Sri Lanka terpilih menjadi tuan rumah bagi kejohanan 5th ICF Cup. Tempat kejohanan telah diadakan di Palm Beach Hotel, Mount Lavinia kira-kira 16km dari selatan Colombo. Kejohanan tersebut telah berlansung pada 15hb hingga 20 Oktober 2008.
Kek menyambut Persatuan Karom Sri Lanka ke 50 tahun dan ICF ke 25 tahun.
Upacara perasmian kejohanan Piala ICF ke 5
Semasa menunggu upacara pembarisan
Lokasi tempat penginapan boleh dikatakan menarik juga kerana pantai yang hanya beberapa meter dari belakang hotel sahaja. Tetapi pantainya agak merbahaya kerana laut dalam dan ombak yang agak besar. Terdapat juga perkhidmatan memancing dan menyelam disediakan disini. Satu lagi perkara yang kami tidak boleh lupa ialah di belakang hotel ini juga terdapat laluan karetapi dan kami melihat ianya agak merbahaya kerana landasan berada di persisiran pantai dan orang ramai yang lalu lalang di situ tambahan pula keretapi tersebut bergerak terlalu laju. Bagi kami agak mengerikan tetapi bagi penduduk tempatan mungkin perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan.
Lihat betapa hampirnya landasan keretapi dengan pantai
Penyertaan pada tahun ini merupakan kontinjen yang paling sedikit iaitu 7 buah negara sahaja. Negara-negara tersebut adalah India, USA, UK, Perancis, Jerman, Malaysia dan tuan rumah Sri Lanka. Pasukan dari Maldive tidak dapat menyertai kejohanan kali ini walaupun pasukan tersebut sudah berada di Sri Lanka. Ini kerana terdapat kekangan dalaman persatuan Maldive yang tidak dapat dielakkan. Penyertaan kurang berkemungkinan besar kerana keadaan di Sri Lanka yang ketika ini bergolak dengan kerap berlaku pengeboman.
Kami juga melihat bermula dari lapangan terbang sehingga ke tempat penginapan terdapat pos kawalan tentera dan rondaan tentera di sepanjang perjalanan. Sehari sebelum berangkat pulang ke Malaysia satu pengeboman telah berlaku di Stesen Bas Colombo tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku hanya bas awam musnah teruk. Walau bagaimanapun kami selamat semasa di sana dan juga selamat sampai ke tanah air.
Kontinjen Malaysia terdiri daripada empat pemain lelaki iaitu Mohd Yunos Abu Bakar, Christopher Walter, Mohd Suhaizan Mat Karri dan Abdul Mutalib Ismail. Manakala pemain wanita terdiri daripada Suzana Salim dan Puan Jamilah. Pemain ditemani oleh pengurus Samohon MD Kassim yang juga Naib Presiden dan Presiden Persatuan Karom Malaysia Balbeer Singh.
Format kejohanan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu acara perseorangan yang mengunakan “Swiss League System”, Berpasukan secara liga dan acara regu terbuka pula diadakan secara kalah mati.
Bergambar sebelum berlepas dari KLIA ke Colombo. Kiri ke kanan: Mohd Suhaizan, Balbeer Sigh (Presiden Persatuan Karom Malaysia), Mohd Yunos, Suzana, Abdul Mutalib, Puan Jamilah, Samohon MD Kassim (Pengurus) dan Christopher Walter
Upacara pembukaan secara simbolik dengan menyalakan lilin secara bergilir-gilir dan Presiden Persatuan Karom Malaysia, En. Balbeer Singh turut serta mengambil bahagian.
Presiden Persatuan Karom Malaysia, En Balbeer Singh bersama-sama memotong kek sempena ulang tahun ke 50 Carrom Federation of Sri Lanka dan ulang tahun 20 tahun International Carom Federation
Berhenti seketika untuk menikmati air kelapa
Bergambar dengan salah seorang tentera Sri Lanka yang sedang membuat rondaan ketika kami sedang menikmati air kelapa.
Kiri ke kanan: Abdul Mutalib, Mohd Yunos, Samohon Md Kassim (Pengurus), Mohd Suhaizan, Suzana dan Puan Jamilah
Bersama pemain terbaik dari India Nirmala dan Rashmi Kumari
Bersama Pierre Dubois dari Perancis
Bersama Karnal Abdin dari UK
Bersama Sunahar Ali dari UK dan Ikhtaruddin dari Pakistan
Bersama 2 pemain German
Bersama Billy Stevens dari USA
Bersama B. Bagaru Babu (dikenali sebagai Bapa Karom).
Bergambar dengan dua pemain bola keranjang daripada negara Cina ketika membeli belah di House of Fashion Colombo. Semuanya boleh dikatakan sama tinggi... eemmm apa yang mereka makan ye?
Kesimpulan mengenai pencapaian pemain Malaysia di kejohanan ini boleh dibanggakan dengan pencapaian oleh salah seorang pemain kita Abu Mutalib yang berjaya mendapat tempat kedua (Unseeded Asia - tidak termasuk India, Sri Lanka, Bangladesh dan Maldive). Pasukan Lelaki Malaysia juga buat pertama kali berjaya mendapat tempat ke empat dan pasukan Wanita Malaysia mendapat tempat ke tiga.
Pasukan Malaysia pada kali ini tidak dapat berpeluang berjalan-jalan kerana keadaan Sri Lanka yang tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun sempat juga kami mengunjung beberapa kompleks membeli belah dan membeli sedikit barangan sebagai buah tangan daripada Sri Lanka. Kebanyakkan dari kami membeli teh yang memang popular di Sri Lanka, cenderamata dan ada juga di antara sahabat kita yang membeli batu permata untuk dibawa pulang.
Ingin penulis meluahkan sedikit ketidakpuasan hati mengenai pemergian ke Sri Lanka. Ini kerana persediaan dari segi latihan boleh dikatakan tiada lansung dan paling menyedihkan ialah semua peserta terpaksa mencari perbelanjaan sendiri untuk ke kejohanan ini. Saya kira usaha persatuan tidak mencukupi tambahan pula Kementerian Belia dan Sukan juga tidak dapat menolong dengan alasan kekangan kewangan. Mungkin bagi KBS melihat permainan ini tidak penting dan tiada membawa pulangan bagi negara.
Saya berpendapat pihak yang berwajib perlu melihat semua jenis sukan dengan seimbang dan juga fokus bukan hanya sukan yang popular atau sukan teras sahaja. Pembangunan sukan perlu sokongan yang berterusan dan menyeluruh. Setiap acara sukan terdapat peminatnya tersendiri dan pihak yang berwajib perlu memainkan peranan yang lebih supaya sukan tersebut berjalan lancar dan mencapai kejayaan. Kejayaan bukan hanya datang sekelip mata sahaja tetapi ianya perlukan perancangan, pengorbanan, wang ringgit dan masa yang agak lama untuk mencapainya.
Walau bagaimanapun kami berterimakasih kepada MOM dan MILO yang bermurah hati menghulurkan bantuan t-shirt dan track suit. Kepada mereka kami mengucapkan berbanyak terima kasih dan bantuan anda akan kami kenangkan.
Kami sebagai pemain karom mengharapkan semoga episod seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan demi untuk memajukan sukan di bumi yang tercinta ini. Maju sukan untuk negara.
No comments:
Post a Comment