INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Thursday, July 14, 2016

PASUKAN KAROM DARI PERAK

Tarikh: 18 Mei 2016
Tempat: Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Pengurus JPS Perak berkunjung ke Sungai Buloh untuk mengambil papan karom antarabangsa berjenama Precise Elegant Champion. Beliau bersama rakan-rakan singgah sebentar sambil bertanya sedikit sebanyak cara dan undang permainan. Walaupun masa yang agak singkat tetapi dapat juga menimba ilmu seadanya.

.



 
Cenderamata dari saya kepada pengurus karom JPS Perak En. Haruddin

PASUKAN KAROM DARI JOHOR

Tarikh: 1 Jul 2016
Tempat: Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Walaupun perkembangan karom antarabangsa agak perlahan tetapi permintaan peralatannya masih berjalan seperti biasa. Baru-baru ini pasukan JPS telah berkunjung ke Sungai Buloh dan mengambil tempahan 2 set papan karom berjenama Precise Elegant Champion yang telah dibuat.

Pengurus Johor tidak dapat turun kerana kekangan kerja dan hanya seorang wakil sahaja yang datang. Saya tidak berpeluang untuk menurun sedikit ilmu yang ada kerana kesuntukkan masa. Walau bagaimana pun in shaa Allah di masa akan datang jika berkelapangan mungkin boleh diuruskan.

2 set yang telah diambil oleh pasukan Johor.

DUA PENGURUS BERKUNJUNG KE SUNGAI BULOH, SELANGOR

PENGURUS PASUKAN KAROM LHDN

Beliau berkunjung ke Sungai Buloh bersama anak dan seorang kawan untuk melihat kualiti papan karom antarabangsa. Kunjungan beliau seminggu sebelum kejohanan Karom MAKSWIP pada 20 dan 21 Febuari 2016. Saya juga menyediakan papan untuk demo dan sesi pencerahan dari segi undang-undang dan cara latihan yang sesuai.

Saya terkejut kerana beliau membeli papan karom yang paling bermutu tinggi iaitu Precise Elegant Rosy. Papan jenis ini sudah tidak dikeluarkan lagi kerana harga yang agak mahal. Tahniah kepada beliau yang begitu komited di dalam permainan karom sehingga sanggup mengeluarkan wang saku sendiri demi minat dan cinta kepada sukan karom. Semoga beliau berjaya membimbing pasukan LHDN sehingga peringkat yang tertinggi di masa hadapan. Syabas kepada En. Shamsul...

 Pengurus LHDN En. Shamsul sedang berlatih untuk memersiapkan diri untuk Kejohanan MAKWSIP 2016.



PENGURUS PASUKAN KAROM MAKSAK PDRM

Beliau berkunjung ke Sungai Buloh selepas sahaja berakhirnya kejohanan karom MAKSAK yang diadakan bulan 10 hingga 13 March 2016 di Shah Alam, Selangor selaku tuan rumah pada tahun ini. Memandangkan dana yang agak terhad pasukan PDRM sudah sekian lama ingin memiliki papan karom antarabangsa dan akhirnya berjaya hasil usaha wang saku pemain-pemain sendiri. Tahniah dan syabas kepada paduka PDRM yang begitu komited terhadap karom sehingga mereka mengorbankan wang sendiri demi cinta dan minat kepada sukan karom. Saya doakan pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan PDRM menjadi ikutan dan contoh kepada pasukan lain yang kekurangan dana demi cinta kepada sukan ini.  
  
 Pengurus PDRM En. Apai (nama glamour beliau)

Pasukan wanita PDRM sedang mencuba papan baru.

Tuesday, June 28, 2016

PERGINYA SEORANG SAHABAT DAN PENGIAT KAROM

Setiap pertemuan ada perpisahan. Setiap bermula pastinya ada yang berakhir. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajal. Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan merasai saat kematian. Cuma perbezaan ada yang berpisah tetapi bertemu kembali dan kemungkinan juga pertemuan itu menjadi yang terakhir buat selama-lamanya.

Sekitar jam 8.30 pagi hari selasa 5 April 2016 saya menerima panggilan daripada sahabat Abdul  Mutalib (pemain MAKSAK KL) dan bertanya samada saya tahu berita pemergian seoranag sahabat yang saya kenali. Saya menjawab saya tidak tahu dan tiada sesiapa yang memberitahu. Lalu beliau memberitahu bahawa Muhamad Isa bin Mohd Tahir pengurus karom DBKL dan juga merangkap pengurus karom MAKSAK telah pergi buat selama-lamanya kerana panggilan Illahi. 

Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un
“Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.”

Pemergian arwah kerana akibat serangan jantung. Bila mengingati kembali pemergian arwah, anak saya juga menemui sang penciptanya pada tarikh yang sama 5 haribulan. Cuma bezanyanya arwah anak saya meninggal dunia pada bulan March 2016. Betul-betul sebulan selepas pemergian anak saya. Saya sedih sekali lagi.

Saya terkejut dan terharu tetapi redha kerana ianya perancangan dari yang maha Esa. Seorang sahabat baik yang sama-sama bergiat cergas dalam sukan karom dan kami selalu berkerjasama dalam menjayakan beberapa kejohanan karom MAKSWIP sejak 2012.

Sekitar jam 11.00 pagi saya bertolak dari dari Kepong selepas selesai urusan kerja dan terus ke pejabat Jupem Jalan Gurney, Kuala Lumpur untuk menjemput Mutalib, Remey dan Puan Jamilah. Kami terus bergegas ke Surau di Putrajaya untuk menziarah arwah kali terakhir. Ramai kawan-kawan arwah sudah berada di sana yang sudah mendahului kami. Dalam masa yang sama juga sahabat yang lain juga turut sampai satu persatu. Kami bersalam-salaman dan bertanya khabar tentang arwah pada hari-hari terakhir dan kawan-kawan arwah mengatakan tiada tanda-tanda menunjukkan arwah sakit. Kami diberitahu arwah dihantar ke hospital sekitar jam 4.00 pagi kerana mengadu sakit dada. Arwah telah disahkan meninggal dunia sekitar jam 6.00 pagi di Hospital Serdang. Kami sempat bersama-sama sembahyangkan jenazah dan kami juga diberitahu bahawa pengkebumian selepas waktu solat zohor.

Hampir 17 tahun mengenali arwah sejak pertemuan buat pertama kali pada tahun 1999 sempena kejohanan piala koprat kali pertama. Pemergian arwah meninggalkan kenangan persahabatan yang dipenuhi suka dan duka dalam sukan karom. Takziah untuk keluarga arwah kerana sudah tiba masanya untuk bertemu Illahi, Allah lebih menyayangi arwah. Sebagai seorang kawan, pastinya hati ini sayu dan sedih mendengar berita pemergian arwah. Saya mengharapkan ahli keluarga arwah tabah menerima dugaan yang cukup berat ini.

 Arwah sedang menunjuk ajar kepada pemain-pemain muda pasukan ASSB


 Arwah bergambar selepas selesainya test series

Arwah bergambar bersama pengurus karom ASSB dan saya sebagai koordinator.


Hanya gambar sahaja menjadi kenangan yang akan menyegarkan kembali memori persahabatan ini. Saya agak terkilan kerana tidak dapat bertemu arwah yang memesan satu striker yang bagus daripada saya. Arwah memesan striker tersebut selepas selesainya kejohanan karom maksak pada tahun 2016 yang diadakan di Shah Alam, Selangor. Saya tidak berkesempatan dan agak terkilan kerana tidak berpeluang berjumpa dengan arwah kerana saya agak sibuk dengan urusan arwah anak saya.


Selepas Kejohanan Karom MAKSAK arwah menempah striker dan saya tidak berkesempatan untuk menyerahkan kepadanya.  

Saya bersyukur kerana pernah diberi kesempatan untuk menjadi salah seorang sahabat di dalam hidup arwah. Semua sahabat-sahabat yang mengenali arwah pastinya terkejut dan bersedih atas pemergian arwah.Semoga arwah diampunkan dan rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Saya juga mengharapkan agar sesiapa yang mengenali arwah dapat memaafkan beliau dan menghalalkan semuanya. Semoga kita merelakan pemergian arwah dan beliau tenang di alam yang baru.

Sahabat adalah orang-orang terdekat dengan kita, yang selalu diajak bersama dalam duka dan tawa. Juga ketika menghadapi masalah yang menimpa kita maka sahabat dengan cepat datang menghampiri kita dan memberikan sokongan dan menasihati kita. Itulah dinamakan seorang sahabat yang setia dan sejati.

Arwah bermain ketika perlawanan akhir DBKL vs UM, DBKL muncul juara pada tahun ini.

 Pasukan DBKL menjuarai kategori lelaki di Kejohanan MAKSWIP 2016. Arwah sebagai pengurus pasukan.
 

 Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur muncul juara karom peringkat kebangsaan ketika kejohanan berlansung di Kota Kinabalu pada tahun 2015.

 Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur tahun 2016 mengulangi kejayaan pada tahun 2015 dengan sekali lagi muncul juara karom peringkat kebangsaan yang berlansung di Shah Alam, Selangor.


Pasukan MAKSAK Kuala Lumpur yang mantap dan sukar dikalahkan. Bermula dari kiri Roslan Baba, Adik (nama gelaran), Roslan (pembantu kanan Arwah), Mohd Isa (Arwah), Abdul Mutalib dan Wan Arif.

Arwah bersama pasukan MAKSAK Kuala Lumpur ketika majlis penyampaian hadiah muncul juara di Kejohanan MAKSAK 2016. 

Saya tidak dapat sepenuhnya profile arwah sejak awal penglibatan di dalam sukan karom. Info arwah yang sedikit saya perolehi dari En. Roslan pembantu kanan arwah yang kini mengambil tugas arwah sebagai pengurus pasukan DBKL dan pengurus MAKSAK WPKL.
Arwah memegang Pengurus karom pasukan DBKL dan Pengurus pasukan karom MAKSAK Kuala Lumpur sejak 2005 hingga 2016. Pernah mewakili pasukan karom Malaysia di peringkat antarabangsa bermula tahun 1995 sehingga 2002.

Perginya seorang insan yang cukup komited di dalam dunia sukan karom. Pasukan di bawah pengurusan srwsh mencapai banyak kejayaan dengan cemerlang. Semasa berakhirnya kejohanan Karom MAKSWIP saya dan arwah merancang untuk mengadakan satu kejohanan besar pada penhujung tahun ini. Nampaknya perancangan hanya tinggal kenangan sahaja.


Doa buat sahabatku semoga damai di sana…

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam. Rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad ï·º , keluarga dan para sahabat Baginda. Ya Allah! Ampunilah sahabatku, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia, ampunilah dosanya, muliakanlah kedudukannya, lapangkanlah kuburnya dan jadikan di alam barzah seperti taman-taman di syurga. Bersihkanlah dia dari semua kesalahan sebagaimana kain putih dan terhindar dari azab kubur. Jauhi daripada seksaan api neraka dan tempatkan di syurga jannah. Aamiin aamiin yaraballalamiin.

Semoga roh Allahyarham tenang bersemadi dan memperolehi rahmat Allah. Mohon pengunjung blog komuniti karom meluangkan sedikit masa melafazkan Al-Fatihah buat Allahyarham Muhamad Isa bin Mohd Tahir (28/03/1960 – 5/4/2016).

PERGINYA SEORANG INSAN YANG KU KASIHI

Hukum alam adalah putaran hidup yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Suka duka di atas muka bumi ini adalah satu kehidupan yang hakiki dalam meneruskan hidup yang fana. Percaturan dan perancangan Allah ke atas makhluk-makhluknya adalah yang terbaik walaupun adakalanya sukar kita fahami dan menerimanya. 

Sebak… sedih… pilu… Itulah perasaan ketika pergi insan yang kita sayangi bermula menyambut kelahiran dan membesar di depan mata selama hampir 20 tahun tiba-tiba sang penciptanya mengambil kembali dalam sekelip mata sahaja.

Sayunya hati ketika pemergian seorang insan yang amat disayangi oleh keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang pergi mengadap illahi buat selama-lamanya. Kehilangan arwah amat dirasai oleh mereka-mereka yang pernah bersama dengannya.

Kali ini saya ingin paparkan seimbas lalu perjalanan kehidupan anak sulung saya bernama Muhammad Akmal. Coretan ini sebagai kenangan abadi dalam mengharungi kehidupan bersama keluarga, rakan-rakan dan penglibatan arwah di dalam dunia pengadilan permainan karom.

Anak sulung saya telah dimasukkan ke Hospital Sungai buloh pada hari Isnin bersamaan 29 Febuari 2016 sekitar jam 2.30 petang dan dimasukkan ke wad sekitar jam 5.00 petang. Keadaan arwah masih stabil dan boleh bercakap tetapi agak lemah sehingga hari selasa bersamaan 2 Febuari 2016. Pada petang sekitar jam 3.30 petang bersamaan 3 Febuari 2016 arwah dimasukkan ke wad ICU dan ditidorkan untuk diberikan perubatan dengan lebih sempurna. Usaha kami sebagai ibu dan bapa ke tahap maksima dimana mengeluarkan sejumlah wang untuk peralatan perubatan arwah yang dibawa masuk dari Singapura untuk membuang toksin di dalam hati. Kita hanya insan biasa yang hanya dapat berusaha tetapi Allah lebih mengetahui. 

Kawan-kawan lama di dalam dunia fotografi (ASFON) yang sempat menziarahi arwah anak saya semasa berada di dalam ICU. Terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang memberi sedikit semangat dalam menempuh dugaan yang Maha Esa. Dari kiri Hasbullah, Isma, M16 (nama gelaran), Suhaizan, Asmaruddin dan Mohar.

Pada petang hari Sabtu merupakan hari terakhir kami berada di ICU bersamanya. Sebelum arwah menghembus nafas yang terakhir terdetik di dalam hati saya dan mengajak isteri masuk ke dalam bilik ICU dimana keadaan arwah semakin kritikal. Saya dan isteri menghampiri katil dan membisikkan ditelinga beliau dengan kalimah LAILAHAILALLAH MUHAMMADUR RASULLULLAH… berakhir sahaja kalimah tersebut mesin nadi arwah terus jatuh mendatar dan terdengar… toooooooooooooooooooooooot…

Rupa-rupanya arwah seperti menunggu kami berdua untuk melihat ibu dan ayahnya kali terakhir…Arwah disahkan meninggal dunia sekitar jam 4.12 petang bersamaan 5 Febuari 2016 di Hospital Sungai Buloh akibat deman denggi berdarah.


Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un

“Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.”

Sahabat-sahabat yang mengetahui permergian arwah anak saya iaitu Remey, Kamaruddin dan Samohon turut hadir. Terima kasih bersusah payah datang menziarahi arwah anak saya sehingga selesai urusan.

Arwah dikafankan, dibacakan tahlil dan disembahyangkan juga di Hospital Sungai Buloh. Selepas itu jenazah terus dibawa ke Hutan Melintang, Perak dan sampai di sana sekitar jam 10.04 malam. Kawan-kawan arwah dari Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah turut datang menziarahi untuk melihat wajah arwah kali terakhir. Mereka juga beramai-ramai membaca surah yasin untuk disedekahkan kepada arwah.

Keesukkan harinya sekitar jam 9.00 pagi bersamaan 6 Febuari 2016 arwah disembahyangkan sekali lagi dan terus di bawa ke Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh untuk disemadikan. Arwah selamat dikebumikan sekitar jam 11.00 pagi dan selesai talkin sekitar 11.35 pagi.

Sahabat-sahabat yang rapat dengan arwah menolong sehingga selesai urusan pengkebumian. Dari keluarga arwah kami mengucapkan setinggi terima kasih kerana sanggup datang dari jauh semata-mata membantu sehingga selesai.



Saudara-mara dan kawan-kawan yang berkeras semasa pengkebumian arwah.

Arwah pernah berpesan untuk disemadikan berhampiran arwah datuknya yang pernah menjaga arwah sejak lahir sehingga berumur lima tahun. Alhamdulillah rezeki arwah dapat bersemadi berhampiran walaupun arwah datoknya sudah pergi lebih 15 tahun yang lalu. Saya selaku ayah dan seluruh keluarga arwah mengucapkan setinggi-tinggi terimakasih kepada saudara-mara dan rakan-rakan arwah dari jauh dan dekat yang bersama-sama menguruskan upacara perkembumian arwah sehingga selesai. Tidak ketinggalan kepada guru-guru arwah dan juga kenalan ibu arwah yang banyak membantu hingga ke akhir seperti Puan Roslina bersama suami En Hasrin, Puan Faezah, Puan Marim, Puan Norita, Puan Aishah dan En. Nasari.

Bekas guru-guru, sahabat-sahabat, ibu dan adik arwah bergambar di rumah opah arwah selepas upacara pengkembumian.

Kisah Arwah bersama keluarga

Arwah seorang anak yang bertanggungjawab yang selalu memberi yang terbaik kepada keluarga, menghormati orang tua dan suka belanja keluarga. Paling terharu arwah seorang yang mengambil berat tarikh lahir ahli keluarga dan arwahlah orang yang pertama membuat panggilan dan mengucapkan hari jadi. Sebagai abang sulung arwah cukup bertanggunjawap jika amanah diberikan supaya menjaga adik-adik ketika saya dan isteri berada di luar kawasan. Masa hidup arwah berkesempatan bercuti bersama keluarga beberapa tempat menarik di dalam negara dan paling jauh melancung ke Bandung, Indonesia.
 
Kisah Arwah bersama rakan dan guru

Kisah kehidupan dan aktiviti luar rumah arwah tidak banyak diketahui oleh ahli keluarga dan rata-rata rakan-rakan mengatakan arwah seorang yang suka menolong rakan-rakan di dalam kesusahan dan suka belanja makan minum kawan-kawan. 

Kebanyakkan bekas-bekas guru mengatakan arwah cukup hormat pada guru dan sentiasa memberi salam jika bertembung dengan arwah. Semasa di hospital bekas guru menceritakan arwah pernah membayar makanan beliau di sebuah restoran mamak tanpa pengetahuannya dan bila ditanya, budak yang menjaga kaunter menunjukkan ke arah arwah.
 
Kisah Arwah sebagai pengadil karom

Dalam penglibatan arwah dalam pengadilan kejohanan karom cukup penting membantu saya dan pengadil-pengadil lain dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan, peringkat wilayah, jabatan kerajaan dan badan koprat. Arwah seorang yang cukup dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau. Tugas terakhir arwah adalah di kejohanan Karom MAKSWIP 2016 di Kuala Lumpur.

Arwah pernah menjadi pengadil di kejohanan Karom Ketua Polis Negara di Kota Bharu, Kejohanan Karom Sufma di Kuantan, Kejohanan Karom Jabatan Perdana Menteri dan Kejohanan Kementerian Kewangan.

 
Sedang mengadili Kejohanan Karom Ketua Polis Negara 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

 
Di hadapan IPD Kota Bharu sempena Kejohanan Karom Ketua Polis Negara 2014. Dua beradik yang selalu bergandingan dalam mengadili kejohanan-kejohanan karom dimana saya sebagai ayah melatih mereka.

 
 Bersama pengadil-pengadil Kejohanan Karom Ketua Polis Negara 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

 
 Sedang mengadili Kejohanan Karom Jabatan Perdana Menteri 2014 di Inspen Bangi, Selangor.

 Bersama pengadil-pengadil Kejohanan Karom Jabatan Perdana Menteri 2014 di Inspen Bangi, Selangor.

Sedang mengadili Kejohanan Kementerian Kewangan 2015 di Inspen Bangi, Selangor.

Bersama pengadil-pengadil Kejohanan Karom Kementerian Kewangan 2015 di Inspen Bangi, Selangor.

Sedang mengadili Kejohanan Karom SUFMA 2015 di Kuantan, Pahang.

Bersama Urusetia dan pengadil-pengadil Kejohanan Karom SUSMA 2015 di Kuantan, Pahang.

Tugasan arwah yang terakhir di Kejohanan Karom MAKSWIP 2016 di Kuala Lumpur.

Sebagai penutup bingkisan istimewa ini, selepas seminggu hari arwah kembali ke rahmatullah saya dan isteri mengimbas kembali beberapa peristiwa atau tanda-tanda arwah yang akan meninggalkan kami. Dan kami sendiri tidak menjangka bahawa rupa-rupanya itu adalah tanda-tanda menunjukkan arwah akan pergi meninggalkan kami semua.

Tanda pertama 2 minggu seminggu arwah meninggal, beliau telah untuk pulang ke kampung di Perak untuk menemui opahnya sebelum bermulanya semester yang baru. Pada mulanya kami melarangnya pulang tetapi arwah berkeras untuk pulang kerana ingin menunjukkan motor Kawasaki RR kepada opahnya. Pada malamnya arwah belanja sakan sepupu-sepupunya dan keesokkannya sebelum pulang ke Sungai Buloh, Selangor dua tiga kali beliau berpatah balik dan meminta maaf kepada opahnya, emak saudara serta sepupunya. Selepas arwah pergi barulah mak saudara menceritakan kepada kami kelakuan arwah yang agak pelik semasa pulang ke kampung.


Tanda kedua seminggu sebelum arwah meninggal, arwah telah menempah kaki lembu untuk dibuat sup kaki kegemarannya. Saya menyuruh arwah mempelajari bermula dengan proses membakar kaki, bagaimana membersihkan dan memotong kakinya sehingga selesai dijadikan sup. Arwah hanya menolong separuh jalan sahaja kerana kebetulan kawan arwah datang dan mengajak untuk keluar sekejap. Saya berkata kepada arwah belajarlah sampai selesai nanti kemudian hari boleh buat sendiri lalu arwah berkata tak mengapa Abi (panggilan kepada saya) ini kali terakhir makan sup kaki lembu.

Tanda ketiga semasa kami menghantar ke Mantin pada 24/2/2016 dan singgah di satu restoran tomyam yang selalu kami makan dan minum sebelum hantar ke tempat penginapan. Arwah meminta kami membeli sate dan saya berkata kepadanya sate di sini tidak sedap kerana kami pernah makan sekali semasa menghantar beliau dahulu. Tetapi arwah berkata ini kali terakhir dan tidak makan lagi. 

Tanda keempat umi (panggilan arwah kepada ibunya) mendapati gambar yang digantung di dinding ruangan makan kelihatan muka arwah menjadi kabur dan hampir tidak kelihatan sedangkan gambar kami sekeluarga masih jelas kelihatan.

Dan tanda yang terakhir yang kami ingat ialah pokok yang arwah tanam di depan rumah menjadi kering dan akhirnya mati. Dua minggu sebelum arwah pergi hanya pokok ini sahaja semakin layu dan layu walaupun disiram air setiap hari. Sedangkan pokok lain segar dan menghijau. Mungkin apa yang berlaku secara kebetulan tetapi inilah hikmah dan kebesaran yang Maha Cipta memberi sedikit gambaran atau tanda-tanda arwah mendahului kami sekeluarga.
   
Pokok di tengah yang ditanam oleh arwah mati seperti mengikut tuannya,

Kami sekeluarga mengucapkan setinggi-tinggi berterima kasih kepada saudara mara menziarahi arwah sehingga ke akhir seperti sepupu arwah, bapa saudara arwah Pak Ngah dn Mak Ngah, Pak Lang dan Mak Lang, Pak Uda dan Mak Uda, Mak cik Ani dan Pak Cik Iwan, Acik dan Mak cik, Pak su Eman dan Mak su dan yang terakhir kepada Opah arwah yang sempat menjaga semasa di hospital. Seterusnya bapa saudara sebelah arwah Alang Ya iaitu Ngah Aris, Uda kuzi dan isteri, Lan, Zubir dan Nizam serta isteri. Kepada sepupu arwah Nasrul yang pulang dari Kedah dan sepupu-sepupu arwah yang lain turut serta bersedekah dengan mengkhatam Al-Quran. Juga tidak ketinggalan bapa saudara dan tok sebelah ayah arwah.


Kepada mak saudara arwah Mak Uda, Pak Uda, Mak Cik dan Pak Cik, Pak Cu Eman, dan Mak Cu yang bersusah payah datang ke hospital. Kami juga ucapkan sekalung kasih dan kepada pak saudara arwah Pak Ngah dan Mak Ngah yang menyelesaikan banyak perkara di Bagan Datoh sehingga selesai urusan pengkebumian. Kepada Opah arwah dari awal berada dari hari pertama sehingga ke akhir berada disamping arwah. Tiada ayat yang dapat kami susun untuk dipersembahkan, hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Juga kepada sepupu isteri Kak Mun dan suami Abang Atan dan anak-anak yang turut juga bersama hingga ke akhir. Juga kepada sepupu isteri Mak Mah dan suami Zamri yang turut melawat arwah di hospital.



Terimakasih juga kepada kawan dari komuniti karom Zukiman dari Kedah, Fariz dari Labuan, Nazri dari Pulau Pinang, Faizee da Jamal dari Perak, Mohd Nawi dari Sarawak, Remy, Mutalib, Zamani dan Samohon dari Kuala Lumpur, Ghazali, Nazri, Rashidi, Jai dan Norzalina dari Pahang, Kamaruddin (KJ), Rosmah dan Baharuddin dari Selangor, Christopher dari Negeri Sembilan dan kawan-kawan sekitar Lembah Klang.



Kepada komuniti xSMKAA 74-78 Roaini Norasia, Normadiah, Norazamani, Norhasimah, Fatimah Wahiruddin, Mohd Rosli, Zulkefli, Mokhtar, Azahar, Razak, Amran, Umi Kalsum, Muhammad, Noriah, Nafisah, Halimahton, Saadon, Salmah, Roslina, Khatijah, Mustafar, Kamalias,Wan Azizan dan yang lain dari awal mengambil berat dan sentiasa mengambil tahu perkembangan arwah anak saya hingga ke akhir.


Bersemadi buat selama-lamanya anakku dan kami akan sentiasa mendoakan sesejahteraan rohmu di alam sana. Pesanan arwah kepada umminya setahun yang lalu semasa bermimpi arwah datoknya, jika beliau pergi dahulu supaya disemadikan berhampiran arwah datoknya. Alhamdullilah hajat arwah termakbul walaupun arwah datoknya sudah pergi melebihi 15 tahun yang lalu, ruang masih ada untuk arwah.

Gambar minggu terakhir arwah di rumah sebelum dimasukkan ke hospital.

Kami sekeluarga redha pemergiannya yang telah dirancang oleh Allah sejak awal lagi dan Allah lebih menyayangi beliau. Dari Allah beliau datang dan kepada Allah juga beliau pergi. Kepada mereka yang mengenali arwah marilah bersama-sama kita menadah tangan berdoa semoga arwah yang kini berada di alam barzah jadikan seperti taman-taman di syurga dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman.



Perginya seorang insan yang disayangi memang amat menyedihkan bagi kita yang masih hidup ini, tetapi kami percaya ketentuan yang maha kuasa adalah perancang yang terbaik untuk hamba-hambanya. Wahai anakku bersemadilah dengan tenang dan kenangan mu bersama kami yang hanya seketika akan menjadi satu kenangan yang abadi buat selama-lamanya...



Doa buat anakku semoga bahagia di sana…

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam. Rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad ï·º , keluarga dan para sahabat Baginda. Ya Allah! Ampunilah anakku, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia, ampunilah dosanya, muliakanlah kedudukannya, lapangkanlah kuburnya dan jadikan di alam barzah seperti taman-taman di syurga. Bersihkanlah dia dari semua kesalahan sebagaimana kain putih dan terhindar dari azab kubur. Jauhi daripada seksaan api neraka dan tempatkan di syurga jannah. Aamiin aamiin yaraballalamiin.

Mohon pengunjung blog komuniti karom meluangkan sedikit masa melafazkan Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Akmal bin Mohd Suhaizan (7/7/1996 – 5/3/2016).


 

Monday, April 25, 2016

PASUKAN KAROM LABUAN MENERIMA PAPAN KAROM PERTAMA

Pasukan Labuan menjadikan tahun ini sebagai penampilan buat kali pertama memasuki pertandingan Kejohanan Karom MAKSAK 2016 yang telah diadakan di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Sebagai persediaan awal pasukan Labuan telah membeli satu set papan karom antarabangsa berjenama Precise Elegant Champion untuk mengadakan latihan intensif mereka. Latihan yang tidak formal mungkin sukar bagi pasukan Labuan untuk terus mara hadapan kerana cabaran daripada pasukan yang lebih senior dan lebih berpengalaman. Dengan peralatan yang ada dan sedikit pengalaman daripada kejohanan mungkin mereka akan ke arah yang lebih kompetitif di masa hadapan.

Bersedia untuk dihantar kepada pelangan di Labuan.

 Sedang membuka kotak bungkusan.

 Papan karom dikeluarkan daripada kotak bungkusan.

 Sedang membuka bungkusan plastik yang terakhir.

 
 Sedang merasai permukaan papan karom berkelas dunia.

Sekalung tahniah kepada pasukan Labuan walaupun masih baru dan tiada latihan formal permainan  karom antarabangsa tetapi masih mampu mengambil bahagian. Tahniah diucapkan kerana berani mencuba. Sikap beginilah yang perlu ada pada setiap pasukan dan dalam masa yang sama cuba mencari jurulatih untuk mendalami secara lebih formal untuk mendapatkan kemahiran yang lebih tinggi.