INTERNATIONAL CARROM BOARD CERTIFIED BY INTERNATIONAL CARROM FEDERATION. PLEASE CALL +6019-6656101

Saturday, February 4, 2017

TEROKA BAKAT BOLASEPAK BAHARU

SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/sukan/teroka-bakat-bola-sepak-baharu-1.430406
13 SEPTEMBER 2015


Perdana Menteri Datuk Seri Najib (kanan) bersama tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melihat perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat hari ini. - Foto Bernama

Kerajaan komited untuk membantu memperkasakan sukan bola sepak di negara ini dengan menyokong program pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
Perdana Menteri berkata, program seperti Liga Bola Sepak Rakyat (LBR), yang diilhamkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, adalah antara antara platfom terbaik program pembangunan yang perlu diketengahkan untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu yang berkualiti.
   
"Bola sepak bukan sahaja permainan yang perlu diperkembangkan di peringkat akar umbi tetapi pelan pembangunan untuk ketengahkan bakat baharu yang berpotensi juga perlu dilakukan.
   
"Program ini tidak boleh dibiarkan dengan sendirinya tetapi perlu dilaksana dengan kaedah saintifik dan profesional, barulah dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berkualiti," kata Najib.
   
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan LBR di Dataran Pekan di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah.
   
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin, Pengerusi Bank Rakyat Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Johari Hussain.
   
Bagi menterjemahkan sokongan itu, Najib berkata, kerajaan pusat dengan Bank Rakyat bersedia menyalurkan peruntukan RM10 juta dalam tempoh tiga tahun kepada liga berkenaan.
   
Menurutnya, negara sehingga kini masih kekurangan platfom untuk mencungkil pemain baru di peringkat akar umbi.
   
"Walaupun kita pernah jadi juara AFF Suzuki beberapa tahun lepas, tetapi kita lihat 70 peratus daripada pemainnya datang dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Dalam erti kata lain saluran melahirkan bakat-bakat baharu terlalu sempit dan terhad serta tidak ada sumber menyeluruh.
   
"Sebab itu, apabila Tengku Abdullah mengemukakan cadangan bahawa LBR adalah untuk memperkasakan bakat baharu, secara spontan saya nyatakan persetujuan kerana ia baik untuk pembangunan sukan bola sepak negara ini," kata Najib.
   
Katanya untuk melonjakkan kembali sukan bola sepak di negara ini, sepatutnya lebih banyak pihak tampil membantu program pembangunan sukan itu dan bukan hanya tahu mengkritik.
   
Dalam masa yang sama, Najib berharap pemain-pemain muda yang menyertai LBR supaya tidak hanya memfokuskan misi untuk mendapatkan piala liga ini namun harus menjadikannya sebagai medium terbaik untuk mengembangkan bakat mereka.
   
Najib berkata, beliau sendiri akan memantau perkembangan liga tersebut dengan mendapatkan laporannya dari semasa ke semasa.
   
LBR diilhamkan Tengku Abdullah dengan objektif untuk mengembangkan permainan bola sepak secara bersistematik selain menjadi insitusi yang mampu melahirkan pemain berpotensi untuk beraksi dalam skuad negara.   

Sebanyak 111 pasukan dari seluruh negara menyertai kejohanan bertaraf amatur ini dan pembahagian pasukan akan dilakukan mengikut zon dengan melibatkan 520 perlawanan. - Bernama



Komen penulis: Sebuah kerajaan melalui pilihan demokrasi di dalam setiap negara hari ini adalah diamanahkan untuk menjalankan tugas sebagai pentadbir urus yang cekap dan adil kepada rakyat di bawah pemerintahannya. Tugasannya adalah menyeluruh bermula kepada sosial budaya, sosial ekonomi, pembangunan negara, keamanan dan kesejahteraan rakyat. Sektor sukan tidak terkecuali dengan keprihatinan kerajaan sehingga melibatkan dana yang agak besar di dalam pembangunan sukan negara. 

Hari ini pembangunan sukan cukup penting kepada sesebuah negara dan ianya juga sebagai salah satu penanda aras mercu kejayaan. Malaysia tidak terkecuali di dalam pembangunan sukan sehingga berjaya menonjol beberapa ahli sukan yang menggondol kejayaan besar di peringkat antarabangsa seperti mencipta nama dan membawa gelaran 'World No. 1' di dalam sukan Badminton dan Squash. Tidak ketinggalan juga mencipta di dalam beberapa sukan yang lain seperti sukan berbasikal, bina badan, permotoran dan baru-baru ini anak Malaysia mencipta nama di dalam dunia sukan tinju yang mengondol Juara World Boxing Council (WBC) Asia 2016 bagi kategori light heavyweight.

Cuma apa yang dikesalkan adalah hanya sukan-sukan tertentu sahaja yang diberi penekanan, perhatian dan pembangunannya, tetapi tidak menyeluruh kepada sukan-sukan lain yang mungkin dilihat sebagai sukan sampingan sahaja. Ada sesetengah sukan dan kejayaan yang dicapai oleh ahli sukan ditanggung oleh individu tertentu demi mencari kejayaan dan mengharumkan negara tanpa keprihatinan kerajaan yang memerintah.

Secara peribadi sebenarnya semua jenis sukan adalah penting dan perlu dilihat secara holistik pembangunan sukan negara. Jangan hanya cenderung kepada sukan teras yang telah diwartakan pihak kerajaan menerusi Kementerian Sukan Belia dan Sukan. Keadilan dan kesaksamaan di dalam pembahagian dana adalah perlu dilihat oleh kerajaan dan badan yang dipertanggungjawabkan supaya sukan lain tidak dianak tirikan dan terus tercicir di dalam senarai pembangunan sukan negara. Jangan melihat sukan yang dianggap tidak penting dengan memandang sebelah mata sahaja dan cuba menidakkan kewujudan sukan-sukan tersebut. Kepada mereka-mereka yang dipertanggunggjawabkan hendaklah berlaku adil dan melihat secara jujur dan bukan hanya duduk dikerusi empuk hingga terlupa apa yang ada di bawah hamparan karpet pejabat yang tebal.

Ayuh!!!... Lakukan perubahan minda dan sikap mulai dari sekarang sebelum terlambat bermula dengan diri sendiri, peminat sukan, pemimpin sukan dan seterusnya pihak yang berwajib untuk menentukan arah tuju pembangunan sukan negara.

Anda adalah pengerak utama untuk melakukan perubahan hingga ke dasar...

No comments:

Post a Comment