Thursday, November 20, 2014

KUASA MENTERI DALAM PERKEMBANGUNAN SUKAN NEGARA

Khairy ada kuasa campuri urusan persatuan sukan
23 Januari 2014 – SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR - Sikap keterbukaan Khairy Jamaluddin yang sedia berjumpa dengan setiap penggiat sukan tempatan memperlihatkan betapa menteri belia dan sukan itu serius untuk melihat kemajuan sukan tanah air.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pertemuan Khairy dengan mana-mana badan sukan atau tindakan mencampuri urusan badan induk sukan tempatan tidak wajar dijadikan isu.

Ini kerana katanya seseorang menteri mempunyai kuasa berbuat demikian seperti mana termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan bagi memastikan pembangunan sukan negara berada di landasan yang betul.

"Beliau prihatin dengan segala masalah yang dihadapi (persatuan sukan) dan sebagai menteri, beliau mempunyai kuasa memastikan segala program dan aktiviti berkaitan pembangunan sukan negara.

"Sekiranya terdapat sebarang masalah harus ditangani dengan sebaiknya supaya segala yang dirancang dapat dilaksanakan dan tidak mendatangkan masalah," katanya kepada pemberita selepas majlis perarakan sambutan Maulidur Rasul di sekitar Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Zolkples ditanya mengenai perjumpaan tertutup Khairy dengan pelumba basikal profesional kebangsaan baru-baru ini, bagi meluahkan pandangan serta cadangan untuk meningkatkan kualiti program acara lebuh raya negara.

Sebelum itu, Khairy dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi membincangkan hala tuju sukan sepak takraw negara selepas aksi longlai pada Sukan SEA di Myanmar, Disember lepas.

Mengulas lanjut, Zolkples, bagaimanapun berkata seboleh-bolehnya, setiap persatuan sukan wajar menyelesaikan sendiri masalah dalaman masing-masing.

"Tetapi kalau sudah sampai ke satu tahap tiada penyelesaian, jadi tidak ada masalah (bertemu dengan menteri)," katanya. – Bernama



KOMEN PENULIS:

Seorang anak memerlukan ayah dan ibunya untuk memantau segala tindakkan demi masa depannya, manakala seorang pekerja memerlukan ketuanya untuk memantau hasil kerja yang diamanahkan kepadanya. Begitu juga di dalam berpersatuan juga memerlukan orang di atas yang mempunyai kuasa untuk memantau perjalanan sesuatu persatuan di atas landasan yang betul demi kepentingan ahli sukan, negara dan akhir demi perkembangan sukan itu sendiri.

Kegagalan kedua-duanya berfungsi maka hancurlah kesemuanya. Olih demikian saranan supaya pihak berwajib mencampuri pentadbiran setiap persatuan adalah tindakan yang tepat kerana demi kepentingan awam khususnya dan negara amnya. Ini tidak bermakna pihak berwajib mencampuri setiap inci perjalanan pentadbiran persatuan tetapi sekadar memerhati perjalanan dan perancangan mengikut yang sepatutnya di samping melihat KPI pemimpin yang memegang jawatan yang diamanahkan kepada mereka.

Akhirnya pihak berwajib boleh menilai dan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah persatuan bukan hanya sekadar bijak merancang tetapi juga cemerlang dalam mencapai kejayaan. Demi pencapaian atlit dan kejayaan di peringkat tertinggi perkara yang tidak sihat di dalam persatuan tidak boleh dikompromi demi sukan negara.

Peminat-peminat sukan negara ingin melihat sesuatu tindakan yang drastik perlu diambil demi mercu sukan negara di masa hadapan yang kita lihat hari ini pencapaian sukan secara keseluruhannya menurun. Pihak berwajib perlu mengambil tindakan dengan segera supaya tidak lebih parah.

Sebagai peminat sukan, pemimpin sukan dan pihak yang berwajib perlu merenung dan akhirnya memberi satu jawapan yang bernas demi sukan negara.

Jumpa lagi...

No comments:

Post a Comment