakhir dan tidak makan lagi. 

Tanda keempat umi (panggilan arwah kepada ibunya) mendapati gambar yang digantung di dinding ruangan makan kelihatan muka arwah menjadi kabur dan hampir tidak kelihatan sedangkan gambar kami sekeluarga masih jelas kelihatan.

Dan tanda yang terakhir yang kami ingat ialah pokok yang arwah tanam di depan rumah menjadi kering dan akhirnya mati. Dua minggu sebelum arwah pergi hanya pokok ini sahaja semakin layu dan layu walaupun disiram air setiap hari. Sedangkan pokok lain segar dan menghijau. Mungkin apa yang berlaku secara kebetulan tetapi inilah hikmah dan kebesaran yang Maha Cipta memberi sedikit gambaran atau tanda-tanda arwah mendahului kami sekeluarga.
   
Pokok di tengah yang ditanam oleh arwah mati seperti mengikut tuannya,

Kami sekeluarga mengucapkan setinggi-tinggi berterima kasih kepada saudara mara menziarahi arwah sehingga ke akhir seperti sepupu arwah, bapa saudara arwah Pak Ngah dn Mak Ngah, Pak Lang dan Mak Lang, Pak Uda dan Mak Uda, Mak cik Ani dan Pak Cik Iwan, Acik dan Mak cik, Pak su Eman dan Mak su dan yang terakhir kepada Opah arwah yang sempat menjaga semasa di hospital. Seterusnya bapa saudara sebelah arwah Alang Ya iaitu Ngah Aris, Uda kuzi dan isteri, Lan, Zubir dan Nizam serta isteri. Kepada sepupu arwah Nasrul yang pulang dari Kedah dan sepupu-sepupu arwah yang lain turut serta bersedekah dengan mengkhatam Al-Quran. Juga tidak ketinggalan bapa saudara dan tok sebelah ayah arwah.


Kepada mak saudara arwah Mak Uda, Pak Uda, Mak Cik dan Pak Cik, Pak Cu Eman, dan Mak Cu yang bersusah payah datang ke hospital. Kami juga ucapkan sekalung kasih dan kepada pak saudara arwah Pak Ngah dan Mak Ngah yang menyelesaikan banyak perkara di Bagan Datoh sehingga selesai urusan pengkebumian. Kepada Opah arwah dari awal berada dari hari pertama sehingga ke akhir berada disamping arwah. Tiada ayat yang dapat kami susun untuk dipersembahkan, hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Juga kepada sepupu isteri Kak Mun dan suami Abang Atan dan anak-anak yang turut juga bersama hingga ke akhir. Juga kepada sepupu isteri Mak Mah dan suami Zamri yang turut melawat arwah di hospital.



Terimakasih juga kepada kawan dari komuniti karom Zukiman dari Kedah, Fariz dari Labuan, Nazri dari Pulau Pinang, Faizee da Jamal dari Perak, Mohd Nawi dari Sarawak, Remy, Mutalib, Zamani dan Samohon dari Kuala Lumpur, Ghazali, Nazri, Rashidi, Jai dan Norzalina dari Pahang, Kamaruddin (KJ), Rosmah dan Baharuddin dari Selangor, Christopher dari Negeri Sembilan dan kawan-kawan sekitar Lembah Klang.



Kepada komuniti xSMKAA 74-78 Roaini Norasia, Normadiah, Norazamani, Norhasimah, Fatimah Wahiruddin, Mohd Rosli, Zulkefli, Mokhtar, Azahar, Razak, Amran, Umi Kalsum, Muhammad, Noriah, Nafisah, Halimahton, Saadon, Salmah, Roslina, Khatijah, Mustafar, Kamalias,Wan Azizan dan yang lain dari awal mengambil berat dan sentiasa mengambil tahu perkembangan arwah anak saya hingga ke akhir.


Bersemadi buat selama-lamanya anakku dan kami akan sentiasa mendoakan sesejahteraan rohmu di alam sana. Pesanan arwah kepada umminya setahun yang lalu semasa bermimpi arwah datoknya, jika beliau pergi dahulu supaya disemadikan berhampiran arwah datoknya. Alhamdullilah hajat arwah termakbul walaupun arwah datoknya sudah pergi melebihi 15 tahun yang lalu, ruang masih ada untuk arwah.

Gambar minggu terakhir arwah di rumah sebelum dimasukkan ke hospital.

Kami sekeluarga redha pemergiannya yang telah dirancang oleh Allah sejak awal lagi dan Allah lebih menyayangi beliau. Dari Allah beliau datang dan kepada Allah juga beliau pergi. Kepada mereka yang mengenali arwah marilah bersama-sama kita menadah tangan berdoa semoga arwah yang kini berada di alam barzah jadikan seperti taman-taman di syurga dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman.



Perginya seorang insan yang disayangi memang amat menyedihkan bagi kita yang masih hidup ini, tetapi kami percaya ketentuan yang maha kuasa adalah perancang yang terbaik untuk hamba-hambanya. Wahai anakku bersemadilah dengan tenang dan kenangan mu bersama kami yang hanya seketika akan menjadi satu kenangan yang abadi buat selama-lamanya...



Doa buat anakku semoga bahagia di sana…

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam. Rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad ﷺ , keluarga dan para sahabat Baginda. Ya Allah! Ampunilah anakku, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia, ampunilah dosanya, muliakanlah kedudukannya, lapangkanlah kuburnya dan jadikan di alam barzah seperti taman-taman di syurga. Bersihkanlah dia dari semua kesalahan sebagaimana kain putih dan terhindar dari azab kubur. Jauhi daripada seksaan api neraka dan tempatkan di syurga jannah. Aamiin aamiin yaraballalamiin.

Mohon pengunjung blog komuniti karom meluangkan sedikit masa melafazkan Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Akmal bin Mohd Suhaizan (7/7/1996 – 5/3/2016).


 

No comments:

Post a Comment