INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Wednesday, May 14, 2014

SIRI UJIAN JAGUARS vs MAKSAK KUALA LUMPUR

Tarikh: 03 Mei 2014
Masa: 02:00 petang - 5.00 petang
Tempat: Auto Service Sdn Bhd (ASSB) Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Hari ini perlawanan persahabatan telah menjadi satu fenomena di dalam dunia sukan. Saya mengambil satu contoh yang paling popular ialah sukan nombor satu di dunia hari ini iaitu bola sepak. Sesebuah pasukan sebelum bermulanya liga di negara masing-masing atau sebelum kejohanan besar seperti Piala Dunia atau Piala Eropah. Kebanyakkan pasukan akan membuat lawatan ke beberapa negara sambil mengadakan perlawanan persahabatan. Perlawanan ini penting terutama kepada pengurus dan jurulatih untuk menkaji dan menguji pemain-pemain di bawah pengurusannya untuk melihat permainan pada tahap yang terbaik dan mempraktikkan teknik-teknik yang telah diajar. Daripada perlawanan ini juga pihak pengurusan dapat menilai strateji dan melihat kebolehan dan kelebihan pemain-pemain tersebut dengan lebih efektif. 

Kita boleh akui bahawa perlawanan persahabatan adalah penting untuk mengetahui kelemahan dan kekuatan pasukan dan dalam masa yang sama dapat juga mengetahui tahap kecergasan pemain-pemain secara keseluruhannya. Di samping itu juga pemain-pemain dikedua-dua pihak dapat berkenalan, bertukar buah fikiran dan menimba ilmu di dalam satu komuniti yang mereka minati.

Di dalam dunia karom antarabangsa perlawanan persahabatan lebih dikenali sebagai "Test Series" atau "Siri Ujian". Mengimbau kembali sejarah perlawanan siri ujian pertama yang saya anjurkan telah diadakan pada 17 Ogos 2002 bertempat di UMW. Dua pasukan tersebut adalah Pasukan UMW diketuai oleh saya sendiri dan Pasukan Kontena Nasional yang ketika itu diketuai oleh sahabat lama saya En. A. Kamarudin Jasiman. Sila klik di sini

Selepas 12 tahun Siri Ujian kedua ini muncul kembali dan mencipta sejarah tersendiri apabila permintaan daripada Pengurus Pasukan Jaguars En. Imran Satiman berhasrat untuk mengadakan satu perlawanan sebelum kejohanan sebenar yang akan berlansung. Ini merupakan persediaan terakhir pasukan Jaguars untuk melihat sejauh mana kemajuan dan perkembangan pasukan yang diamanahkan oleh beliau sebagai pengurus pasukan dalam menyiapkan pasukan ke Pesta Sukan UMW kali ke XV di UMP Gambang, Pahang Darul Makmur. 

Saya telah memberi cadangan kepada beliau bahawa pasukan yang terbaik untuk Siri Ujian ini adalah Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur kerana secara peribadi saya mengenali pengurus pasukan dan begitu juga dengan pemain-pemainnya. Saya memberi sedikit maklumat pasukan ini yang mempunyai rekod cukup baik di peringkat MAKSWIP (Wilayah Persekutuan). dan di peringkat MAKSAK (kebangsaan) yang sentiasa muncul juara sejak ianya di adakan pada tahun 2003. Jika tidak silap hanya sekali sahaja pasukan ini gagal menjadi juara bila ditewaskan pada pasukan MAKSAK Selangor. Pasukan ini cukup terkenal kerana mempunyai beberapa bekas pemain-pemain Malaysia yang pernah mewakili negara di Kejohanan Piala Dunia di India dan Piala Asia di Sri Lanka. 

Pengurus Pasukan Jaguars pada dasarnya bersetuju dan saya telah menghubungi En. Muhamad Isa M. Tahir dan menceritakan hasrat Pengurus Pasukan Jaguars mengadakan Siri Ujian ini. Beliau bersetuju dan surat rasmi telah dihantar kepada beliau sebagai tanda persetujuan dan dalam masa yang sama saya juga emel kepada beliau untuk mempercepatkan lagi proses supaya kedua-dua pasukan dapat bersedia lebih awal.

Seperti yang dijanjikan selaku tuan rumah Pasukan Jaguars telah bersiap sedia dengan menyusun papan karom dan urusan yang berkaitan. Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur tiba agak awal juga dan ini menunjukkan satu petanda yang baik bahawa Siri Ujian ini akan berjalan lancar dan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Syabas kepada kedua-dua pasukan yang mengikut waktu seperti yang telah di tetapkan.

Bersama Pengurus Jaguars En. Imran dan Pengurus MAKSAK Kuala Lumpur En. Muhamad Isa.

Selaku koordinator Siri Ujian ini terlebih dahulu saya memberi taklimat format perlawanan dan memberi sedikit latar belakang pasukan MAKSAK Kuala Lumpur. 

Pengurus Jaguars En. Imran sedang memberi ucapan sebelum perlawanan bermula. Beliau mengucapkan terimakasih kepada Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur kerana sudi menerima jemputan Siri Ujian ini dan di samping itu memberi sedikit penerangan mengenai aktiviti-aktiviti di ASSB.

Sesi pertukaran cenderahati olih kedua-dua Pengurus Pasukan En. Imran (Jaguars) dan En. Muhamad Isa (MAKSAK KL).

Cenderahati daripada Jaguars (ASSB)

Cenderahati daripada MAKSAK Kuala Lumpur

Pasukan Jaguars (AISB)
En. Imran Satiman (Pengurus Pasukan)
En. Muhammad Ariff Kusnan
En. Gopalan A/L Kariappan
En. Mohd Sukimi Ismail
En. Mohd Noor AzamZakaria
En. Kamarulzaman Ibrahim
En. Muhammad Faruqi Mustaffa
En. Mohd Faiusnizam Sharif
En. Malar Selvan A/L Naallathamby
Pn. Rozita Mat Isa
Pn. Azmin Ali

Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur
En. Muhamad Isa M. Tahir (Pengurus Pasukan)
En. Abd. Mutalib
En. Wan Arif Wan Mahmood
En. Azuar Salim
Cik Norhayati Yop
Pn. Radziah Haji Hassan
Pn. Norhaslinda

   Regu Lelaki Pertama: Mohd Azam & Mohd Sukimi (Jaguars) vs Abd Mutalib & Azuar (MAKSAK KL)
Keputusan 4 - 25 (papan ke 6)


 Regu Lelaki Kedua: Muhamad Faroqi & Kamarolzaman (Jaguars) vs Muhamad Isa & Norhayati (MAKSAK KL). Keputusan 1 - 25 (papan ke 8)


Undian pecah mula dijalankan sebelum perlawanan


Regu Campuran: Gopalan & Azmin vs Azuar & Radziah (MAKSAK KL). Keputusan 0 - 25 (papan ke 5)

 Sebelumnya bermula seperti biasa undian pecah mula akan dilakukan

Perseorangan Lelaki: Malar (Jaguars) vs Wan Arif (MAKSAK KL). Keputusan 11 - 25 (papan ke 7)

Perseorangan Wanita: Rozita (Jaguars) vs Norhaslinda (MAKSAK KL). Keputusan 6 - 25 (papan ke 7)

Pemain perseorangan wanita MAKSAK KL nampak seperti profesional ketika menyusun buah karom...

En. Abdul Mutalib dari Pasukan MAKSAK KL sedang fokus pada permainannya...

Apa yang sedang difikirkan oleh sahabat saya En. Azahari berdiri di sebelah kiri dan juga Kapten Pasukan Jaguars En. Arif berdiri yang di sebelah kanan... Mungkin ada sesuatu yang menarik agaknya...

Dua pemain Jaguars cuba menimba ilmu daripada Pengurus MAKSAK Kuala Lumpur

Kanak-kanak juga sibuk mengambil peluang bermain dan ini sudah cukup bagus untuk penerapan di peringkat awal lagi.

Sedang mengira jumlah mata keseluruhan... Siapalah yang muncul juara agaknya...

 Pasukan Jaguars

 
Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur

Satu memori Siri Ujian bersama Pasukan Jaguars dan Pasukan MAKSAK KL 

 
Bila bergaya kaum Adam kena tabik spring kepada kaum Hawa....

Bergambar dengan kedua-dua pengurus pasukan. Di sebelah sekali kanan Pengurus Jaguars En. Imran, Pengurus MAKSAK KL En. Mohamad Isa, Saya selaku koordinator dan peminat karom dari Bangi En. Azahari yang saya jemput khas untuk menyaksikan satu sesi pencerahan dan akan mewarnai karom antarabangsa di masa akan datang.

Sebelum melabuhkan tirai, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan MAKSAK Kuala Lumpur yang berjaya memenangi kesemua 5 perlawanan. Kekuatan pasukan MAKSAK Kuala Lumpur masih jitu dan konsisten. Bagi pasukan Jaguars walaupun kalah tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat menimba ilmu yang cukup berguna dengan melihat sendiri skil dan teknik orang-orang lama bermain. Bagusnya apabila berjumpa dengan pasukan yang kuat sekurang-kurangnya kita dapat mengetahui tahap permainan kita dan pengalaman yang ada pada mereka. Jangan ada sikap kecewa tetapi usaha perlu dilipat gandakan supaya membawa satu perubahan ke arah yang lebih baik dari masa ke semasa.

Kepada kedua-dua pasukan yang akan bertanding di kejohanan masing-masing pada tahun ini diharapkan siri ujian ini membawa cukup bermakna. Berjumpa di siri ujian yang akan datang dan diakhiri dengan satu pantun lama...

Pulau Pandan Jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

KURSUS INTENSIF KAROM ANTARABANGSA PASUKAN JAGUARS (ASSB)

Tempat: ASSB Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Selepas 2 tahun saya dipanggil sekali lagi untuk melatih Pasukan Jaguars setelah muncul juara Pesta Sukan UMW ke XIII pada tahun 2012 di UiTM Shah Alam, Selangor. Bukan sahaja muncul juara malah pemain perseorangan wanita dianugerahkan pemain terbaik pada kejohanan tersebut. Ini merupakan kejuaraan buat pertama kali bagi Pasukan Jaguars setelah diujudkan sukan Karom Antarabangsa di Pesta Sukan sejak 2002 selepas saya memperkenalkannya dalam organisasi UMW. Hingga kini karom antarabangsa masih terus bersinar bersama-sama sukan lain di Pesta Sukan UMW dan diharapkan ianya dapat diteruskan.

Pada kali ini saya agak risau sedikit kerana untuk menjadi juara agak mudah sedikit tetapi untuk mempertahan kejuaraan ini satu perkara yang berbeza. Pada kali ini latihan dimulakan agak lewat kerana saya difahamkan pihak atasan belum menamakan calon pengurus pasukan. Pengurus Pasukan Jaguars dipilih secara rasmi hanya sebulan lebih sahaja sebelum tarikh kejohanan. Latihan agak yang lewat akan memberi impak yang kurang baik untuk melatih dan menaik taraf kemahiran individu mahupun pasukan secara keseluruhan. Sukan memerlukan kemahiran dan membina skil dari masa ke semasa supaya pemain-pemain dapat bermain dengan baik dan mencapai kejayaan.

Latihan perseorangan... Nampaknya ada kemajuan...

Mungkin Pn hendak habiskan dengan senafas agaknya. 

Latihan bersama penting untuk membantu rakan-rakan sepasukan dan memahami teknik-teknik untuk digunapakai ketika kejohanan nanti.

Latihan bergu seperti ini juga penting supaya ada kesefahaman di antara pasangan masing-masing.

Nampaknya jentik belakang (thumbing) sudah ada perubahan...

En. Arif kapten Pasukan Jaguars berlatih seorang diri... Latihan seperti bagus untuk mendapatkan ketepatan dan menaik taraf skil individu.


Pada kali ini saya menaik taraf sistem latihan kerana saya ingin melihat di dalam permainan ada sedikit kelainan sebelum ini. Diharapkan ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan disepanjang kejohanan yang akan berlansung nanti. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk merangkul kejayaan jika apa yang diajar di dalam latihan tidak diikuti dan kurang menjalani latihan.

Ciri-ciri untuk kejayaan terletak pada diri sendiri dengan displin yang tinggi dan konsisten dalam latihan. Latihan tidak akan mampu membuahkan hasil yang baik jika individu malas dalam latihan dan tertekan bila dipaksa olih pengurus pasukan atau kapten pasukan. Atlet sukan yang baik adalah terletak pada diri sendiri untuk membawa perubahan pada pencapaian diri ke arah lebih sempurna dari masa ke semasa dan dalam masa yang sama dapat membantu pasukan mencapai kejayaan seperti yang diidamkan.

Apa yang pemain-pemain perlu adalah berfikiran positif dan memberi fokus di dalam setiap perlawanan yang dihadapi olih mereka nanti. Pengurus pasukan dan jurulatih hanya mampu mengiringi dengan memberi semangat dan nasihat sahaja, selebihnya pemain-pemain tersebut perlu melakukan sendiri. Pemain-pemain perlu sedar bahawa kejayaan mereka perolehi adalah hasil usaha mereka dan mereka juga perlu tahu untuk berada di singgahsana semestinya bekerja lebih keras. Kejayaan sebenarnya tiada jalan mudah olih itu teruskan latihan demi latihan untuk kejayaan kepada diri sendiri dan pasukan yang anda wakili.

Selamat berjuang dan mempertahankan kejuaraan kali kedua. Jika anda yakin, maka anda pasti berjaya melakukannya. Sebelum melabuh tirai teringat saya pantun lama ini...

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Jika ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

KURSUS INTENSIF KAROM ANTARABANGSA PASUKAN LIONS (ASSB)

Tarikh: 5, 12, 19 April dan 3 Mei 2014
Tempat: AISB Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Masa: 09.00 pagi - 01.00 tengahari

Seperti biasa bila Pesta Sukan UMW menjelang tiba saya menjadi sasaran untuk menjadi jurulatih beberapa pasukan. Kehadiran Pesta Sukan UMW mengingatkan saya sebagai konverner sukan karom beberapa kali sebelum saya meninggalkan UMW pada tahun 2003. Legasi yang saya tinggal ini masih diteruskan sehingga hari ini.

En. Norkhizam daripada Pasukan Lions telah menghubungi saya untuk mendapatkan perkhidmatan saya untuk persiapan Pasukan Lions menghadapi Pesta Sukan UMW ke XV yang akan berlansung di Universiti Malaysia Pahang. Kali ini UMW telah memilih destinasi ke Negeri Pahang Darul Makmur pula di mana sebelum ini di UiTM, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

 Menonton beberapa video kejohanan di peringkat dunia untuk menyaksikan yang skil dan teknik pemain-pemain profesional. Mungkin dapat mempelajari sesuatu yang membina ketika latihan dan juga diguna pakai semasa kejohanan yang bakal menjelang. 

 Leka nampak pemain-pemain Pasukan Lions nii.... Jangan tengok sahaja Yop! tetapi perlu mempelajari sesuatu daripadanya...

 Salah seorang pemain senior Pasukan Lions En. Sazunda sedang memberi petua agaknya... 

Pasukan Lions giat berlatih.... Tetapi agak malang kerana setiap kali mengadakan latihan ada sahaja pemain yang tidak dapat hadir kerana kesibukkan kerja dan pelbagai urusan yang lain.

 Sebilangan pemain-pemain Pasukan Lions yang rajin di dalam latihan...

Perlawanan yang menarik sehingga menjadi tumpuan...

Kesimpulan yang dapat saya katakan ialah modul latihan yang diberi olih jurulatih tidak bermakna jika pemain-pemain tidak bersungguh-sungguh menjalani latihan. Latihan adalah penting bukan hanya untuk menaik taraf skil individu tetapi dalam masa yang sama juga menaik taraf sesebuah pasukan. Kejayaan yang hendak dicapai bukan menerusi kata-kata sahaja tetapi dengan usaha gigih melalui latihan. Latihan yang sistematik sahaja dapat membantu melahirkan satu kejayaan yang anda impikan.

Selamat berjaya saya ucapkan kepada Pasukan Lions dan sebelum menutup tirai saya teringkat satu pantun lama berbunyi begini:

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ketepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian

Tuesday, May 6, 2014

PERSIAPAN LATIHAN UNTUK KEJAYAAN

Selepas sunyi sepi kerana tiada aktiviti dan kejohanan karom antarabangsa sejak awal tahun hingga ke hari ini, maka insha Allah mungkin bulan-bulan akan datang terdapat beberapa kejohanan di peringkat kebangsaan yang akan berlansung dan juga beberapa badan koperat yang mengadakan kejohanan organisasi tahunan mereka. Saya selaku pengendali blog ini dan terlibat secara lansung karom antarabangsa saya ingin memberi sedikit panduan yang mungkin dapat membantu pemain-pemain untuk menghadapi kejohanan ke arah kecermerlangan.

Kepada pemain-pemain yang layak akan mewakili pasukan masing-masing diucapkan tahniah kerana terpilih dan di harap anda semua dapat membuat persiapan yang rapi dan secukupnya untuk mencapai kejayaan. Samada kejayaan itu berjaya mempertahankan kejuaraan atau mungkin juga muncul juara baru pada tahun ini. Sesuatu kemenangan bukan dicipta tetapi datangnya daripada hasil titik peluh menerusi usaha yang dilakukan. Kemenangan tidak akan terhasil menerusi kata-kata dan angan-angan kosong, tetapi datangnya menerusi perancangan yang mantap dan bersistematik.

Menyentuh topik yang diperkatakan di atas, ada baiknya saya memberi satu contoh yang agak relevan untuk mencapai kejayaan sebagai individu mahupun kepada pasukan anda wakili. Contoh yang hendak saya bawakan adalah sukan nombor satu dunia iaitu bola sepak dan seorang pemain yang cukup popular suatu ketika dahulu. Pemain tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Zico bekas pemain Brazil era '70an hingga lewat '80an adalah contoh yang terbaik untuk saya memberi ulasan. Saya berkesempatan melihat beliau bermain di zaman kegemilangannya dan juga salah seorang pemain Brazil yang saya kagumi. Beliau juga digelar sebagai "White Pele". Kenapa saya mengambil contoh mengenai Zico?

Zico dikenali sebagai antara pemain terbaik dunia di zamannya dan dikenali sebagai “the greatest free kick takers of all time”. Bagaimana beliau mendapat gelaran dan sanjungan yang sungguh luar biasa. Apakah jawapan sebenar? Jawapannya adalah beliau membina atau menaik taraf keupayaan luar biasa menerusi empat elemen iaitu displin, latihan, komitmen dan sikap. Jadual latihan beliau cukup rapi dan padat bersama jurulatih dan rakan seperjuangan. Di samping latihan bersama pasukan beliau juga mempunyai latihan tambahan. Beliau menambah beberapa jam lagi dengan latihan sepakan percuma secara bersendirian untuk meningkatkan kemahiran sasaran dan ketepatan. Peningkatan skil individu amat penting untuk menjadikan seorang pemain yang terbaik dan menarik kelab-kelab dunia dengan harga yang cukup lumayan.


Zico bersama Pele (The King of Footbal) mewakili Brazil


 Zico di zaman kegemilangannya juga digelar "The White Pele".

 
Zico selepas bersara beliau meneruskan karier sebagai jurulatih.

Bayangkan beliau adalah orang yang pertama sampai di padang bola untuk membuat latihan dan beliau jugalah orang yang terakhir meninggalkan tempat tersebut. Begitulah ciri-ciri seorang atlet yang hendak berjaya di dalam karier yang mereka ceburi dan akhirnya membuahkan hasil yang sungguh bernilai untuk diri sendiri. Malah dapat memberi sumbangan kepada majikan yang diwakilnya dan yang lebih penting tempias itu berjaya membawa negaranya ke mercu kejayaan dan menjadikan sebahagian sejarah kehidupan. Pautan klik di sini.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Memandangkan blog ini hanyalah menceritakan aktiviti karom atau yang berkaitan dengannya, maka ada baiknya kita berbicara topik yang saya ingin katakan "Persiapan latihan untuk kejayaan". Mungkin sebahagian apa yang saya hendak perkatakan dapat membantu anda dan pasukan dalam mempersiapkan menghadapi kejohanan akan datang.


Latihan tidak mencukupi jika latihan yang diadakan itu seperti melepas batuk di tangga sahaja. Latihan juga tidak membawa apa-apa makna jika latihan tersebut tidak mengikut sistem atau piawaian yang betul dan akhirnya latihan tersebut tidak memberi impak yang baik. Jika itulah tahap latihan anda lakukan, maka jangan terkejut jika pasukan anda jauh terpelosok ke belakang dan dalam masa yang sama pihak lawan jauh meninggalkan pasukan anda.

Memandangkan terdapat beberapa kejohanan akan datang, maka sedikit pengalaman yang ada saya ingin berkongsi ilmu dan memberi sedikit tip yang mungkin boleh membantu anda di dalam mempersiapkan diri dan pasukan ke arah kecermerlangan.


Berikut adalah 3 langkah perancangan dan persediaan sebagai seorang Pengurus dan pemain ke arah kesempurnaan dalam kejayaan:
1) Tip-tip yang perlu kepada seorang pengurus pasukan:
- Menetapkan misi dan visi pasukan dengan jelas.
- Pengurus mesti bersikap profesional di dalam semua hal penyelesaian.
- Pengurus semestinya mengambil peduli keperluan latihan dan peralatan pemain.
- Memilih peralatan yang terbaik dengan membuat rujukkan kepada pakar.
- Menyediakan peralatan terbaik untuk pasukan menjalani latihan yang sempurna.
- Mengambil tahu asas undang-undang permainan dan belajar adalah terbaik.
- Menyediakan kemudahan dan kebajikan kepada pemain-pemain.
- Mencari seorang jurulatih yang mampu meningkat prestasi pemain-pemain.
- Mengenal pasti jurulatih yang berpengalaman dalam semua aspek permainan.
- Mengadakan jadual latihan untuk jangka pendek dan jangka panjang.
- Mengerahkan tenaga pemain supaya bersedia dari awal dan bukan saat akhir.
- Mengadakan siri ujian sebelum kejohanan untuk menguji tahap pemain.
- Menyediakan rekod dan data pemain ketika latihan dan perlawanan sebenar.
- "Key Performance Indicators" di dalam penentuan pemilihan pemain-pemain.
- Mengawasi setiap pemain semasa perlawanan dan membuat catatan.
- Mengambil catatan keputusan setiap pemain-pemain di dalam perlawanan.
- Menjaga kebajikan dan keperluan pemain-pemain semasa latihan dan kejohanan.

NOTA: Kebiasaan pengurus dilantik oleh pihak pengurusan atasan berdasarkan pangkat mereka yang juga di dalam kategori pengurusan. Walaupun bukan semua tetapi kebanyakkan di antara mereka ini tidak mengetahui permainan secara mendalam. Oleh demikian sebagai pengurus mereka perlu mencari jalan mempelajari dan mengkaji apa yang terbaik untuk pasukan mereka. Jangan kerana pangkat anda tidak menerima buah fikiran daripada pemain-pemain yang lebih mengetahui kerana kerjasama di dalam satu pasukan adalah penting untuk melakarkan kejayaan. 

2) Tip-tip yang perlu diamalkan sebagai seorang pemain semasa sesi latihan:
- Mempunyai papan bermutu tinggi yang selalu digunapakai diperingkat tertinggi.
- Mengunakan striker mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh undang-undang.
- Mempunyai lebih daripada satu striker yang berkualiti tinggi.
- Berdisplin dalam latihan dan akur arahan jurulatih dan pengurus pasukan
- Banyak bertanya kepada Jurulatih adalah terbaik untuk pencerahan.
- Anda menjadi orang pertama atau datang awal ke tempat latihan.
- Pelajari latihan ketahanan mental dan mengawal emosi dalam apa jua keadaan.
- Sesi latihan lakukan dengan serius dan tiada unsur gurauan.
- Sentiasa fokus semasa latihan untuk keyakinan diri.
- Jadikan latihan bersama rakan sepasukan seperti perlawanan sebenar.
- Sesi latihan bukan paksaan tetapi hadir dengan penuh minat dan komitmen.
- Konsentrasi setiap waktu semasa latihan atau perlawanan bersama rakan.
- Sentiasa menjaga kesihatan supaya sihat (amalkan senaman ringan).
- Mengambil pemakanan yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan.
- Sentiasa positif dalam latihan dan bermain ke tahap yang terbaik.
- Berkomunikasi bersama jurulatih, pengurus dan rakan sepasukan adalah terbaik.
- Ketika latihan cuba pelbagai teknik sehingga mencapai tujuan.
- Mengawal masa giliran dengan sempurna.
- Mengetahui pengunaan tepung yang sesuai dengan striker dan permukaan papan.
- Mengawal pergerakan tangan dan kaki dalam kawasan dibenarkan.
- Tidak melakukan kesalahan-kesalahan asas yang merugikan.
- Tahap penguasaan undang-undang permainan yang agak baik.
- Sesi latihan bukan untuk mencari juara tetapi mencuba pelbagai teknik dan skil.
- Cuba membawa cara permainan ke satu tahap yang berbeza.
- "Warm up" bersendirian sebelum latihan bersama rakan-rakan sepasukan.
- Mengamalkan latihan secara bersendirian dan berterusan jika ada kelapangan.
- Elakkan latihan hampir hari kejohanan. Latihan mestilah konsisten.
- Berguru adalah kunci untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan kejayaan.
- Mencari jurulatih yang mahir undang-undang dan skil permainan.
- Jurulatih memberi panduan dan selebihnya pemain melakukan perubahan.
- Melihat cara permainan orang atau menerusi video dapat mempelajari sesuatu.
- Mengambil peduli undang-undang secara menyeluruh.
- Jika kurang faham sila hubungi jurulatih untuk menyelesaikan masalah tersebut.
- Menyediakan data latihan olih jurulatih untuk mengetahui tahap pencapaian.

NOTA: Seseorang pemain yang cemerlang sentiasa meningkatkan skil permainan pada setiap masa atau jika masa mengizinkan. Pemain yang mempunyai iltizam akan sentiasa bersiap sedia bila-bila masa.

3) Tip-tip yang perlu diamalkan seorang pemain semasa perlawanan:
- Membawa misi dan visi pasukan dengan jelas.
- Mendengar nasihat dan arahan Jurulatih dan Pengurus di sepanjang kejohanan.
- Menjaga kesihatan supaya sihat dan sempurna di sepanjang kejohanan.
- Mengambil makanan berkhasiat dan elakkan dari makanan yang mencurigakan. 
- Datang awal ke tempat perlawanan dan sentiasa bersedia.
- Mengambil peluang bertanya kepada pengadil tentang peraturan atau teknik.
- Mencuba beberapa papan bersama tepung untuk menguji kesesuaian striker.
- Jika terdapat papan bergoyang semasa mencuba papan sila lapor kepada pengadil.
- Pengesahan spesifikasi striker sebelum kejohanan bermula.
- Konsentrasi dan sentiasa positif dalam perlawanan pada tahap yang terbaik.
- Perlu berkomunikasi dengan Jurulatih dan Pengurus untuk mencari penyelesaian.
- Fokus di dalam setiap tindakan dalam perlawanan dan memberi yang terbaik.
- Dalam perlawanan bermain dengan cara yang mudah dan tanpa tekanan.
- Mengawal masa giliran bermain dengan sempurna.
- Mengawal pergerakan tangan dan kaki dalam kawasan dibenarkan.
- Tidak melakukan kesalahan-kesalahan asas yang merugikan.
- Dalam situasi tertentu bermain secara bertahan dan menyerang.
- Cuba memasukkan buah karom sebanyak mungkin pada setiap giliran.
- Cuba membawa cara permainan ke satu tahap yang berbeza.
- Melihat rakan sepasukan bermain untuk membuat pembetulan .

- Melihat permainan pihak lawan supaya dapat mempelajari sesuatu yang baru.
- Sentiasa berada di tempat perlawanan selagi jadual perlawanan belum selesai.
- Menjaga adab sebagai pemain yang berdisplin dan berhemah setiap masa.
- Pihak lawan sebagai musuh hanya di gelangang dan selepas itu jadikan kawan.
- Jangan bersikap biadab jika keputusan pengadil tidak memihak kepada anda.
- Boleh membantah keputusan pengadil melalui saluran yang betul.
- Sentiasa menunjukkan sikap yang profesional dalam apa jua keadaan.
- Bertindak bijak dan tidak memperbodohkan diri sendiri di khalayak ramai.
- Tahap penguasaan asas permainan yang agak baik untuk mengelak kesalahan.

RUMUSAN

Untuk memperolehi kejayaan yang sebenar bukan hanya bergantung kepada undian atau nasib, tetapi menerusi latihan yang keras, pengorbanan, sikap dan yang akhirnya komited apa yang anda lakukan. Renungi kata-kata ini "Jika anda tidak berusaha, maka anda tidak akan memperolehi apa yang diidamkan dan jika anda tidak belajar, sebenarnya anda masih berada di tahap yang sama". Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung yang hanya mengenali dunia di sekelilingnya sahaja. Hari ini untuk melangkah lebih jauh dan berjaya anda perlu positif dan semestinya berada beberapa langkah di hadapan pihak lawan.

Saya bukan pakar tetapi melalui pengalaman sedikit yang ada ingin berkongsi ilmu dengan pembaca yang mungkin panduan di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda ke arah yang lebih sempurna atau jadikan panduan di atas yang akan membawa peningkatan kepada diri dan pasukan anda. Jika terdapat kekurangan harap maaf kerana sebagai manusia  kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Kepada anda yang berkebolehan dan ingin membuat penambahan yang membina boleh e-mel kepada saya dan pengunjung komunitikarom akan mendapat manfaat daripadanya. 


Kata-kata akhir daripada saya: "We gain the knowledge. We share the knowledge. We spread the knowledge".