Wednesday, November 19, 2014

SESI PENCERAHAN PERMAINAN KAROM ANTARABANGSA

Tarikh: 14 November 2014
Masa: 2:30 petang

Memperolehi ilmu bukan seperti jatuhnya buah kelapa di laman rumah atau seperti jatuhnya buah durian di kebun. Dan ilmu juga bukan datang bergolek-golek di hadapan mata dan ilmu juga bukannya begitu mudah jatuh ke atas riba. Kita juga pernah mendengar pepatah mengatakan seperti punggok merindukan bulan yang membawa maksud jangan hanya berangan-angan mengharapkan sesuatu tanpa berusaha mendapatkannya. Apakah maksud saya memulakan coretan kali ini sebegitu rupa.

Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberitahu bahawa untuk memperolehi ilmu bukan sesuatu yang mudah kerana kita terpaksa berusaha untuk mendapatkannya. Usaha mungkin menerusi pelbagai cara seperti menerusi pembacaan atau menuntut ilmu secara berdepan dengan guru atau di dalam sukan dikenali sebagai jurulatih. Membaca sahaja tidak cukup atau tidak lengkap tanpa hadirnya seorang guru atau jurulatih. Kita mungkin pernah mendengar jika belajar hanya menerusi buku atau berbentuk tulisan, maka cendiakiawan mengatakan kita akan belajar dengan setan (maaf agak kasar bunyinya). Tetapi itu adalah hakikatnya. 

Oleh demikian berguru bersama jurulatih adalah yang terbaik untuk merungkai apa jua yang permasalahan dan persoalan. Mengenali guru atau jurulatih terlebih dahulu juga penting supaya ilmu yang bakal diperolehi bukannya ilmu yang sesat dan menyesatkan. Jurulatih yang bakal membantu kita perlu terlebih dahulu mengetahui latar belakangnya, ilmunya dan kriteria-kriteria tambahan yang ada kepada jurulatih tersebut sebagai nilai tambah. Atau mungkin juga menerusi cadangan-cadangan daripada mereka yang mengenali jurulatih berkenaan. Apabila sudah pasti, maka carilah peluang bertemu dan cuba mencungkil ilmu daripadanya sedalam mungkin untuk kebaikan kepada kita dan mungkin juga untuk generasi yang akan datang. Saya percaya setiap daripada kita akan menyampaikannya walaupun hanya sedikit. Itu sudah cukup sebagai titik permulaan sebelum mencapai ke peringkat seterusnya.

Tidak tahu kenapa tutup muka.... saya kira mungkin terharu agaknya.....

Berbalik kepada cerita yang hendak saya sampaikan adalah sedikit coretan berkisarkan pencarian info permainan karom. Kira-kira hampir 1 bulan yang lepas saya dihujani beberapa panggilan bertanya mengenai permainan karom dan kebanyakkan daripada mereka ingin mengetahui secara lebih terperinci. Rata-rata yang membuat panggilan ini adalah terdiri daripada guru-guru yang masih minat untuk terus menimba ilmu yang sedang menyambung pengajian di salah satu pusat pengajian tinggi. Guru-guru yang diberi peluang untuk meneruskan pengajian ini yang akan menambah koleksi sijil di samping memperbaiki diri ke satu tahap yang terbaik bukan sahaja untuk diri dan keluarga malah boleh berkongsi dengan anak bangsa di masa hadapan. Saya kira ini merupakan satu percaturan yang cukup menarik kerana guru-guru adalah pendidik dan paling tepat serta cukup sesuai untuk memberi pendedahan dan pencerahan bermula di sekolah-sekolah.

Sebelum itu Puan Zulaikah dan Puan Ayu telah emel kepada saya hasil penulisan yang mereka sediakan menerusi beberapa orang kawan yang mereka kenali. Tetapi apabila saya membaca kedua-duanya terdapat kecacatan yang cukup ketara kerana info yang tidak tepat. Saya memberitahu kepada mereka bahawa hasil kerja mereka kurang tepat dan memerlukan pencerahan supaya apa yang kita hendak persembahkan nanti mesti berlandaskan kebenaran. Oleh kerana isu ini menimbulkan sedikit kegusaran, maka mereka berdua ingin bertemu dan membuat temu janji untuk mendapatkan info yang sebenar. Saya terus bersetuju memandangkan ini juga salah satu peluang dan platform terbaik untuk diwar-warkan permainan karom ke peringkat yang lebih tertinggi. 

Saya terpaksa memilih waktu yang sesuai kerana dalam bulan tersebut saya terpaksa menjadi ketua pengadil di dua kejohanan iaitu satu untuk kejohanan di peringkat badan koprat dan satu lagi di peringkat peringkat kebangsaan. Oleh kerana info permainan karom penting bagi mereka, maka saya telah memberi satu tarikh yang sesuai untuk kedua-dua pihak. 

Panjang lebar dah cerita tapi anak murid tak tulis laa pulak... mungkin dah masuk ke dalam komputer agaknya.....

Alhamdullillah seperti yang dijanjikan mereka tiba di depan rumah saya tepat pada waktunya, tetapi memandangkan hari ini adalah hari Jumaat, maka saya agak terlewat sedikit kerana kutbah yang disampaikan hari ini oleh Khatib cukup panjang tetapi menarik dan dipenuhi rasa keinsafan. Guru yang saya maksudkan adalah Puan Zulaikah dan Puan Ayu. Sampai sahaja di rumah ayat pertama saya ialah dengan memberi salam dan memohon maaf kerana menunggu saya dalam cuaca yang agak panas pada hari tersebut. Saya menjemput mereka masuk dan terus kepada intro sebagai permulaan. Mereka berdua bersusah payah datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan info yang tepat dan dijadikan bahan atau modal untuk dipersembahkan kepada pensyarah mereka yang memberikan tugasan menyentuh empat tajuk yang penting di dalam permainan karom.

Peringkat permulaan saya memberi sedikit pencerahan di antara Karom Malaysia dan Karom Antarabangsa. Pengenalan ini penting supaya tidak bercampur aduk apabila saya memberi info yang seterusnya kepada mereka dan mengetahui perbezaan di antara keduanya. Saya akan memberi tumpuan khusus kepada permainan Karom Antarabangsa kerana ini adalah bidang kepakaran saya. Dalam masa yang sama saya mengambil peluang keemasan ingin melihat satu anjakan paradigma kepada mereka berdua dan mungkin hasil kerja mereka akan membantu mempopulariti permainan ini suatu hari nanti.

Pelbagai soalan dilempar dan dilontar kepada sifu.....

Sebenarnya mereka mempunyai empat orang di dalam satu kumpulan tetapi dua daripada mereka tidak dapat menghadirikan diri kerana kekangan yang tidak tidak dapat dielakkan. Walau bagaimana saya sudah menyediakan info untuk mereka berdua yang bertajuk iaitu Sejarah permainan karom dan Peralatan lengkap pemainan karom. Saya merasakan kedua-kedua mereka ini akan tersenyum lebar kerana tugasan yang diberikan sudah berada di depan mata.

Manakala Pn Zulaikah akan mempersembahkan tugasan yang bertajuk Teknik Permainan Karom dan Puan ayu pula membawa tajuk Cara Permainan Karom. Untuk mereka berdua juga saya telah menyediakan notanya dan mereka akan lebih faham setelah melihat sendiri cara yang saya akan tunjukkan kepada mereka.

Sifu tenang sahaja menangkis dan menjawab satu demi satu.....

Sebelum menyambung sesi seterusnya kami berehat sebentar sambil minum petang yang disediakan oleh isteri saya. Peluang berehat diambil kesempatan berkenalan di antara mereka kerana isteri saya juga seorang guru. Selepas itu kami menyambung kembali sesi seterusnya yang masuk fasa terakhir. Mungkin mereka tidak faham kesemuanya kerana sesi express tetapi sebagai permulaan saya berkeyakinan mereka mmapu melakukannya bersama bantuan nota yang saya bekalkan kepada mereka.

Saya mengharapkan kumpulan mereka berjaya memberi satu persembahan yang terbaik dan memperolehi markah yang terbaik juga daripada usaha mereka yang tidak mengenal penat dan bersungguh-sungguh dalam pencarian ilmu. Syabas saya mengucapkan kepada mereka berdua dan teruskan usaha hingga berjaya.

Angkat tangan bukan tandanya marah tetapi aksi spontan semasa memberi penerangan kepada mereka berdua.

Saya cukup teruja dan dalam masa yang sama bersyukur kerana dengan kudrat yang ada sudah 6 kali rumah saya menjadi tempat pencerahan di dalam permainan karom antarabangsa. Saya merasakan sudah berjaya menjalankan tugas walaupun secara tidak rasmi untuk memwar-warkan permainan karom kepada masyarakat amnya. Blog saya juga banyak membantu terutama kepada peminat-peminat karom di tanah air yang selalu menelefon dan email kepada saya untuk mengetahui permainan ini secara lebih dekat.

Ini hanya termampu oleh saya kepada masyarakat untuk memberi pencerahan yang mungkin selama ini mereka hanya mendengar atau membaca menerusi internet atau melihat melalui yuotube sahaja. Sebenarnya tugas yang besar menanti andalah diri anda sendiri sebagai peminat karom. Saya hanya sebagai pencetus yang sudah menghampiri waktu senja.

Kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kita sebenarnya tidak akan menongkah langit selama-lamanya dan kita juga tidak akan berada di puncak selama-lamanya. Oleh demikian dengan ilmu yang ada kita perlu berkongsi bersama demi anak bangsa kerana bila kita sudah tiada di atas muka bumi sekurang-kurangnya ilmu yang dicurahkan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang meminati sukan ini.

Dari jauh kami mengembara
Untuk mencari secebis ilmu
Jangan berhenti terus mara
Akhirnya pasti akan ketemu

Jangan berhenti terus mara
Akhirnya pasti akan ketemu
Penah lelah akan dirasa
Itu tanda pencari ilmu

Hanya sekadar itu buat coretan kali ini dan sehingga berjumpa lagi..... Ilmu tidak perlu disorok dan tidak perlu kedekut juga tidak perlu sombong apa yang kita ada.

'We gain the knowledge. We share the knowledge. We spread the knowledge."

No comments:

Post a Comment