Acara: Karom Antarabangsa
Tarikh: 26 hingga 28 November 2010
Tempat: Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Pesta Sukan UMW kembali lagi dan kali ini adalah siri yang ke 13. Masih segar di dalam ingatan Pesta Sukan UMW 2002 ketika itu saya masih lagi bertugas di salah sebuah anak syarikat UMW di Shah Alam. Saya selaku koordinator sukan karom pada tahun tersebut dan juga salah seorang AJK yang bertanggungjawab merekacipta logo kejohanan dan medal (pewter). Alhamdullilah akhirnya pada tahun ini dapat bertemu kembali sahabat-sahabat lama yang sekian lama tidak berjumpa.
Pada Pesta Sukan UMW 2002 pengadil adalah daripada Persatuan Karom Malaysia yang diberi amanah untuk mengawasi perjalanan pertandingan. Selepas kejohanan tersebut pengadil daripada Persatuan Karom Malaysia tidak lagi terlibat sehingga Pesta Sukan UMW pada tahun ini. Saya mengucapkan terimakasih kepada En. Abdul Halim Don yang memanggil saya untuk mengadili pertandingan karom pada kali ini.
Saya bersama dua rakan iaitu En. Sabirin dan En. Sulaiman telah bertolak dari Shah Alam pada hari Khamis 25 November 2010 jam 7:45 malam dan sampai di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai hampir jam 9:00 malam dalam keadaan hujan renyai-renyai. Saya terus berjumpa En. Abdul Halim untuk sessi takimat dan alhamdullilah saya tiba tepat pada waktunya.
Setiap acara sukan yang dipertandingkan disediakan satu bilik untuk taklimat dan tidak terkecuali karom antarabangsa. Saya melihat taklimat ini tidak sampai kepada sasaran sebenar kerana yang hadir hanyalah pengurus dan ketua pasukan sahaja. Sepatutnya yang perlu mendengar taklimat ini di samping pengurus dan ketua pasukan, pemain-pemain juga wajar berada bersama kerana merekalah yang akan bermain di kejohanan ini. Oleh yang demikian taklimat sebenar akan dijalankan pada hari pertama sebelum pertandingan dijalankan.
HARI PERTAMA (26 November 2010)
Pertandingan hanya di jalankan pada waktu pagi sahaja memandangkan semua peserta-peserta perlu menghadiri acara pembukaan dan makan malam. Kumpulan A terdiri daripada kontinjen TIGERS, LYNXS, PUMAS dan CHEETAHS manakala kumpulan B terdiri daripada kontinjen LIONS, WOLVES, PANTHERS dan JAGUARS. Undian kontinjen Kumpulan A dan Kumpulan B telah dijalankan lebih awal dan ini memudahkan tugas pengadil dan dapat menjimatkan masa. Format kejohanan telah ditetapkan oleh pihak penganjur iaitu PERSEORANGAN LELAKI, PERSEORANGAN WANITA, REGU CAMPURAN, REGU PERTAMA LELAKI dan REGU KEDUA LELAKI.
Sebelum pertandingan En. Mohd Suhaizan selaku ketua pengadil telah memberi taklimat kepada semua peserta-peserta secara teori dan praktikal. Beliau juga menyatakan permainan karom antarabangsa tidak dibenarkan mengunakan bahasa isyarat dan menjadi satu kesalahan. Tetapi memandangkan terdapat pemain-pemain baru dan masih di peringkat pusingan awal, maka sedikit kelonggaran undang-undang permainan diberikan. Kepada pemain-regu regu suara tidak dibenarkan hanya perlu mengunakan isyarat jari tanpa masuk ke kawasan permainan.
Perlawanan mengunakan format satu permainan (one game) bermaksud lapan papan (8 boards) atau 25 mata (25 points). Kemenangan juga akan diistiharkan melalui mata tertinggi yang terkumpul di papan kelapan. Jika di papan ke lapan masing-masing memperolehi mata yang sama, maka papan kesembilan akan dijalankan. Disamping itu penerangan ringkas cara permainan dan kesalahan permainan karom antarabangsa juga diberikan supaya pertandingan berjalan lancar. Berikut adalah taklimat yang diberikan:
1. Cara meletak Striker di atas garisan dasar (base lines)
2. Cara meletak Striker di atas bulatan dasar (base circle or full moon)
3. Kesalahan Teknikal (technical foul) dan Kesalahan (foul)
4. Cara meletak penalti dan due (placing penalty and due)
5. Menerangkan kelebihan buah karom merah (Queen)
6. Cara menutup buah karom merah (Queen covered)
7. Cara mengira mata kemenangan (scores)
8. Menerangkan buah karom terakhir (last carrommen)
9. Giliran bermain (turn of play)
Kesemua lapan kontinjen telah turun bermain pada hari ini dan pertandingan berjalan lancar walaupun jadual terpaksa dipanjangkan sedikit kerana acara perseorangan wanita telah memakan masa yang agak lama. Oleh kerana hari pertama hanya setengah hari sahaja dan tiada pertandingan pada sebelah petang, maka masa tidak perlu dititik beratkan.
Satu peristiwa yang mungkin tidak dapat dilupakan dimana En. Zaini Kamaruddin (sahabat lama) adalah peserta perseorangan daripada kontinjen PUMAS sedang bertanding dengan kontinjen CHEETAHS di papan ketiga (board no. 3) tiba-tiba beliau menjadi lemah dan hampir pengsan. Perlawanan tersebut terpaksa diberhentikan hampir setengah jam. Suasana pertandingan terkawal tetapi agak malang kerana pasukan pertolongan cemas lambat tiba dan sebahagian dari kami agak risau melihat keadaan beliau yang tidak berdaya dan berada dalam keadaan separuh sedar. Akhirnya penantian berakhir bila ambulan sampai dan beliau terus dihantar ke Hospital Seremban. Melalui En. Ibrahim (jurulatih kontinjen PUMAS) saya diberitahu bahawa beliau berada di dalam ICU tetapi stabil. Saya selaku Ketua pengadil karom mengucapkan syabas dan tahniah di atas tindakan pantas sahabat-sahabat yang terlibat menjaga beliau semasa berlakunya kecemasan tersebut.
Mungkin di masa hadapan pasukan paramedik perlu berjaga-jaga dan mengawasi setiap sukan yang dipertandingankan walau pun sukan tersebut pada mata kasar mungkin tidak mendatangkan mudarat dan kecederaan. Kecemasan atau kemalangan boleh berlaku di mana-mana hatta hanya duduk bermain karom. Oleh itu saya sarankan pihak berwajib perlu mengambil iktibar dan pengajaran apa yang telah berlaku supaya di masa akan datang tidak berulang.
SUASANA PERINGKAT SEPARUH AKHIR
HARI KEDUA (27 November 2010)
Pada hari kedua kejohanan saya telah melakukan perubahan sedikit di mana permainan perseorangan wanita perlu dipendekkan permainan daripada lapan papan (8 boards) kepada empat papan (4 boards) memandangkan pengalaman pada hari pertama memakan masa dan melebihi jadual perlawanan yang telah ditetapkan. Tambahan pula hari kedua perlawanan pusingan awal sehingga separuh akhir terpaksa dijalankan serentak sehingga selesai.
Pertandingan berjalan lancar dan keputusan diperolehi untuk menentukan kontinjen manakah yang patut meneruskan perjuangan di dalam permainan karom pada tahun ini. Pertandingan selesai hampir jam sebelas malam dan saya kira keputusan yang saya ambil untuk memendekkan permainan perseorangan wanita adalah tindakan tepat dan bijak. Jika tidak besar kemungkinan perlawanan terpaksa diheret sehingga lewat malam atau mungkin juga sampai ke awal pagi.
Pusingan awal berjalan terus dan kesemua lapan kontinjen bermain sehingga selesai di dalam kumpulan masing-masing untuk menentukan kontinjen manakah yang layak ke pusingan separuh akhir. Selepas mengira kesemua jumlah mata, maka empat kontinjen telah dikenal pasti dan layak ke pusingan seterusnya. Keputusan adalah seperti berikut:
KUMPULAN A
Juara: TIGERS dan naib juara PUMAS
KUMPULAN B
Juara: WOLVES dan naib juara LIONS
Sekalung tahniah kepada empat kontinjen yang berjaya ke peringkat separuh akhir dan perlawanan adalah seperti berikut: TIGERS akan bertemu LIONS manakala Wolves akan bertemu PUMAS.
Tepat jam 8:30 malam dua perlawanan separuh akhir telah dijalankan serentak dan format perseorangan wanita diubah kepada kepada satu permainan iaitu lapan papan (8 boards) atau 25 mata (25 points). Keputusan diperolehi hampir jam 10:30 malam di mana TIGERS berjaya ke peringkat akhir bertemu PUMAS untuk menentukan juara dan tempat kedua. Manakala WOLVES akan bertemu dengan LIONS untuk menentukan tempat ketiga dan keempat.
PENENTUAN TEMPAT KETIGA DAN KEEMPAT DI ANTARA LIONS vs WOLVES
PERLAWANAN AKHIR TIGERS vs PUMAS
HARI KETIGA (28 November 2010)
Memandangkan hari ini adalah hari terakhir kejohanan format perlawanan separuh akhir dikekalkan iaitu satu permainan (one game) iaitu lapan papan (8 boards) atau 25 mata (25 points). Hari terakhir juga ada sedikit perubahan dimana ketua pengadil ingin melihat mutu permainan meningkat dan perlawanan dijalankan mengikut sepenuhnya undang-undang karom antarabangsa. Ini bertujuan supaya pemain-pemain marasakan perlawanan yang sebenar dan sekurang-kurangnya di masa akan datang jika mereka mengambil bahagian di dalam kejohanan karom antarabangsa, maka mereka sudah mengetahui cara yang betul.
Perlawanan bermula tepat jam 9:30 pagi dan perlawanan yang terakhir di antara perseorangan wanita daripada kontinjen LIONS melawan kontinjen WOLVES selesai jam 11:45 pagi. Saya telah menghubungi En. Abdul Halim Don dan menyatakan perlawanan telah berakhir dan keputusan telah diperolehi. Kepada kontinjen yang berjaya diucapkan setinggi tahniah dan kepada kontinjen yang gagal perlu mencari resepi dan ramuan kejayaan pada kejohanan yang akan datang. Berikut adalah kedudukan kontinjen secara rasmi:
Kontinjen LIONS mendapat tempat keempat (Harap maaf gambar tiada dalam simpanan)
Kontinjen WOLVES mendapat tempat ketiga
Kontinjen PUMAS muncul naib juara
Kontinjen TIGERS sekali lagi utuh sebagai juara Pesta Sukan UMW ke 13 selepas muncul juara Pesta Sukan UMW ke 12.
KESIMPULAN
Di sepanjang tiga hari kejohanan terdapat beberapa kesalahan di dalam permainan yang dilakukan oleh sesetengah pemain yang agak cuai ketika giliran bermain. Saya kira pemain-pemain yang bertanding kali ini sedikit sebanyak sudah memahami asas undang-undang permainan. Berikut adalah senarai kesalahan kerap berlaku:
1. Striker tidak menutup sepenuhnya bulatan dasar (full moon)
2. Striker tidak menyentuh kedua-dua garisan dasar (base line)
3. Mengambil giliran melebihi masa yang telah ditetapkan di dalam peraturan permainan
4. Tangan atau siku melebihi garisan 45 darjah atau garisan bayangan
Yang paling saya tidak dapat lupakan pada kejohanan kali ini adalah terdapat seorang pemain yang suka memberi komen bila kesalahan dijatuhkan kepada beliau dan memberi perbandinagn kejohanan dulu dan sekarang. Saya tidak mengetahui apa yang telah berlaku pada kejohanan-kejohanan yang lepas, tetapi pengadil-pengadil pada kejohanan kali ini adalah daripada Persatuan Karom Malaysia yang diiktiraf dan mereka adalah di antara yang terbaik. Mungkin beliau keliru kerana kejohanan lepas bukan di adili oleh pengadil daripada Persatuan Karom Malaysia. Saya sarankan kepada individu berkenaan dan pemain-pemain yang lain sepatutnya mengambil peluang untuk bertanya kepada pengadil dan melihat skil permainan yang bermutu. Kami mungkin bukan yang terbaik tetapi apa yang kami ketahui akan kami tunjukkan cara dan teknik permainan yang betul. Tugas kami bukan sekadar mengadili perlawanan tetapi juga ingin melihat mutu permainan meningkat dari tahun ke tahun. Ilmu perlu di cari dan bukan berdabik dada apa yang kita ada. Jika sikap ini dapat diubah, insyaAllah kita akan maju dan berjaya akhirnya. Yang lebih penting jurulatih yang dicari mestilah yang mengetahui selok belok permainan dan bukan sekadar batuk di tangga sahaja. Jika tidak apa yang dipelajari nanti akan tersimpang jauh kerana mendapat ilmu yang salah.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan daripada Sabah dan Sarawak yang banyak bertanya cara permainan dan cuba memahami undang-undang permainan. Saya kira ini adalah perkembangan yang bagus dan mungkin Pesta Sukan UMW yang akan datang mereka akan bermain dengan lebih baik dan pengetahuan peraturan permainan juga turut meningkat.
Kepada En. Abdul Halim Don saya mengucapkan setinggi tahniah kerana berjaya meneruskan acara sukan Karom Antarabangsa dengan jayanya. Saya harap legasi saya tinggalkan ini sejak diperkenalkan pada tahun 1999 akan terus bersinar di masa hadapan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa UMW adalah satu-satu badan korporat di Malaysia yang bergiat cergas kerana mempunyai hampir 20 papan karom antarabangsa yang diimport. Saya ingin sarankan kepada Kelab Sukan UMW supaya terus mengadakan kejohanan pada setiap tahun dan tidak hanya menunggu Pesta Sukan UMW sahaja. Dengan cara ini mutu dan undang-undang permainan akan meningkat dan peluang pemain-pemain yang meminatinya terbentang luas di hadapan mereka.
Sebagai info sampingan kepada pemain-pemain baru karom di UMW aktiviti-aktiviti karom di UMW telah dimuatkan di dalam majalah CARROM COURIER yang diterbitkan oleh Tamilnadu Carrom Association India pada Januari tahun 2002. Pada masa itu saya mengadakan Kursus asas permainan Karom Antarabangsa disaksikan oleh B Bagaru Babu ketika itu beliau adalah Setiausaha Agong Persatuan Karom Karom Antarabangsa (International Carrom Federation). Ini menunjukkan sesiapa yang berminat dan baik mutu permainannya akan berpeluang mewakili Malaysia dan ini terbukti apabila seorang pemain UMW telah berjaya mewakili Malaysia di Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia tahun 2000 di Kuala Lumpur. Pemain tersebut adalah En. Mazlan Ahmad Sali. Beliau kini sudah mengurangkan aktiviti bermain karom selepas pembedahan kedua-dua mata, tetapi saya kira skil beliau masih lagi berbisa. Saya kembalikan berita nostalgia ini untuk memberitahu kepada pemain-pemain baru supaya terus komitmen di dalam permainan karom antarabangsa kerana anda berpeluang bertanding di pentas dunia.
Kepada pengurus dan ketua pasukan perlu mengkaji pencapaian pasukan masing-masing dan adakah tahap KPI yang telah ditetapkan dapat dicapai pada tahun ini. Jika matlamat tercapai maka pasukan tersebut sudah mencapai sasaran yang sebenar, tetapi jika sebaliknya, maka apakah langkah perlu dilakukan? Untuk membina kejayaan bukan dalam masa yang singkat tetapi memerlukan masa dan pengorbanan yang tinggi. Perancangan hendaklah dilakukan di peringkat awal seperti pengurusan yang cekap, peralatan yang sempurna, sistem latihan yang betul dan akhirnya komitmen pemain-pemain yang menentukan kejayaan.
Kepada wakil UMW acara sukan karom Cik Irma dan dibantu oleh En. Adeq (daripada pengurusan acara) saya mengucapkan setinggi terimakasih kerana memberi kerjasama yang memuaskan disepanjang 3 hari kejohanan tersebut. Tidak ketinggalan juga diucapkan tahniah kepada pengadil-pengadil yang bertugas penuh dedikasi di sepanjang kejohanan berlansung iaitu En.Kamaruddin, En. Azmi, En. Sabirin dan En. Sulaiman.
Akhir sekali tidak dilupakan kepada En. Azhar Suratman yang dikira salah seorang di belakang tabir yang menyumbang kejayaan kejohanan kali ini yang menghubungi saya sejak awal lagi untuk menjayakan kejohanan ini. Saya bersama beliau telah merancang dan membuat persediaan awal. Sekalung tahniah kepada beliau yang merupakan seorang pemain yang berjiwa karom.
Berjumpa lagi di masa yang akan datang...
No comments:
Post a Comment