INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Wednesday, August 19, 2009

KAROM TEMPATAN VS KAROM ANTARABANGSA

Sukan karom dianggap sebagai salah satu permainan tradisional di Malaysia. Permainan karom sudah agak lama dan ada di antara kita pernah bermain semasa kita masih lagi kecil. Tidak keterlaluan jika dikatakan sukan ini tergolong di dalam permainan tradisi Malaysia seperti congkak, dam aji dan lain-lain. Permainan karom satu permainan yang menarik memerlukan kepandaian, strateji, ketepatan dan kesabaran. Dalam masa yang sama menyumbang petalian persahabatan dan mengiratkan kekerluargaan. Permainan karom antarabangsa adalah berlainan dari karom tempatan yang biasa dimainkan di Malaysia. Perbezaan adalah dari segi undang-undang permainan, peralatan dan kiraan mata kemenangan.

Berikut adalah perbezaan yang agak ketara yang dapat kita bandingkan di antara kedua-dua permainan karom tersebut.

PERMAINAN KAROM ANTARABANGSA

1. Undang-undang permainan

a) Mempunyai undang-undang permainan yang terperinci dan dibukukan

b) Undang-undang permainan karom antarabangsa sudah tersedia dan diterima pakai di seluruh dunia. Ini memudahkan penganjur untuk mengadakan kejohanan diperingkat negara atau dunia.

c) Undang-undang sentiasa dikemaskinikan dan dihadiri oleh wakil Persatuan dari pelusuk dunia dibawah naungan Persatuan Karom Antarabangsa.

d) Oleh kerana undang-undang permainan yang selaras, maka mudah pengadil mengenal pasti dan menjatuhkan kesalahan kepada pemain-pemain. Pengadil akan memberi penjelasan dan jika pemain tidak berpuas hati, maka buku undang-undang permainan akan dirujuk sebagai bukti yang jelas.

e) Undang-undang permainan tetap sama walau di mana kejohanan di adakan.

f) Undang-undang yang lengkap bermakna permainan lebih bersistematik dapat dijalankan.

g) Semua pemain-pemain karom di seluruh dunia hanya perpandukan satu undang-undang sahaja yang dikawalselia oleh Persatuan Karom Antarabangsa.

2. Peralatan permainan yang dikawalselia

a) Saiz Papan karom

Permukaan permainan papan karom antarabangsa mempunyai ketebalan tidak kurang dari 8 mm dan ukuran minima 73.50sm dan maksima 74.00sm empat segi sama. Saku ke arah dalam di empat penjuru dan berukuran 4.45sm di empat penjuru.
b) Saiz dan berat buah karom

Garis pusat Buah karom tidak melebihi 3.18sm dan tidak kurang dari 3.02sm. Ketebalannya tidak kurang dari 0.70sm dan tidak melebihi 0.90sm. Berat tidak kurang dari 5.00 grams dan tidak melebihi 5.50 grams. Terdapat 9 biji putih, 9 biji hitam dan 1biji merah.

c) Saiz dan berat Striker (gundu)


Striker karom antarbangsa berwarna putih dan hitam pula adalah gundu karom tempatan. Perbezaan ketara dari saiz, tebal dan berat. Striker karom antarabangsa saiz tidak lebih dari 41.3 mm dan berat tidak lebih dari 15 gms.

d) Ketinggian papan dan kerusi yang ditetapkan ketika bermain

Kaki meja bila di letakkan papan karom ketinggiannya tidak kurang dari 63.00 sm dan tidak lebih dari 70.00 sm.

a) Papan karom yang mengikut spesifikasi dan diiktiraf oleh Persatuan Karom Antarabangsa sahaja dibenarkan untuk setiap kejohanan.

3. Tepung pelicin

a) Tepung ditabur di atas permukaan permainan dan mestilah halus, kering dan tidak lembap. Tepung disimpan dalam karung kecil supaya senang ditaburkan sama rata diatas permukaan permainan. Tepung kentang digunakan di Malaysia, Eropah dan Amerika Syarikat, Korea dan Jepun manakala tepung boric asid agak popular dan digunakan meluas di India, Sri Lanka, Maldive, Pakistan dan Bangladesh.

b) Manakala berus digunakan untuk membersihkan permukaan papan terutama di kawasan garisan dasar (bingkai) yang kebiasaannya tepung akan terkumpul dan menjadi tebal. Berus tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Dimensi yang agak sesuai adalah 0.12sm (1/2”) lebar. Berus hendaklah lemut supaya permukaan papan karom tidak bercalar dan terguris.

Tepung disimpan didalam sarung kain dan bertindak sebagai penapis dan mengeluarkan tepung yang halus bila ditabur di atas kawasan permainan.

c) Tepung hanya dibenarkan ditabur di atas permukaan permainan sebelum pecah mula sahaja. Begitu juga dengan berus ianya juga dibenarkan digunakan oleh pemain sebelum pecah mula berlaku.

d) Semasa perlawanan berlansung tepung dan berus tidak dibenarkan lagi digunakan dan ini menjadi kesalahan.

4. Buah Merah

a) Buah karom merah dimainkan dan dipanggil “Queen”.

b) Buah merah mempunyai nilai bonus dan kelebihan kepada pemain-pemain. Buah merah dikira 3 mata tetapi jika pemain mempunyai mata 22 atau lebih maka buah merah tidak akan dikira lagi.

5. Mata kemenangan

a) Satu permainan mempunyai lapan papan atau mana-mana pemain yang mencapai mata kemenangan terlebih dahulu. Walaupun banyak bilangan papan dimainkan tetapi ianya cepat ditamatkan. Kemenangan keseluruhan akan ditentukan dalam tiga permainan yang terbaik.

b) Mata permainan ditulis secara terperinci dan jelas. Agak senang untuk melihat perbezaan rekod pencapaian pemain-pemain kerana kiraan mata permainan yang berbeza. Ini penting untuk digunakan jika berlaku sesuatu atau untuk disemak semula. Kadangkala penting juga kepada pemain-pemain untuk ke pusingan seterusnya.

6. Diiktiraf

a) Setiap pemain atau ahli sukan sudah tentu ada matlamat yang tertentu untuk dicapai di dalam kehidupan sebagai kenangan abadi, seperti mewakili negeri atau negara. Hanya karom antarabangsa sahajalah yang dapat membawa pemain yang berkebolehan untuk mewakili negara diperingkat dunia. Berikut adalah beberapa contoh kejohanan seperti di Malaysia, Sri Lanka, India, USA, UK, Perancis, Asia dan Piala Dunia.

b) Permainan karom antarabangsa telah diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk diketengahkan dan dimajukan di samping sukan-sukan utama yang lain. Ini kerana cara permainannya membolehkan pemain Malaysia bertanding di kejohanan-kejohanan di luar negara sehingga ke peringkat dunia.

PERMAINAN KAROM TEMPATAN

1. Undang-undang permainan

a) Tidak mempunyai undang-undang permainan yang selaras. Hanya undang-undang permainan asas sahaja dan tidak diperhalusi.

b) Ada pengiat karom cuba membukukan cara permainan karom tempatan tetapi perkara ini sukar dilaksanakan kerana melibatkan pelbagai pihak, masa dan perlu duduk semeja untuk melaksanakannya. Permainan karom tempatan agak mustahil untuk mengadakan kejohanan di peringkat antarabangsa kerana undang-undang permainan karom antarabangsa sudah sedia ada dan cukup komprehensif.

c) Undang-undang permainan bergantung kepada pihak penganjur.

d) Undang-undang permainan yang amat ketara kerana ianya bebeza dari satu pertandingan ke pertandingan kerana ianya dikawal oleh pihak penganjur kejohanan.

e) Undang-undang yang tidak lengkap bermakna permainan tidak bersistematik agak sukar dijalankan dengan sempurna.

f) Semua pemain-pemain karom kadang-kadang menjadi keliru kerana tiada rujukkan dan undang-undang tidak dikawalselia termasuk juga pengadil.

2. Peralatan permainan yang tidak dikawalselia

a) Saiz Papan karomPermukaan permainan Papan karom tempatan tidak selaras dari segi keluasan permukaan permainan, ketebalan dan ukuran empat segi samanya. Kualiti kayu yang digunakan adalah tidak konsisten. Saku yang berada di luar penjuru dan saiz lubang yang juga berbeza-beza.


b) Saiz dan berat buah karom

Buah karom tempatan tidak jauh beza dengan karom antarabangsa tetapi mempunyai saiz dan berat yang berbeza. Jumlahnya juga sama iaitu terdapat 9 biji putih, 9 biji hitam dan 1biji merah.

c) Saiz dan berat Striker (gundu)


Striker karom Malaysia atau tempatan berwarna hitam dan putih pula adalah striker karom antarabangsa. Perbezaan ketara dari saiz, tebal dan berat. Striker karom tempatan bersaiz 44 mm dan berat tidak tidak diselaraskan.

d) Ketinggian papan dan kerusi ketika bermain juga tidak menentu

e) Papan karom yang berbeza spesifikasi dan tiada satu badan atau pihak yang layak untuk mengiktirafkannya.

3. Tepung pelicin

a) Tepung tidak digunakan tetapi mengunakankan pelicin yang dipanggil “disco powder” yang berbentuk kristal halus atau fiber halus. Bila gundu dijentik ianya mengeluarkan bunyi dan terlalu licin sehinggakan pergerakkan gundu tidak menentu walaupun jentikkan tersebut perlahan sahaja.

b) Berus tidak digunakan lansung.

Pelicin disimpan di dalam botol dan tidak ditapis ketika ditabur di atas permukaan permainan. 

c) Tepung dibenarkan digunakan oleh pemain samada sebelum pecah mula atau semasa di dalam perlawanan. Ini tidak menjadi kesalahan.

4. Buah karom merah

a) Buah karom merah tidak dimainkan, hanya digunakan untuk pecah mula sahaja. Selepas sahaja pecah mula oleh pemain buah karom merah akan diangkat keluar dan permainan diteruskan.

b) Buah karom merah tidak dimainkan kerana tidak membawa makna kepada pemain-pemain.

5. Mata kemenangan

a) Pemain yang memenangi dua perlawanan akan diistiharkan sebagai pemenang. Jika kedua-dua pemain masing-masing memenangi satu perlawanan, maka permainan ketiga atau penentuan akan dijalankan. Kemenangan keseluruhan akan ditentukan dalam tiga permainan yang (best of three games).

b) Mata permainan ditulis tetapi kad kiraan tetapi tidak standard kerana bergantung kepada penganjur.

6. Diiktiraf

a) Setiap pemain sudah tentu ada matlamat seperti mewakili negeri maupun negara. Tetapi karom tempatan tidak akan membawa kita jauh dan hanya di Malaysia sahaja.

b) Permainan karom tempatan tidak diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan dan bukan bermakna dipingirkan tetapi kerana masih tiada persatuan yang khusus.

Kesimpulan

Perbezaan yang di atas di buat bukan di atas dasar ingin menlenyapkan atau memansuhkan terus cara permainan karom tempatan. Karom tempatan boleh diteruskan tetapi dalam masa yang sama permainan karom antarabangsa juga perlu diketengahkan dan menerima kewujudannya untuk pengetahuan orang ramai. Melalui pengalaman saya yang lalu ada setengah-tengah pihak yang membangkang disebabkan kepentingan peribadi atau menolak permainan cara antarabangsa tanpa alasan yang kukuh. Jika demikian maka kita hanya berbangga dengan panggilan jaguh kampong sahaja dan terus berada di dalam kepompong sendiri. Kita tidak akan dapat pergi jauh lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa.

Perlu diingat bahawa hanya segelintir sahaja yang mengetahui cara permainan karom antarabangsa dan mereka-mereka ini rata-rata sudah berumur, mungkin suatu hari nanti permainan karom antarabangsa akan terkubur begitu sahaja. Sungguh malang jika perkara ini berlaku dan menjadi kenyataan. Mungkin generasi baru akan hanya mendengar sahaja karom antarabangsa tetapi tidak mengetahui lansung bagaimana cara permainannya. Penulis selalu tekankan perkara ini bahawa karom antarabangsa bukan hanya untuk generasi hari ini tetapi juga untuk generasi yang akan datang. Oleh demikian penulis merasakan sifat sedemikian patut dipinggirkan dan marilah bersama-sama membawa cara permainan ini ke satu tahap yang terbaik dan dikenali ramai.

Oleh itu penulis mengambil inisiatif mengujudkan http://komunitikarom.blogspot.com untuk peminat karom diseluruh tanah air bahawa ada satu cara lagi bermain karom iaitu karom antarabangsa. Saya dan kawan-kawan di dalam Persatuan Karom Malaysia ingin melakukan sesuatu kepada masyarakat di Malaysia dan dikenali sebagai pengerak utama permainan karom antarabangsa untuk maju terus ke arah hadapan.

Anda mungkin bersetuju dengan penulis bahawa semua sukan di dunia hari ini dikawal oleh undang-undang yang telah dipersetujui oleh semua negara mengenai sukan tersebut di bawah satu naungan. Di sinilah undang-undang digubal dan diperbaharui dari masa ke semasa dan dihadiri oleh wakil setiap negara di bawah naungannya. Tujuannya hanya satu iaitu supaya undang-undang permainan diseragamkan dan dengan ini pertandingan boleh dijalankan dengan teratur kerana semua pihak telah bersetuju seperti yang diputuskan bersama. Undang-undang juga menjadi selaras dan boleh dimainkan walau dipelusuk dunia mana pun.

Oleh yang demikian marilah bersama-sama kita merenung ke arah mana kita hendak tuju. Adakah kita mahu undur ke belakang atau mahu maju ke hadapan?. Soalan ini perlu dijawap oleh anda semua dan yang pasti jawapan tersebut akan menentukan hala tuju permainan karom di Malaysia.

Permainan karom ada dua cara
Cara tempatan dan juga antarabangsa.
Marilah bersama-sama kita mengira.
Ini adalah untuk kebaikan semua bangsa

Marilah bersama-sama kita mengira
Ini adalah untuk kebaikan semua bangsa
Jangan kita bertelagah hingga huru hara
Akhirnya nanti sukan ini akan binasa

Jangan kita bertelagah hingga huru hara
Akhirnya nanti sukan ini akan binasa
Bersama kita bermuafakat dan terus mara
Supaya yang tua dan muda dapat merasa

Bersama kita bermuafakat dan terus mara
Supaya yang tua dan muda dapat merasa
Jadikan komunitikarom tempat berbicara
Semua pihak yang terbabit akan turut selesa

Jadikan komunitikarom tempat berbicara
Semua pihak yang terbabit akan turut selesa
Berakhir di sini dan jangan berduka lara
Sokong usaha komunitikarom menjadi sasa

2 comments:

  1. Assalamualaikum.
    Sy baru belajar berkarom sejak sebulan lepas. Usia saya dah 33 tahun tapi tak halang keinginan saya untuk mendekati karom.

    Saya amat menyokong usaha tuan dalam mengkaromkan masyarakat sebagai salah satu medium ukhuwwah.

    ReplyDelete