INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Tuesday, December 31, 2013

BERCUTI SAMBIL BERKAROM DI KUCING

Tarikh: 7 - 10 Disember 2013
Tempat: Kuching, Sarawak

Bekunjung ke Kuching adalah satu rancangan telah lama terpendam dan perancangan kali ini nampaknya berjaya dilaksanakan. Keputusan dibuat dalam masa yang agak singkat sekitar kurang sebulan sahaja. Saya keluarga menganbil peluang cuti sekolah yang agak panjang pada setiap hujung tahun.

Kami tiba di Lapangan terbang LCC Sepang agak awal sedikit untuk mengelak kesesakan perjalanan ke sini. Kami sekeluarga telah terbang dari LCC Sepang jam 6:30 pagi dan tiba di Kuching sekitar jam 8:45 pagi. Selepas mengambil kesemua beg, kami pun keluar daripada bangunan lapangan terbang Cuaca yang menyambut kami di sini nampaknya ceria dan cerah, tidak seperti di semenangjung ketika ini yang sentiasanya hujan dan di pantai timur dilanda banjir yang agak teruk. Apa pun itu adalah ketentuan pengaturnya iaitu Allah yang Maha Agong dan yang Maha Mengetahui. Apa jua musibah yang datang kita berdoa dan berusaha dan insyaAllah akhirnya ada jalan keluar.

Seterusnya kami ke Hotel Tune tepat penginapan untuk menyimpan beg-beg terlebih dahulu. Selepas itu kami berjalan disekitar Kuching Waterfront dan ke seberang menaiki sampan ke Kampung Boyan untuk berkunjung ke kedai lapis yang popular iaitu Kek Lapis Dayang Salhah dan Kek Lapis Mira. Ikan terubuk masin terdapat juga dijual di sini. Sahabat saya sudah memberitahu kepada saya bahawa di Pasar Ikan Satok lebih segar dan banyak pilihan. Puas rasanya kami merasa kesemua perasa yang dihidangkan... enak-enak semuanya. Kami hanya membeli sedikt untuk di bawa ke hotel dan akan datang kembali sebelum pulang ke Semenanjung sebagai buah tangan untuk sahabat dan saudara mara. 

Hari kedua lawatan kami sekeluarga di Serikin dengan menyewa sebuah kereta Waja. Saya memandu sendiri dan mengekori saudara Nawawi dari belakang. Sepanjang kami berada di sana beliau secara tidak rasmi sebagai pemandu pelancung kepada kami. Rasanya beliau boleh membuat kerja-kerja sambilan sebagai pemandu pelancung.

 
Ketika membeli sedikit barang di Serikin... Sesiapa yang berhajat nak berkunjung ke sana boleh menghubungi beliau... kempenlah sikit bro...

Kami bergerak ke Serikin agak lewat sedikit dan setiba di sana kerana terlampau ramai orang hingga kesukaran mencari parkir. Setelah puas berpusing-pusing akhirnya dapat juga di barisan terakhir Kami membeli sedikit barangan sebagai kenangan dan sekembali dari Serikin kami singgah di beberapa tempat menarik seperti Pantai Santubung dan melihat rumah Budaya Sarawak hanya dari luar sahaja kerana kesuntukan masa.

Dari jauh kami melihat Gunung Santubung yang kehijauan sungguh indah panoramanya. Dalam perjalanan pulang kami singgah di Kampong Buntal (kampong nelayan) membeli Pais Sarawak. Pada mulanya saya ingat sama seperti Semenanjung tetapi tekaan saya jauh meleset kerana rasa dan bentuknya agak berbeza. Apa pun dapat juga merasa sedikit sebanyak makanan tradisi di Sarawak.

Bersama keluarga di pantai Santubung dan di belakangnya replika burung Kenyalang

  Bersama saudara Nawwi di Pantai Santubung

Panorama Gunung Santubung...

Singgah sebentar di dstinasi riadah "Wind Cave"... Suasana nyaman dan sejuk di sini ...

Sebelum bertolak pulang pada paginya sempat berkunjung ke gerai Ikan Terubuk di Pasar Minggu Satok. Mengikut penerangan pejual semasa saya membeli, ikan terubuk tempatan adalah yang palig sedap jika dibandingkan dengan ikan yang dimport. Ikan terubuk temptan hanya ada pada bulan  jun yang datang dari daerah Sebuyau dan Sebangan.

Ikan Terubuk masin tempatan adalah yang paling tinggi permintaannya dan hanya pada bulan tertentu sahaja. Sungguh pun begitu ikan terubuk daripada Vietnam, Mynamar dan India juga terdapat di sini dan harganya agak murah sedikit.

Telur Ikan Terubuk. Harganya tersangat mahal seperti membeli ketul emas... Mungkin sesuai dikatakan emas berada di dalam perut ikan terubuk kerana harga mencecah sehingga RM400 ke RM500 sekilogram. Kata salah seorang penjualnya rasanya sedap tetapi kandungan kolestrolnya juga agak tinggi. Saya bergurau dengan penjual tersebut dengan harga begitu tinggi boleh dibuat hantaran perkahwinan, tetapi isteri tidak boleh makan kerana takut berat badan naik selepas kahwin...

 
Anak bungsu makan mee kolo...katanya sedap...


Sempat juga saudara Nawawi membawa kami ke Dewan Negeri Sarawak dan melihat dari jauh perkampongan Boyan

 Kenangan di Bandar Kuching...

 Saudara Nawawi membawa kami tempat pengawalan paras air ketika banjir... 

 Semasa membeli Kek Lapis Sarawak... dua jenama yang agak popular


Beberapa jam sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Kuching kami ambil kesempatan yang terakhir untuk membeli sedikit buah tangan di deretan kedai yang berada di hadapan Waterfront. Oleh kerana masa tidak mengizinkan dan kami pula tidak dapat melihat kesemuanya tetapi memilih secara rawak sahaja. Sungguhpun begitu dapat juga mencari beberpa barang yang diminati oleh anak seperti tshirt dan barang mainan. Juga kami membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang sebagai kenangan dan untuk diberikan kepada sanak saudara. 

Sesi karom secara santai di Kuching

Paling menarik berkawan dengan peminat karom atau lebih tepat kaki karom, walau di mana kita berada sudah pasti bermain karom. Kalau sudah mengadap, maklum sajalah... lepas satu, lepas itu dua dan tidak sedar sudah sampai ke sepuluh. Sungguh pun begitu kita jangan leka kerana tanggungjawab yang wajib jangan diabaikan... ;-)

Beberapa keping gambar ketika sesi latihan secara santai bersama saudara Nawawi dan rakan-rakan beliau yang meminati sukan ini. Kebanyakkan mereka berkebolehan bermain karom tetapi masih kekurangan info dan salah satu faktor adalah jarak semenanjung yang dipisahkan dengan Lautan China Selatan. Sungguh pun begitu kesungguhan mereka untuk mengetahui lebih lanjut di dalam sukan ini sungguh mengkagumkan walaupun kemudahan yang agak terhad. Saya pasti dalam masa terdekat dengan memperolehi peralatan yang sesuai saya kira pasukan Sarawak boleh pergi jauh di masa hadapan. Kepada pemain-pemain karom di Semenanjung di harap perlu berhati-hati jika bertemu dengan pasukan mereka nanti. Seperti kata pepatah "Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya".

Sebenarnya saudara Nawawi telah membeli satu papan karom berjenama yang terunggul di dalam dunia karom hari iaitu "Precise Elegant Rosy". Papan yang selalu digunakan di kejohanan berprestij seperti Kejohanan dunia, Piala Asia dan Piala ICF. Papan jenama Precise juga menjadi pilihan utama untuk kejohanan tempatan terutama di India, Sri Lanka dan Maldive. Sungguh pun begitu papan karom berjenama Synco antara papan yang juga mendapat sambutan.

 

Bersama kawan-kawan saudara Nawawi seperti Abdul Rahman, Shah Rizal dan Azmi semasa berada di sudut "karom" rumah beliau...

Latihan secara santai diadakan pada setiap malam di rumah kenalan baru saya saudara Nawawi di Kuching. Masa yang agak terhad untuk mengetahui semuanya adalah agak mustahil. Sungguh pun begitu banyak juga ilmu diperturunkan dalam kekangan waktu terbatas tetapi dapat juga dimanafaatkan bermula dari asas undang-undang permainan sehingga teknik permainan dan latihan ketepatan.

Sudut yang disediakan untuk saudara Nawawi menjalani latihan pada sebelah malam dan hujung minggu agak menarik kerana sesuai dengan ruangan yang ada. Kepada kawan-kawan di Kuching teruskan latihan dengan konsisten untuk mencapai kemahiran hingga tahap yang terbaik. Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan melainkan dengan latihan dan latihan dan seterusnya latihan... jangan berputus asa.

Hadiah saguhati daripada saudara Nawawi.... Piala sebiji buah karom. Mungkin piala yang sangat teristimewa ini diperbuat daripada pokok gambir yang popular di Sarawak.

Kesimpulannya kunjungan saya sekeluarga buat pertama kali ke Kuching sungguh bertuah dengan layanan saudara Nawawi di sepanjang kami berada di Kuching. Hingga kini saya masih teringat di malam terakhir saya dihidangkan kek buah dan kek lapis Sarawak yang dibuat oleh mak saudara beliau.... eeeemmm enak hingga menjilat jari. Rasanya memang A++... tak sama dengan di kedai.

Selamat tinggal Kuching dan Insha Allah jika ada rezeki kami akan berkunjung lagi di masa hadapan...

No comments:

Post a Comment