INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Wednesday, October 19, 2011

KEPUTUSAN PEMILIHAN PEMAIN UNTUK 6th ICF CUP 2011

Tarikh: 16 Oktober 2011
Tempat: Wisma OCM, Tingkat 1 (Ruang Legar), Kuala Lumpur.

Pemilihan pemain untuk mewakili Malaysia di kejohanan Piala ICF 2011 kali keenam berjalan lancar. Permulaan dilewatkan sedikit menunggu peserta-peserta yang masih di dalam perjalanan kerana kesesakkan jalan raya.

AJK Karomas bertugas seawal 08.00 pagi dengan menyusun dan mengatur papan karom untuk acara pemilihan yang akan dipertandingkan hari ini. Pendaftaran bermula jam 8.30 pagi sehingga selesai.

Sambutan pemilihan pemain untuk mewakili Malaysia di kejohanan 6th ICF Cup 2011 tidak seperti yang diharapkan. Sambutan boleh dikatakan dingin sekali dan amat mendukacitakan dimana orang-lama lama karom (hardcore) tidak turut serta. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dan kemorosotan peserta amat ketara sekali. Keadaan seperti ini perlu diberi perhatian dan di atasi dengan kadar segera untuk mengembalikan suasana seperti satu ketika dahulu yang mempunyai ramai peminat.

Persatuan yang dipertanggungjawabkan untuk perkembangan karom antarabangsa perlu melakukan sesuatu yang drastik ke arah lebih baik dan diterima kembali oleh peminat-peminat karom. Jika kemorosotan ini tidak diatasi maka dikhuatiri satu hari nanti karom antarabangsa hanya tinggal nama sahaja. Jika ini benar-benar berlaku, maka amat malang untuk generasi-generasi yang akan datang.

Sungguh pun begitu pemilihan tetap diteruskan demi mencari dua pasukan lelaki dan wanita seperti yang telah ditetapkan oleh ICF. En. Roslan Omar Selaku Ketua Pengadil mulakan acara wanita terlebih dahulu dan disusuli peserta lelaki. Secara keseluruhan pemain lelaki seramai 13 orang, manakala pemain wanita pula seramai 5 orang.

Beberapa orang daripada AJK KAROMAS tidak mengambil bahagian pada pemilihan kali ini kerana bertugas pada hari kajohanan. Tambahan pula pengadil yang pengalaman dan berkelayakkan tidak mencukupi. Ini juga membuka peluang kepada muka-muka baru yang hadir ingin mencuba dan mengintai-intai peluang jika mereka berkelayakkan.

















Berikut adalah keputusan rasmi pemain-pemain terpilih yang akan mewakili Malaysia di kejohanan Piala ICF 2011 kali keenam.

Keputusan pemain lelaki:
1. Mutalib
2. Mohd Yunos
3. Shaharuddin
4. Syamsul

Keputusan pemain wanita:
1. Suzana
2. Hasnisa
3. Jamilah
4. Zaida

Kepada yang berjaya diucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana berjaya melepasi piawaian sebagai seorang pemain Malaysia. Diharap kepada yang terpilih hendaklah membuat persiapan awal demi cabaran dan dugaan yang lebih tinggi.

Manakala kepada yang gagal meneruskan misi anda usah kecewa dan bermuram durja. Adab pertandingan menang atau kalah. Apa yang perlu anda hendak mengambil positif dengan kekalahan tersebut untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan terus melangkah ke hadapan.

Kepada mereka yang baru di dalam permainan karom antarabangsa dan berminat, maka saya sarankan perlu mencari ilmu dan belajar bersungguh-sungguh. Ilmu tidak datang bergolek melainkan berusaha mencarinya. Anda hendaklah meletakkan wawasan anda di landasan yang tepat supaya perancangan anda menjadi kenyataan. Langkah pertama yang anda perlu lakukan ialah dengan melihat pemain-pemain terbaik dunia yang akan mengambil bahagian pada 6th ICF Cup di Kuala Lumpur bermula dari 09 hingga 12 November 2011. Ambil peluang keemasan yang berada di hadapan anda dan mempelajari sesuatu daripadanya. Yang pasti anda tidak akan kecewa.

Ini bukan acara pemilihan tetapi hanya selingan sahaja. Mungkin melepaskan gian selepas agak lama tidak bermain seperti Ketua Pengadil En. Roslan Omar. Agaknya mencari sentuhan lama...

Begitu juga dengan Pn Norlia sesekali berjumpa kawan lama tidak melepaskan peluang yang ada...

Sehingga catatan ini ditulis penyertaan sebenar tidak diperolehi lagi dan diharapkan banyak negara akan menyertai kejohanan pada kali ini. Malaysia selaku tuan rumah sungguh bertuah kerana buat pertama kali diberi kepercayaan menganjur kejohanan pada tahun ini. Kali terakhir piala ini dipertandingan di Colombo, Sri lanka pada tahun 2008. Pada kejohanan tersebut pasukan Malaysia mendapat tempat keempat.

Kepada peminat-peminat karom di tanah air terutama di sekitar Lembah Klang jangan lepaskan peluang keemasan ini. Datanglah beramai-ramai pada hari kejohanan berlansung terutama pada hari terakhir dimana ianya merupakan hari kemuncak kejohanan. Pada hari tersebut akan berlaku pertembungan di antara pemain-pemain terbaik di dunia.

Jika bernasib baik anda akan dapat menyaksikan 'White Slam' atau "Black Slam' dicipta di kejohanan kali ini. Anda sungguh bertuah jika ianya terjadi di hadapan mata anda sendiri dan mungkin dapat mempelajari sesuatu daripadanya.

Tuesday, October 18, 2011

PERSIAPAN PENGADIL UNTUK 6th ICF CUP 2011

Tarikh: 15 Oktober 2011
Tempat: Ruang legar Tingkat 1, Bangunan OCM, Kuala Lumpur.
Masa: 09:00 pagi - 05:00 petang

Bangunan OCM dimana tempat kursus diadakan.

Pengadil adalah penting di dalam semua jenis sukan dan tanpanya mustahil perjalanan sesuatu sukan dapat berjalan dengan baik lebih-lebih lagi untuk mendapatkan keputusan yang adil dan bersistematik. Pengadil perlu cekap dan berpengetahuan luas di dalam permainan tersebut terutama undang-undang permainan. Jika pengadil tidak mengetahui dengan jelas undang-undang permainan, maka perjalanan kejohanan tersebut akan menjadi cacat. Begitu juga dengan sukan karom antarabangsa tidak terkecuali dimana pengadil menjadi teras mengawal keseluruhan perjalanan kejohanan.

Kursus intensif ini khas diolah untuk persiapan pengadil-pengadil menghadapi salah satu kejohanan yang besar dan penting di dalam dunia karom antarabangsa iaitu Piala ICF 2011. Tahun ini merupakan kejohanan keenam untuk merebut kejohanan yang dianggap berprestij kerana disertai oleh kebanyakkan negara-negara yang bernaung di bawah Persatuan Karom Antarabangsa (International Carrom Federation).

Sebelum sesi kursus dijalankan bersama kawan lama dari UMW. Sebelah kiri En. Azhar dan Sebelah kanan En. Mat Daud.

Bergambar bersama kawan-kawan lama dari UMW.

Kursus pada kali ini kebanyakkannya peserta adalah muka-muka baru yang ingin mencari pengalaman mengadili kejohanan karom di peringkat antarabangsa. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana berani dan berminat di dalam permainan karom. Sungguh pun begitu mereka sudah lama di dalam permainan karom antarabangsa. Oleh demikian mereka boleh mengikuti dan memahami dengan baik semasa kursus dijalankan.

Hanya sedikit kekesalan ialah pengadil-pengail lama tidak menghadirkan diri dan ini agak merugikan kerana kehadiran mereka juga penting. Sikap sebegini sepatutnya tidak berlaku jika mereka mempunyai komitmen terhadap permainan itu sendiri. Tahniah kepada dua pengadil lama yang hadir iaitu En. Sabirin dan isteri beliau Puan Suzana kerana dapat menghadirkan diri. Secara peribadi diharapkan perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang.

Berikut adalah peserta hadir mengikuti kursus:

1. Azhar Suratman
2. Mat Daud Idris
3. Sazunda
4. Ridhuan Mat Rani
5. Sakir Maskor
6. Remey
7. Mat Din
8. Gopi
9. Puspa
10. Mohd Sabirin
11. Suzana

En. Samohon memberi ucapan pembukaan.

En. Mohd Suhaizan sebagai Penceramah pertama untuk sesi di sebelah pagi manakala sesi di sebelah petang disampaikan pula oleh En. Roslan Omar.


Peserta begitu asyik mendengar semasa sesi teori diberikan. Macam tension aje... Jangan serius sangat yop, senyum le sikit. En. Soong di belakang sebagai pemerhati.

Sesi penerangan terus di papan karom.

Sesi latihan amali untuk mengenali kesalahan dan membuat pengumuman.

Berikut adalah tajuk-tajuk yang diperbincangkan:
1. Mengenali peralatan permainan
2. Terma-terma permainan
3. Pengesahan nama pemain dan papan percubaan
4. Undian dan pecah mula
5. Masa permainan
6. Pertukaran tempat duduk
7. Kesalahan dan due
8. Buah Merah (Queen)
9. Kiraan mata
10. Kalah keseluruhan
11. Cara pengumuman kejohanan

Keseluruhan sesi pengadilan berjalan lancar dan semua peserta dapat memahami dengan jelas. Banyak soalan dikemukakan dan penjelasan juga diberi secara teori dan praktikal.

Semoga apa yang dipelajari dapat memberi manafaat kepada bakal-bakal pengadil pada masa kejohanan nanti. Kepada peserta baru diucapkan syabas kerana menghadiri semoga kehadiran mereka ini dapat memberi semangat baru di dalam permainan karom antarabangsa.

Peserta dan AJK daripada Persatuan Karom Malaysia.

Kepada mereka saya mengucapkan selamat berkhidmat untuk negara dan diharap dapat menjaga tatasusila disepanjang kejohanan berlansung. Tunjukkan sifat-sifat ketimuran yang murni sebagai tuan rumah dan akhir sekali jalankan tanggungjawab dengan amanah dan jujur.

MAJU SUKAN UNTUK NEGARA

Monday, October 10, 2011

PEMILIHAN PEMAIN 6th ICF CUP 2011

Buat pertama kalinya Malaysia akan menganjurkan salah satu pertandingan karom yang berprestij di dunia iaitu Piala ICF 2011. Kejohanan ini diadakan pada setiap dua tahun sekali dan kali terakhir telah diadakan pada tahun 2009 di Colombo, Sri Lanka. Pada kejohanan yang tersebut negara-negara yang mengambil bahagian terdiri daripada India, Sri lanka, Pakistan, Bangladesh, Sri lanka, Maldives, Perancis, German, Itali, UK dan Malaysia. Ketika itu ada beberapa pasukan tidak menyertai kejohanan ini kerana pada masa tersebut ada sedikit pergolakkan dalaman dan isu keselamatan di Sri Lanka.

Pada tahun ini Malaysia mengambil giliran sebagai tuan rumah dan diharapkan negara-negara yang sebelum ini yang tidak mengambil bahagian akan turut serta menjadikan kejohanan kali ini lebih meriah dan menjadikan satu sejarah tersendiri. Kejohanan akan diadakan seperti berikut:

Nama Kejohanan: 6th ICF CUP 2011
Tarikh: 9 – 12 November 2011
Tempat: Tingkat 2, Dewan Serbaguna OCM, Kuala Lumpur.

Diharapkan peminat karom di tanah air tidak melepaskan peluang keemasan untuk melihat sendiri pemain-pemain terbaik dan kelas dunia yang akan bertarung merebut gelaran pada tahun ini. Peluang seperti ini tidak datang selalu, oleh demikian rebutlah kesempatan yang ada dan mungkin anda akan dapat mempelajari sesuatu yang berguna di sepanjang kejohanan berlansung.

Sebelum tarikh sebenar kejohanan berlansung satu panel pemilihan telah dilantik untuk mengadakan sessi pemilihan pemain-pemain untuk mewakili pasukan Malaysia yang akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 16 Oktober 2011 (Ahad)
Masa: 8:30 pagi
Tempat: Wisma OCM, Tingkat 1 (Ruang Legar), Kuala Lumpur.
Bayaran: RM30.00
Hubungi: Suhaizan (019-6440290)

Dijemput semua pemain-pemain dan peminat karom menghadiri sessi ini untuk menunjukkan bakat yang terpendam dan mungkin anda salah seorang yang bertuah untuk mewakili pasukan Malaysia pada tahun ini. Kategori pemilihan adalah seperti berikut:

1. Pasukan lelaki
2. Pasukan wanita

Saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua yang akan mengambil bahagian dan lakukan yang terbaik untuk menempah salah satu tiket sebagai salah seorang pemain. Anda masih ada masa untuk melakukan yang terbaik dengan menjalani latihan intensif dan persiapan terakhir dan membawa senjata sulit untuk digunapakai pada hari penentuan nanti. Mungkin senjata tersebut membawa tuah kepada anda dan ianya menjadikan satu sejarah pencapaian peribadi di sepanjang karier anda sebagai pemain karom.

Kepada peminat-peminat karom baru yang mengenali permainan karom antarabangsa diucapkan syabas kerana berani mencuba walaupun akan menempuh laluan yang sukar. Sebagai kata-kata membakar semangat, untuk berjaya anda perlu bermula dengan satu titik dan berakhir dengan titik. Seperti bayi yang baru dilahirkan bermula denga bungkusan kain lampin, seterusnya berguling-guling dan selepas itu merangkak-rangkak, bertatih, berjalan dan akhirnya terus berlari.

Membina kejayaan tiada jalan pintas dan anda perlu melakukan berperingkat-peringkat secara berterusan dan konsisten. Akhirnya cahaja kejayaan akan menanti anda di hujung sana.

Selamat berjaya...