Monday, July 12, 2010

KEJOHANAN KAROM MAKSAK 2010


Tarikh: 06 hingga 08 Ogos 2010
Tempat: Puteri Park Hotel, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Kejohanan kali ini diadakan di ibu negara dan merupakan kali pertama Kuala Lumpur diberi peluang menjadi tuan rumah. Kepada pemain-pemain karom MAKSAK yang terpilih mewakili negeri masing-masing pada tahun ini diucapkan tahniah. Pemain-pemain hendaklah bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi kejohanan karom yang diadakan hanya setahun sekali dengan latihan yang mantap dan dapat memberi saingan yang hebat kepada pasukan yang mengambil bahagian.

Saya sarankan kepada pemain yang terpilih hendaklah menjalani latihan yang intensif serta bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang diingini disamping dapat membentuk salah satu pasukan yang digeruni. Untuk membentuk satu pasukan yang mantap dan kuat bukan satu perkara yang mudah tetapi perlu berterusan dengan melakarkan perancangan yang jelas dan jitu.

Saya melihat tahun demi tahun hanya pasukan yang sama sahaja berjaya memasuki peringkat tertinggi dan seterusnya memenangi perlawanan. Saya kira pasukan yang lain juga mempunyai kekuatan tetapi kebanyakkannya mungkin tidak menjalani latihan yang sempurna dan tidak sistematik. Latihan tidak hanya berkisarkan teknik dan skil permainan sahaja tetapi juga perlu mengetahui undang-undang permainan dengan lebih mendalam.

Pengalaman saya disepanjang karier sebagai pengadil kebanyakkan pemain-pemain masih bertanya soalan yang sama setiap kali kejohanan diadakan. Ini menunjukkan mereka tidak menjalani latihan yang berterusan dan hanya membuat latihan ketika hampir tarikh kejohanan sahaja. Jika semua pemain bersikap sedemikian, maka malanglah sungguh sebagai seorang pemain dan mungkin malap perkembangan karom antarabangsa di masa hadapan. Sikap sedemikan perlu dikikis dan setiap pemain perlu melihat karom antarabangsa lebih positif bukan hanya berkisar kepada diri sendiri tetapi perlu war-warkan anak-anak, rakan-rakan dan seterusnya masyarakat di sekeliling.

Manakala pengurus pasukan mempunyai tugas yang berat dan penting untuk menjulang pasukannya ke atas. Peranannya sebagai pemimpin hendaklah tegas dan membuat perancangan jangka panjang untuk membawa pasukannya ke tahap yang lebih baik dari tahun ke tahun.

Pencapaian setiap pemain perlu dipantau dan membuat laporan perkembangan semasa pemilihan dan juga semasa menjalani latihan. Di samping itu juga pengurus perlu mencari jurulatih yang bertauliah untuk membantu pemain-pemain dari peningkatan skil permainan dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pengetahuan undang-undang permainan.

Pengurus perlu merangka dan menyediakan modul-modul yang tertentu untuk menyediakan satu pasukan yang mampu memberi saingan dan kebanggaan kepada organisasi mereka. Jika ini dapat dilakukan oleh seorang pengurus saya pasti karom antarabangsa akan terus meningkat popularitinya di kalangan kakitangan kerajaan dan masyarakat amnya.

Secebis ulasan saya ini dapat menjadikan kita lebih positif dan demi pembangunan sukan karom antarabangsa di Malaysia. Tanpa kerjasama daripada peminat-peminat karom semua, perkara ini tidak akan berlaku.

Sebenarnya perjalanan kita di dalam permainan karom antarabangsa masih jauh tetapi kita sebagai peminat karom perlu menyokong dan melihat ke hadapan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar demi membangunkan sukan karom antarabangsa.

Akhir sekali saya mengharap juga pemain-pemain karom semasa kejohanan karom Makswip tahun ini dapat melihat sendiri suasana kejohanan di samping mempelajari sedikit sebanyak skil permainan dan berjumpa kenalan baru. Tidak ketinggalan juga peminat-peminat karom di sekitar Lembah Klang dapat melapangkan masa dan memeriahkan kejohanan kali ini.

Selamat bejaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan bermainlah dengan semangat kesukanan.

Saya berjumpa anda di sana...

No comments:

Post a Comment