INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101
Showing posts with label ICF Cup 2008. Show all posts
Showing posts with label ICF Cup 2008. Show all posts

Wednesday, August 19, 2009

5th ICF CUP CARROM CHAMPIONSHIP 2008 IN COLOMBO


Sri Lanka terpilih menjadi tuan rumah bagi kejohanan 5th ICF Cup. Tempat kejohanan telah diadakan di Palm Beach Hotel, Mount Lavinia kira-kira 16km dari selatan Colombo. Kejohanan tersebut telah berlansung pada 15hb hingga 20 Oktober 2008.

Kek menyambut Persatuan Karom Sri Lanka ke 50 tahun dan ICF ke 25 tahun.

Upacara perasmian kejohanan Piala ICF ke 5


Semasa menunggu upacara pembarisan

Lokasi tempat penginapan boleh dikatakan menarik juga kerana pantai yang hanya beberapa meter dari belakang hotel sahaja. Tetapi pantainya agak merbahaya kerana laut dalam dan ombak yang agak besar. Terdapat juga perkhidmatan memancing dan menyelam disediakan disini. Satu lagi perkara yang kami tidak boleh lupa ialah di belakang hotel ini juga terdapat laluan karetapi dan kami melihat ianya agak merbahaya kerana landasan berada di persisiran pantai dan orang ramai yang lalu lalang di situ tambahan pula keretapi tersebut bergerak terlalu laju. Bagi kami agak mengerikan tetapi bagi penduduk tempatan mungkin perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan.

Lihat betapa hampirnya landasan keretapi dengan pantai

Penyertaan pada tahun ini merupakan kontinjen yang paling sedikit iaitu 7 buah negara sahaja. Negara-negara tersebut adalah India, USA, UK, Perancis, Jerman, Malaysia dan tuan rumah Sri Lanka. Pasukan dari Maldive tidak dapat menyertai kejohanan kali ini walaupun pasukan tersebut sudah berada di Sri Lanka. Ini kerana terdapat kekangan dalaman persatuan Maldive yang tidak dapat dielakkan. Penyertaan kurang berkemungkinan besar kerana keadaan di Sri Lanka yang ketika ini bergolak dengan kerap berlaku pengeboman.

Kami juga melihat bermula dari lapangan terbang sehingga ke tempat penginapan terdapat pos kawalan tentera dan rondaan tentera di sepanjang perjalanan. Sehari sebelum berangkat pulang ke Malaysia satu pengeboman telah berlaku di Stesen Bas Colombo tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku hanya bas awam musnah teruk. Walau bagaimanapun kami selamat semasa di sana dan juga selamat sampai ke tanah air.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada empat pemain lelaki iaitu Mohd Yunos Abu Bakar, Christopher Walter, Mohd Suhaizan Mat Karri dan Abdul Mutalib Ismail. Manakala pemain wanita terdiri daripada Suzana Salim dan Puan Jamilah. Pemain ditemani oleh pengurus Samohon MD Kassim yang juga Naib Presiden dan Presiden Persatuan Karom Malaysia Balbeer Singh.

Format kejohanan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu acara perseorangan yang mengunakan “Swiss League System”, Berpasukan secara liga dan acara regu terbuka pula diadakan secara kalah mati.

Bergambar sebelum berlepas dari KLIA ke Colombo. Kiri ke kanan: Mohd Suhaizan, Balbeer Sigh (Presiden Persatuan Karom Malaysia), Mohd Yunos, Suzana, Abdul Mutalib, Puan Jamilah, Samohon MD Kassim (Pengurus) dan Christopher Walter


Upacara pembukaan secara simbolik dengan menyalakan lilin secara bergilir-gilir dan Presiden Persatuan Karom Malaysia, En. Balbeer Singh turut serta mengambil bahagian.


Presiden Persatuan Karom Malaysia, En Balbeer Singh bersama-sama memotong kek sempena ulang tahun ke 50 Carrom Federation of Sri Lanka dan ulang tahun 20 tahun International Carom Federation



Berhenti seketika untuk menikmati air kelapa

Bergambar dengan salah seorang tentera Sri Lanka yang sedang membuat rondaan ketika kami sedang menikmati air kelapa.


Kiri ke kanan: Abdul Mutalib, Mohd Yunos, Samohon Md Kassim (Pengurus), Mohd Suhaizan, Suzana dan Puan Jamilah


Bersama pemain terbaik dari India Nirmala dan Rashmi Kumari


Bersama Pierre Dubois dari Perancis


Bersama Karnal Abdin dari UK


Bersama Sunahar Ali dari UK dan Ikhtaruddin dari Pakistan


Bersama 2 pemain German


Bersama Billy Stevens dari USA


Bersama B. Bagaru Babu (dikenali sebagai Bapa Karom).


Bersama Presiden Persatuan Karom Antarabangsa Arif Naqvi dari German



Bergambar dengan dua pemain bola keranjang daripada negara Cina ketika membeli belah di House of Fashion Colombo. Semuanya boleh dikatakan sama tinggi... eemmm apa yang mereka makan ye?



Kesimpulan mengenai pencapaian pemain Malaysia di kejohanan ini boleh dibanggakan dengan pencapaian oleh salah seorang pemain kita Abu Mutalib yang berjaya mendapat tempat kedua (Unseeded Asia - tidak termasuk India, Sri Lanka, Bangladesh dan Maldive). Pasukan Lelaki Malaysia juga buat pertama kali berjaya mendapat tempat ke empat dan pasukan Wanita Malaysia mendapat tempat ke tiga.

Pasukan Malaysia pada kali ini tidak dapat berpeluang berjalan-jalan kerana keadaan Sri Lanka yang tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun sempat juga kami mengunjung beberapa kompleks membeli belah dan membeli sedikit barangan sebagai buah tangan daripada Sri Lanka. Kebanyakkan dari kami membeli teh yang memang popular di Sri Lanka, cenderamata dan ada juga di antara sahabat kita yang membeli batu permata untuk dibawa pulang.

Ingin penulis meluahkan sedikit ketidakpuasan hati mengenai pemergian ke Sri Lanka. Ini kerana persediaan dari segi latihan boleh dikatakan tiada lansung dan paling menyedihkan ialah semua peserta terpaksa mencari perbelanjaan sendiri untuk ke kejohanan ini. Saya kira usaha persatuan tidak mencukupi tambahan pula Kementerian Belia dan Sukan juga tidak dapat menolong dengan alasan kekangan kewangan. Mungkin bagi KBS melihat permainan ini tidak penting dan tiada membawa pulangan bagi negara.

Saya berpendapat pihak yang berwajib perlu melihat semua jenis sukan dengan seimbang dan juga fokus bukan hanya sukan yang popular atau sukan teras sahaja. Pembangunan sukan perlu sokongan yang berterusan dan menyeluruh. Setiap acara sukan terdapat peminatnya tersendiri dan pihak yang berwajib perlu memainkan peranan yang lebih supaya sukan tersebut berjalan lancar dan mencapai kejayaan. Kejayaan bukan hanya datang sekelip mata sahaja tetapi ianya perlukan perancangan, pengorbanan, wang ringgit dan masa yang agak lama untuk mencapainya.

Walau bagaimanapun kami berterimakasih kepada MOM dan MILO yang bermurah hati menghulurkan bantuan t-shirt dan track suit. Kepada mereka kami mengucapkan berbanyak terima kasih dan bantuan anda akan kami kenangkan.

Kami sebagai pemain karom mengharapkan semoga episod seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan demi untuk memajukan sukan di bumi yang tercinta ini. Maju sukan untuk negara.

PENYERAHAN BENDERA OLEH DATO' SIEH KOK CHI

Pada 13 September 2008 jam 4:40 petang sehari sebelum berlepas ke Colombo, Sri Lanka untuk Kejohanan ICF CUP 2008. Upacara penyerahan bendera kontinjen Malaysia disempurnakan oleh Dato' Sieh Kok Chi Setiausaha Kehormat MOM. Bendera telah diterima oleh naib presiden II, En. Samohon MD Kassim yang juga pengurus pasukan pada kejohanan kali ini. Pada penyerahan bendera tersebut turut hadir meraikan kontinjen Malaysia ialah Presiden Persatuan Karom Malaysia En. Balbeer Singh dan Bendahari En. Frankie Pek.

Pasukan Karom Malaysia menghantar dua pasukan iaitu lelaki dan wanita. Pasukan lelaki terdiri daripada Mohd Yunos Abu Bakar, Christopher Walter, Mohd Suhaizan Mat Karri dan Abdul Mutalib Ismail. Manakala pasukan wanita pula terdiri daripada Puan Jamilah dan Puan Suzana. 2 peserta wanita lagi tidak dapat turut serta kerana gagal mendapat pembiayaan dan pelepasan daripada majikan majikan masing-masing.

Dato' Sieh Kok Chi telah memberi sehelai baju rasmi pasukan Malaysia iaitu t-shirt bercorak Harimau dan beberapa cenderamata. Tidak ketinggalan terimakasih juga kepada Milo Malaysia yang bermurah hati menghulurkan bantuan 3 helai t-shirt dan sepasang track suit. Wakilnya juga telah sudi datang dan bertemu dengan pemain-pemain semua.

Abdul Mutalib, Puan Jamilah, Puan Suzana, Mohd Suhaizan Mat Karri, Samohon MD Kassim, Balbeer Singh dan Dato' Sieh Kok Chi. Mohd Yunos Abu Bakar dan Christopher Walter tidak dapat hadir.


Abdul Mutalib, Puan Jamilah, Puan Suzana, Balbeer Singh, Mohd Suhaizan Mat Karri, Samohon MD Kassim dan Frankie Pek.


Bergambar bersama Dato' Sieh Kok Chi

Dengan sedikit waktu yang ada kami mengadakan latihan ringan dan saya juga memberi taklimat mengenai undang-undang permainan kepada pemain-pemain.

PEMILIHAN PEMAIN ICF CUP 2008 DI SRI LANKA

Tempat: Bangunan Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Tarikh: 30hb Ogos 2008

Masa: 10:30am - 01:15am

Kejohanan ini adalah bertujuan mencari pemain yang layak untuk mewakili Malaysia di Kejohanan Piala ICF 2008 kali ke 5 di Colombo, Sri Lanka yang akan berlansung pada 15hb oktober hingga 20hb Oktober 2008.

Kebanyakkan peserta-peserta adalah merupakan orang lama di dalam permainan karom antarabangsa dan beberapa pemain yang mewakili maksak negeri seperti 3 peserta daripada Pulau Pinang dan 3 peserta daripada Johor. Selebihnya peserta daripada Lembah Klang iaitu sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Persatuan Karom Malaysia juga menghantar 3 wakil untuk memeriahkan suasana pada hari tersebut.

Yuran minima dikenakan kepada peserta sebanyak RM30.00 seorang. Peserta lelaki seramai 14 orang manakala wanita hanya 6 orang sahaja. Hanya empat pemain lelaki dan empat pemain wanita yang akan dipilih untuk mewakili Malaysia ke kejohanan itu nanti.

Masa bermula agak lewat kerana menunggu peserta-peserta yang telah mendaftar tetapi ada yang tidak hadir di saat-saat akhir dan jadual perlawanan telah diubah dari empat kumpulan kepada sistem liga. Format permainan adalah 25 mata dan kiraan papan tidak diambil kira.

Ketua pengadil dan penyelaras adalah daripada Persatuan Karom Malaysia yang diketuai oleh En. Roslan Omar (exco pertandingan dan teknikal) dan En. Soong sebagai pembantu (Penolong Setiausaha Agong).

Kejohanan berjalan lancar dan amat memenatkan kerana bermain secara berterusan. Waktu rehat hanya untuk makan tengahari sahaja. Oleh kerana memakan masa yang panjang semua peserta juga secara tidak lansung telah menyambut masuknya waktu merdeka di tempat perlawanan kerana permainan berakhir hampir jam 1:15 pagi.

Berikut adalah keputusan yang dikeluarkan oleh En. Roslan Omar selaku ketua pengadil dan penyelaras pemilihan ke Piala ICF 2008. Pasukan lelaki terdiri daripada Mohd Yunof Bakar (Johor), Roslan Baba (DBKL), Christopher Walter (Karomas) dan Mohd Suhaizan Mat Karri (Karomas). Manakala pasukan wanita pula terdiri daripada Norhayati Yeop (DBKL), Suzana (MPSJ), Jamilah (Pulau Pinang) dan Zaimah (DBKL)

Oleh kerana pertandingan berlarutan hingga ke pagi ada beberapa peserta yang terpaksa menumpang kawan balik ke rumah kerana perkhidmatan awam sudah tiada lagi termasuklah saya. Terpaksa minta jasa baik Mohd Zaini dan Azhar Suratman untuk mengantar saya sehingga ke Sungai buloh. Tapi sebelum itu terpaksalah saya belanja mereka makan tambahan pula kami semua belum makan lagi. Saya belanja mereka makan 'Char Keow Teow' di Setapak yang popular di sana.

Akhir kata jumpa lagi di pemilihan yang akan datang.

PEMILIHAN PASUKAN LELAKI


Keputusan dan kedudukan ranking lelaki

1. Mohd Yunof Bakar (Johor)

2. Ruslan Baba (DBKL)

3. Christopher Walter (Karomas)

4. Mohd Suhaizan Mat Karri (Karomas)

5. Abd Mutalib (Pulau Pinang)

6. Mohd Zaini (UMW)

7. Nor Azlan Sarif (Johor)

8. Muhd Isa Tahir (DBKL)

9. Sulaiman (Felda)

10. Azhar Suratman (UMW)

11. Frankie Pek (Karomas)

12. Hasan Hussin (DBKL)

13. Ramly Johar (DBKL)

14. Ahmad Bazni (Pulau Pinang)


PEMILIHAN PASUKAN WANITA

Keputusan dan kedudukan ranking wanita

1. Norhayati Yeop (DBKL)

2. Suzana Salim (MPSJ)

3. Jamilah (Pulau Pinang)

4. Zaimah (DBKL)

5. Norarfinah (Johor)

6. Zaidah (DBKL)