Ceritanya bermula begini… Pada hari
selasa (8/5/2012) seperti biasa saya menunggang motosikal ke tempat kerja. Saya
singgah sebentar di petrol stesen untuk mengisi minyak kerana jarum meternya menunjukkan
di bawah paras garisan merah. Semasa saya mengisi minyak H/phone berdering-dering
tetapi saya biarkan sahaja kerana keadaan yang tidak mengizinkan.
Selesai sahaja mengisi minyak dan cuba
menghidupkan enjin motosikal sekali lagi H/phone berbunyi. Lalu saya menolak motosikal
ke tepi dan menjawap panggilan tersebut. Rupa-rupanya sahabat daripada Johor. Perbualan
kami agak lama juga maklumlah bercerita pula pasal karom. Sahabat saya ini
merupakan seorang kaki karom dan agak aktif juga.
Selesai sahaja perbualan tersebut
saya pun terus memecut dan sampai di tempat kerja sekitar jam 9: 15 pagi. Saya
terus ke meja untuk melihat jadual dan kerja-kerja yang diperlu diselesaikan
pada hari ini.
Tiba-tiba saya merasakan sesuatu yang
tidak kena lalu menyeluk saku seluar dan saat itu jugalah muka saya terus berubah…
Ya Allah! H/phone saya sudah tidak bersama saya lagi…
Saya sungguh sedih dan terkedu seketika
kerana kehilangannya. Seluruh anggota badan terasa lemah longlai dan minat untuk
bekerja terus merundum. Kawan yang simpati berkata “alaa… hanya H/phone…”. Saya
nak jawap macamana lagi… diam aje le… Saya cuba imbas kembali bagaimana ianya boleh
terjadi. Rumusan saya ialah selepas bercakap dengan kawan tadi, saya tidak
masuk H/phone dengan sempurna ke dalam saku dan ianya telah terjatuh ditengah di
dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kehilangan ini sungguh perit bagi
saya kerana nombor-nombor yang terdapat di dalamnya sungguh bermakna buat saya seperti
ahli keluarga, sahabat handai dan nombor yang berkaitan dengan pekerjaan.
Tindakan pertama yang saya lakukan
dengan memanggil ‘service provider’ untuk menutup talian dengan segera. Dan
tindakan kedua bersama kawan saya pergi mengambil ‘sim card’ yang baru.
Selepas kembali daripada pejabat pada
sebelah malamnya saya membeli H/phone baru… dan masih mengekalkan jenama yang
sama… Saya membeli pada malam itu juga kerana keesukkan harinya mesyuarat untuk
satu kejohanan karom akan diadakan dan berkomunikasi dengan mereka yang terlibat
adalah penting.
H/phone baru Experia S…
Keesukkannya (9 Mei 2012) saya sampai
jam 7:35 pagi di satu tempat untuk menunggu kawan untuk pergi ke tempat
mesyuarat bersama-sama. Lebih kurang jam 9:10 pagi saya menerima satu panggilan
yang tidak disangka, dimana seorang hamba Allah memberitahu bahawa kawan beliau
terjumpa H/phone saya. Saya mengucapkan berbanyak terimakasih kerana sudi
mencari tuan punya H/phone tersebut. Di dalam hati kecil berkata masih ada
orang di luar sana yang berhati mulia.
Hamba Allah yang menghubungi saya
adalah En. Azizan daripada Depot Simpanan Pertahanan Kementerian Pertahanan
Malaysia, Sungai Buloh. Beliau menceritakan bagaimana h/phone tersebut sampai
ke tangan beliau. Selepas itu saya meminta beliau untuk mencari beberapa nama
untuk saya hubungi. Beliau berjaya mencari nama-nama yang seperti diminta untuk
saya hubungi kawan yang akan pergi bersama menghadiri mesyuarat tersebut. Saya
juga berjanji akan berjumpa beliau di Sungai Buloh sekitar jam 12:00 tengahari.
Selesai sahaja mesyuarat tersebut saya
terus ke Sungai Buloh dan berjumpa dengan En. Azizan pada jam 12:15 tengahari.
Ini adalah tempat En. Azizan bertugas…
Selepas bersalam dan berbual seketika
lalu beliau mengeluarkan H/phone kepunyaan saya dari dalam sampul surat.
Beginilah rupa H/phone lama Sony Ericson ARC S saya yang dilanggar
kereta…
Kami juga sempat berbual-bual dan berkongsi
maklumat sehingga menyentuh hobi masing-masing. Beliau seorang yang aktif di
dalam sukan terutama bolasepak dan menceritakan pengalaman sebagai seorang
pengadil Futsal. Dunia ini sungguh kecil sekali kerana beliau juga mengenali sahabat
saya yang juga terlibat di dalam industri sukan bolasepak iaitu Syamil daripada
Planet Football. Saya juga mencerita sedikit sebanyak pengalaman saya sebagai
seorang pengiat sukan karom antarabangsa.
Begitulah kisah malang yang menimpa
saya kerana kecuaian sendiri. Walau bagaimanapun dari sudut yang lain pula saya
mendapat seorang sahabat yang baik hati. Beliau juga bergiat cergas di dalam
sukan dan mungkin kami akan berkerjasama di dalam bidang kepakaran
masing-masing di masa hadapan.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan terimakasih
yang tidak terhingga kepada En. Azizan kerana sudi memulangkan kembali H/phone
saya yang telah hilang walaupun keadaannya sungguh menyedihkan. Hanya Allah yang
dapat membalas jasa baik beliau dan saya mengharapkan ada lagi manusia di luar
sana bersifat mulia dan jujur seperti En. Azizan.