INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Sunday, April 27, 2014

JALAN CARI MAKAN DI KUANTAN

Cuti hujung minggu jika kelapangan saya dan keluarga akan pulang ke kampong menjenguh ayah dan adik beradik untuk mengiratkan lagi ukwah kekeluargaan. Bila umur meningkat hari demi hari rasanya menjadi keperluan untuk kita meningkatkan kemesraan di antara sahabat-sahabat lama dan lebih-lebih lagi ahli keluarga sendiri.

Dalam masa yang sama dapat juga menikmati makanan tradisi yang masih melekat di dalam kepala sewaktu membesar di kampong suatu ketika dahulu. Memandangkan Ibu sudah pergi dahulu, maka yang tinggal ketika ini adalah ayah yang semakin hari semakin uzur. Saya sentiasa mendoakan semoga beliau sihat dan tabah menjalani sisa-sisa kehidupan serta dapat menjalani ibadah dengan sempurna walaupun dalam keadaan duduk atau baring sekalipun.

Bila teringatkan ibu, maka kita tidak dapat lari dari masakan ibu yang menjadi kegemaran kita dari kecil sehingga membesar di bawah satu bumbung. Bila teringat masakan ibu, maka jalan terbaik adalah mencari-cari di warung-warung yang mungkin rasanya seakan-akan masakan ibu kita. Begitulah saya, akan mencari yang terbaik sehingga berjumpa. Bila berjumpa apa lagi hari-hari membelinya tanpa jemu sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Bengkang Lemak... Bila balik ke Kuantan mesti cari kuih ni

Apam Berkuah... juga menjadi pilihan

Kucing di rumah keluarga yang tidor lena.... ngantuk temankan tuannya tengok bola agaknya... 

 Yamaha YPVS125 motor pertama yang saya tinggalkan di Kuantan... masih ada power lagi...

 
Calong di Beserah (warung kawan sedarjah semasa sekolah rendah). Bila balik ke Kuantan mesti berjumpa kawan-kawan dan menjamu selera yang menjadi kegemaran.  

Keropok goreng... tidak sama kualiti yang dijual di kuala Lumpur

Semasa singgah di Masjid Beserah terserempak dengan bekas pemain karom MAKSAK Pahang. Masih kenal lagi rupanya.... Bila ditanya pasal karom, beliau berkata masih bermain jika ada ruang waktu yang sesuai. Untuk pengetahuan Pahang pernah menjadi hos Kejohanan Karom MAKSAK pada tahun 2007.


 
Bot-bot  nelayan sedang berlabuh...

 Bot yang agak besar juga kerana nelayan-nelayan keluar ke laut satu hingga dua minggu.

Suasana Kampong nelayan di Tanjung Lumpur.

Semasa perjalanan ke Kemaman kami singgah di warung untuk menikmati lagi satu makanan kegemaran iaitu sata. Baru nak masak dan kami terpaksa menunggu...

Dah siap pun... Apa lagi makan sajalah... Sata di warung ini menjadi pilihan setiap kali balik ke kampung kerana bagi saya yang terbaik.... sedap hingga menjilat jari... 

  Pemandangan di Kuala Kemaman... Nampak seperti kerja-kerja penambakkan...

 Semasa pulang ke Kuala Lumpur... seperti biasa trafik agak luar biasa... jalan menjadi terlampau sesak berkilometer jauhnya... merangkak-rangkak seperti kura-kura...

Bila sampai di beberapa tol hinggga ke tol yang terakhir pun masih sama keadaannya....



Begitulah kisahnya bila waktu cuti atau jika ada kelapangan, maka kami sekeluarga pulang ke kampong dan sambil menikmati jaudah-juadah tempatan yang agak popular, seperti kata pepatah sambil menyelam minum air dan dalam masa yang sama teringak kisah-kisah silam bersama rakan-rakan zaman persekolahan yang tidak dapat dilupakan.

Semoga berjumpa lagi sahabat-sahabat ku.... dan akhirnya buat ayah, insha Allah anak mu akan kembali lagi tanpa jemu selagi hayat masih ada....

Wednesday, April 9, 2014

PEMINAT KAROM DARI BANGI

Saya dihubungi seseorang melalui WhatApps pada 23 March 2014 bertanyakan papan karom antarabangsa. Kami berhubung melalui talian dan bercerita lebih kurang mengenainya. Beliau bersetuju untuk berkunjung ke rumah saya di Sungai Buloh pada hari rabu bersamaan 26 March 2014 untuk melihat sendiri papan karom antarabangsa dan cara permainannya. 

Seperti yang dijanjikan pada hari rabu 26 March 2014 lebih kurang jam 9.30 malam saudara Azahari daripada Bangi tiba tepat di rumah saya.... sudah tentu dengan bantuan GPS. Saya menjemput beliau masuk dan bersembang secara santai bermula dengan kisah keluarga secara ringkas untuk mengenali saudara baru secara lebih dekat.

Sebelum memulakan sesi latihan terlebih dahulu saya memberi penerangan secara ringkas bermula daripada peralatan permainan. Saya juga menunjukkan dua jenama papan karom yang bermutu tinggi yang selalu diguna pakai untuk kejohanan-kejohanan besar di peringkat dunia. Dua berjenama papan karom antarabangsa tersebut Precise dan Synco. Saya menunjukkan tiga model papan Precise iaitu Precise Elegant Rosy, Precise Elegant Bulldog dan Precise Elegant Champion. Manakala satu model lagi adalah berjenama Synco Premium Champion. Sekurang-kurangnya beliau mengetahui kriteria-kriteria papan karom antarabangsa yang terbaik untuk dimiliki. Pencerahan ini perlu supaya seseorang memperolehi papan yang terbaik walaupun harga agak lebih sedikit. Seperti kata orang-oang tua dahulu "Alah membeli, menang memakai".     

Beliau cukup berminat dengan permainan karom sehinggakan ingin memiliki papan karom sendiri. Saya juga mengatakan kepada beliau kalau setakat suka-suka tidak perlulah membelinya kerana harganya lebih sedikit daripada papan karom biasa, tetapi jika betul-betul berminat dan ingin melangkah jauh di dalam sukan ini, maka beliau boleh meneruskan hasrat murni itu. Pada malam tersebut saya memberi penerangan secara ringkas bermula dengan asas undang-undang permainan, latihan-latihan yang perlu dilakukan dan menunjuk cara bermain dengan betul. Penerangan yang diberikan sebagai permulaan sudah mencukupi dan saya kira beliau mampu melakukannya dengan terbaik. Insha Allah sesi yang akan datang ke arah peningkatan seterusnya dan sesi kami berakhir sekitar jam 1.00 pagi.

 Latihan mengunakan papan berjenama Precise Elegant Rosy.

Berdiri di sebelah papan berjenama Precise Elegant Champion yang beliau beli 

Saya cukup kagum dengan beliau walaupun masih tidak memahami dengan sepenuhnya karom antarabangsa tetapi beliau cukup berminat. Saya pasti beliau tidak akan mengambil masa yang lama untuk menjadi pemain yang bagus suatu hari nanti. Dengan sikap beliau yang meminati sukan ini dan komitmen yang ditunjukkan saya berkeyakinan beliau mampu menjadi penganti kami yang kian meningkat usia ini.

Saya akan cuba sedaya upaya membantu beliau sehingga berjaya di masa hadapan dan tahniah kepada beliau yang mempunyai semangat mencuba permainan karom antarabangsa. Teruskan usaha untuk meningkat keupayaan bermula dari merangkak-rangkak, bertatih-tatih, berjalan-jalan dan akhirnya dapat terus belari... 

Apa yang saya hendak katakan ialah "hanya jauhari mengenal manikam" dan anda di luar sana bagaimana? Adakah anda seberani saudara Azahari? Kepada yang ingin mencuba dan mencari papan karom antarabangsa yang terbaik boleh hubungi saya. Saya menyediakan "package" yang cukup menarik khas kepada peminat-peminat karom...

Saturday, April 5, 2014

BERKUNJUNG KE JOHOR BHARU SEMPENA MAJLIS PERKAHWINAN ANAK PENGURUS KAROM MAKSAK JOHOR

Pada hari Sabtu bersamaan 15 March 2014 tepat jam 7.00 pagi saya dan famili berpeluang ke Johor Bharu untuk meraikan seorang sahabat iaitu En. Mohd Yunos yang menjemput kami sekeluarga sempena meraikan perkahwinan anak lelaki beliau iaitu Kapten Muhammad Yusri dan pasangannya. Beliau adalah pengurus pasukan karom Maksak Johor. Pada tahun 2013 anak beliau turut bermain karom mewakili pasukan KAKEP buat pertama kali.

Memandangkan ini kali pertama memandu ke Johor Bharu, maka bantuan GPS terpaksa digunakan untuk ke sana. Dalam perjalanan kami melihat tiga lori tangki Bomba di Lebuhraya ke arah Sepang dan kelihatan kesan-kesan terbakar di sepanjang lebuhraya. Kemungkinan terbakar kerana cuaca panas terik yang mencetus fenomena hari ini. Begitulah kebesaran Allah yang maha kaya boleh boleh menurunkan hujan lebat sehingga banjir teruk melanda di Pantai Timur dan sekarang di sebelah Pantai Barat pula Allah memberi ujian dengan jerebu dn kepanasan sehingga kekeringan. Terkini Selangor terpaksa mencatu air ke seluruh negeri termasuk Kuala Lumpur. Sebagai hamba yang taat kepada suruhan Allah, maka kita semua patut mengambil iktibar daripada kejadian ini dan menilai apakah disebalik kejadian ini berlaku ...   

Kami berhenti seketika di R&R untuk mengisi minyak dan membeli sedikit minuman, makanan ringan dan meneruskan perjalanan. Pengunaan GPS cukup memudahkan perjalanan saya dan sampai tepat jam 11.00 pagi dan terus menelefon En. Mohd Yunos. Sampai di dewan kelihatan En. Mohd Yunos dan keluarga beliau sibuk melayan saudara mara dan tetamu-tetamu yang hadir. Tema pakaian majlis perkahwinan adalah baju melayu johor dan berwarna jingga. 

Kami tiba tepat jam 11.00 pagi...

Singgahsana raja sehari Kapten Muhammad Yusri dan isteri

Meja makan pengantin, hanya dapat ambil gambar ajelah...

Bergambar kenang-kenangan dengan En. Mohd Yunos di pintu gerbang ke singgahsana raja sehari

Agaknya En. Mohd Yunos senyum lebar kerana dapat menantu...

Kami tidak kesempatan melihat raja sehari bersanding kerana ada urusan di Melaka. Kami mendoakan mereka berdua bahagia berpanjangan dan mendapat zuriat yang soleh dan solehah. 

Sebelum ke Melaka saya membawa famili ke satu restoran yang agak popular di johor iaitu Restoran ZZ Sup Tulang. Kami berpusing-pusing mencari restoran tersebut dan akhirnya terpaksa minta bantuan pakar makan Abang Roslan yang membawa saya sempena Kejohanan Karom Maksak 2012 tempuh hari. Saya juga terpaksa bertanya beberapa orang dan akhirnya sampai juga ke restoran tersebut.

Berada di hadapan Restoran ZZ Sup Tulang... Mengimbau kembali semasa Kejohanan Karom Maksak Di Johor 2012. 

Bersama anak bongsu...

Mee rebus tulang, siap dengan straw lagi tuu...

Dah mula menyedut....

Berselera nampak...

Sudah selesai.... tunggu pula episod akan datang... Berlakon jee lebih, makan satu aje... 

Selesai kami menjamu selera dan langkah seterusnya ke Melaka dan dalam perjalanan kami ternampak dua kebakaran di tepi lebuhraya.  Pasukan Bomba tidak kelihatan dan saya harap kebakaran tidak melarat ke hutan yang berdekatan. Kami keluar dari lebuhraya menuju ke Merlimau.

Sebelum tiba di destinasi saya hubungi sahabat lama iaitu rakan serumah sewaktu kami masih lagi budak hingusan. Agak malang kerana beliau kebetulan berada di luar kawasan kerana ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.Kami terpaksa mengubah haluan ke bandar Melaka. Sampai di bandar Melaka kami tidak turun daripada kenderaan hanya berlegar-legar kerana hujan yang agak lebat dan akhirnya mengambil keputusan terus pulang ke KL.

En Mohd Yunos bersama saya di Kejohanan Asia Cup 2011 di Male, Maldives. Bersama pemain terkenal daripada India (di sebelah kiri saya Prakash Gaikwad dan di kanan Yogesh Pardesi)

Wednesday, March 19, 2014

PENCERAHAN MINDA KEPADA PEMIMPIN SUKAN

Dipetik daripada Sinar Harian Online (8 Febuari 2014)

Persatuan sukan perlu tingkat prestasi atlet

Ketua Eksekutif Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz

KUALA LUMPUR - Pentadbiran dan pengurusan sesebuah Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) tidak semestinya perlu diubah, sebaliknya pemimpin mereka perlu mempunyai pemikiran yang terarah kepada usaha meningkatkan prestasi atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz berkata, kepimpinan Persatuan Sukan Kebangsaan perlu mempunyai pemikiran ke arah menghasilkan atlet berpretasi tinggi dan berada di kemuncak prestasi masing-masing.

"Pemimpin perlulah mengelakkan politik dalam persatuan dan patut menerima teguran luar untuk memajukan bidang sukan masing-masing. Akibat daripada politik dalam persatuan dan prestasi merudum atlet sentiasa menjadi perhatian media dan orang ramai," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ramlan berkata, kegawatan kepimpinan Persatuan Sukan Kebangsaan perlu ditangani oleh pemimpin dalam persatuan sendiri.

Sehubungan itu, ISN dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan membuka ruang kepada jurulatih, pengurus dan pihak pengurusan tertinggi persatuan sukan untuk 'membuka minda' dengan menggunakan elemen sains, perubatan dan teknologi sukan melalui seminar sehari yang akan diadakan Selasa ini.

"Seminar yang bertajuk Sports Science Governed Sports Leadership Empowerment ini, akan mengupas corak kepimpinan berteraskan sains sukan yang menjadi tumpuan pengiat sukan tanah air.

"Usaha ini yang dilaksanakan ISN dan UPM ini adalah 'langkah pertama' mewujudkan suatu sistem bagi melatih pemimpin-pemimpin sukan yang mampu menerajui persatuan dalam menampilkan atlet berkaliber negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Antara objektif seminar itu adalah untuk memberi pendedahan terhadap ciri-ciri kepimpinan yang terbaik dan corak kepimpinan sukan dari perspektif berbeza yang berteraskan sains sukan dalam kalangan penggiat sukan negara.

Sempena seminar berkenaan, forum bertajuk 'Facilitating Peak Performance' akan diadakan melibatkan anggota panel seperti Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia Datuk Dr P.S. Nathan, jurulatih pasukan Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee, pengurus pasukan hoki Projek 2013 dan 2016 Mirnawan Nawawi serta pemain skuasy negara Ong Beng Hee.

Sementara itu forum bertajuk 'Sports Leadership Transformation' dijangka akan mencuri tumpuan dengan anggota panel seperti penasihat Persatuan Bola sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Badminton Malaysia Tan Sri Tengku  Mahaleel Tengku Ariff, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan bekas pemain skuasy negara Mohd Azlan Iskandar. - Bernama


KOMEN PENULIS:

Saya ingin memberi sedikit ulasan mengenai perkembangan sukan negara dan lebih tepat saya tujukan kepada pemimpin-pemimpin persatuan sukan. Pencerahan minda di dalam hal ini dapat kiranya mereka yang bertanggungjawab dapat menilai diri masing-masing demi pembangunan sukan negara yang semakin hari nampak banyak berlakunya ketempangan. 

Hari ini kita selalu mendengar dan membaca di media cetak mahupun di alam siber menceritakan kepincangan persatuan sukan yang dibincang secara terbuka. Saya tidak ingin menyentuh secara spesifik sukan-sukan yang diperkatakan kerana kita sudah maklum, Cuma apa yang saya hendak memberi ulasan ialah secara menyeluruh. Jika terkena batang hidung persatuan tersebut, maka berubahlah sebelum terlambat atau dengan kata lain berundur secara hormat sebelum di campak keluar. 

Seingat saya bermula dari kecil hingga dah berjanggut sekarang ini, saya tidak pernah mendengar kekecohan seperti yang berlaku seperti hari ini. Hanya satu patah perkataan yang bermain di kepala iaitu sungguh "meloyakan". 

Sukan adalah sesuatu aktiviti yang cukup indah kepada mereka yang minat dan ingin melebar sayap ke satu tahap yang membanggakan diri, keluarga dan negara. Dorongan seperti ini bukan semuanya ada kepada diri kita hanya mereka yang betul-betul minat dan mempunya komitmen tinggi sahaja yang berjaya melalui pelbagai ranjau yang perlu ditempuh.

Atlet sukan yang terpaksa berkerja keras untuk mencapai piawaian yang ditentu oleh pihak atasan dan sememangnya perlu berbuat demikian. Tetapi satu perkara yang lebih penting ialah pemimpin yang berada disinggahsana yang tidak melihat secara menyeluruh dari segi pencapaian dan perkembangan sukan di bawah jagaannya. Pemimpin-peminpin ini hanya pandai berkata-kata tanpa memberi jawapan yang konkrit dan menasabah. Maka jadilah seperti burung kakak tua yang hanya pandai membuat bising sahaja. 

Sebagai pengiat sukan kita mempunyai pengalaman yang berbeza-beza dan jika dapat digarab menjadikan satu adunan, maka ianya akan menjadikan sesuatu yang cukup bermakna di atas nama sukan yang diceburi. Di dalam persatuan perlu mempunyai pemimpin yang berwibawa, memberi komitmen, kreatif dan berinovatif demi pembangunan sukan yang mereka wakili dan dalam masa yang sama memberi menafaat kepada peminat sukan dan akhirnya kepada negara. 

Berilah peluang kepada mereka yang mempunyai misi dan visi demi sukan yang mereka wakili dan jangan bangga dengan jawatan yang anda pegang hari ini kerana anda tidak akan berada di atas sana selama-lamanya. Anda mungkin berada di atas kerana sokongan padu daripada kroni-kroni yang berkepentingan peribadi dan bukan kerana sukan. 

Akhir kata kepada mereka yang sudah tidak dapat memberi apa-apa pembaharuan dan perkembangan demi sukan saya kira mereka perlu sedar dan carilah pintu untuk keluar dengan segera. Jangan hanya berada di kerusi yang empuk kerana nama...

Tuesday, December 31, 2013

BERCUTI SAMBIL BERKAROM DI KUCING

Tarikh: 7 - 10 Disember 2013
Tempat: Kuching, Sarawak

Bekunjung ke Kuching adalah satu rancangan telah lama terpendam dan perancangan kali ini nampaknya berjaya dilaksanakan. Keputusan dibuat dalam masa yang agak singkat sekitar kurang sebulan sahaja. Saya keluarga menganbil peluang cuti sekolah yang agak panjang pada setiap hujung tahun.

Kami tiba di Lapangan terbang LCC Sepang agak awal sedikit untuk mengelak kesesakan perjalanan ke sini. Kami sekeluarga telah terbang dari LCC Sepang jam 6:30 pagi dan tiba di Kuching sekitar jam 8:45 pagi. Selepas mengambil kesemua beg, kami pun keluar daripada bangunan lapangan terbang Cuaca yang menyambut kami di sini nampaknya ceria dan cerah, tidak seperti di semenangjung ketika ini yang sentiasanya hujan dan di pantai timur dilanda banjir yang agak teruk. Apa pun itu adalah ketentuan pengaturnya iaitu Allah yang Maha Agong dan yang Maha Mengetahui. Apa jua musibah yang datang kita berdoa dan berusaha dan insyaAllah akhirnya ada jalan keluar.

Seterusnya kami ke Hotel Tune tepat penginapan untuk menyimpan beg-beg terlebih dahulu. Selepas itu kami berjalan disekitar Kuching Waterfront dan ke seberang menaiki sampan ke Kampung Boyan untuk berkunjung ke kedai lapis yang popular iaitu Kek Lapis Dayang Salhah dan Kek Lapis Mira. Ikan terubuk masin terdapat juga dijual di sini. Sahabat saya sudah memberitahu kepada saya bahawa di Pasar Ikan Satok lebih segar dan banyak pilihan. Puas rasanya kami merasa kesemua perasa yang dihidangkan... enak-enak semuanya. Kami hanya membeli sedikt untuk di bawa ke hotel dan akan datang kembali sebelum pulang ke Semenanjung sebagai buah tangan untuk sahabat dan saudara mara. 

Hari kedua lawatan kami sekeluarga di Serikin dengan menyewa sebuah kereta Waja. Saya memandu sendiri dan mengekori saudara Nawawi dari belakang. Sepanjang kami berada di sana beliau secara tidak rasmi sebagai pemandu pelancung kepada kami. Rasanya beliau boleh membuat kerja-kerja sambilan sebagai pemandu pelancung.

 
Ketika membeli sedikit barang di Serikin... Sesiapa yang berhajat nak berkunjung ke sana boleh menghubungi beliau... kempenlah sikit bro...

Kami bergerak ke Serikin agak lewat sedikit dan setiba di sana kerana terlampau ramai orang hingga kesukaran mencari parkir. Setelah puas berpusing-pusing akhirnya dapat juga di barisan terakhir Kami membeli sedikit barangan sebagai kenangan dan sekembali dari Serikin kami singgah di beberapa tempat menarik seperti Pantai Santubung dan melihat rumah Budaya Sarawak hanya dari luar sahaja kerana kesuntukan masa.

Dari jauh kami melihat Gunung Santubung yang kehijauan sungguh indah panoramanya. Dalam perjalanan pulang kami singgah di Kampong Buntal (kampong nelayan) membeli Pais Sarawak. Pada mulanya saya ingat sama seperti Semenanjung tetapi tekaan saya jauh meleset kerana rasa dan bentuknya agak berbeza. Apa pun dapat juga merasa sedikit sebanyak makanan tradisi di Sarawak.

Bersama keluarga di pantai Santubung dan di belakangnya replika burung Kenyalang

  Bersama saudara Nawwi di Pantai Santubung

Panorama Gunung Santubung...

Singgah sebentar di dstinasi riadah "Wind Cave"... Suasana nyaman dan sejuk di sini ...

Sebelum bertolak pulang pada paginya sempat berkunjung ke gerai Ikan Terubuk di Pasar Minggu Satok. Mengikut penerangan pejual semasa saya membeli, ikan terubuk tempatan adalah yang palig sedap jika dibandingkan dengan ikan yang dimport. Ikan terubuk temptan hanya ada pada bulan  jun yang datang dari daerah Sebuyau dan Sebangan.

Ikan Terubuk masin tempatan adalah yang paling tinggi permintaannya dan hanya pada bulan tertentu sahaja. Sungguh pun begitu ikan terubuk daripada Vietnam, Mynamar dan India juga terdapat di sini dan harganya agak murah sedikit.

Telur Ikan Terubuk. Harganya tersangat mahal seperti membeli ketul emas... Mungkin sesuai dikatakan emas berada di dalam perut ikan terubuk kerana harga mencecah sehingga RM400 ke RM500 sekilogram. Kata salah seorang penjualnya rasanya sedap tetapi kandungan kolestrolnya juga agak tinggi. Saya bergurau dengan penjual tersebut dengan harga begitu tinggi boleh dibuat hantaran perkahwinan, tetapi isteri tidak boleh makan kerana takut berat badan naik selepas kahwin...

 
Anak bungsu makan mee kolo...katanya sedap...


Sempat juga saudara Nawawi membawa kami ke Dewan Negeri Sarawak dan melihat dari jauh perkampongan Boyan

 Kenangan di Bandar Kuching...

 Saudara Nawawi membawa kami tempat pengawalan paras air ketika banjir... 

 Semasa membeli Kek Lapis Sarawak... dua jenama yang agak popular


Beberapa jam sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Kuching kami ambil kesempatan yang terakhir untuk membeli sedikit buah tangan di deretan kedai yang berada di hadapan Waterfront. Oleh kerana masa tidak mengizinkan dan kami pula tidak dapat melihat kesemuanya tetapi memilih secara rawak sahaja. Sungguhpun begitu dapat juga mencari beberpa barang yang diminati oleh anak seperti tshirt dan barang mainan. Juga kami membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang sebagai kenangan dan untuk diberikan kepada sanak saudara. 

Sesi karom secara santai di Kuching

Paling menarik berkawan dengan peminat karom atau lebih tepat kaki karom, walau di mana kita berada sudah pasti bermain karom. Kalau sudah mengadap, maklum sajalah... lepas satu, lepas itu dua dan tidak sedar sudah sampai ke sepuluh. Sungguh pun begitu kita jangan leka kerana tanggungjawab yang wajib jangan diabaikan... ;-)

Beberapa keping gambar ketika sesi latihan secara santai bersama saudara Nawawi dan rakan-rakan beliau yang meminati sukan ini. Kebanyakkan mereka berkebolehan bermain karom tetapi masih kekurangan info dan salah satu faktor adalah jarak semenanjung yang dipisahkan dengan Lautan China Selatan. Sungguh pun begitu kesungguhan mereka untuk mengetahui lebih lanjut di dalam sukan ini sungguh mengkagumkan walaupun kemudahan yang agak terhad. Saya pasti dalam masa terdekat dengan memperolehi peralatan yang sesuai saya kira pasukan Sarawak boleh pergi jauh di masa hadapan. Kepada pemain-pemain karom di Semenanjung di harap perlu berhati-hati jika bertemu dengan pasukan mereka nanti. Seperti kata pepatah "Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya".

Sebenarnya saudara Nawawi telah membeli satu papan karom berjenama yang terunggul di dalam dunia karom hari iaitu "Precise Elegant Rosy". Papan yang selalu digunakan di kejohanan berprestij seperti Kejohanan dunia, Piala Asia dan Piala ICF. Papan jenama Precise juga menjadi pilihan utama untuk kejohanan tempatan terutama di India, Sri Lanka dan Maldive. Sungguh pun begitu papan karom berjenama Synco antara papan yang juga mendapat sambutan.

 

Bersama kawan-kawan saudara Nawawi seperti Abdul Rahman, Shah Rizal dan Azmi semasa berada di sudut "karom" rumah beliau...

Latihan secara santai diadakan pada setiap malam di rumah kenalan baru saya saudara Nawawi di Kuching. Masa yang agak terhad untuk mengetahui semuanya adalah agak mustahil. Sungguh pun begitu banyak juga ilmu diperturunkan dalam kekangan waktu terbatas tetapi dapat juga dimanafaatkan bermula dari asas undang-undang permainan sehingga teknik permainan dan latihan ketepatan.

Sudut yang disediakan untuk saudara Nawawi menjalani latihan pada sebelah malam dan hujung minggu agak menarik kerana sesuai dengan ruangan yang ada. Kepada kawan-kawan di Kuching teruskan latihan dengan konsisten untuk mencapai kemahiran hingga tahap yang terbaik. Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan melainkan dengan latihan dan latihan dan seterusnya latihan... jangan berputus asa.

Hadiah saguhati daripada saudara Nawawi.... Piala sebiji buah karom. Mungkin piala yang sangat teristimewa ini diperbuat daripada pokok gambir yang popular di Sarawak.

Kesimpulannya kunjungan saya sekeluarga buat pertama kali ke Kuching sungguh bertuah dengan layanan saudara Nawawi di sepanjang kami berada di Kuching. Hingga kini saya masih teringat di malam terakhir saya dihidangkan kek buah dan kek lapis Sarawak yang dibuat oleh mak saudara beliau.... eeeemmm enak hingga menjilat jari. Rasanya memang A++... tak sama dengan di kedai.

Selamat tinggal Kuching dan Insha Allah jika ada rezeki kami akan berkunjung lagi di masa hadapan...