Monday, July 12, 2010

STRIKER, MASA PERMAINAN, TEPUNG DAN BERUS

Apa jua bentuk sukan di dunia hari ini tidak dapat lari dari peraturan kejohanan dan masa yang telah diperuntukkan untuk setiap perlawanan. Peraturan dan masa akan dapat mengawal permainan dengan lebih teratur dan dapat membuat keputusan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Peraturan kejohanan perlu diketahui dan dipatuhi oleh setiap pemain supaya tertib dan berdisplin semasa kejohanan berlansung. Pihak penganjur dapat menguruskan masa permainan lebih cekap dan bersistematik.

STRIKER

Striker merupakan senjata yang penting bagi setiap pemain karom. Pemain perlu mempunyai striker yang terbaik baginya untuk bermain dengan baik. Pemain mempunyai striker yang baik dan skil yang bagus dapat memenangi perlawanan dengan mudah.

Pemain juga memerlukan satu lagi striker (simpanan) jika berlaku kerosakkan semasa perlawanan berlansung. Kemalangan tidak boleh dijangka, tetapi setiap pemain perlu bersedia lebih awal dan itulah yang terbaik. Pemain terbaik dunia membawa sekurang-kurangnya membawa 2 atau 3 striker semasa pertandingan.

Pemilihan striker juga penting dari segi bahan dan rupa bentuk (permukaan tepi striker). Permukaan tepi ada yang rata (flat) dan ada yang sedikit bulat (curve). Striker yang mempunyai permukaan licin adalah yang terbaik bila dijentik dengan kuat ianya dapat bergerak 3 1/2 pantulan atau lebih. Pantulan dikira bermula dari garisan dasar pemain ke bingkai pihak lawan bergerak ke atas dan ke bawah.

Oleh kerana harga striker agak mahal pemain hendaklah menjaga dengan baik semasa pertandingan dan selepas pertandingan. Amalan paling yang bagus ialah selepas tamat pertandingan pemain hendaklah mengasah permukaan bawah striker supaya bersih dan licin dengan mengunakan kertas yang bersesuian. Selepas itu simpan di tempat yang sesuai kerana bila ada mana-mana kejohanan striker anda sudah bersiap sedia untuk digunakan.

Pemain juga diingatkan jauhi daripada sifat meminjam striker dan kepada tuan punya striker jangan sekali-kali memberi pinjam. Kebanyakkan daripada kita bila mengunakan barang kepunyaan orang lain kita tidak dapat menjaga dengan baik atau mungkin semasa bermain secara tidak sengaja striker rosak kerana terjatuh. Sebagai kawan kita juga tidak sampai hati untuk meminta ganti rugi, tetapi kita akan bercakap di belakang sahaja. Akhirnya kita menjadi tidak selesa dan perhubungan menjadi renggang hanya disebabkan striker.

Melalui pengalaman saya ketika berada dibeberapa kejohanan di dalam dan luar negara bersama pemain-pemain India. Mereka tidak benarkan lansung untuk kita melihat lebih teliti striker tersebut. Saya tidak pasti apakah rahsia striker mereka sehinggakan untuk melihat pun tidak boleh apatah lagi untuk memegangnya. Satu lagi pengalaman saya ketika bermain dengan pemain perancis dimana striker beliau termasuk ke dalam saku dan saya mengambilnya dan terkena permukaan bawah striker. Pemain Perancis tersebut agak marah kerana berbuat demikian. Ini kerana jari dan tangan kita agak lembab dan ini membuatkan striker akan tersangkut-sangkut pergerakkannya atau melekat. Bila sampai ke tahap tersebut barulah kita mengetahui bahawa striker adalah yang paling penting dan perlu diberi perhatian.

Striker juga perlu keserasian kepada pemain supaya dapat mengetahui karektoristik striker tersebut. Striker diperbuat daripada pelbagai bahan dan nilai setiap striker juga berbeza dan mempunyai kelebihan tersendiri seperti kelajuan, pergerakkan dan pantulan ketika menjentik biasa atau menjentik dengan memberi tekanan kepada striker tersebut. Seperti kata pepatah melayu hanya jauhari mengenal manikam.

Beberapa jenama striker yang terdapat di pasaran

Sebelum pertandingan bermula striker setiap pemain perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh undang-undang permainan iaitu ukuran diameter tidak melebihi 4.13 sm dan berat tidak melebihi 15.00 gms. Striker akan di sahkan selepas lulus dari pemeriksaan oleh pengadil dengan meletakkan pelekat di atas striker. Striker yang melebihi berat dan ukuran diameter yang tidak mengikut spesifikasi tidak dibenarkan.

AMARAN: Masa perlawanan berlansung jika pengadil mendapati pemain mengunakan striker yang tidak mengikut spesifikasi undang-undang permainan, maka pemain akan kalah keseluruhan permainan tersebut. Juga perlu diberi perhatian semasa permainan berlansung pemain tidak dibenarkan membuat ujian striker di atas permukaan papan karom. Oleh demikian setiap pemain perlu mematuhi peraturan kejohanan dan elak melakukan penipuan.

Alat pengukur diameter Striker tidak melebihi 4.13sm

Alat pengukur berat striker tidak melebihi 15.00gms

Striker akan ditampal peletak menandakan ianya lulus dan mengikut spesifikasi undang-undang permainan.


MASA PERMAINAN

Selepas sahaja Ketua Pengadil memanggil pemain-pemain untuk memulakan permainan, masa yang diberikan adalah selama 15 minit. Jika salah seorang pemain atau regu tidak berada ditempat perlawanan, maka kemenangan percuma (walkover) akan diberikan kepada pemain atau regu yang berada di situ. Pengadil yang menjaga permainan tersebut akan memastikan bahawa nama pemain-pemain seperti yang terdapat pada kad kiraan mata (Score Card).

Pengadil akan membuat undian pecah mula (Break) dengan mengunakan buah karom (putih dan hitam) atau duit syiling. Pemain yang meneka dengan tepat akan membuat pecah mula.

Walaupun masa tidak dinyatakan dengan tepat ketika menyusun buah karom (di dalam bulatan luar) sebelum pecah mula, tetapi pemain perlulah melakukannya dengan masa MINIMA. Semasa menyusun buah karom di dalam bulatan luar (Outer Circle) striker pemain hendaklah diletakkan di bawah garisan dasar (below base line).

Pengadil akan melihat susunan buah karom sebelum pecah mula dan kesemua buah karom tersebut hendaklah rapat dan tiada ruang kosong atau renggang. Susunan buah karom juga tidak menyentuh garisan bulatan luar.

Pemain yang mempunyai giliran pecah mula TIDAK DIBENARKAN memulakan permainan selagi pengadil belum mengatakan "Mula atau Play". Jika berlaku, maka kesalahan akan diistiharkan oleh penagadil mengikut undang-undang permainan. Selepas pengadil mengatakan ‘Mula atau Play’ maka pemain perlu menjentik striker untuk memulakan permainan dalam masa 15 saat.

Jika pemain gagal memecah susunan buah karom tersebut, maka 2 lagi percubaan akan diberikan kepadanya. Jika gagal juga, maka giliran akan berpindah kepada pihak lawan tanpa mengubah kedudukan buah karom yang telah disusun. Selepas pecah mula berlaku maka perlawanan tersebut berjalan secara rasminya.

Pemain yang membuat pecah mula dan ingin memastikan buahnya masuk dengan menyentuh net adalah menjadi kesalahan. Jika berlaku, maka kesalahan akan dikenakan oleh pengadil mengikut undang-undang permainan.

Masa yang diberikan untuk giliran seterusnya selama 15 saat. Masa tersebut adalah dikira selepas pemain tersebut mengambil strikernya. Meletakkan penalti atau due oleh pemain juga diberikan selama 15 saat.

Bila pemain mengambil giliran masa melebihi 15 saat pengadil akan mengatakan 'TIME OUT' dan pihak lawan akan mendapat giliran untuk memulakan permainan. 'Time out' tidak dikenakan penalti cuma hilang giliran bermain sahaja.

Pertukaran tempat duduk semasa permainan pertama ‘game 1’ dan permainan kedua ‘game 2’ adalah selama 2 minit. Rehat semasa perlawanan permainan ketiga iaitu permainan penentuan (game 3) adalah selama 10 minit. Di peringkat antarabangsa permainan mengunakan format 3 permainan yang terbaik (best of 3 games). Kejohanan di Malaysia selalunya hanya bermain satu permainan sahaja (1 game).

Bantahan lisan boleh dilakukan segera & dikuti bantahan bertulis selepas permainan berakhirnya selama 15 minit bersama wang pertaruhan yang penganjur tetapkan. Wang pertaruhan akan hilang sekiranya pegadu tersebut didapati gagal menunjukkan bukti bantahan tersebut. Keputusan bantahan selama 60 minit selepas bantahan bertulis diserahkan.

TEPUNG DAN BERUS

Tepung dan berus

Di dalam permainan karom antarabangsa tepung adalah penting dan bertindak sebagai bahan pelicin untuk mengerakkan striker dan buah-buah karom. Untuk pengetahuan di Malaysia, negara-negara Eropah dan USA mengunakan tepung kentang (potato starch), manakala di India, Sri Lanka, Maldive dan Pakistan mengunakan tepung borik asid (boric acid).

Tepung dan berus hanya boleh digunakan sebelum pecah mula atau selepas permainan tamat sahaja. Semasa permainan berlansung pemain tidak dibenarkan mengunakannya sama sekali malah menjadi kesalahan dan di denda oleh pengadil.

Kebiasaan yang diamalkan oleh pemain-pemain terbaik dunia ialah ketika gilirannya untuk membuat pecah mula. Beliau akan menyusun kedudukan buah karom dengan kelebihan kepada beliau selepas pecah mula. Selepas itu pemain tersebut akan meminta berus daripada pengadil atau beliau melakukannya sendiri dengan menyapu tepung di sekeliling bingkai utama dimana tepung selalunya terkumpul selepas tamat permainan. Selepas itu pula tepung ditabur di atas permukaan papan karom mengikut kegemaran dan kelebihan kepada pemain tersebut.

Perlu diingat tepung di atas permukaan papan karom tidak dibenarkan menyapu dengan jari atau tapak tangan, malah pemain tersebut akan didenda oleh pengadil kerana ianya merupakan kesalahan dari sudut peraturan permainan. Kebiasaannya pemain melakukannya ketika mengambil striker dengan tidak sengaja atau teknik untuk menyapu sekali tepung yang berada di situ. Oleh itu setiap pemain perlu berhati-hati supaya dapat mengelak tindakan daripada pengadil yang bertugas.

Mungkin sesetengah pemain mengambil mudah mengenai pengunaan tepung dan berus di dalam permainan karom antarabangsa. Percayalah, tepung dan berus adalah amat penting dan setiap pemain perlu mengetahui ketika mana dan bila ianya diperlukan. Kelebihan seseorang pemain yang arif mengenai pengunaan tepung dan berus juga menjadi kelebihan semasa permainannya.

KESIMPULAN

STRIKER
1. Berat striker tidak melebihi 15.00 gms dan diameter tidak melebihi 4.13sm.
2. Semasa permainan berlansung ujian striker tidak dibenarkan.
3. Ketika meletak penalti/due, striker hendaklah diletakkan di bawah garisan dasar.
4. Memegang striker ketika meletak penalti/due adalah menjadi kesalahan.
5. Meletak striker di atas bingkai papan karom ketika meletak penalti/due juga melakukan kesalahan.

MASA PERMAINAN
1. Selepas 15 minit nama pemain diumumkan, jika tiada kemenangan kepada pihak lawan.
2. Undian pecah mula diberikan kepada pemain meneka dengan tepat.
3. Pemain menyusun buah karom dalam masa minima di dalam bulatan luar.
4. Pemain boleh pecah mula selepas pengadil berkata 'PLAY'.
5. Pecah mula masa yang diberikan adalah 15 saat.
6. Giliran bermain masa yang diberikan adalah 15 saat.
7. 'TIME OUT' jika pemain mengambil lebih dari 15 saat.
8. Meletak penalti dan/atau due masa yang diberikan adalah 15 saat.
9. Pertukaran tempat duduk antara 'GAME 1' dan 'GAME 2' masa yang diberikan adalah 2 minit.
10. Jika seri 'GAME 3' menjadi penentuan dan masa rehat diberikan adalah 10 minit.
NOTA: KEJOHANAN MAKSWIP DAN MAKSAK HANYA BERMAIN SATU PERMAINAN (1 GAME) SAHAJA.
11. Bantahan bertulis diberikan 15 minit bersama wang pertaruhan.
12. Keputusan dalam masa 60 minit selepas bantahan bertulis diserahkan.

TEPUNG
1. Tepung dan berus dibenarkan sebelum pecah mula dan selepas permainan tamat sahaja.
2. Semasa permainan berlansung tepung dan berus tidak dibenarkan.
3. Tepung tidak dibenarkan disapu dengan jari atau tapak tangan semasa permainan.
4. Ketika pemain mengambil striker sambil menyampu tepung juga melakukan kesalahan.
5. Tepung hanya boleh disapu dengan striker di atas garisan dasar pemain sahaja.

No comments:

Post a Comment